[1] Siemanis Lolipop


“Oit… lolipop,” panggil Firdaus. Tangan kanannya dilambai-lambai ke arah seorang budak perempuan.
“Sekali lagi kau panggil aku macam tu, Pallas ni aku sumbat dalam mulut longkang kau tu.” Marah Nur Laila, sambil menunjukkan sebelah kasutnya.
“Lolipop… Lolipop….” Firdaus tak pedulikan amaran itu. Sebaliknya dia galak mengusik. Siap berjoget-joget. Badannya sengaja dipusing-pusingkan.
Kelepuk! Kasut berwarna hitam milik Nur Laila itu tepat mengenai pada hadapan beg galas Firdaus. Umbro berwarna hitam yang tidak bercorak itu akhirnya bertambah satu corak tambahan. Kesan tapak kasut Nur Laila. Cantik terukir di situ.
Wajah Nur Laila masam mencuka. Dia terjengket-jengket  mendekati kasut yang tadi dibaling kepada Firdaus. Firdaus yang sememangnya masih dalam mode mengusik, terus mengutip kasut tersebut. Lalu dia berpura-pura menghulur kepada Nur Laila. Baru saja Nur Laila mahu mengambilnya, Firdaus cepat-cepat tarik kembali.
“Ingat aku nak bagi?” Firdaus ketawa kuat. Kasut Nur Laila disorokkan di belakang badannya.
“Eeee… bagi balik lah kasut aku tu.”
“Tak nak.” Perkataan itu Firdaus ulang-ulang. Sampai 3 kali. Kemudian dia mengundur ke belakang. Menjauhi Nur Laila yang masih lagi berdiri dengan sebelah kaki. Kaki yang sebelah lagi, yang cuma berstokin itu tergantung, tidak menjejak ke tanah.
Nur Laila ketap bibir. Geram dengan perangai Firdaus.
“Kau dah bagi, mana boleh ambil balik. Buruk siku woo.”
“Bagilah balik, sengal!”
“Kau cakap aku sengal? Lagilah aku tak nak bagi.” Firduas masih ingin mengusik.
“Kau ni kan Lolipop, kalau cakap baik-baik tak boleh ke? Ni kalau bercakap, kampung seberang pun boleh dengar suara kau.” Ejek Firdaus. Senyum jangan cakaplah, dari tadi tak kebah-kebah langsung.
“Aku simpan ya kasut ni. Thanks, bagi hadiah. Kiranya ni hadiah sempena aku nak berpindahlah ek, Lolipop.”
Wajah Nur Laila sudah berkerut seribu. Dengan badannya yang terumbang-ambing ke kanan-ke kiri itu, membuatkan Firdaus masih belum mahu berhenti mengusik. Firdaus mula menghampiri Nur Laila.
“Okeylah. Sebagai balasan, aku bagi kau benda ni. Nah!” Sebatang Lolipop berwarna pelangi disisipkan ke tudung Nur Laila yang berwarna biru itu. Kemudian, Firdaus lari laju-laju. Langsung tak toleh ke belakang. Takut sangat kena kejar dek Nur Laila.

Lolipop itu… cantik pada dasarnya. Manis pada rasanya.

Comments

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)