#3: i plus i
Ilyasa
masih menyental kotoran di lengan baju melayunya yang berwarna biru langit itu.
Pagi-pagi lagi dia dah duduk mencangkung di dalam bilik air. Buku limanya juga
sudah mulai terasa sakit.
Yalah.
Hendak menggunakan berus kain, dia bimbang baju melayunya akan jadi rosak. Terpaksalah
dia gunakan tangan sebagai ganti berus. Walaupun tangannya hampir jadi kematu,
tetapi kesan minyak ayam masak merah itu masih belum menunjukkan tanda-tanda
hendak hilang.
Sepatutnya,
semalam usai balik dari rumah Luth, dia rendam dulu bajunya. Tetapi dek rasa
penat, baju melayunya itu dicampak saja ke dalam raga baju kotor.
Buku
lima yang digunakan untuk menyental itu kini beralih ke kepalanya. Digaru-garu
kepalanya itu. Buntu. Tidak tahu lagi bagaimana
mahu menanggalkan kesan minyak yang ada pada baju melayunya itu.
Ilyasa
mengeluh, pasrah sudah.
“Abang!”
Panggilan itu buat Ilyasa menjenguk ke luar bilik air. Wajah berkerut adik
perempuannya itu dipandang tepat.
“Buat
apa tu?”
“Tebar
roti canai,” jawab Ilyasa sambil ketawa.
Muncung
mulut adik perempuannya itu buat ketawa Ilyasa semakin kuat.
“Dah
nampak tanya lagi.” Balas Ilyasa lagi mengusik.
“Eleh!
Itukan berbahasa namanya. Sopannya orang Melayu letaknya di situ.”
Reaksi
spontan, Ilyasa angkat tangan kanannya. Memohon perdebatan adik-beradik mereka dihentikan
setakat itu saja.
“Daripada
Uda dok pot-pet pot-pet tu, baik tolong
abang ni.” Ilyasa tunjukkan kesan kotoran pada lengan baju melayunya itu.
“Sedap
sangat ke lauk kenduri Abang Luth tadi tu. Sampai tangan baju pun disuapnya?”
Ilyasa
ketawa sampai berhinjut bahu dek kata-kata Izyan. Satu-satu adik perempuannya
itu. Tahu sangat Izyan kenakan dia semula.
“
‘Dia’ tak nak pun, tapi dah ada yang sudi menyuap, terima sajalah.” Kias Ilyasa
merujuk kepada baju melayunya itu.
Ilyasa
senyum apabila mengingatkan kejadian di majlis perkahwinan Luth, rakan baiknya
tadi.
Ketika
itu kedua pasangan pengantin baharu Luth dan Mia sedang meraikan para jemputan
yang datang untuk merakamkan foto bersama. Kebetulan pula, rakan sekolahnya dahulu
Tahir ada datang.
Kata
Tahir, rumah mertuanya itu berdekatan saja dengan rumah arwah nenek Luth. Satu
kawasan kediaman. Sebab itulah Tahir datang bersama isteri. Mewakili keluarga
mertuanya yang tak dapat hadir.
Tahir
itu bekas pelajar SMKJ. Sama macam dia. Dulu dia pernah bersekolah di situ
sampai tingkatan 3. Lepas tu dia bertukar ke sekolah menengah Teknik. Dan di
situlah dia mengenali Luth.
Tetapi,
walaupun bertukar sekolah dia masih tetap berhubung dan kadang-kadang ikut
serta reunion bekas sekolahnya itu. Kiranya Tahir antara kenalan rapatnya juga.
Jadi
dia ambil kesempatan untuk melayan rakannya itu. Sebab itulah dia dengan sukarela
ke tempat penyediaan makanan. Dan waktu itu jugalah lengan baju melayunya
‘disuap’ dengan kuah ayam masak merah oleh seorang gadis.
Terkejut
jugalah dia pada mulanya. Tapi, Ilyasa tahu yang gadis itu bukannya sengaja
pun. Nak tunjuk perasaan pun dia rasa tak sampai hati.
Lagipun,
dia rasa itu adik sepupu Luth. Sewaktu Luth tunjukkan adik sepupunya itu agak
lama jugalah dia pandang. Dia sekadar mengagak daripada tudung yang dipakai
gadis itu.Tudungnya berona seperti ais krim pelangi Paddle Pop.
Hendak
pula di antara ramai-ramai yang memakai baju kurung berwarna sedondon dengannya
(biru langit), warna tudung gadis itu sedikit berbeza. Kebanyakan perempuan
yang berbaju kurung sebagai wakil rumah pengantin rata-rata memakai tudung
berwarna merah jambu. Jadi adik sepupu
Luth itu agak mudah untuk dicam. Dan tudung yang dipakai gadis itu seperti gaya
Najwa Latif (dia tahu itu gaya Najwa Latif dek kerana Izyan juga selalu
menggayakan tudung seperti itu).
