[14] Cerpen : Dari Kluang ke Alor Setar.


Hari itu hari Isnin. Stesen Keretapi Kluang agak lengang. Tidak seperti hari-hari cuti, penuh sesak. Meskipun keadaan lengang, kelibat manusia tetap memenuhi rata-rata tempat duduk di situ.
            Di satu deretan kerusi, kelihatan seorang pemuda memakai pakaian serba hitam. Dari atas hingga ke hujung kaki. Hanya topi besbolnya sahaja berwarna putih. Beg galas yang diletakkan di kerusi bersebelahan duduknya juga berwarna hitam.
            Di tangannya terdapat sebuah majalah. Terpamer wajah Lionel Messi berjersi Kelab Barcellona di muka hadapan. Earphone jelas kelihatan di telinganya. Kepala yang terangguk-angguk perlahan itu menyatakan yang si pemakai mp3 itu sedang menghayati lagu yang berkumandang.
            Tiba-tiba bahunya ditepuk kuat. Pantas dia mengangkat wajah dari majalah yang ditatapnya.
            “Keretapi dah nak jalan tu!” Tegas suara lelaki yang beruniform warna biru kelasi itu menegur. Dia terkesima. Mata terus memandang ke arah gerabak keretapi yang berada di hadapannya. Para penumpang kelihatan berpusu-pusu masuk. Cuma dia yang masih duduk tercegat di kerusi.
            Beg galas dicapai, kasar. Dia berlari pantas menuju ke pintu gerabak. Mujur belum tertutup. Nafas lega ditarik. Dia pandang semula ke arah pekerja yang beruniform KTM tadi. Mulut pekerja KTM itu terkumat-kamit. Mungkin menyumpah seranah kelakuannya yang agak berbahaya itu.
****
            Kasyah mula naik  rimas. Tangisan gadis yang duduk berhadapan dengannya itu semakin lama semakin kuat. Bermula dengan esakan perlahan. Bertukar menjadi raungan.
Wajah Kasyah terasa panas berpijar. Malu pada mata-mata yang memandang. Kebetulan pula, di tempat duduk yang berkerusi 4 itu hanya ada mereka berdua.
            Gila ah minah ni! Bikin hati gua panas. Bentak Kasyah.
Kasyah tarik nafas dalam-dalam. Kemudian, sengaja dihembus kuat-kuat.
            “Oit.” Kasyah memanggil. ‘Messi' di tangan digunakan sebagai alat untuk menguis skrit labuh gadis tersebut. Namun usaha Kasyah sia-sia saja. Malah tangisan gadis itu semakin menjadi-jadi.
            Kasyah give-up. Terus dihempas badannya ke kerusi, kasar. Berang dengan kelakuan gadis di hadapannya itu.
            Topi besbol ditarik sehingga menutup mata. Jemari Kasyah memulas volume mp3 ke tahap maksimum. Agaknya jika ada yang duduk bersebelahan dengannya mungkin dapat menumpang dengar bersama.
Oh! Mungkin juga tidak. Ini kerana tangisan gadis di hadapannya menenggelamkan suara Bon Jovi yang sedang melantun suara seraknya di corong mp3.
****
            “Lelaki semuanya sama kan?” Gadis di hadapan Kasyah itu bersuara juga. Eh. Silap. Bercakap. Kalau bersuara, memang sejak daripada tadi lagi memang dah bersuara. Suara tangisan. Sejak Kasyah melabuhkan duduknya di tempat duduk, gadis itu memang sedang ‘kusyuk’ menangis.
            Kasyah memperlahankan volume mp3. Earphone dicabut dari telinga. Mata memandang tepat ke arah gadis di hadapannya. Gadis itu ralit memandang keluar tingkap.
            “Dah berpunya tapi mengaku masih bersendiri.” Bebelan gadis itu sampai lagi ke telinganya. Ayat itu membuatkan kening Kasyah terjungkit sebelah.
            “Kughang ajaq punya jantan!” Bentak gadis itu dalam loghat utara. Kuat. Membuatkan Kasyah tergamam.
