#6: i plus i


Beberapa tahun yang lalu...

“Kita kahwin!”
Permintaan Alea yang tiba-tiba itu buat dia terkejut.
Sepi. 1 saat. 2 saat. Tiba-tiba tanpa amaran dia lepaskan gelak.
Bukanlah gelak mengejek. Gelak akan permintaan Alea itu yang dia rasa tak berapa nak relevan dengan situasi mereka sekarang ini. Yang baru lepas pusing satu tasik dengan diri masing-masing memakai kasut sukan dan peluh memercik di badan.
“Yas!” Tegur Alea, sedikit geram.
Melihat wajah si buah hati yang sudah berubah riak, dia simpan ketawa, kunci senyumnya daripada terlepas.
“Okey, okey. Sorry.” Ilyasa cuba untuk serius.
“Kenapa tiba-tiba cakap pasal kahwin ni?” Pelik. Sepatutnya waktu sekarang, Alea berbincang tentang persiapan gadis itu untuk ke luar negara. Menyambung pelajaran. Sepatutnya Alea teruja bercerita tentang negara matahari terbit. Tentang cuaca 4 musim. Tentang kebimbangan gadis itu untuk menyesuaikan diri di negara orang. Tentang kerinduan yang bakal gadis itu tanggung saat tak bertemu tempe, sambal belacan dan sebagainya. Bukan hal yang…
“Yas tak nak kahwin dengan Alea ke?”
Soalan Alea buat dia tergamam lagi. Dia tarik nafas kemudian dihembus perlahan-lahan.
“Dah tentu Yas nak.” Tegasnya.
“Habis tu?” Pertanyaan yang bukan paksaan. Lebih kepada keliru.
“Alea. Yas nak kahwin, tapi bukan sekarang.”
Wajah Alea sudah tidak setegang tadi. Namun riak terkilan tetap terpancar di wajah lembut gadis itu.
“Yas janji. Lepas saja Alea habis belajar kat Jepun, Yas akan hantar rombongan meminang.” Ilyasa angkat tangan kanan. Berikrar.
“Tapi Yas, 4 tahun tu lama.” Alea mengadu.
Ilyasa ukir senyum lebar. “Yas sanggup tunggu.”
Kala itu Alea lepaskan keluhan. Agaknya sudah habis semua kata pujukan.
“Kalau Alea nak, kita bertunang dulu. Nanti lepas Alea habis belajar, baru kita kahwin.” Disebabkan rasa serba-salah, Ilyasa akhirnya mula ikat janji.
“Tak boleh ke Alea sambung belajar kat sini? Macam Yas.” Pinta Alea, merayu mungkin.
Renungan Alea tepat menusuk ke dalam anak matanya. Ilyasa jadi tidak betah.
“Hei, janganlah macam ni.” Lembut Ilyasa memujuk.  “Bukan senang nak dapat tawaran ni, Alea. Biasiswa pula tu.”
“Tapi Alea tak nak jauh daripada Yas.”
Look, my dear. Situasi Yas tak sama macam Alea. Yas belajar kat sini sebab…” Dia terhenti seketika. Tarik nafas.
“Alea pun tahu kan, family Yas sekarang ni dalam kesulitan. Jadi, Yas cuma ada peluang sambung belajar dekat sini saja.”
Dia nampak wajah Alea yang sudah kemerah-merahan. Mata gadis itu mula berkaca.
“Kalau Alea ke sana, sekurang-kurangnya hilang juga rasa ralat Yas.” Ilyasa pamer senyum. Wajahnya penuh mengharap. Mahu Alea mengerti.
Itu salah satu impiannya sewaktu masih di bangku sekolah. Impian yang dia kongsi bersama dengan si buah hati. Namun impian itu hanya tinggal impian.
Kejadian yang menimpa keluarganya sejak tahun kebelakangan ini membuatkan dia terpaksa menyimpan saja impiannya itu.
Melihat bibir Alea yang mula mengoyak senyum itu (walaupun nampak terpaksa), dia tahu pujukannya telah berjaya.
“Kalau Yas dah cakap macam tu, Alea pergi. Tapi, kita bertunang dulu.” Persetujuan yang hadir besama sedikit desakan.
Ilyasa ukir sengih. Pujukan berjaya.
Kalau tidak, mahu ibu bapa Alea marahkan dirinya, dek kerana dia Alea tidak mahu ke sana. Mungkin Pak cik Salim bapa Alea akan kejar dia dengan parang. Mak cik Kamisah pula pasti akan mengadu kepada mak. Dan sudahnya nanti mak akan berleter sepanjang minggu kepada dia.
Sekarang ini ada masalah baru pula. Bagaimana dia nak yakinkan Pak cik Salim dan Mak cik Kamisah untuk membenarkan dia dan Alea bertunang. Dengan usia mereka yang masih muda. Dan dia juga masih belum bekerja. Apa yang dia ada untuk menyakinkan ibu bapa Alea.
Dalam hati dia cuma mampu berdoa. Semoga kedua ibu bapa Alea itu tidak akan ada halangan dengan niatnya ini. Lagipun dia cuma mahu ikat tali pertunangan dahulu.
Sepanjang tempoh pertunangan itu dia akan cuba bina kerjaya dan berusaha mengumpul duit sebelum Alea pulang.
“Yas sanggup ke tunggu Alea?” soal Alea, menguji.
“Seribu tahun pun Yas sanggup tunggu,” ujarnya bermetafora. Dia senyum lebar mahu membeli jiwa si buah hati.
Alea yang mendengar ketawa senang.
“Yas. Hidup kita ni 10 tahun pun belum tentu ada lagi.” Kata Alea masih dengan ketawanya.
“Tapi Yas tetap akan tunggu juga. Selagi Yas hidup.”
Daripada ketawa galak, Alea cuma simpul senyum.
“Mati tu pasti.” Sebut Alea dengan tiba-tiba.
Ilyasa  yang mendengar terus kaku. Riak wajah terus bertukar serius.
Ish, kenapa tiba-tiba cakap macam tu?” Sungguh dia mulai rasa tak selesa. Bukan menidakkan qada dan qadar, cuma…
Betul, dia rasa semacam saja apabila perkataan mati keluar dari mulut comel Alea.
Alea yang melihat wajah pucat Ilyasa kembali ketawa semula. Bahu Ilyasa dipukul perlahan dengan botol air mineral yang ada di tangan.
Alololo, seriusnya muka dia,” usik Alea.
“Yas. Jodoh, ajal maut di tangan Allah.” Beritahu Alea dengan bibir yang menguntum senyum.
“Dan kalau pun betul kita tak ada jodoh…” Alea pandang tepat ke mata Ilyasa sebelum menyambung kata-katanya, “Yas carilah orang lain.”  
Spontan Ilyasa ambil botol mineral di tangan Alea, lalu diketuk perlahan ke kepala gadis itu.
 “Yalah, yalah. Tak cakap lagi macam tu.” Tahu yang Ilyasa geram dengan kelancangan kata-katanya.
“Itu sebab Alea nak kita kahwin cepat. Elak daripada berfikir yang bukan-bukan.” Alea gelak lagi.

