#4: i plus i



Isma yang sedari tadi menjadi penonton setia pada setiap gelagat Luth terus menghampiri abang sepupunya itu. Sempat juga dia pasang telinga mendengar perbualan telefon abang sepupunya.
“Siapa yang nak berbiras dengan Abang Luth?” soal Isma ingin tahu.Rasa macam ada yang tak kena saja apabila perkataan biras itu disebut-sebut.
Abang Luth itukan anak tunggal Pak Ngah dan Mak Ngah, celah mana datangnya adik-beradik. Lagipun, di kalangan mereka sepupu-sepapat, cuma dia dan Kak Zira saja yang perempuan. Yang lain itu ada, tetapi masih kecil-kecil dan juga bersekolah lagi.
“Eh! Isma.” Ternyata teguran Isma itu membuatkan Luth terperanjat. Riak di wajah itu ketara sangat menggelabahnya.
“Tak ada apalah.” Luth sengih sehingga ternaik tulang pipinya.
Isma mencerun pandang, kurang percaya dengan jawapan Luth itu.
“Yalah tu.” Bidas Isma menyatakan ketidakpuasannya.
“Abang Luth ni mengelat saja. Daripada tadi asyik basuh periuk yang tu saja.” Bebel Isma dengan tangan kanannya disangkutkan pada pinggangnya. Dah macam gaya mem besar.
“Abang dah basuh banyak tau. Kak Mia awak mana?”
“Kak Mia ada kat atas rumah, tengah tolong Mak Ngah memasak,” jawab Isma. “Kenapa? Nak suruh Kak Mia basuhkan sekali ke?” tanya Isma dengan kening yang terjongket sebelah.
“Haish! Mana boleh suruh Kak Mia buat kerja macam ni. Abang ni jenis yang sayang bini.”
Mendengar kata-kata Luth buat Isma spontan mencebik.
Isma tak mahu terus berbalah dengan abang sepupunya, lalu dia melangkah ke deretan periuk belanga yang sudah dibasuh bersih, diambil satu periuk yang sederhana besar untuk dibawa masuk ke atas rumah.
Baru saja dia hendak melangkah pergi, Luth panggil namanya.
“Ada apa lagi? Mak Ngah nak guna periuk ni!” Rengus Isma kerana Luth memlambatkan kerjanya.
“Abang nak tanya ni, boleh?”
Leh! Tanyalah. Main minta-minta pula. Skema sangat.” Isma lepaskan ketawa melihat gaya betah tak betah Luth itu.
“Ni soalan peribadi. Abang tahu awak tak suka ditanya soalan yang macam ni.”
“Abang Luth! Tanya sajalah.” Tegur Isma yang sudah menipis sabarnya. Banyak sangat butang pause yang Luth tekan.
“Isma dah ada steady boyfriend?”
Terkebil-kebil mata Isma memandang Luth yang baru lepas menyoal soalan ala pop kuiz pada dirinya. Tergamam dia dibuat dek Luth.
Luth sengih tayang gigi.
“Soalan subjektif ke objektif ni?” Entah macam mana itu pula yang terlepas dari mulutnya setelah sedar diri.
“A-Single and available. B-Single but not available. Yang mana satu?”
Isma tayang riak serius sebelum menjawab. C!” Yakin suaranya.
“C?”
Dia angkat kening kananya.
“Tadi abang sebut C tu apa ya?” Luth soal kembali. Lupa.
Isma lepas gelak. Periuk di tangan dipalu ke badan Luth perlahan. Luth mengaduh sakit. Periuk terkena betul-betul pada siku Luth.
“Dah lah, malas nak layan Abang Luth. Merepek!” Isma kalih badan terus meninggalkan Luth sendirian di tempat membasuh periuk belanga.
“Lamanya Anje pergi ambil periuk?”
Isma pandang wajah tuan suara yang bertanya itu. Siapa lagi yang meggelarkannya sebegitu, kalau bukan…
Segera dia menjawab,“Abang Luth tu, ayah. Dia bukannya membasuh pun, borak saja daripada tadi.” Adu Isma.
