Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

Bab 9

            Bunyi pinggan berlaga kedengaran agak kuat. Ji’a jadi gugup dengan tiba-tiba. Perbualan rancak mak dan Kak Long membuatkan tumpuannya terhadap kerja terganggu. Dia yang ketika itu begitu asyik menyusun pinggan di rak tersentak apabila nama kaum kerabat jirannya itu disebut oleh mak dan Kak Long.
            “Mak Cik Imah tu dah lama berjiran dengan kita. Tapi dia balik sana lepas arwah ayah dia meninggal. Balik jaga mak dia. Tapi lepas setahun depa berpindah, mak dia pun meninggal dunia.” Beritahu mak kepada kak long.
           “Kenapa tak ajak arwah tu pindah ke sini?”
          “Arwah mak Mak Cik Imah kamu tu dulu tak berapa nak sihat sangat. Lagipun arwah tak nak  tinggalkan rumah pusaka suami dia tu. Jadinya depalah yang pindah ke sana. Lagipun Pak Cik Pian tu memang niat nak buka kedai makan kat sana.”
            “Mak kata tadi anak dia saja yang balik sebab dapat kerja kat sini?”
            “Iya. Si Farhan tu.”
            Ohhhhh….” Panjang sungguh ‘Oh’ kak long tu.
Suara mak dan Kak Long saling bertingkah. Buat dia rasa tak senang menyusun pinggan-mangkuk.
         “Jadinya, anak Mak Cik Sarimah  tu terus duduk sinilah? Baguslah tu. Ji’a dapat kawan baru.” Kak Long sudah tersenyum-senyum memandang dia.  Senyuman Kak Long itu macam bila tengok risalah jualan murah atau harga diskaun. Penuh bermakna.
Dia  berpura-pura memandang ke rak pinggan. Kononnya kusyuk membuat kerja.
        “Kawan baru apanya, Ji’a dengan Farhan tu kawan dari kecik-kecik lagi. Dulu tu, mana ada Farhan situlah ada Ji’a.”
Matanya sudah luas terbuka. Aduh! Mak sudah membuka hikayat lama kepada Kak Long. Habislah.
Irama jantungnya sudah bertukar ritma. Daripada muzik rock ke muzik Bethoven. Terasa seperti di dalam adegan suspen.
           “Iya ke mak?!” Suara Kak Long itu lagaknya seperti terkejut sangat. Tetapi dia tahu, Kak Long sekadar menambah aksi untuk drama yang sedang berlangsung pada waktu itu. Mak dan Kak Long itu sama sahaja sikapnya. Kata abah dan Along, mak dan Kak Long itu drama queen
“Bujang lagi ke mak?” soal Kak Long itu penuh bermakna. Mata Kak Long pula yang melirik kepadanya.
Dia membalas dengan jelingan tajam.
Kak Long tu memang pantang mendengar kalau ada anak-anak bujang kat kampung ni. Habis semua nak dikenenkan dengan dia. Sebelum ni, anak Mak Cik Salma. Muhd. Helmiey tu pun Kak Long boleh giatkan dengannya.
Eeee… Miey tu kawan dia kut. Sejak dari kecil lagi. Kak Long ni memang tak patut sungguhlah.
            “Bujang lagi. Hari tu abang sulung dia yang kenduri,” jawab mak jujur tanpa mengetahui muslihat yang bermain di fikiran Kak Long. Senyuman Kak Long makin melebar. Selebar jala tok wan menangkap ikan di tali air.
          “Mak! Hari ni nak masak apa?” Cepat-cepat dia menyampuk. Sebelum Kak Long makin jauh membawa topik perbualan tersebut. Matanya sempat menangkap reaksi Kak Long yang sedang menahan gelak itu.
Menyampah! Kak Long ni suka sangat mengusik dia.
            “Buat gulailah. Tadi abah kata nak beli ikan tongkol dengan kacang bendi.”
            “Rempah gulai ada mak?”
            “Ada. Dalam peti ais. Semalam pak su bagi. Rempah giling.”
             “Nyoq ada tak mak?”
             “Rasanya semalam Along dah tolong kopekkan. Cuba Ji’a pi tengok kat depan rumah tu. Dekat beranda.”
         Dia berlalu meninggalkan mak dan Kak Long di dapur. Sampai di beranda rumah, dia mencari-cari kelapa yang mak maksudkan tadi. Namun tidak kelihatan langsung.
Kemudian dia menjengah ke bawah rumah. Ada selonggok kelapa yang sudah dibuang sabutnya. Di celahan guni kain.
Sedang dia berkira-kira hendak menuruni anak tangga, kedengaran bunyi deruman enjin kereta tidak jauh dari rumahnya. Lehernya dipanjangkan, ingin melihat siapakah gerangan pemilik kereta tersebut.
