[6] Cerpen : Sumpahan Rindu, Mahsuri.
Ambil feel kat sini :
Kredit : You Tube.
Cerpen ini dibuat untuk cabaran Geng Urban bagi bulan September. Tema adalah adaptasi kisah dongeng atau lagenda.
Kredit : You Tube.
Tangannya menepuk lembut tubuh kecil yang berada di sisi.
Memandang wajah polos Hakim yang bakal menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-7 tidak lama lagi, mengudang
rasa sayu di hati.
“Babah!” Suara serak si anak membuatkan dia berpaling. Memandang
wajah Hakim.
“Iya.” Senyuman diukir buat anaknya itu.
“Tadi cikgu cakap, lepas habis peperiksaan, cikgu akan
buat lawatan ke Langkawi.”
Dia merenung mata Hakim.
“Jadi, Hakim nak ikut sama ke sana?” Soalan dia tidak
dijawab oleh si anak. Sebaliknya Hakim merenung mata dia. Sayu.
“Babah, Mahsuri tu siapa?” Pertanyaan Hakim itu disambut
dengan bunyi guruh yang kuat berdentum.
“Cikgu cakap, Langkawi tu terkenal dengan lagenda
Mahsuri.” Dia tergamam.
“Cikgu tak cerita dekat kelas ke?” Dia bertanya kembali.
“Tak.” Hanya itu bicara Hakim.
“ Babah. Nama mama pun Mahsuri kan?” Matanya dialihkan ke
lain. Tidak sanggup bertentang mata dengan Hakim. Pilu. Rasa itu meresap ke
jiwa.
****
Tujuh
tahun dahulu…
“Abang rasa anak
kita ni lelaki ke perempuan?” Sepantas soalan si isteri, jemarinya terus menyentuh
perut Yang Mahsuri yang masih lagi kempis. Lama dia berkelakuan begitu.
Lagaknya sudah seperti si tukang ramal.
“Abang rasa perempuan.” Dengan yakin
dia berkata.
“Buktinya?” Badannya terus ditegakkan.
Kini matanya terarah pada wajah isterinya.
“Buktinya…,” Kata-kata itu terhenti,
lalu senyuman meniti di bibirnya. Gelihati melihat si isteri begitu teruja
untuk mendengar penjelasan daripadanya.
“Sebab Yang makin hari makin cantik.
Makin hari makin abang terpesona dengan Yang. Tengok ni, mata abang dah dipaku,
tak boleh beralih dah.” Tertunduk malu si isteri. Namun tangan Yang melekap di
pipi dia. Mengelus lembut.
“Abang ni kan… suka sangat usik Yang
tau.” Hatinya bersorak rian, pabila melihat
pipi Yang Mahsuri sudah kemerah-merahan. Walaupun sudah hampir beberapa bulan
mereka bergelar pasangan hidup, isterinya masih malu-malu dengannya.
“Yang! Abang sayang Yang.” Itu
pengakuan jujur dari hatinya. Bagi dia Yang Mahsuri merupakan angugerah
terindah untuknya daripada Ilahi.
“Yang pun sayang abang.” Senyuman
yang terukir di bibir sang isteri, membuai rasa hatinya.
“Abang janji akan sayang Yang,
sampai nyawa abang bercerai dari badan.” Matanya memanah mata Yang Mahsuri.
“Sumpah!” Tangannya diangkat,
bagaikan berikrar. Cuba menyakinkan isterinya.
Namun Yang Mahsuri pantas menggenggam
jemarinya. Kuat.
“Tak baik main sumpah, abang. Nanti
makan diri.”Tegur isterinya.
“Abang berani bersumpah sebab abang
tahu, takkan ada sesiapa lagi yang abang akan sayang, yang akan abang jaga
melainkan Yang.”
“Macam mana kalau abang langgar
sumpah?”
Lama dia merenung wajah si isteri di
hadapan.
“Kalau macam tu Yang boleh sumpah
abang pula. Macam Mahsuri sumpah Langkawi.” Dia berlelocun, kembali mengusik
isterinya.
“Abang ni kelakarlah. Nanti Yang
sumpah abang betul-betul baru tau.”Ugut si isteri.
“Yang sanggup ke sumpah abang, si
suami yang baik hati ni?”Wajahnya sengaja disebikkan.
“Kalau abang langgar janji, Yang
sumpah abang 7 keturunan.”Gurauan yang berbaur amaran itu disertakan pula
dengan aksi mata yang dibeliakkan.
Dia menjongketkan sebelah keningnya.
“Yang nak sumpah abang jadi apa?
