[4] Siemanis Lolipop.

Gila! Salam pun belum habis diucap (sebab dia baru bunyi huruf ‘a’), dia dah kena sembur. Tak agak-agak langsung si pemanggil ni. Kot ya pun marah sangat, berilah dia peluang untuk ucapkan salam. Ni orang Islam ke apa ni? Dalam hati sudah berbakul-bakul sumpah seranah berkumpul. Geramnya.
“Encik Firdaus!” Suaranya keras dan dalam. Geram Nur Laila sudah cecah tahap maksimum. Ah. Kesabarannya pun ada hadnya. Ini dah tahap melampau kot.
Si pemanggil di sana sudah terdiam. Nur Laila cepat-cepat menyampuk sebelum lelaki itu berpeluang ‘menyemburnya’ semula. Agaknya, kalau mereka berjumpa berdepan, pasti sudah bersilat kot.
“Macam ni lah Encik Firdaus. Saya dah beritahu  Encik Safwan mengenai tuntutan pihak encik tu. Dan kami akui kesilapan tu memang berpunca dari pihak syarikat. Jadi, saya harap Encik Firdaus bersabar. Bos saya sendiri akan datang berjumpa dengan pihak encik, bagi menyelesaikan isu tu. Petang ni juga.” Nur Laila ketap bibir. Dalam geram-geram, dia masih mahu berdiplomasi. Bukankah pelanggan itu keutamaan syarikat.
Si pemanggil di sana masih lagi diam. Agak lama, barulah suaranya didengari. “Kalau macam tu, tak mengapalah. Saya tunggu Encik Safwan datang ke mari….”
Nur Laila tarik nafas lega. Dari suara si pemanggil, dia tahu mereka sudah kembali bercakap secara normal. Tapi hanya untuk beberapa saat saja, sebelum dia diberi amaran.
“Tapi… kalau bos awak  tak datang jumpa saya, petang ni juga saya ke sana. Dan saya bawa peguam bersama!” Keras bunyi amaran itu. Amaran yang hadir bersama dengusan yang keras. Pendek kata, semuanya ada unsur-unsur kekerasan. Agaknya, mat sorang  ni mesti muka keras kejung. Bebelnya dalam hati.
Belum sempat Nur Laila mahu membalas, si pemanggil tadi sudah memutuskan taliannya. Dia mengeluh sendiri. Kalau tadi dia berdiri, sekarang dia sudah terduduk. Badannya disandarkan ke kerusi. Jemarinya singgah di pelipis yang berlapik dengan sehelai tudung bawal bertona ungu-putih. Dipicitnya perlahan-lahan.
“Kenapa Lala?” Soalan itu membuatkan dia berhenti memicit. Wajahnya diangkat. Seorang wanita berbaju kurung moden, bercorak batik berdiri tegak di hadapan mejanya.
Customer complaint.” Soalan itu dijawab dengan nada yang lemah.
“Aik! Sejak bila kau join bahagian khidmat pelanggan ni?”
Nur Laila jungkit bahu. “Entahlah Suri. Pening kepala aku. Aku ni PA je kot. Tu pun ambil alih tugas Kak Ipah yang cuti bersalin. Belum pun panas kerusi Kak Ipah, dah kena bamboo. Gila mencabar duduk kat kerusi PA ni.” Ada bunyi tawa sinis di hujung percakapannya. Suri yang mendengar turut ketawa. Tapi ketawa Suri bukan ketawa sinislah.
“Syarikat mana Lala?”
“Aku tak ingat nama syarikat tu. Tapi rasanya, yang uruskan produk computer tu kot. Dan aku rasa mat keras kejung tu patut ‘format’ balik budi bahasa dia. Tak pun tukar mana hardware or software yang sangkut tu. Tak pun RAM dia terbakar kot. Sekolah mana lah yang dia belajar dulu? Mesti tak ambil subjek sivik.” Dia memebel geram. Fail di troli kerjanya dicapai. Diselak kasar.

Suri pula cuma ketawa dan terus ketawa bila dengar dia membebel. Memang kalau dia marah, benda tu mesti jadi sesuatu yang lawak, itu yang kawan-kawannya selalu kata. Sebab tu, bila dia marah atau nak marah, orang tak takut dengan dia. Sebaliknya benda tu jadi bahan jenaka. Makin galak pula, dia kena usik.  Agaknya, dia ni tak ada bakat nak marah orang kot. 

Comments

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)

[10] Cerpen : Semasam Yogurt Semanis Ais krim