            Sah, bimbo. Kesian. Kasyah mengutuk di dalam hati.
            Kasyah perhati gadis di hadapannya. Tudung bercorak abstrak yang dipakai ala-ala Najwa Latif itu kelihatan senget-menget. Nampak betapa kusutnya gadis di hadapannya itu. Mungkin juga  sama kusut dengan fikiran gadis tersebut.
****
            “Balik mana?” Tersentak Kasyah bila disoal dengan tiba-tiba. ‘Messi’ di tangan terus ditutup. Wajah gadis bertudung corak abstrak itu ditenung, lama.
            “Tanya aku ke?” Kasyah menoleh ke kiri dan kanan. Padahal disebelahnya cuma ada sebuah bagasi. Entah manusia psiko mana yang menempah tempat duduk hanya untuk sebuah bagasi sebesar tv LCD 32 inci itu.
Menyusahkan orang. Kan dah jadi kes niaya. Bila dia terpaksa duduk berhadapan dengan gadis bimbo ini. Bebel Kasyah di dalam hati.
            “Tak. Aku tanya bagasi sebelah tu.” Perli gadis itu, sarkastik bunyinya.
            Kasyah memuncungkan mulut, gaya bersiul.
            Seram pula bila gadis di hadapannya mulai ramah. Maklumlah, sedari tadi asyik berdrama air mata.
            “Alor Setar.” Kasyah menjawab. Topi besbolnya diangkat dan dipusingkan ke tepi. Gaya budak hip-hop.
            “Kau?” Tanya Kasyah kembali.
            Gadis itu diam. Tidak menjawab. Kemudian, kembali memandang ke luar tingkap.
            Terkedu Kasyah dibuatnya.
            Eh! Eh! Dia tanya, aku jawab. Aku tanya, dia buat macam tunggul kayu pula. Ni bukan takat bimbo. Sewel pun macam iya juga. Kasyah mengumpat sendiri.
            10 saat. 20 saat. Gadis itu masih berdiam lagi. Tidak menunjukkan ciri-ciri mahu menjawab pertanyaan Kasyah tadi.
            Keluhan dilepaskan. Kasyah bersandar kembali ke tempat duduk. Malu pun ada, kerana dilayan sebegitu.
            Baru saja Kasyah hendak menyumbat earphone ke telinga, gadis itu kembali bersuara. Tetapi bukannya menjawab soalan Kasyah tadi. Sebaliknya gadis itu menyoalnya lagi.
            “Kau pernah bercinta?”
            Sekali lagi Kasyah terkedu. Fikirannya ligat memikirkan apa yang sedang berlegar di dalam kepala gadis di hadapannya itu.
            Sedang Kasyah melayan perasaan, dengan tidak semena-mena gadis itu memandang tepat ke wajahnya. Kasyah terpegun.
            Gila cantik mata dia. Pujian itu bergema di dalam hati Kasyah.
            “Tak.” Jawab Kasyah, pendek. Memaksa dia menelan liur. sekaligus menampakkan pergerakkan halkumnya.
            “Dah agak. Mak we tengok kau pun tak ada selera. Kering macam cicak kobeng. Dah la pakaian macam tahi dia.” Sinis saja suara gadis itu. Mata cantik itu menjeling Kasyah, tajam.
            Untuk kesekian kalinya Kasyah terkedu. Kepalanya tidak gatal digaru-garu,kasar.
            Geram pula aku dengan mak we ni. Ada juga yang nak kena lempar dari gerabak ni. Marah Kasyah dalam diam.
            “Sorry. Kalau kau marah. Tapi aku jujur, tak mau hipokrit.” Ayat gadis itu membuatkan Kasyah terpempam. Dalam hati, dia menyabarkan diri.
            Hembusan nafas dilempias kasar. Sengaja. Kasyah berlagak seperti naga dalam cerita kartun yang konon-konon sedang menyemburkan api.
            “Kau gaduh dengan boypren ke?” Tanya Kasyah. Sudah tidak bertapis bahasanya. Kau main kasar kan? Aku pun nak jugak. Kesumat Kasyah mula menyala.
