[5] Siemanis Lolipop.

Firdaus bungkam di meja yang dipenuh dengan fail-fail daripada bermacam-macam warna itu. Hari ni dia rasa macam lepas telan sarang tebuan. Habis semua nak ‘disengatnya’. Padahal pagi tadi, elok saja  dia bersarapan nasi lemak, siap tambah sambal goreng lagi sebagai lauk. Sambal goreng Kak Jah tu memang daebak lah (ikut ayat Yuyun, anak kepada Kak Faz). Entah apa lah maksudnya, dia pun kurang pasti. Yuyun tu terpengaruh dengan fenomena K-pop, kata Kak Faz.  
Haish. Harapnya, Yuyun tu ambil pengaruh yang positif saja. Janganlah yang negative pun dia ikut. Risau. Budak remaja sekarang lain macam sikit. Yuyun itu anak saudaranya yang sulung. Dia pernah bawa Yuyun makan di Warung Kak Jah, masa anak saudaranya tu datang menjenguknya.
Tapi lepas saja dia masuk ke pejabat (belum sempat dia nak duduk) dia dah dipanggil menghadap Haji Jamian. Semuanya pasal isu pemindahan inventori pejabat yang masih belum tiba di pejabat baru mereka. Ada beberapa inventori yang dilaporkan ‘lesap’.  Dan benda-benda tu semua di bawah seliaannya.
Tiga minggu yang lalu, syarikat mereka berpindah lokasi. Dahulu, pejabat mereka berpusat di Bangi. Sekarang sudah berpindah ke Bukit Raja. Dahulu Haji Jamian cuma menyewa bangunan. Kini setelah rezeki semakin menjadi-jadi, bosnya itu sudah mampu mempunyai bangunan sendiri. Bangunan pun bukanlah besar sangat. Tapi dua pintu kedai jugalah. Mempunyai bahagian atas-bawah.
Yang jadi isunya sekarang, syarikat penghantaran TSI yang menjadi mover untuk perkakasan pejabat mereka  tu lalai. Alasan mereka, barang tu tak wujud. Tapi kalau lihat pada senarai, semuanya ada. Jadi, ke mana semua perkakasan komputer tu lesap? Itu tak mengapa lagi. Maklumlah, mana ada orang yang tak lepas daripada buat kesilapan kan? Mungkin tercicir. Itu yang dia fikirkan. Jadi, dia pun turun-naik ke TSI tu, dekat 2 minggu jugalah. Bertanyakan status sebenar. Okey, tak apa lagi. Setakat turun-naik ke Shah Alam tu apa lah sangat. Tapi yang buat dia angin sangat tu sebab perangai si PA pengurus syarikat penghantaran tu. Amboi, tak padan dengan mak buyung. Kerek ya amat.
Bila dah berbincang, pengurus syarikat tu bagi jaminan. Kalau belum jumpa juga, mereka akan bayar ganti rugi. Kalau ikut Haji Jamian, nak saja disaman. Tapi memandangkan itu syarikat kawan baiknya, tak sampai hati pula.
“Kawan baik punya pasal, yang jadi mangsanya, aku,” rungut Firdaus. Kuat pula suaranya. Sampai Haseri yang duduk selang 3 buah meja daripadanya berpaling. Jelas wajah Haseri terkejut. Mata pula terkebil-kebil memandang dia. Firdaus kemam mulut. Terus ditundukkan wajahnya rapat ke meja.
Harap-harap petang nanti, isu ini selesailah. Dia bukan apa, tak tahan nak menghadap Haji Jamian tu. Walaupun bosnya tu tak marah, tapi sebagai pekerja yang tak pernah timbulkan masalah, perkara-perkara macam ini boleh mencalarkan kredibilitinya sebagai salah seorang pekerja cemerlang. Itu yang buat dia bengang.
Tiba-tiba, telefon di hadapannya berbunyi. Tak tunggu lama, dia terus capai ganggang.
“Wa’alaikummussalam. Ya, saya Firdaus.” Jawabnya sebaik saja ganggang telefon melekap di telinga kanannya.
“Oh, Encik Safwan.” Suara Firdaus bunyinya tenggelam-timbul. Rasa bersalahlah tu. Tadi bukan main semangat dia melantun vokalnya pada si PA pengurus TSI ini, tetapi bila bercakap dengan tuan pengurus… suara Firdaus sopan saja.
“Boleh saja. Saya tahu tempat tu. Nanti kita jumpa di sana.” Ucap Firdaus sebelum talian dimatikan.
