Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit
Bab 9
Bunyi pinggan berlaga
kedengaran agak kuat. Ji’a jadi gugup dengan tiba-tiba. Perbualan rancak mak
dan Kak Long membuatkan tumpuannya terhadap kerja terganggu. Dia yang ketika
itu begitu asyik menyusun pinggan di rak tersentak apabila nama kaum kerabat
jirannya itu disebut oleh mak dan Kak Long.
“Mak Cik Imah tu dah lama berjiran dengan kita. Tapi dia balik sana lepas arwah
ayah dia meninggal. Balik jaga mak dia. Tapi lepas setahun depa berpindah, mak
dia pun meninggal dunia.” Beritahu mak kepada kak long.
“Kenapa
tak ajak arwah tu pindah ke sini?”
“Arwah mak Mak Cik Imah kamu tu dulu
tak berapa nak sihat sangat. Lagipun arwah tak nak tinggalkan rumah pusaka suami dia tu. Jadinya
depalah yang pindah ke sana. Lagipun Pak Cik Pian tu memang niat nak buka kedai
makan kat sana.”
“Mak kata tadi anak dia saja yang
balik sebab dapat kerja kat sini?”
“Iya. Si Farhan tu.”
“Ohhhhh….”
Panjang sungguh ‘Oh’ kak long tu.
Suara mak dan Kak Long saling bertingkah. Buat dia rasa tak
senang menyusun pinggan-mangkuk.
“Jadinya, anak Mak Cik Sarimah tu terus duduk sinilah? Baguslah tu. Ji’a
dapat kawan baru.” Kak Long sudah tersenyum-senyum memandang dia. Senyuman Kak Long itu macam bila tengok
risalah jualan murah atau harga diskaun. Penuh bermakna.
Dia berpura-pura
memandang ke rak pinggan. Kononnya kusyuk membuat kerja.
“Kawan baru apanya, Ji’a dengan Farhan
tu kawan dari kecik-kecik lagi. Dulu
tu, mana ada Farhan situlah ada Ji’a.”
Matanya sudah luas terbuka. Aduh! Mak sudah membuka hikayat
lama kepada Kak Long. Habislah.
Irama jantungnya sudah bertukar ritma. Daripada muzik rock ke
muzik Bethoven. Terasa seperti di dalam adegan suspen.
“Iya ke mak?!” Suara Kak Long itu
lagaknya seperti terkejut sangat. Tetapi dia tahu, Kak Long sekadar menambah
aksi untuk drama yang sedang berlangsung pada waktu itu. Mak dan Kak Long itu
sama sahaja sikapnya. Kata abah dan Along, mak dan Kak Long itu drama queen.
“Bujang lagi ke mak?” soal Kak Long itu penuh bermakna. Mata
Kak Long pula yang melirik kepadanya.
Dia membalas dengan jelingan tajam.
Kak Long tu memang pantang mendengar kalau ada anak-anak
bujang kat kampung ni. Habis semua nak dikenenkan dengan dia. Sebelum ni, anak
Mak Cik Salma. Muhd. Helmiey tu pun Kak Long boleh giatkan dengannya.
Eeee… Miey tu kawan
dia kut. Sejak dari kecil lagi. Kak Long ni memang tak patut sungguhlah.
“Bujang lagi. Hari tu abang sulung dia
yang kenduri,” jawab mak jujur tanpa mengetahui muslihat yang bermain di
fikiran Kak Long. Senyuman Kak Long makin melebar. Selebar jala tok wan
menangkap ikan di tali air.
“Mak! Hari ni nak masak apa?” Cepat-cepat
dia menyampuk. Sebelum Kak Long makin jauh membawa topik perbualan tersebut. Matanya
sempat menangkap reaksi Kak Long yang sedang menahan gelak itu.
Menyampah! Kak Long ni suka sangat mengusik dia.
“Buat gulailah. Tadi abah kata nak
beli ikan tongkol dengan kacang bendi.”
“Rempah gulai ada mak?”
“Ada. Dalam peti ais. Semalam pak su
bagi. Rempah giling.”
“Nyoq
ada tak mak?”
“Rasanya semalam Along dah tolong
kopekkan. Cuba Ji’a pi tengok kat depan rumah tu. Dekat beranda.”
Dia berlalu meninggalkan mak dan Kak Long
di dapur. Sampai di beranda rumah, dia mencari-cari kelapa yang mak maksudkan
tadi. Namun tidak kelihatan langsung.
Kemudian dia menjengah ke bawah rumah. Ada selonggok kelapa
yang sudah dibuang sabutnya. Di celahan guni kain.
Sedang dia berkira-kira hendak menuruni anak tangga,
kedengaran bunyi deruman enjin kereta tidak jauh dari rumahnya. Lehernya dipanjangkan,
ingin melihat siapakah gerangan pemilik kereta tersebut.
Saat
matanya menangkap imej pemandu Proton Wira
berwarna hitam itu dia cepat-cepat tunduk menikus. Gelagatnya itu seperti tikus
ternampak kucing.
Dari celahan palang kayu di beranda dia cuba mengintai.
Pemandu Proton Wira kian menghampiri rumahnya.
Tak tunggu lama, dia terus merangkak
masuk ke rumah. Dia terpaksa merangkak dengan lutut dan tangannya supaya
pemandu Proton Wira itu tak perasaan akan dirinya.
Dalam keadaan kelam kabut, kaki kanannya tersepak bucu sofa
yang berada di ruang tamu. Menyeringai wajahnya menahan sakit.
“Assalammualaikum.” Suara orang
memberi salam itu buat dia terdiam.
Dia yang ketika itu sedang duduk menahan sakit bersebelahan
sofa terus kaku.
Salam dilaungkan sekali lagi. Dia mengambil keputusan untuk
berdiam diri saja. Kaki yang sakit sudah tidak terasa. Sedikitpun dia tak
melakukan pergerakan. Statik sahaja. Dia tahu, yang sedang memberikan salam itu
ialah pemandu Proton Wira tadi.
“Ji’a! Tolong tengokan siapa tu!” laung
Kak Long dari dapur.
“Ji’a!” Kali ini suara Kak Long lebih
kuat. Tetapi dia tetap mendiamkan diri. Sungguh! Dia tak mahu bertemu dengan
pemandu Proton Wira itu.
Tak lama selepas itu kedengaran derap tapak
kaki menuju ke ruang tamu. Langkah kaki Kak Long yang laju membuatkan Kak Long
tidak perasan akan dirinya
yang duduk terselit di celah sofa berwarna biru laut itu.
“Wa’alaikummussalam,” jawab kak long
sambil menjenguk ke beranda.
“Err…
Ni barang Pak Cik Chot. Tadi terjumpa pak cik dekat simpang nak ke Warung Bang Chin. Tayar motor dia pancit.
Jadi saya tolong bawa balik barang dulu.”
“Terima kasihlah ya. Susah-susah saja,”
balas Kak Long ramah.
Dia yang masih tercegat di celahan sofa itu, cuba memasang
telinga. Masih mahu mendengar perbualan antara kak long dan pemandu Proton Wira itu.
Heh! Tak padan
dengan kaki sakit, ada hati nak jadi stalker.
“Eh, tak adalah susah mana. Tadi saya ajak juga pak cik balik
sekali. Tapi dia nak juga tunggu motor dia sampai siap.”
“Ni anak Mak Sik Imah kan?”
Soalan Kak Long itu buat dia tersentak. Kak Long seperti mahu
memanjangkan lagi perbualan dengan pemandu Proton Wira tersebut.
Sakit di kaki kembali terasa. Sudahlah kakinya sakit. Kebas
pula tu. Gara-gara dia duduk mencangkung terlalu lama.
“Betullah tu akak.” Kedengaran suara
ketawa pemandu Proton Wira itu.
“Panggil kak long saja.” Mulut Kak Long
seperti mesin bertih jagung. Tak mahu berhenti bercakap.
Lututnya sudah semakin lemah.
“Saya Farhan.” Pemandu Proton Wira
tersebut memperkenalkan diri.
“Terima kasih ya Farhan.”
Selang beberapa saat Kak Long mucul
di ruang tamu. Agaknya si pemandu Proton Wira tadi sudah pun pulang. Baharulah
dia dapat menggerakkan kakinya. Lega rasanya.
“Laaa!
Ji’a kat sini rupanya.”
Ah! Sudah. Kantoilah
pula. Hatinya mula berasa kecut melihat pandangan pelik Kak Long.
“Err…
kaki Ji’a sakitlah. Tersepak sofa tadi. Sebab tu Ji’a diam saja.” Dia
tersengih. Mengharapkan sengihannya itu dapat menghilangkan pandangan pelik Kak
Long terhadap dirinya.
“Macam-macamlah Ji’a ni. Hah, tercegat
apa lagi! Cepatlah ambil barang-barang ni. Tadi kata nak buat gulai.”
Dia bergegas mengambil beg-beg plastic di tangan Kak Long.
“Kata kawan baik. Tapi kawan awak
datang, keluar pun tidak.” Bebelan Kak Long itu buat dia terkedu.
Hatinya terasa dengan apa yang baru Lak Long katakan itu.
Belakang badan Kak Long dipandang dengan hati yang sebal.
Kawan baik. Mendengar perkataan itu
buat hatinya terasa sedih.
Amboi Ji'a intai Paan yeeeee!!!!
ReplyDeleteJi'a memang kaki stalker. hahaha
Delete