            Mata cantik itu memanah tepat ke wajah Kasyah. Andainya mata itu sebilah pedang, pastilah badan kasyah sudah bercerai-berai. Dihunus mata itu.
****
            “Jadinya, kau baru balik dari majlis kahwin boypren kau tu lai?” Kasyah menyoal. . Kali ini bukan dengan nada sinis. Sebaliknya, Kasyah berasa simpati. Waktu itu mereka sedang duduk menunggu keretapi untuk ke destinasi seterusnya. Sekarang mereka di KL Sentral. Transit  sementara.
Mata cantik itu sekali lagi merenung tajam ke arah Kasyah. Membuatkan Kasyah tersedar yang dia terlepas kata.
            “Oh, okey. Maksud aku majlis kahwin ‘X’ kau.” Perkataan ‘X’ itu sengaja ditekan.
            Telinga Kasyah dapat menangkap keluhan berat yang dilepaskan gadis bermata cantik itu. Cantik pada mata Kasyah.
            “Aku dengar khabar angin, yang mengatakan dia nak kahwin. Sebab tu aku ke sini. Aku nak siasat sendiri. Betul atau tidak.” Beritahu gadis itu. Ada bunyi sayu pada suaranya.
            “Kau tahu, perkara apa yang paling buat aku sedih?” Kasyah jungkit bahu.
            “Sebab dia tipu kau?” Kasyah meneka.
            Gadis itu ketawa. Tawa yang dibuat-buat. Mungkin cuba menutup rasa hibanya.
            “Aku tak kisah kalau dia tipu aku. Cuma….” Ayat gadis itu terhenti. Ada air mata bergenang di kelopak matanya. Mata Kasyah terkebil-kebil memandang. Ada suatu rasa yang mula menggigit tangkai hatinya.
            “Apa perasaan kau, bila dapat tahu kawan baik kau sendiri yang jadi pasangan teman lelaki kau?” Soalan itu membuatkan Kasyah tergamam.
            Berat ni. Situasi mereka semakin lama semakin serius. Kasyah menelan liur lagi. Sungguhlah. Kalau kalenjar air liurnya itu umpama telaga, pasti sudah pun kering.
            “Err… entah. Aku bukan gay.” Kasyah sengih-kerang busuk. Cuba  untuk bercanda.
            Mata cantik yang sembap tadi mula mengecil. Pernah tengok mata harimau yang sedang memerhatikan mangsanya? Dalam dokumentari kan selalu dipaparkan. Gaya seperti hendak menerkam. Begitulah pandangan gadis itu.
            “Kau buat lawak ke ni?” Tanya gadis bermata cantik juga sembap itu.
            Kasyah mengangguk, takut-takut saja.
            Dengan tak semena-mena, gadis itu ketawa. Terbahak-bahak. Sampai menekan perut.
            Bulu roma Kasyah menegak secara tiba-tiba.
            Okey. Seram sangat kot. Lawak aku tadi tu bukan tahap Nabil pun. Apatah lagi mencapai tahap JOHARA pagi Era. Tidak juga setaraf SEPAH the gang.
****
            Kasyah sengaja memilih tempat duduk bersebelahan gadis tadi. Kini mereka meneruskan perjalanan menuju ke utara.
            “Awat tak duduk kat tempat lain?” Tanya gadis itu bersahaja.
            “Aku takut kau lompat dari keretapi nanti,” usik Kasyah. Dia jadi berani sejak mendengar hilai tawa gadis itu sewaktu di transit KL Sentral tadi.
            “Nonesone. Aku waras lagi. Cuma emosi saja ting-tong sikit tadi.”
            Heh! Sikit. Kau dah meraung satu gerabak tadi, boleh pula cakap sikit? Kutuk Kasyah dalam hati.
            “Aku pun nak masuk syurga jugak. Bunuh diri, neraka tempatnya.” Tegas gadis itu bersuara. Tapi senyum masih tak lepas-lepas dari bibir.
            Kasyah tersengih. Malu alah sendiri.
