#2: i plus i



Isma duduk sebentar melepaskan penat setelah berjalan ke hulu ke hilir mengukur kawasan kanopi di majlis perkahwinan abang sepupunya, Luth. Tugasnya adalah memberikan bunga telur kepada tetamu yang datang ke majlis.
Klasikkan? Zaman sekarang sudah jarang sekali tetamu yang datang diberikan bunga telur(tak kiralah sama ada di dalam kotak atau dilekatkan pada bunga). Pula itu diberikan ketika tetamu sedang menjamu selera. Meja ke meja.
Kalau ikutkan, boleh saja bunga telur itu dimasukkan sekali ke dalam goodie bag untuk diberikan, tetapi Pak Ngah dan Mak Ngah nak kembalikan nostalgia lama kata mereka. Siap guna penanggah lagi untuk menghidangkan makanan pada para tetamu.
Padahal, Pak Ngah tu pemilik kafe, buat katering lagi, tetapi keluarga Pak Ngah sepakat mahu buat secara bergotong-royong. Maklumlah majlis anak tunggal. Sebab tu kenduri Abang Luth dibuat di kampung sebelah Mak Ngah. Kampungnya juga. Mak Ngah itukan kakak kepada ayahnya.
Mata Isma melingas mencari kelibat ayahnya, Encik Ismail. Daripada tadi dia tak nampak pun ayahnya di mana-mana kawasan di bawah kanopi ini. Agaknya seronok sangat bertemu rakan lama.
Mereka sekeluarga sebenarnya menetap di Nilai. Sehingga sekarang pun masih menetap di sana. Tetapi dahulu dia pernah tinggal sekejap di kampung bersama dengan arwah nenek di Kuala Selangor ini. Rasanya semenjak dia masuk ke sekolah menengah. Selepas ayah dan ibu mengambil keputusan untuk tidak bersama lagi.
“Ismaliya!” Dek kerana terperanjat, laju saja Isma menoleh. Kelihatan seorang perempuan yang sedang berdiri di luar kanopi sedang melambai-lambai ke arahnya.
Matanya dikecilkan bagi mengamati siapa gerangannya yang sedang melambai itu.
“Zaza!” Sebaik saja dia cam wajah itu, Isma bingkas daripada duduknya. Langkah diatur laju menuju ke luar kanopi.
“Ya Allah! Zaza, kau ke ni?” Tangan Zaza yang dihulur itu diraihnya erat. Sebentar cuma mereka berpelukan, siap laga-laga pipi. Sempat juga Isma mencubit pipi bekas rakan sekolahnya itu.
“Sakitlah cik kak!” Tutur Zaza geram.
“Rindunya aku dengan kau. Dah lama sangat tak jumpa.”
Zaza balas dengan cebikan. “Kau tu yang lupa dengan kawan-kawan.”
“Tak lupalah.” Isma bela diri.
“Ni aku cam lagi kau, kiranya aku ingat lagilah.” Sengih Isma.
“Yalah. Orang dah kerja bagus. Lupalah dengan kawan-kawan. Kau dengan Suri sama saja. Kacang lupakan kulit!”
“Amboi, mak buyung ni. Dari dulu tak berubah kau ye Zaza. Mulut macam tu juga. Melaser.” Isma lepaskan gelak perlahan, mata melirik ke perut Zaza yang sudah memboyot. Hendak pula Zaza pakai blouse mengandung, terserlah sangat.
“Yalah. Reunion tak pernah turun. Menyampah! Kau orang ni memang murid derhaka Cikgu Midah betul.”
“Zaza. Janganlah marah-marah. Kesian baby kau ni.” Isma dengan gelak yang masih bersisa menyentuh perlahan ke perut Zaza.
“Dah berapa bulan ni? Besar semacam ja.”
Zaza tak beritahu cuma angkat kelima jarinya menunjuk kepada Isma. “Kembar.” Sambung Zaza sambil tersenyum lebar.
Isma beliakkan mata teruja mendengar.
“Alhamdulillah. Lega kau Zaza. Sekali keluar dua terus.”
Zaza yang mendengar, ketawa dengan kata-kata Isma. “Syukur. Tapi mau jadi sotong tangan aku nak mengurusnya nanti. Mujur laki aku tu dah pindah balik kerja kat sini. Kalau tak sorang kat sini, sorang kat selatan sana tu.”
“Suami kau mana?”
“Tu, dengan pengantin.”
Eh! Tahir kawan denganAbang Luth ke? Dia sangka Zaza datang ke kenduri kerana dipanggil oleh keluarga Mak Ngah. Rumah Zaza tu termasuk dalam likungan kawasan rumah arwah opah. Dan, Tahir itu senior sekolahnya.
Abang Luth itu pula sekolahnya di Shah Alam. Itupun sampai PMR. Lepas itu sepupunya masuk ke sekolah menengah Teknik.
Habis macam mana mereka boleh berkenalan?
Isma dok bermain teka sendiri di dalam fikirannya itu.
“Kau ni bila pula nak kenduri?” soal Zaza.
Isma yang mengelamun tadi terus pandang tepat ke muka Zaza.
Soalan yang Zaza tanya tu dah jenuh dia menjawab hari ni. Eh! Bukan, bukan. Bukan setakat hari ini tetapi semenjak dia pulang ke kampung, itulah soalan yang dia terima. Hendak pula dia saja anak ayah yang masih membujang. Kakaknya, Zira sudahpun berumahtangga.
Isma diam tak menjawab, cuma senyum lepas tu angkat bahu. Kemudian kerdipkan mata. Itulah reaksi yang dia buat apabila disoal dengan soalan pop kuiz itu. Nak jawab lebih-lebih nanti jadi macam semalam pula.
