Bab 7 : Ku Kira 1,2,3... Bintang Di Langit

Dia pernah di tanya oleh seseorang, mengapa dihitung bintang di langit?
Dan hatinya berkata, kerana bintang itu hanya mampu untuk dihitung namun amat mustahil untuk digapai. ~ Nur Farha.



Bab 7
Tahun 2011, Julai. - Nur Farha

            Petang itu cuaca agak redup. Awan putih berselerak di dada langit yang membiru. Sekali-sekala langit itu dihiasi imej yang berwarna-warni. Kawasan lapang yang berdekatan sawah padi itu dipenuhi ramai orang. Rata-ratanya dari kalangan budak-budak remaja. Angin yang bertiup juga agak kuat. Kesempatan itu digunakan oleh mereka untuk bermain layang-layang.
         Dia tersenyum sendiri. Seronoknya jadi macam budak-budak ni. Hatinya berdetik saat memandang mereka.
         Dia yang ketika itu duduk di pelantar belakang basikal begitu leka melihat aksi kejar-mengejar di padang. Tiba-tiba kedua lututnya disentuh oleh seorang kanak-kanak lelaki. Dia memandang ke wajah itu. Lalu senyuman dihulurkan.
         “Iya sayang. Dah penat main?” Matanya masih melekat di wajah kanak-kanak lelaki itu.
Pertanyaan dia dijawab dengan gelengan.
         Kanak-kanak  lelaki tadi kemudiannya bersandar pada kedua kaki dia. Menjadikan kakinya umpama dinding.
      “Letih ya? Nak air tak?” Kanak-kanak lelaki itu berpaling sambil menganggukkan kepalanya.
         Dia mencapai botol air yang berada di bakul hadapan basikalnya. Penutup botol itu dibuka lalu dia hulurkan kepada kanak-kanak lelaki itu.
         Setelah puas meneguk, kanak-kanak  lelaki itu memulangkan semula botol kepadanya.
        “Sayang. Jom balik! Dah petang ni. Nanti ayah marah kita pulak,” katanya sambil tersenyum manis.
            Kanak-kanak lelaki itu mendepakan kedua tangannya. Meminta untuk didukung.
            Dia kemudian bangun dari pelantar basikal. Diangkatnya kanak-kanak itu dan didudukkan di atas pelantar tadi.
            Dia memulakan kayuhan. Perlahan sahaja. Takut jika dikayuh dengan laju boleh membahayakan pembocengnya. Bukankah pembonceng basikalnya masih seorang kanak-kanak. Kaki budak yang berumur dua tahun kemungkinan boleh termasuk di celahan ranting basikal itu.
            Laluan yang berbatu kecil itu menyukarkan dia untuk mengayuh dengan baik. Ditambah dengan beban di belakang memungkinkan pergerakkan menjadi lambat dan kayuhan menjadi berat.
            Sewaktu dia meniti batas  sawah padi itu, tayar basikalnya bagaikan tergelek sesuatu yang keras dan tajam. Mereka hampir-hampir terjatuh ke dalam petak sawah padi yang berisi air itu. Mujur kakinya sempat mendarat di tanah.
            Dia  pandang tepat ke wajah pemboncengnya. Wajah itu nyata terkejut. Tapi hanya seketika sebelum wajah itu menghamburkan tawanya.
            “Eeee! Suka pulak budak kecik ni.” Dia berpura-pura marah.
            “Mair sukalah kalau kita jatuh dalam bendang tadi?” Dia menjegilkan matanya. Namun kanak-kanak lelaki itu hanya ketawa dan terus ketawa.
Keluhan dilepaskan.
            ‘Haish! Macam pancit ja tayar ni.’ Dia membelek tayar itu.
            Kempis. Benar telahannya. Tayar belakang basikalnya bocor  akibat tergelek dengan batu tadi.
            “Mair. Tayar gerek  kita pancitlah.” Wajah sayu dipamerkan.
            Namun kanak-kanak lelaki yang bernama Umair itu langsung tidak peduli. Iyalah. Budak-budak, apalah yang dia tahu tentang masalah. Main sahaja yang ada dalam kepalanya.
            Melihat basikal itu masih boleh digerakkan, dia nekad untuk menolak sahaja. Umair dipindahkan di bahagian bakul hadapan. Dengan keadaan tayar yang bocor, agak terbeban jika Umair masih lagi membonceng di belakang.
            “Mair, dok diam-diam tau,” pesan dia kepada Umair.
            Mujur petang itu cuaca agak redup. Ditambah dengan angin yang bertiup lembu, keadaan itu agak mendamaikan. Jika tiada angin, mahu dia lencun bermandikan peluh.
            Dia memandang Umair yang duduk di atas handle dan kakinya diletakkan di dalam bakul basikal.
            “Harap-harap ayah lalu lah ya. Kalau tak penatlah kita nak berjalan sampai ke rumah.”
            Terasa kejang kakinya. Menuntun basikal yang tayarnya bocor dan ditambah dengan Umair di atas basikal menuntut kudrat yang lebih. Dia akhirnya berhenti seketika di tali air itu.
           “Mair, kita berhenti kejap. Tak larat lah sayang.”
Umair hanya mengangguk. Dalam pada itu Umair mendepangkan tangan meminta untuk diturunkan.
            Dia memandang ke arah tali air. Kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang menangkap ikan di situ. Ada yang sebaya Umair. Ada juga yang sudah bersekolah menengah.
            Dia duduk seketika di atas basikalnya. Melepaskan penat setelah berjalan hampir lima belas minit. Tiba-tiba kakinya disentuh Umair.
            “Ikan! Ikan!” Umair menunjukkan ke arah tali air itu. Suaranya sedikit pelat.
            Dia menggelengkan kepala. Tidak membenarkan Umair untuk menghampiri tali air.
            “Tak boleh sayang. Dah petang ni. Nanti besok kita ajak ayah dengan Abang Anip ya. Petang ni tak boleh.” Lembut suaranya memujuk.
            Wajah Umair agak suram. Sedih agaknya.
            “Nanti kalau kita lambat balik, ayah dan tok abah marah kita. Nanti ayah dah tak bagi Mair keluar dah. Hah, macam mana?” Suaranya berbaur ugutan.
            Umair diam sahaja. Beberapa saat kemudian senyuman terukir di wajah berserta anggukan kepala.
        Dia kemudian bangun dari basikal. Bersedia untuk mengangkat Umair. Namun perbuatannya itu terhenti. Dari jauh sayup-sayup kedengaran bunyi Honda Cup 70. Dia memandang ke arah bunyi yang datang itu.
            Melihat  kelibat motorsikal itu dia sudah tahu siapa gerangannya. Siapa lagi jika bukan cucu  Pak Suip yang bernama Udin itu. Udin abang kepada Ecah rakan sekelas Anip. Anip, abang  kepada Umair yang tidak lama lagi akan mencecah umur lima tahun pada hujung bulan ini.
            Dia berkira-kira mahu menahan motorsikal Udin. Namun seketika, matanya menangkap kelibat seseorang yang berdiri tegak di bawah pohon besar yang  bertentangan tali air itu. Jarak antara pokok itu dengan tali air tidaklah begitu jauh dan tidaklah begitu dekat. Namun, dia masih mampu untuk melihat dengan jelas.
            Matanya terpaku di situ. Pandangannya jatuh pada susuk tubuh seorang lelaki. Lama dia memerhati. Mata yang menangkap imej itu agak lambat menghantar isyarat ke otak.
           Namun saat lelaki itu menghulurkan senyuman, dia tergamam. Dapat dirasakan matanya terbuntang luas. Air liur di kerongkong terasa kasar berpasir. Tubuhnya bagaikan ringan di tiup angin. Dia cuba berpaut pada basikalnya. Namun basikal itu jatuh ke tanah sebelum sempat dia berpaut.
            Telapak tangan Umair yang halus itu menyelinap ke tangannya. Dia bagaikan tersedar. Kaki yang tadi bagaikan di awangan kini berpijak nyata di tanah. Dia menggengam tangan Umair. Kuat.
           Deruman bunyi motorsikal Udin terasa begitu dekat dengannya. Kini Udin berhenti betul-betul di hadapannya.
            “Awat kak cik?” Tanya Udin budak lelaki yang berusia 12 tahun itu.
            “Err..errr…” Haish! Gagaplah pulak. Hatinya makin tidak keruan. Lelaki yang berada di seberang tali air itu  masih berdiri statik seperti tadi. Tidak pula menunjukkan tanda-tanda untuk menyeberang ke sini.
         “Laaa… tayar pancit ke kak cik?” Soalan dari Udin mengembalikan fikirannya yang terbang menerawang tadi.
            “Aaa… tadi terkena batu kat sana tu.” Sambil itu ekor matanya masih melirik ke arah lelaki tadi.
            “Eh, Udin! Jom hantar Kak Cik dengan Mair balik.” Dia sudah tidak sanggup berlama di situ. Mahu pitam rasanya setiap kali matanya dipanah lelaki itu.
            “Ala… Udin nak pi padang ni. Kawan-kawan dah tunggu!”
            Dia memandang tajam ke arah wajah Udin, “ Udin tak kesian dengan Mair ke?”
Mata Udin terus memandang budak lelaki yang berusia dua tahun itu.
            “Nanti Kak Cik report kat Tok Suip. Hang curi-curi naik motor dia.” Dia mengugut Udin.
            “Kak Cik ni teruklah! Udin dah lambat ni. Nanti geng Udin marah pulak!”
            “Ah! Kak Cik tak kira. Udin kena hantar jugak!” Dia membentak. Lalu tanpa menunggu persetujuan daripada Udin dia sudah mengangkat Umair dan meletakkan di belakang Udin.
            “Okeylah. Tak payah hantar rumah Pak Chot. Udin bawak Kak Cik  ke rumah Tok Wan Lah. Dekat sikit dengan padang.” Cadangan diberikan kepada Udin.
        Dalam keadaan terpaksa Udin menggerakkan juga motorsikalnya. Wajah cemberut ditunjukkan kepada dia  melalui cermin sisi.
            Nasiblah Udin. Keadaan dah terdesak sangat ni. Kata-kata itu bermain di fikirannya.
            Waktu motorsikal Udin mula bergerak, matanya sempat singgah di wajah lelaki itu. Ya. Dia yakin. Memang dia tidak silap orang. Lelaki itu adalah orang yang sama yang ada di fikirannya ketika itu.
            Walaupun sudah bertahun tidak bertemu, tetapi ingatannya masih kuat menyimpan imej lelaki itu.


Honda Cup 70 itu berhenti betul-betul di hadapan sebuah rumah yang bahagian bawahnya berwarna kuning pudar.
            “Terima kasih ya Udin,” ujarnya lembut. Sambil itu dia menurunkan Umair dari motorsikal Udin.
            “Okey.” Lemah sahaja suara Udin.
            “ Tapi Kak Cik jangan habaq kat tok wan Udin tau!” Udin mengingatkan.
            “Habaq pasai apa?” Dia bertanya kembali. Tak ingat langsung apa yang dia cakapkan kepada Udin tadi.
            “Ni! pasai motor tok wan ni.” Mata Udin dilirik ke arah Honda Cup 70 itu.
            “Oh! Okey. Kak Cik tak cakap.” Dia buat isyarat seperti menzipkan mulutnya.
            “Okeylah. Udin dah lambat ni. Nak pi main bola!”
            Dia menggagau sesuatu di dalam poketnya. Lalu dua keping kertas berwarna biru dihulurkan kepada Udin.
            “Nah, ni upah dan duit minyak untuk Udin.”
Udin mencapai not dua ringgit itu. Senyum menghiasi wajah budak lelaki berumur dua belas tahun itu.
            “Terima kasih Kak Cik.”
Dia menganggukkan kepala kepada Udin.“Jangan hang pi berjoli pulak. Simpan buat belanja pi sekolah nanti!” Dia terpaksa menjerit apabila motorsikal Udin yang berbunyi bingit itu sudah bergerak meninggalkan dia dan Umair.
            Tangga rumah Tok Wan Lah dipanjat. Salam diberikan, namun tiada yang menyahut.
          “Agaknya Tok Nyang tak balik lagi dari padang kot.” Dia memandang wajah Umair seolah-olah meminta kepastian. Namun wajah itu hanya memandangnya dengan mata yang dikerdip-kerdip.
Padang itu ialah sawah atau bendang. Memang dari dahulu orang tua-tua menyebutnya begitu.
            Dia akhirnya duduk bersimpuh di atas beranda rumah tersebut. Badan disandarkan ke dinding yang diperbuat dari papan itu. Keluhan dilepaskan. Kedengaran berat bunyinya.
            Matanya memandang Umair yang masih di bawah rumah. Dia lihat Umair sedang mengejar si Tam, kucing belaan datuknya. Gelihati pula melihat gelagat Umair dan Tam. Dalam pada itu fikirannya kembali kepada peristiwa di tali air tadi. 
            Ya. Lelaki tadi adalah lelaki yang sama dia jumpa di tali air itu lapan tahun yang lalu. Walaupun penampilan lelaki itu sudah berubah, namun dia masih ingat lagi akan senyuman itu. Senyuman yang suatu ketika dahulu pernah menggetarkan  hatinya. Senyuman yang dulu pernah membuai perasaan dia.
            Suara nyaring Umair memanggil Tam menyentak lamunannya. Dia menggelengkan kepala beberapa kali. Seolah-olah cuba mengusir bayangan yang hadir sebentar tadi.
       Tam datang menerpa ke arah ribanya. Seperti meminta perlindungan daripada dia supaya menyelamatkan dirinya daripada makhluk bernama Umair itu.
            Tangan dia mengusap-usap badan Tam. Kucing itu tampak selesa dengan belaiannya. Hilang sudah rasa takut akibat dikejar Umair tadi.
            Seperti mana Tam si kucing itu yang khayal dibuai belaiannya, dia juga khayal bersama masa lalu.
            “Dia nampak lain kan sekarang ni?” Matanya memandang ke arah Tam yang sudah memejam mata itu.
            “Dah berisi sikit. Tak macam dulu, kurus macam lidi.” Serentak dengan kata-katanya itu Tam menggeliatkan badannya.
            “Paan sekarang dah tak macam Paan yang dulu kan?” Soalan itu diajukan kepada Tam. Tam cuma mengerdipkan kedua matanya. Mungkin memahami apa yang dia rasakan saat ini.





Comments

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)