“Dia bosanlah tu membasuh sorang-sorang.”
 “Mia.” Ayah Isma, Pakcik Ismail memangil isteri Luth.
Mia yang ketika itu sedang menguruskan pinggan-mangkuk di dalam besen besar, berhenti menyusun.
“Ya Pak Teh.”
“Pergilah temankan Luth tu.”
Isma pandang Mia dengan senyum simpul dan kening yang sengaja dijongket berkali-kali. Sebagai balasan pada pelakuan Isma itu, Mia beliakkan mata kepadanya.
“Tak apalah Pak Teh. Biarlah Mia tolong mama kat dapur.”
“Haah. Kalau Kak Mia ke sana makin tak ‘berjalanlah’ kerja membasuh Abang Luth tu.” Isma tambah rencah lagi pada penolakan Mia tadi.
Ayah menderam sebagai menengur kelancangan mulutnya itu.
Isma kepit lidah dengan giginya, tanda bersalah.
“Kalau macam tu, biar Pak Teh sajalah ke sana.”
“Terima kasih Pak Teh.” Mia teruskan kerja mengelap pinggan untuk di simpan ke dalam besen yang disediakan.
Isma yang daripada tadi berdiri saja selepas meletakkan periuk di atas meja makan terus ikut serta Mia duduk bersimpuh di sebelah bukit pinggan-pinggan yang menimbun.
“Mia. Kalau letih pergilah berehat dulu.” Tegur Mak Ngah kepada ahli keluarga baharu mereka itu.
“Tak apalah mama. Tak letih mana pun.”
“Iyalah. Ni mama nak ke depan menjenguk makcik-makcik kamu, nanti tengokkan yang kat atas dapur tu sama ya.” Pesan Mak Ngah sebelum pergi.
Isma dan Mia mengangguk serentak.
Sedang mengelap pinggan-pinggan yang basah itu, Mia bersuara. Membuatkan Isma terkedu untuk kali yang kedua. Jika tadi dengan si suami, kali ini si isteri pula mengulang soalan yang sama.
 “Ada apa yang sebenarnya ni? Tadi Abang Luth, ni akak pula?”
Mia lepaskan ketawa. Agaknya tak tahan melihat riak bingung Isma.
“Isma perasaan tak pengapit Abang Luth kenduri semalam?”
Sekilas, bayang lelaki yang Isma ‘tandakan’ bajunya dengan sisa kuah ayam masak merah di kenduri tadi melintas di kotak ingatannya.
“Perasan, kenapa?”
“Apa pendapat Isma?”
“Maksud?”
“Okey tak orangnya?”
“Okeylah kut,” jawab Isma teragak-agak. Keningnya kalau boleh bercantum dah lama bercantum dek kerut di dahinya itu yang semakin banyak lapisannya.
“Ada macam muka siapa?”
“Muka budak Jawa.”
Mia yang mendengar tergelak kuat siap tampar bahu Isma. Tapi, tamparan itu tidaklah kuat mana pun. Tampar bergurau. Manja.
 “Yas tu kawan sekelas Abang Luth masa sekolah Teknik dulu.”
Isma masih tayang riak penuh tanda tanya.
“Jadi-kenapa?” soal Isma susun perkataan satu persatu.
Single lagi.”
Isma rasa, semakin lama dia semakin tak faham dengan apa yang ingin disampaikan oeh isteri abang sepupunya itu.
“Ish! Isma ni…” Mia tepuk pipi Isma perlahan.
“Abang Luth nak kenenkan awak berdualah.” ujar Mia tersenyum penuh makna.
Isma yang mendengar sudah ternganga mulutnya. Terkejut habis.

Konspirasi apakah ini?

Comments

  1. Bukan Isma je terkejut, den pun terkojut ni ha. Haha.
    Next please. :)

    -I kuasa 2-

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kekeke.Minggu depan pula ya cik I kuasa 2.
      Sabar na :)

      Delete
  2. hahahaha best...best errr tahun ni jugak terbit ke? heheheh:)

    ReplyDelete

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)

[10] Cerpen : Semasam Yogurt Semanis Ais krim