#3: i plus i



Ilyasa masih menyental kotoran di lengan baju melayunya yang berwarna biru langit itu. Pagi-pagi lagi dia dah duduk mencangkung di dalam bilik air. Buku limanya juga sudah mulai terasa sakit.
Yalah. Hendak menggunakan berus kain, dia bimbang baju melayunya akan jadi rosak. Terpaksalah dia gunakan tangan sebagai ganti berus. Walaupun tangannya hampir jadi kematu, tetapi kesan minyak ayam masak merah itu masih belum menunjukkan tanda-tanda hendak hilang.
Sepatutnya, semalam usai balik dari rumah Luth, dia rendam dulu bajunya. Tetapi dek rasa penat, baju melayunya itu dicampak saja ke dalam raga baju kotor.
Buku lima yang digunakan untuk menyental itu kini beralih ke kepalanya. Digaru-garu kepalanya itu. Buntu.  Tidak tahu lagi bagaimana mahu menanggalkan kesan minyak yang ada pada baju melayunya itu.
Ilyasa mengeluh, pasrah sudah.
“Abang!” Panggilan itu buat Ilyasa menjenguk ke luar bilik air. Wajah berkerut adik perempuannya itu dipandang tepat.
“Buat apa tu?”
“Tebar roti canai,” jawab Ilyasa sambil ketawa.
Muncung mulut adik perempuannya itu buat ketawa Ilyasa semakin kuat.
“Dah nampak tanya lagi.” Balas Ilyasa lagi mengusik.
“Eleh! Itukan berbahasa namanya. Sopannya orang Melayu letaknya di situ.”
Reaksi spontan, Ilyasa angkat tangan kanannya. Memohon perdebatan adik-beradik mereka dihentikan setakat itu saja.
“Daripada Uda dok pot-pet pot-pet tu, baik tolong abang ni.” Ilyasa tunjukkan kesan kotoran pada lengan baju melayunya itu.
“Sedap sangat ke lauk kenduri Abang Luth tadi tu. Sampai tangan baju pun disuapnya?”
Ilyasa ketawa sampai berhinjut bahu dek kata-kata Izyan. Satu-satu adik perempuannya itu. Tahu sangat Izyan kenakan dia semula.
“ ‘Dia’ tak nak pun, tapi dah ada yang sudi menyuap, terima sajalah.” Kias Ilyasa merujuk kepada baju melayunya itu.
Ilyasa senyum apabila mengingatkan kejadian di majlis perkahwinan Luth, rakan baiknya tadi.
Ketika itu kedua pasangan pengantin baharu Luth dan Mia sedang meraikan para jemputan yang datang untuk merakamkan foto bersama. Kebetulan pula, rakan sekolahnya dahulu Tahir ada datang.
Kata Tahir, rumah mertuanya itu berdekatan saja dengan rumah arwah nenek Luth. Satu kawasan kediaman. Sebab itulah Tahir datang bersama isteri. Mewakili keluarga mertuanya yang tak dapat hadir.
Tahir itu bekas pelajar SMKJ. Sama macam dia. Dulu dia pernah bersekolah di situ sampai tingkatan 3. Lepas tu dia bertukar ke sekolah menengah Teknik. Dan di situlah dia mengenali Luth.
Tetapi, walaupun bertukar sekolah dia masih tetap berhubung dan kadang-kadang ikut serta reunion bekas sekolahnya itu. Kiranya Tahir antara kenalan rapatnya juga.
Jadi dia ambil kesempatan untuk melayan rakannya itu. Sebab itulah dia dengan sukarela ke tempat penyediaan makanan. Dan waktu itu jugalah lengan baju melayunya ‘disuap’ dengan kuah ayam masak merah oleh seorang gadis.
Terkejut jugalah dia pada mulanya. Tapi, Ilyasa tahu yang gadis itu bukannya sengaja pun. Nak tunjuk perasaan pun dia rasa tak sampai hati.
Lagipun, dia rasa itu adik sepupu Luth. Sewaktu Luth tunjukkan adik sepupunya itu agak lama jugalah dia pandang. Dia sekadar mengagak daripada tudung yang dipakai gadis itu.Tudungnya berona seperti ais krim pelangi Paddle Pop.
Hendak pula di antara ramai-ramai yang memakai baju kurung berwarna sedondon dengannya (biru langit), warna tudung gadis itu sedikit berbeza. Kebanyakan perempuan yang berbaju kurung sebagai wakil rumah pengantin rata-rata memakai tudung berwarna merah jambu.  Jadi adik sepupu Luth itu agak mudah untuk dicam. Dan tudung yang dipakai gadis itu seperti gaya Najwa Latif (dia tahu itu gaya Najwa Latif dek kerana Izyan juga selalu menggayakan tudung seperti itu).