Jadi padang jarak, padang terkukur?”
Wajah geram si isteri, membuatkan dia
ketawa.
“Yang sumpah, abang takkan dapat kasih
sayang Yang. Untuk seumur hidup abang, sampai 7 keturunan. Lepas tu Abang akan
hidup dalam sengsara, sebab rindukan Yang.”Dia terdiam. Namun senyuman di wajah
isterinya itu membuatkan hatinya berasa senang.
****
Tahun
2006
“Abang jadi balik ke hari ni?” Dia bertanya kepada
suaminya. Rasa teruja untuk berkongsi berita jantina anak mereka, ditahan. Lagi
baik jika suaminya itu diberitahu secara berhadapan.
“Kenapa? Yang tak suka ke kalau abang balik hari ni?”
Pertanyaan sinis dari suaminya itu membuatkan dia tersentak.
“Bukan tu maksud Yang.” Dia jadi hairan, sejak
kebelakangan ini suaminya itu kelihatan lain daripada kebiasaannya. Kata-kata
manis dan romantis sudah jarang meniti di bibir suaminya itu.
“Manalah tahu. Kepulangan abang ni menganggu aktiviti
Yang.” Kata-kata suami yang semakin menikam itu membuatkan dia menahan geram.
“Apa maksud abang ni?” Sedikit keras suaranya.
“Sudahlah Yang. Abang malas nak bertekak. Nanti abang
balik ke rumah papa. Esok sajalah abang pergi ambil Yang. Abang letih, nak
berehat.” Pedih. Kata-kata Syed Safwan ternyata menghiris hatinya.
Suami
itu bagai tidak menyenanginya akhir-akhir ini. Dahulu dia sering dimanjakan. Namun
sejak kandungannya semakin menghampiri tarikh kelahiran, sifat amarah Syed
Safwan semakin menjadi-jadi. Ganggang telefon yang diletakkan sebelum dia
sempat berpamitan dengan si suami, membuatkan cecair jernih di tubir matanya
jatuh ke pipi.
****
“Aik! Mana bini kau Wan?” Kelihatan Sharifah Mahira
mendekati adik iparnya itu.
“Ada
kat rumah Mak Ndak.” Mak Ndak itu ibunya Yang Mahsuri. Sejak dari sebelum
berkahwin keluarga Tuan Syed Idrus, bapanya Syed Safwan memang terbiasa
memanggil ibu bapa Yang Mahsuri begitu. Pak Ndak dan Mak Ndak.
“Kau ni Wan, sudahlah jarang-jarang ada kat rumah, dah
balik tu pergilah tengok-tengokkan bini
tu. Tengok apa yang dia buat. Jangan percaya sangat dengan bini kau tu.” Sindir
Sharifah Mahira.
“Apa maksud Kak Mahira?” Rasa kurang senang mengetuk
hatinya.
“Kau tak tau ke, sepupu dia Deraman sekarang menumpang
duduk di rumah dia orang.”
“Memang dari dulu lagi pun Man tu duduk kat situ,
kalau-kalau dia ada urusan kat area
sini. Lagipun dia orang bukannya duduk serumah. Terang-terang Deraman tu duduk
menumpang kat rumah sewa Pak Ndak.” Keras melingking suaranya. Kurang selesa
apabila bicara Sharifah Mahira terhadap isterinya itu berbaur negatif.
“Memanglah. Tapi rumah dia orang tu kan sebelah-menyebelah.
Hari tu akak ada pergi menjenguk Mahsuri. Akak nampak dengan mata kepala
sendiri. Si Mahsuri tu bertepuk tampar dengan si Deraman depan pintu pagar
rumah sewa dia orang tu.”
Hatinya sedikit terusik akan kata-kata kakak iparnya itu.
Benarkah Yang begitu? Syaitan yang sememangnya sudah menghuni di dalam pembuluh
darah itu, cepat sahaja menghasut hati si anak Adam. Rasa was-was itu
cepat-cepat dia usir.
“Lebih baik kau jaga-jaga Wan. Jangan sampai tertipu.
Jangan sampai kau ni jadi kambing hitam.” Dia melihat tubuh Sharifah Mahira
menghilang di balik tirai yang memisahkan ruang tamu dan dapur rumahnya.
Kambing
hitam? Apa maksud Kak Mahira? Syed Safwan
bertanya sendiri. Rasa syak itu segera diusir. Kakak iparnya itu, memang
sejak dari dahulu lagi kurang serasi dengan isterinya. Kata mummy, Sharifah
Mahira itu marahkan Yang Mahsuri kerana isterinya itu tiada berketurunan Syed
dan Sharifah.