****
Tepat seperti waktu yang dijanjikan, Firdaus dah terpacak di hadapan restoran yang disebutkan Encik Safwan, si pengurus Syarikat TSI tadi. Lama juga dia berdiri, memandang ke arah restoran tersebut.
“Encik Firdaus?” tegur satu suara. Firdaus lantas berpaling. Di matanya kini berdiri seorang lelaki berbaju kemeja berwarna biru laut, dipasangkan dengan slack berwarna hitam. Kemas.
“Safwan.” Lelaki berkemeja warna biru laut itu menghulurkan tangan kepada Firdaus.
“Firdaus.”
Tangan mereka saling berjabat.
“Maaflah. Terpaksa ajak berjumpa di sini. Saya memang nak ke pejabat Encik Firdaus tadi. Tapi ada hal pula.”
Firdaus angguk-senyum. “Tak apa Encik Safwan. Hal kecil saja.” Ewah-ewah, Firdaus. Hal kecil saja. Yang pagi tadi mengamuk mengalahkan tsunami tu apa hal? Hatinya menyindir.
“Boleh kan kita bincang di sini?” Pengurus TSI itu menunjukkan ke arah restoran Upin-Ipin di hadapan mereka.
Firduas angguk-senyum lagi. Kakinya mula melangkah menuju ke restoran tersebut. Bergandingan dengan pengurus TSI, Syed Safwan.
“Maaf sekali lagi ya Firdaus. Saya lambat diberitahu. Kebetulan PA saya bercuti bersalin. Dah dekat dua minggu. Saya pula ke luar daerah selama hari tu. Baru tengah hari tadi masuk ke pejabat.”
Oh. Dah bersalin si PA kerek tu. Eh! Habis tu, siapa yang kena sembur dengan dia pagi tadi? Tiba-tiba ada suatu rasa menyelit ke dalam hatinya. Rasa bersalah. Tetapi rasa itu singgah sebentar saja. Tak sampai pun beberapa saat. Sebabnya, dia ralit berbincang dengan Syed Safwan pasal isu ‘panas’- perkakasan pejabatnya yang hilang tu.
Setelah mencapai kata sepakat, akhirnya selesai juga isu ‘panas’ tersebut. Dalam pada itu, sempat juga Syed Safwan membeli merchandise Upin-Ipin untuk anaknya.
Bapa mithali ni. Kata-kata itu melintas di benaknya.
“Dah janji dengan dia. Kalau tak beli, mahu dia merajuk sampai berminggu-minggu.” Syed Safwan berkata apabila Firdaus asyik saja memandang ke arah beg kertas yang dipegangnya itu.
“Untung anak Encik Safwan,” ucap Firdaus. Matanya diarahkan ke motor Yamaha Fz 150 merah-hitam milik dia yang diparkir bersebelahan Perdana berwarna hitam.
“Anak tunggal.” Balas Syed Safwan, tersenyum. Nyata wajah si bapa itu ceria. Mungkin terbayangkan penerimaan anaknya nanti. Budak-budak dapat hadiah… benda tu lah yang paling disukai.
“Firdaus dah kahwin?”
“Errr… belum lagi.” Tuturnya. Belakang kepala, digaru-garu perlahan dengan kunci motorsikalnya. Berkali-kali. Soalan sebegitu memang selalu dibalasnya dengan aksi seperti itu.
“Masih mencari?” Soal Syed Safwan lagi. Firdaus dah macam cacing kepanasan. Berdirinya sudah tidak senang. Akhirnya dia cuma angguk, lepas tu senyum saja.

“Dah dapat nanti, jaga elok-elok ya. Kalau dah hilang, susah nak dapatkan semula.” Wajah Syed Safwan yang tadinya  tersenyum manis sudah pun bertukar rupa. Wajah itu kalau dapat diumpamakan seperti cuaca, ia seperti dari  cerah bertukar ke mendung, tanda hari mahu hujan. Terkedu Firdaus dibuatnya.

Comments

  1. Hehehe yg ni pun best....:)nampaknya hari2 ler lepak kat sini..nanti jangan lupa siapkan makanan dan minuman ye :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahahaha. Mai la. Nanti kita hidang ala2 chef kat hotel ^^

      Delete

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

[8] Cerpen : Hadiah Yang Terakhir

[6] Cerpen : Sumpahan Rindu, Mahsuri.

[10] Cerpen : Semasam Yogurt Semanis Ais krim