            “Kau buat apa kat Kluang?” gadis itu bertanya. Membuatkan Kasyah yang leka membetulkan duduknya di kerusi, menoleh.
            “Study.”
            “Oh.”  Cuma ayat tunggal itu saja terkeluar dari mulut gadis tersebut.
            “Dah habis pun. Nanti aku datang semula pun waktu konvo je.” Beritahu Kasyah. Walaupun tak ditanya.
            “Kau memang orang Alor Setar ke?” Ramah Kasyah menyoal.
            Pantas gadis itu menggeleng.
            “Habis tu, buat apa ke sini?” Soal Kasyah lagi. Dahinya berkerut sedikit.
            “Sebenarnya, aku nak ke Langkawi. Bercuti. Nak tenangkan fikiran. Aku duduk Shah Alam je.”
            “Jauhnya bawa diri. Apasal tak naik flight je?” Tegur Kasyah dengan dahi yang berlapis-lapis. Sekaligus mengundang tawa si gadis tersebut.
            “Kalau aku naik flight, tak dapat lah kita jumpa.” Gadis itu mengusik. Sebelah matanya dikenyit nakal. Membuatkan Kasyah tersenyum lebar.
****
            Pengumuman ketibaan di destinasi Alor Setar kedengaran jelas di telinga. Kasyah menenyeh perlahan mata kanannya dengan jari telunjuk. Kuapnya pantas ditutup dengan tangan. Dia membetulkan topi besbol di kepala.
            Pandangannya dialihkan ke kerusi berselahan. Kosong. Wajahnya berkerut.
            Mana pergi si bimbo ni? Tanya Kasyah sendiri.
            “Oit.”
Kasyah berpaling ke kiri bila mendengar panggilan ‘oit’ itu.
            Dengan mata yang masih kuyu, Kasyah menyoal, “apasal kau duduk situ?” Soal Kasyah kepada gadis bermata cantik, pada hematnya itu.
            “Kau tidur keluar air liur basi. Mujur tak kena tudung aku.” Serentak dengan kata-kata gadis itu, Kasyah mengelap mulut dan pipinya. Terasa malu apabila ditegur sebegitu.
            “Sorry. Tak sedar,” tutur Kasyah. Hidungnya yang seperti hero filem Hindustan itu dikuis-kuis perlahan.
            “Tadi driver KTM tu dah buat pengumuman. Nak dekat sampai dah ni. Mujur kau bangun. Aku memang tak nak kejutkan. Biar kau tertinggal dalam ni sampai transit terakhir.” Gumam gadis itu. Ada ketawa di hujung bicaranya. Sekaligus membuatkan Kasyah tersengih geram.
            Keretapi mula berhenti. Destinasi yang ditujui telah pun tiba. Pantas Kasyah menggalas beg ke bahu. Dia memerhati ke tempat duduknya. Bimbang, kalau-kalau ada barang yang tertinggal.
            “Oit. Aku turun dulu lah.” Gadis itu mengeur Kasyah. Kemudian segera berlalu.
            “Wei!” Kasyah memanggil. Gadis itu berhenti berjalan dan berpaling semula ke arah Kasyah.
            “Nama aku Ukasyah. Kau?” laung Kasyah. Agak kuat. Sehingga membuatkan beebrapa penumpang yang ada di sekitar situ turut berpaling.
            Kasyah nampak bibir gadis itu bergerak-gerak. Namun suara gadis itu langsung tak ketahuan butir bicaranya.
            “Apa? Tak dengarlah!” Sekali lagi Kasyah melaung.
            Gadis itu tak bersuara. Sebaliknya hanya menunjukkan lengannya kepada Kasyah.
Isyarat supaya Kasyah melihat ke lengan sendiri.
            Kasyah pandang ke lengannya. Ada satu post note berwarna kuning cair. Tulisan yang terpapar di situ besar-besar dan bulat-bulat.
           

            Kasyah pantas kembali mendongak. Bayang gadis itu sudah hilang. Cepat-cepat dia turun dari keretapi. Mencari kelibat gadis bernama Jid itu.