****
Melihat wajah sugul kedua ibu bapanya membuatkan Yang Mahsuri
terasa dirinya mahu rebah. Rasa terkejut akibat diserbu ahli jawatankuasa
masjid tadi, belum pun hilang. Dengan keadaan perut yang memboyot, dia rasa
dirinya sudah tidak lagi mampu berdiri. Dunia pula dirasakan seakan berhenti
berputar.
“Nak cakap apa lagi?” Jerkahan lelaki di hadapannya itu membuatkan
air matanya mengalir laju. Tidak pernah papa meninggi suara ke arahnya. Apatah
lagi mengherdiknya. Pada dia Tuan Syed Iderus adalah bapa mertua terbaik di
dunia ini.
“Mummy tak sangka Mahsuri begini orangnya. Apa salah anak
Mummy pada keluarga Mahsuri?” Dia memandang tajam pada wanita yang menggelarkan
dirinya mummy itu. Tidak disangka sampai begitu sekali tuduhan yang dia terima
daripada ibu mertuanya sendiri. Yang selama ini sangat menyayangi dia.
“Ndak,macam mana kamu ajar anak ni?” Syed Iderus
mengherdik pula kepada bapanya.
“Sanggup kamu berzina, walaupun tengah mengandung!”
Tuduhan yang dilemparkan Syed Yahya, abang iparnya membuatkan dia memandang
tajam ke arah Syed Yahya.
Sikap
lelaki itu yang langsung tidak menghormatinya sebagai adik ipar, membuatkan dia
sudah hilang rasa hormat. Kerana Syed Yahyalah, dia meminta izin suaminya untuk
menetap di kampung. Abang ipar yang tidak sedar diri itu seringkali cuba
menggodanya tatkala Syed Safwan keluar bertugas.
“Entah-entah, anak dalam perut dia tu bukannya anak Wan
tapi anak lelaki tak guna ni.” Suara Sharifah Mahira melengking kuat. Sambil
tangannya mengarah ke Deraman yang sudah lembik dipukul orang-orang Syed Yahya.
“Kak Mahira!” Amarah menguasai dirinya. Katalah apa
sahaja terhadap dirinya. Hinalah keluarganya sampai telinga mereka putus untuk
mendengar segala tohmahan. Tetapi menafikan anak di dalam kandungannya itu bukan
anak Syed Safwan tidak sekali-kali dia izinkan.
“Betul apa aku cakap! Selama ni pun Wan selalu outstation. Setiap kali tu jugalah kau
pulang ke kampung. Kalau bukan sebab datang nak menyundal dengan sepupu kau ni,
kau tak akan balik sini!”
Kata-kata Sharifah Mahira memang sudah melampau. Dia
sudah bangun menerpa ke arah wanita itu. Tetapi perbuatannya dihalang oleh
sesusuk tubuh lelaki. Lama dia merenung wajah di hadapannya itu.
“Abang…” Matanya seolah mengharapkan lelaki itu
berkata-kata. Sejak dari tadi, suaminya itu diam menunduk ke lantai sahaja.
Wajahnya langsung tidak dipandang.
“Kalau apa yang Kak Mahira tu cakap salah, biar ujian DNA
yang tentukan.” Perlahan. Suara Syed Safwan seolah berbisik.
“Apa maksud abang?” Hatinya berdegup laju.
“Kita ikut cakap papa, buat ujian DNA untuk buktikan siapa bapa bayi ni.”
Pandangannya berpinar. Kata-kata yang lahir dari mulut suaminya itu seolah
mengakui tuduhan yang dilemparkan kepada dia.
“Sampai hati abang cakap macam tu. Anak ni anak abang.
Hasil dari cinta abang dan Yang selama ni.” Air matanya deras mengalir. Hatinya
sakit, namun dia sudah seperti batu di persisir pantai. Yang dipukul ombak.
Semakin dihakis.
“Dengan apa yang dah jadi hari ni, abang dah tak mampu
nak percaya pada sesiapa pun. Abang keliru.” Syed Safwan melarikan mata dari
memandang wajah dia.
“Boleh jadi betul kata Kak Mahira. Kehadiran abang selama
ini hanya untuk menutup aib kau orang.”
Satu tamparan melekap di pipi lelaki itu. Syed Safwan
terkedu dengan tindakan isterinya. Tidak menyangka wanita yang selama ini begitu
lemah-lembut kini berani bertindak sejauh ini. Pipinya terasa pijar. Pedih.
“Kalau itu yang abang mahukan, baiklah. Kita buat ikut
permintaan papa. Tapi jangan sesekali abang menyesal dengan tindakan abang ni!”