Jadi, takkanlah dia nak marahkan adik sepupu Luth itu. Hendak pula selepas mendengar rancangan di luar kotak pemikiran seorang Luth (bagi dirinya lah).
Kala itu mereka berada di pelamin. Luth sedang duduk bersanding. Dan dia pula berdiri bersebelahan dengan Luth. Tukang kipas pengantin.
Dan ketika adik sepupu Luth itu datang mendekati kawasan pelamin untuk mengambil sesuatu, Luth sempat berbisik kepadanya.
“Nak jadi biras aku?” Suara perlahan Luth itu buat dia terpaksa sengetkan badannya hampir 45º semata-mata untuk mendekatkan telinganya kepada Luth.
“Tu adik sepupu aku. Solo lagi. Nak?”
Mujurlah dia sedar diri yang Luth itu pengantin yang sedang duduk bersanding dan dia pula si pengapit yang sedang mengipas-ngipas pengantinnya. Maka dia simpan gelaknya itu walau kenyataan Luth itu mampu mengundang gelak besarnya. Gaya Luth bertanya macam mereka tengah memilih barang.
“Ni kenapa nak seret aku sekali? Kau seorang kahwin sudahlah.” Dia balas bisikan Luth dengan ayat menyindir dan senyum sinis.
“Ah kau. Dah 2 tahun kut. Takkan masih ingatkan…” Luth buat isyarat mata yang mampu untuk ditangkap olehnya. Faham dengan maksud rakan baiknnya itu membuatkan senyuman Ilyasa bertukar kelat.
“Kau jangan kerap sangat bisik. Mia dah jeling-jeling tu.” Bibirnya memuncung pada pengantin perempuan di sebelah Luth.
Pengapit perempuan yang merupakan adik kepada Mia itu cuma mampu tersengih memandang gelagat mereka bertiga. Ilyasa balas senyum semula. Sengih sampai nampak gigi taringnya (sebelah kiri) yang berlapis dua itu.
“Jangan!” Tegur Luth dengan suara yang sengaja dikepit, halus bunyinya.
Ilyasa terus alihkan mata yang ketika itu sedang memandang pengapit perempuan kepada Luth semula. Kening diangkat sebagai isyarat bertanya, ‘kenapa?’.
“Adik ipar aku ni PMR pun belum ambil lagi. Kau jangan cari pasal.” Gurauan yang berbaur ugutan.
Ilyasa tekan perut, tahan gelaknya supaya tidak terlepas. Ditundukkan wajahnya ke bawah, tak sanggup nak menatap muka Luth yang kononnya serius berlagak jadi abang ipar mithali..
Luth ni memanglah, buat lawak tak kena tempat.
“Ya Rabbi! Yang Abang guna pewangi pakaian  tu buat apa? Manalah kotornya nak hilang. Orang, kalau kesan minyak macam ni guna sabun ketul yang wangi tu.” Leteran Izyan mengembalikan Ilyasa yang sudah jauh berkhayal.
“Sabun basuh dengan pewangi pun tak kenal?” Izyan ambil kesempatan menembak Ilyasa tepat. Sampai dia tak mampu nak berbalas kata. Hanya mampu tersengih menayang barisan giginya.
“Abang tak perasan la. Lagipun, sama saja namanya.” Ilyasa merujuk kepada pek Daia yang berwarna hijau di tepi baldi yang menjadi bekas merendam bajunya itu. Baru dia perasan di bawah nama Daia itu ada tertulis Fruity Softener.
“Mengada!” Izyan tepuk bahu Ilyasa menyusuh Ilyasa bangun.
“Dahlah, biar Uda cucikan. Ni kalau biar abang teruskan mencuci, mahu bajunya jadi kain buruk nanti.” Izyan sambung membebel lagi.
Ilyasa senyum cecah ke telinga mendengar tawaran adiknya itu. Tak tunggu lama dia terus bangun, keluar dari bilik mandi menuju ke ruang tamu.
Langkahnya terus diatur menghampiri rak televisyen. Lalu dicapai telefon bimbitnya yang bersebelahan televisyen itu.
Pengecas yang bersambung  pada telefon bimbitnya dicabut pantas.  
“Jangan lupa nanti upah untuk Uda!” Izyan bersuara kuat dari dalam bilik mandi.
Dia yang ketika itu sedang membelek telefon bimbitnya berjenama dari negara Korea yang mana fenomena K-pop nya sedang melanda ke seluruh dunia termasuklah Malaysia. Dan di antara populasi rakyat Malaysia yang menggilai K-pop itu, salah satunya merupakan Izyan, adiknya sendiri.
 “Upah apa pula kali ni?” Dengan nada suara yang rendah tetapi dalam dia bertanya sambil matanya tertumpu pada skrin telefon bimbitnya.