Jadi,
takkanlah dia nak marahkan adik sepupu Luth itu. Hendak pula selepas mendengar
rancangan di luar kotak pemikiran seorang Luth (bagi dirinya lah).
Kala
itu mereka berada di pelamin. Luth sedang duduk bersanding. Dan dia pula
berdiri bersebelahan dengan Luth. Tukang kipas pengantin.
Dan
ketika adik sepupu Luth itu datang mendekati kawasan pelamin untuk mengambil
sesuatu, Luth sempat berbisik kepadanya.
“Nak jadi biras aku?” Suara
perlahan Luth itu buat dia terpaksa sengetkan badannya hampir 45º semata-mata
untuk mendekatkan telinganya kepada Luth.
“Tu adik sepupu aku. Solo lagi.
Nak?”
Mujurlah dia sedar diri yang Luth
itu pengantin yang sedang duduk bersanding dan dia pula si pengapit yang sedang
mengipas-ngipas pengantinnya. Maka dia simpan gelaknya itu walau kenyataan Luth
itu mampu mengundang gelak besarnya. Gaya Luth bertanya macam mereka tengah memilih
barang.
“Ni kenapa nak seret aku sekali?
Kau seorang kahwin sudahlah.” Dia balas bisikan Luth dengan ayat menyindir dan
senyum sinis.
“Ah kau. Dah 2 tahun kut. Takkan
masih ingatkan…” Luth buat isyarat mata yang mampu untuk ditangkap olehnya.
Faham dengan maksud rakan baiknnya itu membuatkan senyuman Ilyasa bertukar
kelat.
“Kau jangan kerap sangat bisik. Mia
dah jeling-jeling tu.” Bibirnya memuncung pada pengantin perempuan di sebelah
Luth.
Pengapit perempuan yang merupakan
adik kepada Mia itu cuma mampu tersengih memandang gelagat mereka bertiga.
Ilyasa balas senyum semula. Sengih sampai nampak gigi taringnya (sebelah kiri)
yang berlapis dua itu.
“Jangan!” Tegur Luth dengan suara
yang sengaja dikepit, halus bunyinya.
Ilyasa terus alihkan mata yang
ketika itu sedang memandang pengapit perempuan kepada Luth semula. Kening
diangkat sebagai isyarat bertanya, ‘kenapa?’.
“Adik ipar aku ni PMR pun belum
ambil lagi. Kau jangan cari pasal.” Gurauan yang berbaur ugutan.
Ilyasa tekan perut, tahan gelaknya
supaya tidak terlepas. Ditundukkan wajahnya ke bawah, tak sanggup nak menatap
muka Luth yang kononnya serius berlagak jadi abang ipar mithali..
Luth ni memanglah, buat lawak tak
kena tempat.
“Ya
Rabbi! Yang Abang guna pewangi pakaian tu
buat apa? Manalah kotornya nak hilang. Orang, kalau kesan minyak macam ni guna
sabun ketul yang wangi tu.” Leteran Izyan mengembalikan Ilyasa yang sudah jauh berkhayal.
“Sabun
basuh dengan pewangi pun tak kenal?” Izyan ambil kesempatan menembak Ilyasa
tepat. Sampai dia tak mampu nak berbalas kata. Hanya mampu tersengih menayang barisan
giginya.
“Abang
tak perasan la. Lagipun, sama saja namanya.” Ilyasa merujuk kepada pek Daia yang
berwarna hijau di tepi baldi yang menjadi bekas merendam bajunya itu. Baru dia
perasan di bawah nama Daia itu ada tertulis Fruity Softener.
“Mengada!”
Izyan tepuk bahu Ilyasa menyusuh Ilyasa bangun.
“Dahlah,
biar Uda cucikan. Ni kalau biar abang teruskan mencuci, mahu bajunya jadi kain
buruk nanti.” Izyan sambung membebel lagi.
Ilyasa
senyum cecah ke telinga mendengar tawaran adiknya itu. Tak tunggu lama dia
terus bangun, keluar dari bilik mandi menuju ke ruang tamu.
Langkahnya
terus diatur menghampiri rak televisyen. Lalu dicapai telefon bimbitnya yang
bersebelahan televisyen itu.
Pengecas
yang bersambung pada telefon bimbitnya
dicabut pantas.
“Jangan
lupa nanti upah untuk Uda!” Izyan bersuara kuat dari dalam bilik mandi.
Dia
yang ketika itu sedang membelek telefon bimbitnya berjenama dari negara Korea
yang mana fenomena K-pop nya sedang melanda ke seluruh dunia termasuklah
Malaysia. Dan di antara populasi rakyat Malaysia yang menggilai K-pop itu,
salah satunya merupakan Izyan, adiknya sendiri.
“Upah apa pula kali ni?” Dengan nada suara
yang rendah tetapi dalam dia bertanya sambil matanya tertumpu pada skrin
telefon bimbitnya.