           Saat matanya menangkap imej pemandu  Proton Wira berwarna hitam itu dia cepat-cepat tunduk menikus. Gelagatnya itu seperti tikus ternampak kucing.
Dari celahan palang kayu di beranda dia cuba mengintai. Pemandu Proton Wira kian menghampiri rumahnya.
            Tak tunggu lama, dia terus merangkak masuk ke rumah. Dia terpaksa merangkak dengan lutut dan tangannya supaya pemandu Proton Wira itu tak perasaan akan dirinya.  
Dalam keadaan kelam kabut, kaki kanannya tersepak bucu sofa yang berada di ruang tamu. Menyeringai wajahnya menahan sakit.
          “Assalammualaikum.” Suara orang memberi salam itu buat dia terdiam.
Dia yang ketika itu sedang duduk menahan sakit bersebelahan sofa terus kaku.
Salam dilaungkan sekali lagi. Dia mengambil keputusan untuk berdiam diri saja. Kaki yang sakit sudah tidak terasa. Sedikitpun dia tak melakukan pergerakan. Statik sahaja. Dia tahu, yang sedang memberikan salam itu ialah pemandu Proton Wira tadi.
            “Ji’a! Tolong tengokan siapa tu!” laung Kak Long dari dapur.
           “Ji’a!” Kali ini suara Kak Long lebih kuat. Tetapi dia tetap mendiamkan diri. Sungguh! Dia tak mahu bertemu dengan pemandu Proton Wira itu.
            Tak lama selepas itu kedengaran derap tapak kaki menuju ke ruang tamu. Langkah kaki Kak Long yang laju membuatkan Kak Long tidak  perasan akan dirinya yang duduk terselit di celah sofa berwarna biru laut itu.
            “Wa’alaikummussalam,” jawab kak long sambil menjenguk ke beranda.
            Err… Ni barang Pak Cik Chot. Tadi terjumpa pak cik dekat simpang nak ke Warung Bang Chin. Tayar motor dia pancit. Jadi saya tolong bawa balik barang dulu.”
          “Terima kasihlah ya. Susah-susah saja,” balas Kak Long ramah.
Dia yang masih tercegat di celahan sofa itu, cuba memasang telinga. Masih mahu mendengar perbualan antara kak  long dan pemandu Proton Wira itu.
Heh! Tak padan dengan kaki sakit, ada hati nak jadi stalker.
            “Eh, tak adalah susah  mana. Tadi saya ajak juga pak cik balik sekali. Tapi dia nak juga tunggu motor dia sampai siap.”
            “Ni anak Mak Sik Imah kan?”
Soalan Kak Long itu buat dia tersentak. Kak Long seperti mahu memanjangkan lagi perbualan dengan pemandu Proton Wira tersebut.
Sakit di kaki kembali terasa. Sudahlah kakinya sakit. Kebas pula tu. Gara-gara dia duduk mencangkung terlalu lama.
            “Betullah tu akak.” Kedengaran suara ketawa pemandu Proton Wira itu.
            “Panggil kak long saja.” Mulut Kak Long seperti mesin bertih jagung. Tak mahu berhenti bercakap.
Lututnya sudah semakin lemah.
            “Saya Farhan.” Pemandu Proton Wira tersebut memperkenalkan diri.
            “Terima kasih ya Farhan.”
            Selang beberapa saat Kak Long mucul di ruang tamu. Agaknya si pemandu Proton Wira tadi sudah pun pulang. Baharulah dia dapat menggerakkan kakinya. Lega rasanya.
            Laaa! Ji’a kat sini rupanya.”
Ah! Sudah. Kantoilah pula. Hatinya mula berasa kecut melihat pandangan  pelik Kak Long.
            Err… kaki Ji’a sakitlah. Tersepak sofa tadi. Sebab tu Ji’a diam saja.” Dia tersengih. Mengharapkan sengihannya itu dapat menghilangkan pandangan pelik Kak Long terhadap dirinya.
            “Macam-macamlah Ji’a ni. Hah, tercegat apa lagi! Cepatlah ambil barang-barang ni. Tadi kata nak buat gulai.”
Dia bergegas mengambil beg-beg plastic di tangan Kak Long.
            “Kata kawan baik. Tapi kawan awak datang, keluar pun tidak.” Bebelan Kak Long itu buat dia terkedu.
Hatinya terasa dengan apa yang baru Lak Long katakan itu. Belakang badan Kak Long dipandang dengan hati yang sebal.

            Kawan baik. Mendengar perkataan itu buat hatinya terasa sedih.

Comments

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya