Bab 8 : Ku Kira 1,2,3... Bintang Di Langit


Bab 8
Tahun 2011, Julai - Ahmad Farhan.

            Wira Sedan hitam itu berhenti di hadapan sebuah rumah. Ahmad Farhan menebar pandangannya ke arah rumah tersebut. Kedua tangannya kejap memegang stereng. Peristiwa yang berlaku petang tadi singgah di benaknya. Terasa begitu sebal hatinya.
            Terkejut. Itu yang dia alami. Tidak disangka sama sekali. Pertama kali menjejakkan kaki  semula ke kampung dia sudah dipertemukan dengan Ji’a. Sudah beberapa tahun wajah itu hilang daripada pandangannya. Namun itu bukanlah penghalang untuk dia mengecam wanita tersebut. Ingatan terhadap Ji’a masih tersimpan kemas di sudut ingatannya.
            Tadi dia begitu ralit memerhatikan Ji’a yang sedang membelek tayar basikal yang pancit itu. Hatinya terasa ingin menghampiri wanita itu. Namun ketika itu mereka dipisahkan dengan sebatang tali air. Jadi dia hanya mampu memandang sahaja.
            Sepasang matanya itu terarah kepada seorang kanak-kanak lelaki. Pada firasatnya, kanak-kanak itu mungkin berumur dalam lingkungan 2-3 tahun. Susuk tubuh kanak-kanak itu sama seperti Adilea anak kepada rakan sekuliahnya dahulu, Azra Amani.
            Nafasnya dihela. Panjang. Hatinya berdenyut menahan rasa. Ada rasa pedih di situ.  
Nampaknya dia hidup bahagia dengan Hardi. Kata-kata itu disusuli dengan satu keluhan.
            Nama Hardi masih melekat kuat di ingatan. Seperti sudah digam. Sukar untuk dia melupakan nama lelaki yang berjaya mendapat tempat di hati sahabatnya itu. Walau tahun berganti tahun, nama itu tidak pernah pudar daripada ingatannya.
            Mengenang peristiwa dulu itu buat hatinya ngilu. Dia rasa bersalah sangat dengan Ji’a. Sekalipun dia kecewa dengan keputusan Ji’a, dia tak patut mengguriskan hati Ji’a.
            Pernah dia ceritakan hal ini pada Firdaus, rakan sebiliknya di kolej dulu. Kata Firdaus, dia tak cuba memandang Ji’a sebagai seorang perempuan. Dia tak cuba untuk memahami perasaan Ji’a waktu itu. Kata Firdaus lagi, hati perempuan itu lebih sensitif. Dalam tak sedar, dia dah lukakan hati Ji’a.
             Dia mengeluh lalu memandang tepat ke wajah Ji’a. Wanita itu masih belum menyedari kehadirannya lagi. Waktu itu mahu sahaja dia melompat ke seberang sana. Sudah lama dia menyimpan hasrat untuk memohon kemaafan daripada wanita itu. Sebelum ini dia pernah cuba untuk berhubung dengan Ji’a namun dia belum mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan wanita itu.
            Mungkin terasa diri sedang diperhatikan, wanita itu membuang pandang ke arahnya. Dia senyum pada Ji’a. Nyata wajah itu terkejut melihat akan dirinya. Seketika mereka saling berbalas pandang.        
            Namun selepas itu dia  menyaksikan sendiri yang Ji’a dibawa pergi oleh seorang remaja lelaki dengan motorsikal. Saat itu hatinya menjadi sayu tiba-tiba. Nampaknya Ji’a masih marahkan dia lagi. Dia menebak sendiri.
            Tapi jika difikirkan dari sudut yang positif,  itu sudah cukup baik. Tandanya, dia masih dalam ingatan Ji’a.
Ketara sangat dia cuba menyedapkan hatinya. Badannya disandarkan  ke seat  kereta. Mata dipejamkan rapat. Cuba mengusir kenangan yang sedih itu.
            Tiba-tiba cermin tingkap keretanya diketuk perlahan dari luar. Seorang lelaki yang agak berusia sedang memandangnya tajam. Mungkin sebaya abinya. Lelaki itu  berbaju melayu ungu muda dan berkain pelikat. Kopiah putih tersemat di kepalanya.
Dia menurunkan cermin tingkap Wiranya.
            “Assalammualaikum.”
“Wa’alaikumusalam,” jawabnya perlahan.
            “ Buat apa kat depan rumah pak cik nih?” tanya lelaki itu. Membuatkan dia terdiam sebentar.
            Err… saya tunggu orang pakcik.” Jawapan daripada dia mengundang renungan yang sangat tajam dari mata lelaki itu.
Dia menggaru-garu pelipis kanannya. Adakah dia tersilap cakap?  Memang pun dia sedang menunggu orang. Menunggu umi. Umi masih berada di dalam rumah di hadapannya itu. 
            Sebenarnya, tadi dia mahu sahaja berhenti di halaman rumah sendiri tetapi memandangkan kunci rumah pula berada dengan umi, dia kemudian ambil keputusan berhenti di hadapan rumah jirannya itu. Menunggu uminya di situ.
            Tiba-tiba ketawa meletus dari mulut lelaki tua itu. Membuatkan dia sedikit tersentak.
             “ Kamu ini Ahmad Farhan kan? Anak Pian Laksa?”  
            Dia memandang wajah lelaki di hadapannya itu. Lama dia menilik wajah itu. 
            “Pak Cik Chot!” Suaranya berbunyi teruja. Pantas pintu kereta dibuka. Dia keluar dari perut Wira Sedan berwarna hitam itu. Lantas tangan lelaki tua itu disalaminya.
            “Apa khabar pak cik?” 
            Lelaki yang dipanggil Pak cik Chot itu tersenyum memandangnya. Seraya itu tubuhnya ditarik ke dalam pelukan lelaki tua itu. 
“Sihat. Alhamdulillah,” jawab Pak cik Chot.
Dia pula tersenyum senang. Pelukan dileraikan. 
             “Lamanya  pak cik tak jumpa Farhan!”
            Kata-kata Pak Cik Chot membuatkan dia tersenyum tawar.
             “Pak cik nampak lainlah sekarang. Tak macam dulu.” Kata-katanya mengundang ketawa lelaki tua itu.
            “Nampak tua kan?”
Dia turut ketawa dengan apa yang dikatakan oleh Pak Cik Chot itu.
            “Paan pun nampak lain juga. Makin segak.”
Dia menggelengkan kepalanya mendengar pernyataan yang keluar dari mulut jirannya itu.
          “Pakcik pun,”  ujarnya cuba bercanda.
            “Farhan! Farhan!  Pakcik uban dah penuh. Segak apa nya!” kata Pak Cik Chot sambil menepuk-nepuk bahu kiri dia.
            “Pak cik nak ke surau ni. Solat Maghrib di sana. Jomlah sekali.”
Ajakan Pak Cik Chot itu membuatkan dia  memandang ke arah rumah Pak Cik Chot.
            Ala! Umi hang tu lambat lagilah. Dah kalau jumpa dengan mak cik hang mana reti nak sembang sat-sat. Mau berjam lagi tu.”
Dia ketawa mendengarkan kata-kata daripada Pak Cik Chot. Kepalanya dianggukkan berkali-kali. Setuju dengan apa yang diperkatakan Pak Cik Chot itu.
            Betul juga. Umi kalau dah berjumpa Mak Cik Intan mesti banyak benda nak disembangkan.
            Err… kalau macam tu, kita gerak sekaranglah pak cik. Naik kereta saya.” Dia mempelawa jirannya.
           “Tak payahlah. Dekat ja. Kita pi naik motor.”
Dia terdiam sebentar.  “Boleh juga. Saya simpankan kereta kat rumah dulu ya.”
Pintu kereta dibuka. Lalu enjin dihidupkan. Wira Sedan hitam itu mulai bergerak menuju ke garaj rumahnya. Rumah Pak cik Chot dan dia cuma sebelah menyebelah. Tapi itu dulu. Sekarang, sudah ada sebuah rumah yang duduk di antara rumahnya dengan rumah Pak Cik Chot. Rumah Hashim, milik adik bongsu Pak Cik Chot.


Dia duduk di atas sofa yang terletak di ruang tamu rumah itu. Kelibat Pak Cik Chot  sudah pun menghilang, meninggalkan dia sendirian di situ. Mungkin juga ke bilik. Mereka berdua baru sahaja pulang dari surau. 
            Matanya meliar memandang sekeliling ruang di rumah itu. Kemas dan teratur. Itu yang dapat dia tafsirkan.
Ruang tamu  rumah jirannya itu hanya dilengkapi beberapa perabot yang penting sahaja. Mempunyai kabinet kayu yang di atasnya terdapat sebuah TV LCD. Di tengah-tengah ruang tamu pula terdapat sofa berbentuk L dan beberapa buah kerusi kayu jati. Di tengah-tengah ruang sofa itu terdapat sebuah meja kopi. Di satu sudut berdekatan TV LCD itu terdapat sebuah almari buku. Tinggi almari itu mungkin dalam 7 kaki. Dia mengangak berdasarkan had ketinggian dirinya dengan almari itu.  Almari itu sedikit tinggi berbanding dia.
            Matanya terpandang akan satu sudut di dinding bersebelahan almari buku tersebut. Di situ terdapat beberapa bingkai gambar yang dilekatkan di dinding. Dia rasa tertarik untuk mendekati. Kakinya mulai melangkah. 
            Kini matanya terpaku pada potret keluarga jirannya itu. Dia tersenyum sendiri.
Nampaknya, keluarga jirannya itu sudah semakin berkembang. Tidak seperti keluarganya. Sehingga kini hanya abang sulungnya Ahmad Faisal yang baru mendirikan rumahtangga. Itupun baharu awal tahun ini. Mungkin pada tahun depan baharu keluarga mereka akan menerima kehadiran bayi.
            Pandangan matanya jatuh pada wajah seorang lelaki muda. Segak berdiri. Lelaki itu sedang mendukung seorang kanak-kanak lelaki. Dia kenal lelaki itu. Badrul Amin.  Abang kepada Ji’a. Di sebelah Badrul Amin kelihatan seorang wanita yang bertudung litup. Tangan wanita itu berpaut pada lengan Badrul Amin. Pastilah itu isterinya.
            Kini matanya beralih kepada wanita yang berdiri di sebelah kiri Badrul Amin. Wanita itu sedang memangku seorang bayi. Comel. Wajah wanita itu tersenyum manis. Tubuhnya kelihatan sedikit susut berbanding suatu masa dahulu.
            Dia jadi teringat akan rungutan Ji’a suatu masa dulu. Ji’a yang selalu risau akan berat badan yang tak pernah mahu turun-turun. Ji’a yang selalu pasang azam untuk kurus setiap kali tahun baharu menjelang. Tetapi, dia pula selalu mematahkan semangat Ji’a. Terukkan. Betullah kata Firdaus, dia tak pernah cuba untuk memahami perasaan Ji’a.
            Matanya masih ralit memadang potret keluarga Pak Cik Chot.
Wajah Kak Manis tiada. Begitu juga dengan Hardi.  Bapa kepada si kecil yang dipangku oelh Ji’a. Lelaki di dalam potret itu cuma Pak Cik Chot, Badrul Amin dan Lokman Amin, adik kepada Ji’a.
            Hatinya dilanda pertanyaan. Ketiadaan Kak Manis mungkin dia dapat menerima. Kerana kakak kepada Ji’a itu dengar-dengar cerita  kini berada di luar Negara. Cerita yang dia dengar daripada umi.
Tetapi… ketiadaan Hardi buat hatinya merasa pelik. Mustahil lelaki itu yang menjadi jurufotonya. Ini kerana dia sangat pasti yang foto itu diambil di studio.
            Pap! Tiba-tiba bahunya ditepuk kuat. Automatik membuatkan badannya mengeras. Terkejut. Dia menoleh dengan perlahan-lahan. Buntang matanya. Melihat umi sedang tersengih memandangnya.
             “Amboi. Macam nak tembus gambar tu kamu tengok. Fikir apa sampai berkerut-kerut dahi tu?” Soalan daripada umi itu seperti menjerut lehernya.
            Err…err…” Dia jadi gagap. Pandangan umi membuatkan dia serba tak kena.
            “Awatnya Imah?” Tiba-tiba, Mak cik Intan datang, mencelah perbualannya dengan umi tadi.
           “Ni hah! Anak teruna sorang ni tengah asyik dok….”
Belum sempat umi menghabiskan ayat, dia sudah memintas.
           “Eh, tak ada apa la mak cik. Borak kosong je dengan umi ni.” 
           Umi  menjeling manja ke arahnya. Membuatkan dia mengusap leher perlahan. Cuba menutup malunya akibat ditangkap oleh umi sewaktu ralit perhatikan ‘Ji’a’.
            “Sembang apa? Rancak, mak cik dengar.” Mak Cik Intan masih lagi mahu bersoal jawab. Sambil itu tangan Mak cik Intan  meletakkan dulang berisi cawan minuman ke atas meja kopi yang berada di tengah-tengah sofa.
            Pantas dia menyampuk sebelum uminya mencelah,
            “Umi cemburu tengok keluarga mak cik. Makin bertambah-tambah ahlinya.”
            Dikala itu dia  melihat umi mencebik ke arahnya.
            Ha’a Intan. Mana tak cemburu. Intan dan Chot dah boleh main dengan cucu. Imah ni tak tau bila lagi. Nak harap anak bujang yang sorang ni, entah bilalah dapat merasa.”  
            Dia terkedu. Aduh! Umi sudah menyusun bunga-bunga ayat. Hatinya mula digigit rasa.
          Cepat-cepat dia mencelah sebelum umi membuka hikayat panjang lebar lagi. “Umi ni, sabarlah sikit. Kan Abang Ecan baru je kahwin. Tunggulah tahun depan, dapatlah cucunya.” Dia mengusik umi. Mak Cik Intan pula ketawa saja mendengar celoteh mereka dua beranak.
            “Farhan bila lagi? Tadi umi cakap Farid dah bertunang.” Dia terdiam. Soalan seperti ini paling  dia tidak digemari. Boleh rasa sesak nafas setiap kali dihimpit soalan seperti ini.
            “Jangan ditanyalah Intan. Imah ni berbuih mulut bertanya. Alih-alih dia cakap, belum jumpa lagi umi. Bila kita nak tolong carikan dia tak nak. Entah puteri raja manalah yang dia tunggu pun tak tau.” Sarkastik bunyinya. Membuatkan dia tersenyum paksa.
            “Amboi mak hang. Asyik tanya anak orang saja. Anak sendiri tak mau tanya pula.” Entah dari mana Pak Cik Chot datang, terus mencelah perbualan panas mereka. Di tangan Pak Cik Chot terdapat sepinggan kuih.
 “Hmm… malas la abang. Nanti lain pulak jadinya. Cukup-cukuplah perkara yang dah lepas tu. Saya tak mau campur dah.” 
Kata-kata Mak Cik Intan itu membuatkan Pak Cik Chot berdiam diri. Terus Pak Cik Chot mengalih topik perbualan.
“Macam mana Farhan?” Namanya yang disebut secara  tiba-tiba oleh Pak Cik Chot, membuatkan dia sedikit  tersentak.
Dia ralit memikirkan hal yang dikatakan oleh Mak cik Intan dan Pak cik Chot tadi.
 “Umi kata Farhan dapat kerja di sini.”
“Oh! Ha’a.  Ini yang datang awal. Ikutkan minggu depan baru lapor diri. Tapi saja datang tengok tempat kerja. Lagipun rumah pun tak berkemas lagi.”
“Eloklah. Dah lama sangat rumah tu kosong. Sunyi saja sejak hang pa semua tak ada.”
“Alahai Chot. Kamu janganlah nak menipu kata sunyi. Tu hah, jiran baru makin bertambah-tambah Imah tengok.”
“Rumah Hashim? Baru lagi tu. Tak sampai pun dua tahun.”
Dia tersenyum nipis mendengar celoteh umi  dan jirannya itu. Cawan yang berisi teh O panas itu dicapai dengan berhati-hati.
“Dah pergi tengok ke?” Soalan daripada Pak cik Chot itu menghentikan perbuatannya yang sedang menghirup teh O panas itu.
“Tengok apa pakcik?” tanyanya kembali. Tidak dapat menangkap maksud soalan jirannya itu.
“Tempat kerja Farhan la. Dengarnya kat Hospital Sultanah Bahiyah?”
Ha’a. Betul tu pak cik.”
 “Tahu tak jalan nak  ke situ? Sini dah banyak buat jalan baru. Mak cik pun kadang-kadang lupa.” Mak cik Intan pantas mencelah.
“Entahlah mak cik. Lama juga tak ke sini. Tak apalah. Nanti saya tanya kawan-kawan kat sini.”
“Kalau susah sangat, pi saja dengan Ji’a nanti. Ji’a pun kerja kat situ juga. Kat farmasi.” Kata-kata Pak Cik Chot itu buat dia yang tengah meletakkan cawan, tersentak. Nyaris-nyaris air tertumpah.
“Betul tu Farhan. Tak adalah sesat nanti.” Mak Cik Intan juga seperti bersetuju dengan cadangan Pak Cik Chot itu.
Dia dan Ji’a satu tempat kerja? Macam mimpi pula.
Rasanya selepas ini, dia dan Ji’a pasti akan selalu bertembung.
Dalam kerancakan bersembang, tiba-tiba mereka disapa salam dari luar rumah.
“Wa’alaikummusalam.” Serentak isi di dalam rumah menjawab termasuklah dirinya.
“Patutlah riuh rendah. Rupanya ada tetamu.” Sapa seorang lelaki muda yang baharu menjejakkan kaki ke dalam rumah itu.
“Hah, Along! Ingat lagi tak ni siapa?” Pak Cik Chot bertnya kepada lelaki yang dipanggil along itu.
“ Makcik Imah!”
“Apa khabar Badrul?” umi menyapa Badrul Amin.
“Baik. Baik sangat makcik.” Lelaki muda itu kemudiannya memandang ke arah dia.
Weh! Paan ke ni?”
Dia bangun dan berjabat tangan. Badrul Amin. Abang sulung Ji’a. Lain benar rupa lelaki ini sekarang. Perut yang dahulu kempis sekarang sudah agak ke depan.
“Mana Pak Pik Pian?” Badrul Amin bertanya kepada dia.
“Abi tak ikut. Aku datang dengan umi je.”
“Dia dapat kerja di sini.” Mak Cik Intan menjawab bagi pihak dia.
“Oh! Kat mana?”
“Hospital Sultanah Bahiyah.” Serentak Pak Cik Chot dan dia menjawab.
Laaa! Satu tempat dengan Ji’a la ni. Ji’a kerja kat Farmasi Klinik Pakar.”
Sekali lagi ayat yang sama dituturkan. Dia menelan air liur. Pahit.
“Mai dengan siapa ni?” Giliran umi pula bertanya kepada Badrul Amin.
“Anak-anak. Saja singgah sini. Tadi ke rumah tok wan, ambil Mair.”
“Mair dok rumah tok wan?” Pak Cik Chot bertanya.
Ha’a. Ji’a singgah rumah tok wan tadi. Tayar gerek dia pancit.”
“Awat tak telefon abah. Boleh abah pi ambil.”
“Habis tu, Jia nya mana?” tanya Mak Cik Intan.
“Ada kat rumah tok wan. Ji’a tidur sana malam ni,” jawab Badrul Amin.
Jawapan Badrul Amin itu membuatkan hatinya sedikit terusik. Tiba-tiba kedengaran suara budak mencelah perbualan mereka.
“Tok bah!” Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan lima tahun. Dia mengagak.
“Ni anak kamu ke Badrul?”  Makcik Sarimah mencelah.
“Iya makcik. Ni Hanif anak sulung saya.”
“Abang! Adik mana?” tanya Badrul Amin kepada anaknya Hanif.
Hanif berlalu keluar. Lalu muncul kembali dengan seseorang di sisinya. Kecil dan comel.
“Ni anak kedua saya, Umair. Abang, adik… pi salam dengan nenek dan pakcik!” Keduanya menurut perintah bapa mereka.
Dia menghulurkan tangan. Saat telapak tangan Umair yang kecil itu berada dalam genggamannya dia jadi ralit. Rasa seperti dia pernah melihat Umair sebelum ini.
Tiba giliran umi pula bersalaman dengan anak-anak Badrul Amin.
“Ni kenapa comot sangat mukanya?” Umi bertanya sambil mencium pipi Umair. Geram dengan kecomelan Umair, agaknya.
“Mana tidaknya. Teriak tak mau ikut balik. Acik dia tidur sana, dia pun nak ikut sekali.”
“Umair ni rapat dengan Ji’a. Petang-petang mesti Ji’a bawa jalan-jalan. Macam petang tadi.” Penjelasan Mak Cik Intan itu membuatkan dia terkedu seketika.
Oh! Jadi, yang bersama Ji’a tadi Umair anak Badrul Amin. Habis bayi yang didukung Ji’a itu siapa? Dia berpaling ke arah potret itu semula.
Iya. Dia pasti. Sangat pasti yang bayi di dalam pangkuan Ji’a adalah Umair.
“Gambar raya tahun lepas tu, Paan.” Beritahu Badrul Amin, bila melihat dia asyik memandang potret yang tergantung di dinding.
Dia kembali memandang Badrul Amin. Senyum nipis menghias di bibirnya.
Betulah tekaannya. Itu gambar Umair sewaktu masih bayi. Jadi, Umair bukanlah anak Ji’a. Dan Hardi….
Hatinya jadi tertanya-tanya mengenai hubungan Ji’a dengan Hardi.


Comments

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)

[10] Cerpen : Semasam Yogurt Semanis Ais krim