[6] Cerpen : Sumpahan Rindu, Mahsuri.

Ambil feel kat sini :








Kredit : You Tube.


            Tangannya menepuk lembut tubuh kecil yang berada di sisi. Memandang wajah polos Hakim yang bakal menyambut ulangtahun  kelahiran yang ke-7 tidak lama lagi, mengudang rasa sayu di hati.
            “Babah!” Suara serak si anak membuatkan dia berpaling. Memandang wajah Hakim.
            “Iya.” Senyuman diukir buat anaknya itu.
            “Tadi cikgu cakap, lepas habis peperiksaan, cikgu akan buat lawatan ke Langkawi.”
            Dia merenung mata Hakim.
            “Jadi, Hakim nak ikut sama ke sana?” Soalan dia tidak dijawab oleh si anak. Sebaliknya Hakim merenung mata dia. Sayu.
            “Babah, Mahsuri tu siapa?” Pertanyaan Hakim itu disambut dengan bunyi guruh yang kuat berdentum.
            “Cikgu cakap, Langkawi tu terkenal dengan lagenda Mahsuri.” Dia tergamam.
            “Cikgu tak cerita dekat kelas ke?” Dia bertanya kembali.
            “Tak.” Hanya itu bicara Hakim.
            “ Babah. Nama mama pun Mahsuri kan?” Matanya dialihkan ke lain. Tidak sanggup bertentang mata dengan Hakim. Pilu. Rasa itu meresap ke jiwa.
****
Tujuh tahun dahulu…
            “Abang rasa anak kita ni lelaki ke perempuan?” Sepantas soalan si isteri, jemarinya terus menyentuh perut Yang Mahsuri yang masih lagi kempis. Lama dia berkelakuan begitu. Lagaknya sudah seperti si tukang ramal.
            “Abang rasa perempuan.” Dengan yakin dia berkata.
            “Buktinya?” Badannya terus ditegakkan. Kini matanya terarah pada wajah isterinya.
            “Buktinya…,” Kata-kata itu terhenti, lalu senyuman meniti di bibirnya. Gelihati melihat si isteri begitu teruja untuk mendengar penjelasan daripadanya.
            “Sebab Yang makin hari makin cantik. Makin hari makin abang terpesona dengan Yang. Tengok ni, mata abang dah dipaku, tak boleh beralih dah.” Tertunduk malu si isteri. Namun tangan Yang melekap di pipi dia. Mengelus lembut.
            “Abang ni kan… suka sangat usik Yang tau.” Hatinya bersorak rian,  pabila melihat pipi Yang Mahsuri sudah kemerah-merahan. Walaupun sudah hampir beberapa bulan mereka bergelar pasangan hidup, isterinya masih malu-malu dengannya.
            “Yang! Abang sayang Yang.” Itu pengakuan jujur dari hatinya. Bagi dia Yang Mahsuri merupakan angugerah terindah untuknya daripada Ilahi.
            “Yang pun sayang abang.” Senyuman yang terukir di bibir sang isteri, membuai rasa hatinya.
            “Abang janji akan sayang Yang, sampai nyawa abang bercerai dari badan.” Matanya memanah mata Yang Mahsuri.
            “Sumpah!” Tangannya diangkat, bagaikan berikrar. Cuba menyakinkan isterinya.
            Namun Yang Mahsuri pantas menggenggam jemarinya. Kuat.
“Tak baik main sumpah, abang. Nanti makan diri.”Tegur isterinya.
            “Abang berani bersumpah sebab abang tahu, takkan ada sesiapa lagi yang abang akan sayang, yang akan abang jaga melainkan Yang.”
            “Macam mana kalau abang langgar sumpah?”
            Lama dia merenung wajah si isteri di hadapan.
            “Kalau macam tu Yang boleh sumpah abang pula. Macam Mahsuri sumpah Langkawi.” Dia berlelocun, kembali mengusik isterinya.
            “Abang ni kelakarlah. Nanti Yang sumpah abang betul-betul baru tau.”Ugut si isteri.
            “Yang sanggup ke sumpah abang, si suami yang baik hati ni?”Wajahnya sengaja disebikkan.
            “Kalau abang langgar janji, Yang sumpah abang 7 keturunan.”Gurauan yang berbaur amaran itu disertakan pula dengan aksi mata yang dibeliakkan.
            Dia menjongketkan sebelah keningnya.
            “Yang nak sumpah abang jadi apa? Jadi padang jarak, padang terkukur?”
            Wajah geram si isteri, membuatkan dia ketawa.
“Yang sumpah, abang takkan dapat kasih sayang Yang. Untuk seumur hidup abang, sampai 7 keturunan. Lepas tu Abang akan hidup dalam sengsara, sebab rindukan Yang.”Dia terdiam. Namun senyuman di wajah isterinya itu membuatkan hatinya berasa senang.
****
Tahun 2006
            “Abang jadi balik ke hari ni?” Dia bertanya kepada suaminya. Rasa teruja untuk berkongsi berita jantina anak mereka, ditahan. Lagi baik jika suaminya itu diberitahu secara berhadapan.
