[3] Siemanis Lolipop.


Kawasan rehat dan rawat Tapah itu dipenuhi dengan lautan manusia. Ramai sungguh rakyat Malaysia yang keluar berjalan di waktu-waktu cuti sekolah begini. Tadi, sewaktu hendak memarkir Toyota Avanza, jenuh juga mereka membuat pusingan. Tiga kali pusing, barulah berjumpa tempat kosong. Itupun agak jauh dari kawasan rehat. Dekat-dekat stesen minyak jugalah. Sudahnya mereka kena menapak untuk ke sana.
Mujur juga kedua anak Amani tidak buat hal. Baik pula kedua adik-beradik ini. Mungkin sudah puas tidur sepanjang perjalanan dari tempat kenduri Ahmad Farhan sampailah Sungai Perak, barulah mereka terjaga.
Tiba di perkarangan surau, Azra Amani meminta mereka bertiga menunaikan solat terlebih dahulu. Usai solat, mereka akan menjaga pula pasangan adik beradik itu.
Amani. Amani. Perangai mengarah dia itu masih lagi ada. Dari zaman belajar sampailah sudah begelar isteri dan ibu. Firdaus senyum mengenangkan zaman belajar mereka dulu. Bagaimana mereka berempat boleh menjadi sahabat baik. Dia, Ajak, Farhan dan Amani. Dek sifat suka mengarah Amanilah, mereka menjadi rapat.
Amani itu dahulu, ketua kumpulan projek mereka. Tegas dan sedikit gila-gila. Perangai peliknya sukar dijangka. Firdaus menggelengkan kepala. Zaman belajar dulu penuh dengan kenangan. Dia tiba-tiab jadi rindu pula.
Usai dia bersolat solat, Amani menyerahkan anak-anak kepada dia dan Ajak. Giliran Amani pula untuk menunaikan solat Asar. Manakala suami Amani, Anas telah ke bilik air.
“Uncle.” Suara si kakak memanggilnya penuh lembut.
Firdaus pandang wajah anak sulung Amani. Dia kemudian duduk bertinggung. Mahu sama tinggi dengan si kakak. Si adik pula ralit di atas ribaan Ajak. Dengan P-Paciffier di mulut. Tak lepas-lepas sedari tadi.
“Kakak dahaga.” Rengek si kakak. Firdaus tersengih. Menampakkan barisan giginya. Rambut si kakak dibelai perlahan-lahan.
“Kakak nak air ya?”
Si kakak mengangguk laju. Dengan kepalanya sengaja digoyangkan-goyangkan. Membuatkan rambut tocang kudanya beralun sama. Comel.
“Ajak.”
Ajak panggung kepala. Kening diangkat, tanda bertanya.
“Aku pergi cari air kejap.”
            Ajak angguk faham.
            “Kakak duduk dengan Uncle Ajak ya. Uncle pergi belikan air.” Firdaus mengelus lembut pipi si kakak. Si kakak mengangguk laju. Kemudian segera merapati Ajak. Disandarkan kepalanya ke badan Ajak. Manja. Sedangkan si adik giat berusaha menolak si kakak. Kerana tocang kuda kakak mengenai mukanya yag sedang berbaring di ribaan Ajak. Firdaus tergelak. Lucu melihat gelagat dua beradik itu.
            “Us.” Dia berhenti melangkah. Lalu berpaling kepada Ajak.
            “Belikan aku 100 plus. Yang biasa punya tau.”
            Firdaus angkat tangan sebelum berlalu pergi.
            Dia menjinjing beg plastic yang berisi 2 kotak air Ribena, 2 tin Milo berperisa Mocha dan 2 botol 100 plus.
Dari jauh dia nampak seorang perempuan sedang bersembang dengan Ajak. Tangan perempuan itu mengusap kepala si kakak dan adik. Firdaus cuma nampak bahagian belakang saja. Dia pasti itu bukan Amani. Amani, tubuhnya sedikit kurus. Dan kecil orangnya. Firdaus mengecilkan matanya. Mahu mengamati dengan jelas, gerangan perempuan yang rancak berborak dengan Ajak itu.
Firdaus menggeleng. Teruk betul matanya sekarang. Jarak penglihatannya semakin kurang jelas. Mungkin dia perlu memakai cermin mata. Yang Firdaus nampak cuma pakaiannya saja. Baju kurung berwarna lavender. Tudungnya pula dari rona yang sama. Cuma lebih lembut lagi warnanya berbanding baju kurung itu.
Waktu berselisih dengan perempuan-berbaju-kurung-berwarna lavender itu, dia sempat mengerling. Tak kenal pun. Desisnya sendiri.
Sedara Ajak kot. Dia meneka. Sebaik tiba di tempat Ajak dan anak-anak Amani duduk. Tak tunggu lama, dia terus menyoal,
“Siapa?” Plastic berisi minuman disua kepada Ajak.
Ajak angkat kening. Tak faham.
Firdaus muncungkan bibirnya ke arah perempuan tadi. Yang sudah jauh meninggalkan mereka.
“Oh. Entah. Tak kenal pun.”
“Aik, tak kenal? Bukan main rancak dok bersembang tadi?” Keningnya berkerut. Kurang percaya dengan kenyataan Ajak itu.
“Alahai. Dia bukan tegur aku. tapi ni hah, budak berdua ni.” Ajak menjuihkan bibirkan ke arah kedua anak Amani.
“Auntie tu baik. Dia bagi kakak ni.” Si kakak bangga menunjukkan sebatang lolipop kepada dia. Si adik juga begitu. Tersengih sehingga menampakkan barisan gigi hadapannya yang sedikit buruk. Tanda dimakan ulat.
Firdaus berpaling ke arah laluan yang dilalui perempuan tadi. Tiada. Si baju kurung lavender itu sudah pun hilang dari pandangan matanya. Dia kembali memandang si kakak dan adik yang ralit dengan lolipop di tangan masing-masing.
Lolipop. Memandang gula-gula berwarna-warni itu membuatkan Firdaus senyum sendiri. 

Comments

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)