            “Jid!” Panggil Kasyah, kuat apabila matanya terpandang susuk tubuh Jid yang berada dalam lingkungan 1 meter di hadapannya. Panggilan yang kuat itu membuatkan orang yang lalu-lalang di situ memandang dia dengan padangan yang kurang senang.
            Gadis itu berpaling. Menampakkan matanya yang cantik itu. Cantik pada mata Kasyah.
            “Nama penuh?” Pinta Kasyah. Suaranya masih seperti tadi. Kuat dan menjerit.
            “Ja-yi-dah! Jayidah Abdullah!” Laung Jid sepatah demi sepatah.
            Kasyah senyum puas. Ibu jari diangkat tinggi. Sepeti isyarat bagus.
            “Jumpa lagi Jid.” Kasyah menjerit. Tangan dilambai-lambai ke arah Jid.
            Jid geleng kepala. Seketika, dia tersenyum dengan gelagat Kasyah itu. Lambaian Kasyah turut dibalas.
            Kasyah menarik nafas dalam. Kemudian, dilepaskan perlahan-lahan.
            Kali ini perjalanannya dari Kluang ke Alor Setar penuh dengan rencah. Bermacam rasa.
            Harap-harap kita berjodoh, Jid. Ucap Kasyah sendiri. Ada bunga-bunga senyuman berkembang di bibirnya.
****
KL Sentral. 27 April 2013.
            “Kasyah.” Panggilan itu menyentakkan dia yang ketika itu sedang ralit menyemak tiket. Pantas kepala dipanggung. Kelihatan seorang lelaki sedang berlari-lari anak menuju ke arahnya.
            “Bro, apasal lu lari macam nak putus nafas ni?” Tegur Kasyah bila lelaki tadi mula menghampirinya.
            “Weh. Awat balik cepat sangat. Budak-budak kat booth merungut tak dan nak minta autograf.” Jawab lelaki tadi dalam keadaan termengah-mengah menahan nafas.
            Beberapa buah buku dihulur kepada Kasyah. Pantas disambut segera olehnya.
            “Pesta buku tahun depan, jangan lupa join lagi. Kali ni, kita minta dekat penganjur booth be-sar sikit. Tak adalah penulis-penulis tersepit macam ikan dalam tin.” Lelaki di hadapan Kasyah itu mengeluh. Keluhan itu hadir bersama dengusan nafas yang panjang.
            Kasyah renyih sampai menampakkan barisan giginya. Jari-jemari lincah mengukir tandatangan di setiap mukasurat pertama.
           
            “Next cerita, buat tajuk tempat mana pulak?” Soal lelaki itu kepada Kasyah. Matanya tertumpu ke arah tajuk buku tadi, ‘Dari Kluang ke Alor Setar’. Kasyah mengukir senyum. Kisah pertemuan dia dengan Jid, si gadis bimbo itu diabadikan di dalam penulisan pertamanya.
            “Nah! Ni satu salinan untuk kau.” Lelaki tadi menghulurkan buku bertajuk Dari Kluang ke Alor Setar kepada dia.
            “Jaga diri, bro. Jumpa lagi nanti.” Kasyah mengangguk perlahan mendengar pesanan itu.
            Baru saja Kasyah berpaling mahu ke gerabak keretapi, dia terlanggar seseorang. Buku di tangan terlepas jatuh ke lantai.
            Serentak dia menunduk, mahu mengutip buku. Namun ada tangan lain yang lebih pantas mengutip. Kasyah memanggung, melihat gerangan yang mengutip buku tersebut.
            Seorang wanita bertudung litup berwarna hijau turquoise, berbaju kurung kain cotton- bercorak bunga-bunga halus berwarna putih itu membuatkan dia terkesima memandang.
            “Jid.” Nama itu meniti di bibir. Kasyah teruja.
            Wanita di hadapan Kasyah itu tersenyum manis memandangnya. Membuatkan hati Kasyah kembang mekar. Umpama bunga.
-Tamat-
           
           Cerpen ini ditukang untuk cabaran bulanan di Geng Urban sempena bulan Mei. Dengan tema, adaptasi filem/drama/novel.

             

Comments

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)