            “Kenapa? Yang tak suka ke kalau abang balik hari ni?” Pertanyaan sinis dari suaminya itu membuatkan dia tersentak.
            “Bukan tu maksud Yang.” Dia jadi hairan, sejak kebelakangan ini suaminya itu kelihatan lain daripada kebiasaannya. Kata-kata manis dan romantis sudah jarang meniti di bibir suaminya itu.
            “Manalah tahu. Kepulangan abang ni menganggu aktiviti Yang.” Kata-kata suami yang semakin menikam itu membuatkan dia menahan geram.
            “Apa maksud abang ni?” Sedikit keras suaranya.
            “Sudahlah Yang. Abang malas nak bertekak. Nanti abang balik ke rumah papa. Esok sajalah abang pergi ambil Yang. Abang letih, nak berehat.” Pedih. Kata-kata Syed Safwan ternyata menghiris hatinya.
Suami itu bagai tidak menyenanginya akhir-akhir ini. Dahulu dia sering dimanjakan. Namun sejak kandungannya semakin menghampiri tarikh kelahiran, sifat amarah Syed Safwan semakin menjadi-jadi. Ganggang telefon yang diletakkan sebelum dia sempat berpamitan dengan si suami, membuatkan cecair jernih di tubir matanya jatuh ke pipi.
****
         “Aik! Mana bini kau Wan?” Kelihatan Sharifah Mahira mendekati adik iparnya itu.            
         “Ada kat rumah Mak Ndak.” Mak Ndak itu ibunya Yang Mahsuri. Sejak dari sebelum berkahwin keluarga Tuan Syed Idrus, bapanya Syed Safwan memang terbiasa memanggil ibu bapa Yang Mahsuri begitu. Pak Ndak dan Mak Ndak.
            “Kau ni Wan, sudahlah jarang-jarang ada kat rumah, dah balik tu pergilah tengok-tengokkan  bini tu. Tengok apa yang dia buat. Jangan percaya sangat dengan bini kau tu.” Sindir Sharifah Mahira.
            “Apa maksud Kak Mahira?” Rasa kurang senang mengetuk  hatinya.
            “Kau tak tau ke, sepupu dia Deraman sekarang menumpang duduk di rumah dia orang.”
            “Memang dari dulu lagi pun Man tu duduk kat situ, kalau-kalau dia ada urusan kat area sini. Lagipun dia orang bukannya duduk serumah. Terang-terang Deraman tu duduk menumpang kat rumah sewa Pak Ndak.” Keras melingking suaranya. Kurang selesa apabila bicara Sharifah Mahira terhadap isterinya itu berbaur negatif.
            “Memanglah. Tapi rumah dia orang tu kan sebelah-menyebelah. Hari tu akak ada pergi menjenguk Mahsuri. Akak nampak dengan mata kepala sendiri. Si Mahsuri tu bertepuk tampar dengan si Deraman depan pintu pagar rumah sewa dia orang tu.”
            Hatinya sedikit terusik akan kata-kata kakak iparnya itu. Benarkah Yang begitu? Syaitan yang sememangnya sudah menghuni di dalam pembuluh darah itu, cepat sahaja menghasut hati si anak Adam. Rasa was-was itu cepat-cepat dia usir.
            “Lebih baik kau jaga-jaga Wan. Jangan sampai tertipu. Jangan sampai kau ni jadi kambing hitam.” Dia melihat tubuh Sharifah Mahira menghilang di balik tirai yang memisahkan ruang tamu dan dapur rumahnya.       
Kambing hitam? Apa maksud Kak Mahira? Syed Safwan  bertanya sendiri. Rasa syak itu segera diusir. Kakak iparnya itu, memang sejak dari dahulu lagi kurang serasi dengan isterinya. Kata mummy, Sharifah Mahira itu marahkan Yang Mahsuri kerana isterinya itu tiada berketurunan Syed dan Sharifah.
****
            Melihat wajah sugul kedua ibu bapanya membuatkan Yang Mahsuri terasa dirinya mahu rebah. Rasa terkejut akibat diserbu ahli jawatankuasa masjid tadi, belum pun hilang. Dengan keadaan perut yang memboyot, dia rasa dirinya sudah tidak lagi mampu berdiri. Dunia pula dirasakan seakan berhenti berputar.
          “Nak cakap apa lagi?” Jerkahan lelaki di hadapannya itu membuatkan air matanya mengalir laju. Tidak pernah papa meninggi suara ke arahnya. Apatah lagi mengherdiknya. Pada dia Tuan Syed Iderus adalah bapa mertua terbaik di dunia ini.
            “Mummy tak sangka Mahsuri begini orangnya. Apa salah anak Mummy pada keluarga Mahsuri?” Dia memandang tajam pada wanita yang menggelarkan dirinya mummy itu. Tidak disangka sampai begitu sekali tuduhan yang dia terima daripada ibu mertuanya sendiri. Yang selama ini sangat menyayangi dia.
