Bab 10 : Ku Kira 1,2,3... Bintang Di Langit

Bab 10   
“Farhaaaa!”
Beg kertas yang mahu diletakkan di atas meja nyaris terlepas jatuh. Terkejut dia bila disergah begitu.
           “Ya Allah, Bib. Terkejut saya tau.” Matanya dibeliakkan kepada Bib, rakan setugasnya.
           Bib tersengih. Menutup rasa bersalah kerana menyebabkan rakan sekerjanya itu terkejut.
            Dia tarik nafas dalam-dalam. Rasa terkejut masih bersisa. Jantung berdegup laju.
            “Lamanya Cik Farha kita ni cuti.” Bib bercakap dalam slanga utara. Pelik benar bunyinya. Bib atau nama penuhnya Sharifah Habibah. Gadis yang berasal dari Kuala Lumpur dan kini sudah hampir beberapa tahun bermastautin di sini.
         “Lama apanya. Bukannya bercuti sebulan. Seminggu pun tak sampai.”
          “Aku rindulah. Kau tak de sunyi gila farmasi ni.” Bib buat suara lunak manja.
Dia ketawa melihat aksi Bib itu.
          “Dah-dahlah Bib, tak payah nak buat drama sinetron pagi-pagi ni.” Tumpuannya beralih dari wajah Bib ke arah post note yang bertampal di skrin komputernya. Wajah HP itu hampir tidak kelihatan kerana ditutupi dengan pelbagai post note yang berwarna-warni.
            Hai. Baru cuti 3 hari dah penuh dengan note. Kalau seminggu agaknya, langsung tak nampak meja. Rungutnya di dalam diam.
         “Sampai hati kau Farha. Aku ni rindu kau bagai nak rak tau.” Gaya Bib seperti berjauh hati dengannya.
            Alala. Merajuk pula kawan saya sorang ni.” Karenah Bib dilayan saja. Tahu sangat Bib hanya mengusik dia. Sambil itu tangannya mencapai beg kertas tertera perkataan Langkawi itu.
      “Nah, untuk Cik Bib kita yang cun ni.” Beg kertas itu dihulurkan kepada Bib.
      “Apa ni?” Mulut Bib bertanya, namun mata wanita itu langsung tidak memandang ke arah Ji’a. Sebaliknya, Bib begitu asyik membelek isi di dalam beg kertas tadi.
            “Balasan untuk rindu Bib tu.” Dia tersenyum senang melihat mata Bib yang bersinar-sinar memandang buah tangan yang dia sediakan itu.
           Thanks Farha. Ingatkan kau lupa kat aku.” Bib kembali ke meja kerjanya sambil ketawa puas. Puas hati kerana mendapat buah tangan yang dia bawakan dari daerah yang terkenal dengan lagenda Mahsuri itu.
        “Sama-sama kasih Cik Bib. Saya rasakan rugi Bib masuk bidang Farmasi ni. Sepatutnya Bib jadi pelakon. Boleh menangis si Fasha tu bila tengok Bib berlakon.”
         Hahaha. Tak kelakar okey.” Bib ketawa dibuat-buat.
        “Mana Kak Mim? Tak sampai lagi ke?” Dia bertanya setelah melihat bilik di hadapannya masih bergelap.
          “Ada tadi. Ke tandas kut.” Bib masih seperti tadi. Bersuara namun tidak memandang wajahnya walau sedikit pun.
            Sedang dia dan Bib bersoal jawab, tiba-tiba satu suara garau mencelah di antara perbualan mereka.
            “Amboi! Anak dara dua orang ni, pagi-pagi dah bergosip.”
            “Apa ni Abang Mus! Dah la datang tak bagi salam. Pastu main sergah-sergah pulak.” Suara Bib kedengaran agak keras. Kononnya, rasa marah dengan perbuatan Abang Mus, staf dari unit IT  mereka itu.
Dia mencebik ke arah Bib. Tahu pun terkejut. Itulah yang dia rasakan tadi apabila disergah Bib dengan tiba-tiba.
            “Hangpa tu yang tak sedar. Rancak sangat menyembang. Abang dah bagi salam tadi.” Abang Mus membela diri.
            “Abang Mus nak jumpa Kak Mim ke?” Cepat-cepat dia menyampuk sebelum Bib dan Abang Mus makin jauh melalutnya.
            “Iyalah. Mana Kak Mim hangpa?”
            “Amboi Abang Mus ni. Bukannya tak jumpa tadi kat rumah. Katanya datang sekali.” Mulut Bib masih tidak mahu berhenti. Masih mahu terus mengacah suami pegawai mereka, Kak Mim itu.
Abang Mus dan Bib memang pantang berjumpa. Ada sahaja yang nak dikecohkan. Kadang-kadang dia pun naik pening mendengar kedua suara itu saling bertingkah. Sudahlah volume suara  masing-masing tinggi. Sudahlah slanga masing-masing berbeza. Macam itik dengan ayam bercakap.
            “Eh, mestilah. Hangpa tak menikah lagi mana nak tau apa. Orang dah menikah ni kalau boleh 24 jam, 7 hari nak berkepit. Tulah, orang suruh menikah tak mau.” Tempelak Abang Mus.
Dia pula tersengih melihat mulut Bib sudah muncung mengalahkan paruh itik angsa. Panjang.
            “Abang Mus. Dengar cerita ada juruteknik baru masuk ke unit abang.” Cepat-cepat Bib mengalihkan topik sebelum dia dibasuh hingga kering oleh suami Kak Mim itu.
            “Amboi hang Bib. Pantang ada mamat baru masuk cepat saja sampai beritanya.” Usik Abang Mus membuatkan Bib tersenyum sipu.
Dia pula diam saja dan  memasang telinga.