Dengan kepala yang terjengul dari bilik mandi, Izyan menjawab, “Sponsored trip Uda ke Korea tu nanti.”
Mendengar permintaan adiknya itu, Ilyasa terus beliakkan matanya. “Hoih! Upah tak padan langsung dengan kerja. Mahal tu.” Ilyasa protes.
“Okey. Separuh!”
Ilyasa geleng kepala, tanda tak tahu nak balas apa lagi. Kelibat Izyan pun dah tiada. Agaknya menyambung semula tugas membasuhnya tadi.
Skrin telefon di tangan dipandang semula. Mesej yang tertera nama Luth itu dibuka.
+ Yas. Hal yang semalam tu aku serius.
Dahi Ilyasa automatik jadi berlapis setelah membaca mesej kiriman Luth itu. Skrin disentuh laju membalas mesej daripada Luth itu.
- Hal apa?
+Jadi biras aku!
Ilyasa ketawa sendiri.
- Kau dah tanya tuan badan ke?
Untuk seketika dia dan Luth saling berbalas mesej. Daripada berdiri berdekatan rak tv membawanya duduk bersantai di sofa.
+ Kalau kau on, aku cakap dengan dia.
- Hahaha. Bersungguh nampak.
+ Bagi peluanglah aku nak bantu kau dirikan masjid ;)
Gelak Ilyasa yang tadi bertukar kepada senyuman.
- Nantilah dulu.
+ Ke kau masih ingatkan Nanako Matsushima tu?
Senyuman yang taddi kembang mekar terus jadi kuncup. Jemari yang licah menari di atas skrin itu terus terhenti.
Ilyasa tarik nafas panjang sebelum menghembusnya sekaligus.
- Aku dah lupa hal yang lepas. Macam yang kau pesankan.
Selepas dia hantar pesanan itu, dia taip satu lagi mesej.
- Aku nak jadi budak baik. Dengar kata orang tua macam kau. Kah kah kah.
Beberapa saat selepas dia hantar mesej yang terakhir itu, telefon bimbitnya terus berbunyi. Nama Luth terpapar pada skrin. Jarinya pantas menyentuh di skrin pada simbol berwarna hijau itu dan diswipe ke kanan.
“Yas.” Suara Luth perlahan tetapi tegas pada pendengarannya. Ilyasa ukir senyum tiada rasa.
“Kau ni main telefon, Mia tak kata apa ke? Kan pengantin baru.” soalnya laju sengaja mahu mengubah topik perbualan mereka yang dia tahu bakal menjurus ke mana nanti.
“Aku tengah cuci periuk belanga ni. Mia tak ada.”
Dia berjeda. Tak tahu hendak berkata apa-apa. Dapat dirasakan nada suara Luth itu berbunyi serius, bukan di dalam mode bergurau-senda.
“Aku bukan nak desak kau Yas. Tak kisahlah kalau kau tak jadi sepupu aku pun. Janji kau kahwin.”
“Nanti-nantilah.” Dia beralasan.
 “Yas. Bahagia tu takkan datang, kalau kau sendiri yang tak jemput.”
Kata-kata Luth itu berjaya mengundang gelaknya.
“Kau ni, sentimental semacam pula lepas kahwin.”
Giliran Luth pula gelak besar. “Jangkit Mia lah ni. Suka tengok cerita Hindustan.”
“Yalah. Kau orang punya love story pun dah ala-ala Hindustan pun. Cinta terhalang.” Semakin besar ketawa Luth apabila mendengar kata-katanya itu.
“Mujur jodoh kuat. Sujud syukur aku masa Pakcik Joned berikan lampu hijau.”
Ilyasa kulum senyum. Dia tahu liku-liku yang dihadapi oleh rakan baiknya itu.
Pakcik Joned bapa kepada Mia itu dan Pakcik Rizz bapa Luth merupakan seteru di dalam perniagaan.
Dia pun pelik. Permusuhan di antara bapa-bapa, boleh pula anak-anak bermain cinta.
 “Yas. Aku nak kena sambung buat kerja ni. Apa-apa pun jangan lupa pertimbangkan permintaan aku ni. Besar harapan aku nak berbiras dengan kau ni.” Sempat juga Luth bergurau sebelum memberikan salam sebagai mengakhiri perbualan telefon mereka berdua.

Ilyasa sambut salam Luth lambat-lambat. Cuba menghadam isi perbualan mereka tadi. Dikunyah perlahan-lahan, semoga rasa itu berjaya sampai ke jiwanya. 

Comments

  1. Ilyasa. Haha. Okey next.:)
    Siaran 2 kali seminggu tak boleh ke kak?

    -I Kuasa 2-

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rasa acam kena ikut siaran RM ja. Hahaha
      Seminggu sekali ya Cik I Kuasa 2 :P

      Delete

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)