Dia nyaris-nyaris nak berperang mulut dengan Mak Long Pah,kakak sulung ayah. Mujur ayah cepat datang leraikan.
“Teh tak kisah pun Long. Lambat ke cepat. Teh cuma nak budak-budak ni bahagia saja.” Balas ayah dengan tenang ketika dia tengah menahan geram dengan Mak Long Pah.
“Anak dara buat apa nak simpan lama-lama, Mail. Bagi sajalah ke orang.” Selamba saja Mak Long Pah membalas.
Dia yang mendengar terkulat-kulat dibuatnya. Apa, Mak Long Pah ingat dia ni barang ke nak main bagi saja. Dia manusia, ada hati dan perasaan tau.
“Biar Isma yang pilih sendiri. Teh kalau boleh tak nak sejarah berulang lagi.”
Kata-kata ayah itu bukan saja berjaya membuatkan Mak Long Pah terdiam terus, tetapi juga dirinya. Wajah yang ditarik cemberut semacam, terus berubah riak. Melihat wajah tenang ayah, hatinya dipalu rasa sayu.
“Terbang sampai mana dah ni?” teguran Zaza mengembalikan dirinya yang semakin jauh dibawa khayal.
Sampai ke langit biru dah Zaza oit.
Tetapi yang terpancul di mulutnya lain pula. “Kau dah makan?”
Zaza geleng.
Laa, kenapa tak makan lagi.” Terus ditarik tangan Zaza menghampiri meja makan.
“Kau duduk sekejap, aku pergi ambilkan makanan.”
Isma segera berlalu menuju ke meja yang menajadi ruang meletakkan makanan.
“Makcik.” Panggil Isma kepada salah seorang wanita yang sedang sibuk mengagihkan lauk-pauk ke dalam dulang.
“Minta satu dulang.”
“Ambillah.”
“Ayam masak merah ada lagi tak mak cik?” tanya Isma apabila melihat salah satu hidangan di dalam duluang besar itu tidak mencukupi.
“Ada. Tapi tak cedok lagi. Adik ambil kat dalam tray sana boleh?”
Isma angguk dan kemudian menuju ke tempat yang dimaksudkan. Tray stainless steel itu dihampiri. Penutupnya ditolak sehingga terbuka separuh.
Isma capai senduk panjang, lalu mula mencedok ke dalam mangkuk yang dipegangnya. Setelah diisi mangkuk berwarna merah dan lutsinar itu, Isma letakkan mangkuk itu di atas tudung periuk. Ditarik tudung periuk itu perlahan-lahan dengan tangan kirinya kerana tangan kanannya masih lagi memegang senduk.
Elok saja tray ditutup rapat, entah macam mana dia berpusing pun tak tahu, senduk yang sepatutnya dia letakkan di dalam sebuah bekas (takut dihurung dek lalat) terkena tangan baju melayu seseorang.
Panik Isma jadinya. Laju dia angkat kepala melihat si tuan baju melayu yang sudah berpalit dengan sisa minyak ayam masak merah. Daripada warna biru langit, tangan baju melayu itu telahpun bertukar warna. Sedikit kekuningan bercampur kemerahan.
Masing-masing terkedu. Baik Isma dan si baju melayu biru langit itu.
Apabila diperhatikan dengan betul-betul, baru Isma jelas, lelaki yang beridiri di hadapannya dalam keadaan tergamam itu merupakan pengapit pengantin lelaki.
“Maaf.” Tutur Isma perlahan, namun masih mampu ditangkap oleh pengapit Abang Luth itu. Sebabnya, lelaki itu dengan pantas menggeleng sambil tersenyum.
“Tak sengaja kan? Tak apa.” Jawapan pengapit pengantin lelaki itu buat Isma terkedu kembali.
Biar betul dia ni? Tak sengajalah. Kalau sengaja lain pula ceritanya. Satu bekas tray ayam masak merah itu dia curahkan. Apa punya soalan!
Tapi Isma tak cakaplah begitu, biadap namanya. “Tapi lengan baju tu dah kotor.”
“Sikit saja ni.”
Sikit? Isma dah buntangkan mata. Mamat ni memanglah. Dekat sebesar tapak tangan tumpahan minyak tu kat tangan baju, dia boleh kata sikit. 
“Serius. Tak ada apa pun. Nanti lengannya boleh disinsing.” Pengapit itu senyum lagi.
Dah orang kata begitu, Isma pun malas mahu cakap banyak lagi. Segera dia meminta diri berlalu bersama-sama dengan mangkuk berisi ayam masak merah yang dikautnya tadi. Kemudian dia pergi ke tempat makcik tadi mengambil dulang makanan untuk dibawa kepada Zaza.

Kasihan mak buyung tu lama menunggu. Ni sebab sikap cuai dialah tadi. Tak pasal-pasal ada drama sebabak. 

Comments

  1. Pengapit berbaju melayu berwarna biru langit.
    Ohoi!
    Ada juga Isma berangan sampai ke langit karang...

    ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahahaha. Agaknya la tu. Nanti kita tengok sampai ke langit ke sampai ke bintang :D

      Delete
  2. Alamak yg kena siar tiap2 hari...tak boleh tunggu la...:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hihihihik. Tak boleh hari2, nanti orang jemu ;)

      Delete

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)

[10] Cerpen : Semasam Yogurt Semanis Ais krim