Dia mengugut. Saat itu juga dia terpandang akan senyuman sinis di wajah Sharifah
Mahira. Agaknya, biras itu berpuas hati dengan episod duka yang dia alami.
Dia berjalan mendekati Syed Safwan yang masih lagi kaku
berdiri di situ.
“Abang dah mungkir janji yang abang buat dulu.” Perlahan
dia berbisik. Dan saat itu juga pandangannya tiba-tiba jadi kelam. Dia sudah
tidak nampak apa-apa lagi. Yang kelihatan hanya layar hitam yang kosong.
****
Pintu bilik pejabat yang berkaca itu ditolaknya perlahan.
Rasa lemah menguasai diri. Mengingatkan peristiwa yang berlaku sebentar tadi,
dia jadi tidak bermaya.
Dia duduk bersandar pada kerusi empuk itu. Kerusi yang selami
ini menyamankan rasa, kini tidak mampu memujuk hati gelisahnya. Serasa ingin
menangis dengan apa yang telah terjadi dalam hidupnya. Namun siapa dia untuk
menolak ketentuan Ilahi. Jika ini ujian untuk dia sekali lagi, dia berdoa, memohon
supaya hatinya dikuatkan.
Ketukan di pintu kedengaran. Kelihatan wajah rakan
sekerjanya, Yohana di balik pintu kaca itu.
“Suri! Kau okey ke ni? Pucat je aku tengok?” Tanya
Yohana, sebaik masuk ke biliknya.
“Maaf, Hana. Tiba-tiba aku rasa tak sihat. Aku nak balik
awal.” Sebaik melihat anggukan Yohana, dia terus mencapai beg tangannya.
“Tapi kau boleh drive
ke ni?” Rasa prihatin Yohana, dibalas dengan gelengan.
“Aku tinggalkan kereta kat sini. Sepupu aku akan datang
ambil.” Balas dia dengan suara yang lemah.
Ingatannya
kembali kepada kejadian di café sebentar tadi. Menggigil tubuh badannya apabila
terpandang wajah Syed Safwan yang ketika itu turut merenung tajam ke arahnya.
Panahan
mata lelaki itu bagaikan memutus seluruh urat sendinya. Tanpa sedar dia
menangis. Kalut dengan situasi itu, dengan sepantas kilat dia meninggalkan café.
Pandangan orang ramai sudah tidak dipedulikan lagi.
****
Dia berjalan menuju ke lobi dengan langkah yang
lemah-longlai. Pandangannya kabur. Air mata yang mengalir tanpa henti itu menyukarkan
dia untuk melihat dengan jelas.
“Yang.” Satu suara menyapa dia. Melihat susuk tubuh yang
kian menghampirinya, membuatkan seluruh anggotanya lumpuh. Sudahnya dia kaku di
situ.
“Maaf, encik salah orang.” Dia cuba menafikan.
“Tak mungkin abang silap cam. Abang masih ingat siapa
isteri abang.” Kata-kata Syed Safwan mengundang amarah di jiwa.
“Isteri? Siapa?” Dia mendengus. Kuat.
“Dah lama abang cari Yang. Hakim asyik menunggu Yang
kembali.” Mendengar nama Hakim membuatkan dia termenung seketika. Wajah Syed
Safwan dipandangnya. Lama.
“Iya, Hakim anak kita.” Dia khayal mendengar kata-kata
yang lahir dari mulut Syed Safwan itu. Lagaknya seperti orang yang diberi
suntikan bius. Namun semua itu hanya untuk seketika.
“Saya tak ada anak dengan awak!” Bentak dia, kuat. Wajah
Syed Safwan membiru. Mungkin terkejut dengan tingkah kasarnya itu.
Dia berkira-kira mahu berlalu dari situ. Tetapi tangannya
pantas diraih Syed Safwan. Sentuhan itu membuatkan langkahnya terhenti.
“Yang, ampunkan abang. Abang tahu silap abang tak dapat
ditebus dengan apa-apa pun yang ada di dunia ni.” Rayu Syed Safwan.
“Habis tu. Kenapa awak datang cari saya? Kenapa awak
berani minta saya ampunkan awak?” Soalan demi soalan terluah. Dia merenung
wajah itu. Namun cepat-cepat pandangannya dilarikan. Hatinya belum cukup kuat
untuk bertentang mata dengan lelaki itu.