            Ala Abang Mus ni. Kita tanya aje.”
            “Iyalah. Tanya aje...” Sinis suara Abang Mus mengajuk ayat Bib.
            “Dia tu gantikan Abang Fisol hangpa tu. Kan Fisol dah berpindah pi Klang. Jadinya tempat Fisol tu diganti dengan orang baru la.” Penjelasan daripada Abang Mus itu disambut dengan anggukan kepala oleh Bib.
            Handsome tak Abang Mus?” Bib mula teruja.
            Handsome tu handsome lah juga. Tapi handsome lagi abang hang ni.” Abang Mus menepuk dadanya berkali-kali.
Bib mencebik melihat reaksi Abang Mus.
Dia ketawa saja melihat aksi Abang Mus dan Bib. Kelakar bila tengok mimik muka masing-masing.
            “Amboi abang. Menggatal nampak.” Entah dari mana Kak Mim muncul sekaligus menyebabkan bilik jadi sunyi sepi. Yang kedengaran hanyalah bunyi penyaman udara.
            “Eh, mana ada Yang. Abang bergurau ja.” Kelam-kabut Abang Mus melihat Kak Mim yang baru melintasi mereka.
“Ni hah, Bib dok menanya pasal Farhan.”
Dia yang tengah seronok ketawakan Bib terus terdiam. Entah kenapa tiap kali nama itu kedengaran, dia akan berubah laku. Kalau waktu itu dia tengah makan, boleh jadi dia akan tersedak. Kalau ketika itu dia tengah minum, air di tekak boleh jadi seperti seketul batu. Kuatnya penangan sebaris nama itu.
            “Awak jangan nak menggatal ya Bib. Abang Khan awak tu nak campak mana?” Kak Mim menyebut nama tunang Bib sekaligus membuatkan Bib tersengih seperti kerang busuk.
            “Aduh! Kak Mim ni. Pagi-pagi dah buat mood spoil. Janganlah disebut nama abang sayang kita tu.” Bib senyum malu-malu saat menyebut perkataan abang sayang.
            “Kak Mim cuma ingatkan  saja.” Serius wajah Kak Mim menasihatkan Bib.
 Memang kontra sungguh peribadi suami isteri itu. Abang Mus kelakar dan pengusik orangnya. Manakala Kak Mim serius dan kurang bercakap perkara-perkara yang merapu.
            “Bib tanyakan untuk Farha ni.” Namanya dipetik oleh Bib. Membuatkan dia tergamam seketika.
            “Eh! Memandai saja awak ni Bib. Sejak bila Bib ambil lesen jadi agen pencari jodoh pula ni.” Wajahnya terasa kebas bila Bib mengaitkan dirinya dengan juruteknik baharu itu.
            Tiba-tiba Abang Mus menyampuk. Menghangatkan lagi topik yang sudah semakin hangat itu.
“Hah, elok sangat lah tu. Kalau untuk Farha, abang memang sokong.” Kata-kata Abang Mus membuatkan dia terkedu.
            “Iya ke Abang Mus. Sesuai ek?” Bib makin galak bereaksi.
            “Farhan tu bujang. Umur pun tak sampai 30 tahun lagi… rasanyalah. Orang Johor. Tapi katanya dulu dia pernah tinggal kat sini.”
            “Dulu dia tinggal kat area mana abang?” Soalan Bib itu membuatkan dia sesak nafas. Terasa bilik yang mereka duduki sekarang menjadi semakin sempit. Dia rasa terhimpit.
            “Bapa dia orang sini. Mak dia orang Johor.”
            “Amboi Abang Mus,  semua maklumat abang tahu. Tak sampai sehari, semua dalam kocek.” Bib mengusik Abang Mus.
            “Dia ada mai sini minggu lepas. Datang melawat tempat kerja.”
“Tadi abang cakap nama juruteknik baru tu apa?” Abang Mus dan Bib sudah seperti dalam sesi temuduga. Bib bertanya soalan dan Abang Mus memberikan jawapan.
            “Farhan. Ahmad Farhan.”
Rasa nak tercabut matanya bila melihat  Bib yang  teruja menepuk tangan. Lagaknya  macam baharu lepas tengok Lee Chong Wei kalahkan Lin Dan sahaja.
            “Sesuai lah tu Abang Mus. Yang di sini Farha. Yang di sana Farhan. Alahai, so sweet. Nama pun dah dekat-dekat.” Melihat kegedikan Bib itu dia rasa mahu sahaja dicampakkan fail yang tersusun elok di atas mejanya kepada Bib.
            “Hehehe. Bib ni, suka sangat kenakan Farha.” Kak Mim yang daripada tadi senyap, ketawa melihat karenah Bib.
            “Nanti-nantilah. Ada masa free, abang bawak dia turun ke sini. Boleh kenal-kenal.” Abang Mus menabur janji.
            “Jangan lupa ya Abang Mus. Kalau abang tak turun, Bib sendiri akan naik ke atas. Hahaha.”
Ketawa mengilai Bib terasa sangat menyeramkan di kala itu. Dia berpura-pura membelek salah satu fail yang berada di atas mejanya itu. Namun dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Ritma jantungnya sudah tidak diketahui sedang mendendangkan lagu berentak apa. Begitu juga jalan hidupnya. Caca marba jadinya. Hanya kerana seorang lelaki yang bernama Ahmad Farhan itu.

Kenapa Ahmad Farhan perlu muncul semula dalam hidunya? Dia mengeluh sendirian. Berat keluhannya. Mungkin lebih berat dari guni baja Tok Wan Lah.

Comments

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)