[iii] Cerita kita; Merah Kuning Hijau

iii – Sesuatu yang ternoktah?

Dia memerhati dari seberang jalan. Matanya tak lepas dari memandang wajah gadis yang berkemeja putih dan berseluar hitam di sana. Dengan cekak besar berwarna putih yang tersemat di kepala membuatkan gadis itu tampak manis. Dia senyum sendiri.

Pesona gadis itu berjaya memukau dia. Dengan rambut separas bahu yang dilepaskan, dia akui telah jatuh hati saat pertama kali memandang wajah manis itu.

Mata dia masih terpaku pada gadis manis di seberang sana. Memerhati si gadis genit itu yang tersepit di celahan orang ramai. Angin bertiup lembut. Mengalunkan rambut hitam pekat si gadis manis itu. Dan dia semakin terpukau.

 Mengingatkan kembali detik-detik pertemuan dia dan si gadis bercekak rambut putih itu, semuanya berlaku sejak keretanya dihantar ke workshop seminggu yang lalu. Maka dia terpaksa menggunakan pengangkutan awam untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja. 

Dan pada suatu petang, ketika dia pulang dari kerja dengan rasa penat dan stress yang melampau akibat keretanya yang sudah tersadai begitu lama, dia dipertemukan dengan gadis manis ini. Dan segala rasa itu hilang dengan tiba-tiba. Diganti dengan rasa bersyukur. Bersyukur atas musibah yang melanda. Dia dapat bertemu dengan gadis manis bercekak rambut putih ini.

Sudah lama dia menanti. Sejak 20 minit yang lalu. Dia masih terpacak di tepi lampu isyarat. Walau sudah berkali isyarat pejalan kaki itu bertukar. Merah. Hijau. Merah. Sehinggalah ke saat ini. Dia menanti dengan setia. Hanya kerana ingin bertemu dengan si gadis manis bercekak rambut putih di seberang sana.

Jadi hari ini dia nekad. Mahu menegur gadis itu. Pertemuan secara kebetulan ini tidak harus dinoktahkan. Dia mahukan kesinambungan.Dan perkara itu hanya akan terjadi jika pertemuan ini bertukar menjadi suatu hubungan.

Isyarat penjalan kaki bertukar lagi ke warna hijau. Dan dia masih kekal berdiri di situ. Menanti si gadis manis itu menyeberang jalan. 

Dalam keasyikan memerhati, dia ternampak seseorang merempuh gadis itu. Kuat. Sehingga tubuh genit itu berpusing. Dia tersentak. Dan dia juga tergamam bila melihat gadis itu masih berdiri di tengah laluan pejalan kaki. Yang di kiri kanannya ada kereta. Yang pada bila-bila masa akan bergerak setelah lampu isyarat bertukar warna.

Gadis manis itu seolah sedang mecari sesuatu. Sesuatu yang terjatuh. 

Lampu isyarat itu sudah berkeli-kelip. Tanda ia akan bertukar warna. Dia jadi kalut. Segera dia menghampiri gadis itu. Ditarik tangan si gadis itu. Bunyi hon kedengaran bingit. Dia mengangkat tangan kepada semua pemandu di situ. Sebagai tanda maaf.

Matanya merenung tajam ke arah gadis itu. Rasa amarah membuak. Perbuatan gadis itu boleh mengundang bahaya. Dia bengang. Apa barang yang penting sangat sehingga gadis itu sanggup membahayakan nyawanya sendiri.

Tanpa perasaan dia hamburkan segala rasa itu kepada gadis itu. Wajah gadis itu memerah. Dia nampak ada cecair jernih di kelopak mata gadis bercekak rambut putih itu.
Nafas ditarik, dalam. Dia cuba menenangkan diri. Pasti gadis di hadapannya itu terkejut. Wajah yang manis itu jelas kelihatan pucat.

Dia menanti gadis di hadapannya itu membuka mulut. Mahu mendengar penjelasan. Sejak tadi hanya dia yang bercakap. Sebaliknya, gadis itu diam membisu. Takkan terkejut sampai tak mampu bercakap. Matanya dijegilkan sedikit. Mengharapkan gadis itu memberikan reaksi.

Tiba-tiba dia nampak gadis itu membuat isyarat dengan jemarinya. Laju. Dia tercengang. Gadis itu merenung wajahnya. Dalam.

Tanpa mempedulikan dia, gadis itu mengeluarkan sebuah Blackberry dari beg silangnya. Dia ralit memerhati gadis itu yang laju menekan key paid berulang kali. Kemudian Backberry itu disuakan kepadanya.

Maaf, saya pekak. Tak boleh dengar apa yang awak cakap.

Dia terkedu. Tidak sedar gadis itu menyuakan Balckberry kepada dia buat kali kedua. 

Tapi kalau awak cakap perlahan-lahan, saya boleh cuba baca gerak bibir awak.

Degup jantungnya sudah tidak sekata. Dia masih lagi kaku. Lidah pula kelu. Sekarang dia pula yang diam membisu. Gadis itu masih setia berdiri di hadapannya. Untuk beberapa saat mereka berkeadaan begitu.
Kemudian dia tersedar. Dia perlu katakan sesuatu pada gadis di hadapannya.

Dia mengambil Blackberry dari tangan gadis itu. Menaip sesuatu. Lalu diberikan semula kepada tuannya.
Maaf  ):

Dia masih menanti reaksi seterusnya.
Tak pe (:

Gadis itu senyum. Manis. Dan bila bibir itu mengukir senyum matanya turut sama tersenyum. Sekali lagi dia terpukau. 

Gadis itu cuba ‘bercakap’ dengan menggunakan jemarinya. Suatu isyarat tangan. Dia cuma memerhati.
Oh, dia tahu isyarat itu. Tanda terima kasih. Dan dia tersenyum senang.

Gadis itu mahu berlalu. Tetapi dia pantas menghalang. Bibirnya bergerak secara perlahan. Bertanya sesuatu kepada gadis itu.

Dia lihat gadis bercekak rambut putih itu sekali lagi menaip menggunakan Blackberrynya.

Saya cari alat dengar. Tercicir. Rasanya  terjatuh waktu saya dirempuh tadi.

Rasa simpati menyelinap masuk ke hati dia. Sekali lagi gadis bercekak rambut putih itu mengucapkan terima kasih. Kemudian berlalu pergi. Dan kali ini dia sudah tidak lagi menghalang.

Matanya masih mengekori langkah si gadis manis tadi. Tidak sangka sama sekali. Gadis yang dia puja selama ini cacat pendengaran. Niat asalnya terkubur begitu sahaja.

Dia masih lagi memerhatikan gadis bercekak rambut putih tadi. Dilihatnya gadis itu mengeluarkan sekaki payung berwarna hijau dari beg. Dan tiba-tiba dahinya dibasahi sesuatu. Setitis. Dua titis. Dan gerimis pun turun. Dia masih lagi seperti sebelum ini. Tegak berdiri di situ. Ditemani hujan gerimis yang mulai turun.


Comments

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)

[10] Cerpen : Semasam Yogurt Semanis Ais krim