Dengan
kepala yang terjengul dari bilik mandi, Izyan menjawab, “Sponsored trip Uda ke Korea tu nanti.”
Mendengar
permintaan adiknya itu, Ilyasa terus beliakkan matanya. “Hoih! Upah tak padan langsung dengan kerja. Mahal tu.” Ilyasa
protes.
“Okey.
Separuh!”
Ilyasa
geleng kepala, tanda tak tahu nak balas apa lagi. Kelibat Izyan pun dah tiada.
Agaknya menyambung semula tugas membasuhnya tadi.
Skrin
telefon di tangan dipandang semula. Mesej yang tertera nama Luth itu dibuka.
+ Yas. Hal yang semalam tu aku
serius.
Dahi
Ilyasa automatik jadi berlapis setelah membaca mesej kiriman Luth itu. Skrin
disentuh laju membalas mesej daripada Luth itu.
- Hal apa?
+Jadi biras aku!
Ilyasa
ketawa sendiri.
- Kau dah tanya tuan badan ke?
Untuk
seketika dia dan Luth saling berbalas mesej. Daripada berdiri berdekatan rak tv
membawanya duduk bersantai di sofa.
+ Kalau kau on, aku cakap dengan
dia.
- Hahaha. Bersungguh nampak.
+ Bagi peluanglah aku nak bantu kau
dirikan masjid ;)
Gelak
Ilyasa yang tadi bertukar kepada senyuman.
- Nantilah dulu.
+ Ke kau masih ingatkan Nanako
Matsushima tu?
Senyuman
yang taddi kembang mekar terus jadi kuncup. Jemari yang licah menari di atas
skrin itu terus terhenti.
Ilyasa
tarik nafas panjang sebelum menghembusnya sekaligus.
- Aku dah lupa hal yang lepas. Macam
yang kau pesankan.
Selepas
dia hantar pesanan itu, dia taip satu lagi mesej.
- Aku nak jadi budak baik. Dengar
kata orang tua macam kau. Kah kah kah.
Beberapa
saat selepas dia hantar mesej yang terakhir itu, telefon bimbitnya terus
berbunyi. Nama Luth terpapar pada skrin. Jarinya pantas menyentuh di skrin pada
simbol berwarna hijau itu dan diswipe
ke kanan.
“Yas.”
Suara Luth perlahan tetapi tegas pada pendengarannya. Ilyasa ukir senyum tiada
rasa.
“Kau
ni main telefon, Mia tak kata apa ke? Kan pengantin baru.” soalnya laju sengaja
mahu mengubah topik perbualan mereka yang dia tahu bakal menjurus ke mana nanti.
“Aku
tengah cuci periuk belanga ni. Mia tak ada.”
Dia
berjeda. Tak tahu hendak berkata apa-apa. Dapat dirasakan nada suara Luth itu
berbunyi serius, bukan di dalam mode bergurau-senda.
“Aku
bukan nak desak kau Yas. Tak kisahlah kalau kau tak jadi sepupu aku pun. Janji
kau kahwin.”
“Nanti-nantilah.”
Dia beralasan.
“Yas. Bahagia tu takkan datang, kalau kau
sendiri yang tak jemput.”
Kata-kata
Luth itu berjaya mengundang gelaknya.
“Kau
ni, sentimental semacam pula lepas kahwin.”
Giliran
Luth pula gelak besar. “Jangkit Mia lah ni. Suka tengok cerita Hindustan.”
“Yalah.
Kau orang punya love story pun dah
ala-ala Hindustan pun. Cinta terhalang.” Semakin besar ketawa Luth apabila
mendengar kata-katanya itu.
“Mujur
jodoh kuat. Sujud syukur aku masa Pakcik Joned berikan lampu hijau.”
Ilyasa
kulum senyum. Dia tahu liku-liku yang dihadapi oleh rakan baiknya itu.
Pakcik
Joned bapa kepada Mia itu dan Pakcik Rizz bapa Luth merupakan seteru di dalam perniagaan.
Dia
pun pelik. Permusuhan di antara bapa-bapa, boleh pula anak-anak bermain cinta.
“Yas. Aku nak kena sambung buat kerja ni.
Apa-apa pun jangan lupa pertimbangkan permintaan aku ni. Besar harapan aku nak
berbiras dengan kau ni.” Sempat juga Luth bergurau sebelum memberikan salam sebagai
mengakhiri perbualan telefon mereka berdua.
Ilyasa
sambut salam Luth lambat-lambat. Cuba menghadam isi perbualan mereka tadi.
Dikunyah perlahan-lahan, semoga rasa itu berjaya sampai ke jiwanya.
Ilyasa. Haha. Okey next.:)
ReplyDeleteSiaran 2 kali seminggu tak boleh ke kak?
-I Kuasa 2-
Rasa acam kena ikut siaran RM ja. Hahaha
DeleteSeminggu sekali ya Cik I Kuasa 2 :P