Pranggggg! Bunyi guruh  berdentum kuat di langit kelam sana. Sekaligus mematikan gelak tawa Alea yang galak di dalam kotak memorinya itu.
Ilyasa terperanjat. Dia beristighfar sambil kedua tangannya meraup muka.
“Allah.” Sebutnya perlahan setelah kembali sedar. Jauh sungguh dia mengelamun. Mengundur sehingga ke masa-masa lalu.
Dia menarik nafas panjang, seolah dengan cara itu dia akan kembali bertenang daripada rasa terkejut yang dialami.
PUMA berwarna hitam di atas meja dicapai. Dia melihat jarum yang berdetik. Sudah hampir melewati jam sepuluh malam.
Tadi dia tanggalkan jam tangannya selepas solat Maghrib. Kemudian, kononnya dia mahu terus menyambung kerja. Namun pertemuan dengan D, rakan sekolah lamanya di Teknik buat dia mengimbau masa-masa lalu.
D itu sahabat karib Alea. Pula itu sama-sama belajar di Jepun. Cuma berlainanan penempatan universiti. Sama seperti Luth. Ketiga-tiga mereka merupakan di antara 4 pelajar sekolahnya  yang mendapat tawaran belajar di negara matahari terbit itu. Malah ketiga-tiga mereka adalah kenalan rapatnya.
Dulu pun dia pernah berhasrat mahu ke sana. Sama-sama mengisi borang permohonan. Cuma nasibnya merasa hujan batu di negeri sendiri.
Apa yang telah terjadi pada keluarganya, memaksa dia berpuas hati kerana dapat juga menyambung pelajaran. Sekalipun hanya di UiTM.
Dan berjumpa semula dengan D membuatkan dia berasa dekat kembali dengan kenangan lalu. Lebih tepat, dekat dengan Alea.
Ilyasa letakkan kembali jam tangannya ke meja. Dia bangun daripada duduknya. Sepatu hitam yang bersarung di kaki, ditanggalkan dan mula menyarung selipar.
Kancing pada kedua lengan kemeja dibuka. Dilipat lengan kemejanya ke paras siku. Dia membongkok melebihi 90º, melipat sedikit kaki  dockersnya.
Lebih baik dia ambil wuduk. Solat Isya’ dulu. Nak balik pun masih hujan lagi.
Hendak terus membuat kerja, rasanya sejak hampir 2 jam yang lalu, satu kerja pun tidak berjalan. Kerja yang dia buat hanyalah mengelamun panjang.
Dalam pada dia berkira-kira hendak ke bilik air mengambil wuduk, dia menyeluk poket seluarnya. Telefon bimbit dikeluarkan. Dan dia terus membuat satu panggilan.
“Assalamualaikum mak.” Sapanya sebaik saja panggilan bersambung.
“Abang kat pejabat lagi ni. Hujan.” Beritahunya sambil mengatur langkah menuju ke bilik air.
“Nanti hujan dah reda, abang balik rumah.” Sambungnya sebelum menamatkan perbualan telefon itu.
Kini dia tiba di dalam bilik air. Telefon disimpan kembali ke dalam poket seluar.
Nafas yang ditarik terasa beratnya. Kemudian, perlahan-lahan dilepaskan kembali. Terasa sedikit ringan. Serasa beban pada fikirannya turut dilepaskan pergi.
Pili air di sinki itu dibuka. Dirinya mula mengambil wuduk. 

Comments

  1. Mesti Alea dah takde kan... *spekulasi*

    ReplyDelete
  2. Huwaaaaaa....tak sempat nak baca satu2 bila nak cetak ni boleh baca terus....:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehehe. Cetak? Entah bilalah. Siap pun belum. Kalau ikut tahap 'rajinnya' jari ni, tahun ni pun belum tentu siap :D

      Delete
    2. errr nak tolong taipkan tak? :) hehehehehh

      Delete

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)

[10] Cerpen : Semasam Yogurt Semanis Ais krim