“Yang. Maafkan abang. Semua tu salah abang. Abang terlalu cepat percayakan kata-kata orang
lain. Abang percaya pada fitnah Kak Mahira. Abang ikut telunjuk papa. Abang
ikut cakap mummy.” Rintihan Syed Safwan bagaikan matahari terik. Jika dia tidak
kuat, ia mampu mencairkan hatinya yang sebeku bongkah ais di kutub utara.
“Abang
merayu pada Yang, kembalilah pada kami.” Syed Safwan masih tidak berputus asa.
Melihat dia yang masih berdiam, lelaki itu meneruskan rayuannya.
“Hakim
perlukan mama dia. Anak kita perlukan Yang. Abang pun perlukan Yang.” Matanya
yang berkaca itu, dihalakan kepada Syed Safwan.
“Macam mana saya nak kembali? Awak dah lupa apa yang dah
berlaku 7 tahun lepas?” Tersekat-sekat suaranya. Menahan getar.
Wajah Syed Safwan dipandang, tajam.
“Awak lupa yang awak dah bunuh Yang Mahsuri 7 tahun
lepas. Walaupun tiada darah yang tumpah
dari jasad saya, tetapi hati saya mati disebabkan awak!”Syed Safwan tunduk
mengukur lantai.
Melihat
reaksi Syed Safwan yang begitu, dia dengan pantas berlalu meninggalkan lelaki
itu.
“Yang!” Dia terkejut dengan tindakan Syed Safwan yang
tiba-tiba sahaja memintasnya.
“Takkanlah sekelumit rindu pun tiada untuk abang.
Kalaupun bukan pada abang, tapi pada Hakim, anak kita. Yang tak rindu pada
Hakim?”
Dia ketawa sinis. Sekadar untuk menutup rasa pilu di
hati.
“Waktu awak setuju dengan idea papa untuk buat ujian ke
atas Hakim, awak dah bunuh jiwa saya. Sekarang saya dah tak mampu untuk berasa
apa-apa…,”
“Awak tahu, penghinaan papa dan keluarga awak tu tak lut
pada saya. Tapi…,” Dia menarik nafas sesaat. Cuba meraih kekuatan untuk terus
berdepan dengan Syed Safwan.
“Luluh hati saya bila awak sendiri yang nafikan Hakim tu
anak awak. Sedangkan, awak tahu saya tak pernah dan tak akan curang dengan
awak. Rasa tak percaya awak tu umpama tombak sakti yang berjaya ‘membunuh’
saya!” Air mata seperti sudah serasi di pipinya. Mengalir tanpa henti.
“Yang…” Kata-kata Syed Safwan mati di situ. Sudah habis
daya untuk memujuk wanita di hadapnnya itu.
“Waktu awak failkan penceraian kita, saat tu Yang Mahsuri
dah lenyap dari muka bumi ni. Macam mana lenyapnya Mahsuri di bumi Langkawi, begitu
juga dengan saya. Sekurang-kurangnya kubur Mahsuri itu bertanda, sedangkan
kubur saya….”
Dia berlari keluar ke tempat parkir kereta. Sebuah Gen-2
Biru Turqouis sudah sedia menantinya. Kelihatan Deraman merenung wajah dia dan
Syed Safwan silih berganti.
****
“Kalau abang
langgar janji, Yang sumpah abang 7 keturunan.”
“Yang nak sumpah abang jadi apa?
Jadi padang jarak, padang terkukur?”
“Yang sumpah, abang takkan dapat kasih
sayang Yang. Untuk seumur hidup abang, sampai 7 keturunan. Lepas tu Abang akan
hidup dalam sengsara, sebab rindukan Yang.”
Dia memandang sayu, Gen-2 yang membawa Yang Mahsuri
pergi. Hatinya remuk.
-Tamat-
Cerpen ini dibuat untuk cabaran Geng Urban bagi bulan September. Tema adalah adaptasi kisah dongeng atau lagenda.
Makan dalam sungguh. Okey, padan muka Syed Safwan.
ReplyDeleteHehehe. Mmg padan pun
DeleteIdea menarik, saya duk bayangkan ada kena mgenakan ngn kisah Mahsuri langkawi tu.
ReplyDeleteTQ Julia Esqa sudi singgah. Mmg tak ada kaitan pun. Just ambil asas cerita tu ja. :)
DeleteOh...saya suka. Menarik dan sayu saja. Sobss. tahniah.
ReplyDeleteTerima kasih Cik Mardihah, sbb sukakannya ^^
Deletebleh x smbng cite ni..sedih gak kt safwan..
ReplyDeleteerr... nak sambungan ke?
DeleteAlahhh x kn ni je...
ReplyDeleteSmbg la lg ..
Mcm mne dgn ank drg x kn mahsuri x syg ank dia