[ii] Cerita kita; Merah Kuning Hijau


ii – Sesuatu yang terlewat.

Masuk hari ini sudah 29 hari dia mengekori lelaki itu. Lelaki berkot serba hitam yang  berada tidak jauh darinya. Dia yang berada di dalam perut Waja berwarna Silver, diam tak berkutik. Dengan gaya seperti watak Dylan Sanders di dalam filem Charlie’s Angles matanya tajam memerhati di balik Rayban hitam itu.
Sejak menerima beberapa sms dari nombor yang dia sendiri tidak kenali, dia nekad mengambil tindakan seperti ini. Seperti yang dia lakukan sekarang. Mengekori dalam diam. Tindakan ini mungkin boleh dikategorikan sebagai jenayah. Tetapi bagi dia ini bukan jenayah. Lagipun lelaki yang sedang dia ekori ketika ini bukannya orang lain, suaminya sendiri.
Sejak menerima sms dari seorang wanita yang mengaku mempunyai hubungan intim dengan suaminya, dia bagaikan tebuan yang dijolok sarang. Cuma yang membezakan dia dan serangga penyengat itu adalah tindakan yang dilakukan. Dia masih mengambil langkah untuk memerhati si suami tanpa menyerang. Berbanding tebuan, jika diusik pasti bisa sengat akan hinggap pada si mangsa.
Mulanya dia tak percaya. Setakat sms yang dia terima, sedikit pun tak menggoyahkan rasa percayanya terhadap si suami. Tetapi sejak dia mula memerhati suaminya secara teliti, perasaan syak mula bertandang. Dengan kekerapan suami yang kerap menjauh tatkala menerima panggilan telefon, membuatkan dia sedar. Dan sejak-sejak dia terjumpa telefon bimbit kedua milik suaminya, rasa syak itu semakin merasuk.
Matanya masih memerhati si suami. Lelaki itu kerap kali membelek jam di tangan. Dia tahu, suaminya itu sedang menanti seseorang. Seorang wanita. Semua itu dia pasti setelah mencuri baca sms di telefon suaminya. Suami yang cuai itu tertinggal telefon bimbit kedua sewaktu keluar dari rumah. Dan mungkin kerana menyedari yang telefon bimbit itu tiada, si suami kembali semula. Dia nyaris tertangkap. Mujurlah cepat-cepat dihafal tempat dan masa pertemuan mereka. Dan si suami langsung tidak menaruh syak. Tidak tahu yang rahsianya sudah terbongkar.
Mengenangkan semua itu hatinya sebak. Rumahtangga yang dia bina selama 10 tahun hancur begitu sahaja. Berderai dengan tiba-tiba.
Hari ini dia nekad. Hubungan rahsia itu akan dia bongkar. Biar suaminya tahu dia bukan wanita yang lemah. Mudah dipijak dan senang diperkotak-katikkan.
Tangkai jantungnya bagai direntap dengan tiba-tiba. Seorang wanita jelita dan bergaya turun dari sebuah Teksi Limo. Yang berhenti tepat di ruang lobi hotel. Aksi mesra si suami dan wanita itu menikam – nikam jantungnya. Hancur, lumat.
Tanpa berlengah dia pantas menuju ke arah pasangan itu. Jelas di mata suaminya itu yang lelaki itu begitu terkejut akan kehadirannya. Memandang kaku pada dia yang berdiri tegak di hadapan mereka. Amat jelas di mata lelaki itu. Wanita jelita lagi bergaya itu sekadar mengerutkan dahi. Memandang dia dari atas ke bawah. Namun kedua-dua pandangan itu dia tak peduli. Apa yang dia tahu, rasa amarah ini perlu dihamburkan.
Cincin yang tersemat di jari manis, ditanggalkan. Langsung dilempar ke arah wajah suaminya. Satu tamparan melekap di pipi si wanita jelita itu. Dan kemudian dia terus berlalu. Juraian air mata mengalir tanpa henti. Dan waktu itu hujan gerimis mulai turun. Tangisan sendunya mengiringi sang hujan yang membasahi tar.
Langkah kaki yang semakin menghampiri ke Waja itu, tiba-tiba terhenti. Lengannya ditarik rakus. Tersentap. Wajahnya jelas memerah. Menahan rasa. Wajah lelaki yang menarik lengannya itu tidak ingin dipandang.
Melihat dia diam sahaja, kunci Waja itu dirampas. Alarm Waja berwarna Silver itu berbunyi. Pintu tempat duduk bersebelahan pemandu itu dibuka, kasar. Dia dipaksa masuk ke perut Waja tanpa rela.
Waja itu mula dipacu. Membelah jalan dalam hujan gerimis. Dan perbalahan bermula. Suara dia dan si suami saling bertingkah. Persoalan dan penjelasan sudah tidak dapat didengari dengan jelas.
Keadaan makin tertekan. Keduanya tidak mahu beralah. Masing-masing dengan hujah tersendiri. Sudahnya dia diam membisu. Wajah dipalingkan ke luar tingkap. Dan gerimis masih belum reda. Begitu juga air matanya.
Si suami semakin tak keruan. Pedal minyak ditekan sekuatnya. Meter Waja sudah berlari dari 100km/j ke 140km/j. Dan hujan masih turun mencurah.
 
Lampu isyarat berwarna hijau sudah bertukar ke warna kuning. Warna kuning, isyarat untuk memperlahankan kenderaan. Dan Waja itu makin galak meluncur. Dan Lampu isyarat bertukar ke warna merah. Waja Silver itu semakin berani meredah jalan yang basah. Dan tiba-tiba, bang!
Bunyi kenderaan saling berlanggar. Kuat, berdentum. Dan hujan masih lagi turun.

Comments

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)

[10] Cerpen : Semasam Yogurt Semanis Ais krim