             “Ndak,macam mana kamu ajar anak ni?” Syed Iderus mengherdik pula kepada bapanya.
         “Sanggup kamu berzina, walaupun tengah mengandung!” Tuduhan yang dilemparkan Syed Yahya, abang iparnya membuatkan dia memandang tajam ke arah Syed Yahya.
Sikap lelaki itu yang langsung tidak menghormatinya sebagai adik ipar, membuatkan dia sudah hilang rasa hormat. Kerana Syed Yahyalah, dia meminta izin suaminya untuk menetap di kampung. Abang ipar yang tidak sedar diri itu seringkali cuba menggodanya tatkala Syed Safwan keluar bertugas.
         “Entah-entah, anak dalam perut dia tu bukannya anak Wan tapi anak lelaki tak guna ni.” Suara Sharifah Mahira melengking kuat. Sambil tangannya mengarah ke Deraman yang sudah lembik dipukul orang-orang Syed Yahya.
           “Kak Mahira!” Amarah menguasai dirinya. Katalah apa sahaja terhadap dirinya. Hinalah keluarganya sampai telinga mereka putus untuk mendengar segala tohmahan. Tetapi menafikan anak di dalam kandungannya itu bukan anak Syed Safwan tidak sekali-kali dia izinkan.
         “Betul apa aku cakap! Selama ni pun Wan selalu outstation. Setiap kali tu jugalah kau pulang ke kampung. Kalau bukan sebab datang nak menyundal dengan sepupu kau ni, kau tak akan balik sini!”
            Kata-kata Sharifah Mahira memang sudah melampau. Dia sudah bangun menerpa ke arah wanita itu. Tetapi perbuatannya dihalang oleh sesusuk tubuh lelaki. Lama dia merenung wajah di hadapannya itu.
            “Abang…” Matanya seolah mengharapkan lelaki itu berkata-kata. Sejak dari tadi, suaminya itu diam menunduk ke lantai sahaja. Wajahnya langsung tidak dipandang.
            “Kalau apa yang Kak Mahira tu cakap salah, biar ujian DNA yang tentukan.” Perlahan. Suara Syed Safwan seolah berbisik.
             “Apa maksud abang?” Hatinya berdegup laju.
            “Kita ikut cakap papa, buat ujian  DNA untuk buktikan siapa bapa bayi ni.” Pandangannya berpinar. Kata-kata yang lahir dari mulut suaminya itu seolah mengakui tuduhan yang dilemparkan kepada dia.
              “Sampai hati abang cakap macam tu. Anak ni anak abang. Hasil dari cinta abang dan Yang selama ni.” Air matanya deras mengalir. Hatinya sakit, namun dia sudah seperti batu di persisir pantai. Yang dipukul ombak. Semakin dihakis.
            “Dengan apa yang dah jadi hari ni, abang dah tak mampu nak percaya pada sesiapa pun. Abang keliru.” Syed Safwan melarikan mata dari memandang wajah dia.
            “Boleh jadi betul kata Kak Mahira. Kehadiran abang selama ini hanya untuk menutup aib kau orang.”
        Satu tamparan melekap di pipi lelaki itu. Syed Safwan terkedu dengan tindakan isterinya. Tidak menyangka wanita yang selama ini begitu lemah-lembut kini berani bertindak sejauh ini. Pipinya terasa pijar. Pedih.
            “Kalau itu yang abang mahukan, baiklah. Kita buat ikut permintaan papa. Tapi jangan sesekali abang menyesal dengan tindakan abang ni!” Dia mengugut. Saat itu juga dia terpandang akan senyuman sinis di wajah Sharifah Mahira. Agaknya, biras itu berpuas hati dengan episod duka yang dia alami.
            Dia berjalan mendekati Syed Safwan yang masih lagi kaku berdiri di situ.
       “Abang dah mungkir janji yang abang buat dulu.” Perlahan dia berbisik. Dan saat itu juga pandangannya tiba-tiba jadi kelam. Dia sudah tidak nampak apa-apa lagi. Yang kelihatan hanya layar hitam yang kosong.
****
            Pintu bilik pejabat yang berkaca itu ditolaknya perlahan. Rasa lemah menguasai diri. Mengingatkan peristiwa yang berlaku sebentar tadi, dia jadi tidak bermaya.
            Dia duduk bersandar pada kerusi empuk itu. Kerusi yang selami ini menyamankan rasa, kini tidak mampu memujuk hati gelisahnya. Serasa ingin menangis dengan apa yang telah terjadi dalam hidupnya. Namun siapa dia untuk menolak ketentuan Ilahi. Jika ini ujian untuk dia sekali lagi, dia berdoa, memohon supaya hatinya dikuatkan.
            Ketukan di pintu kedengaran. Kelihatan wajah rakan sekerjanya, Yohana di balik pintu kaca itu.
            “Suri! Kau okey ke ni? Pucat je aku tengok?” Tanya Yohana, sebaik masuk ke biliknya.
            “Maaf, Hana. Tiba-tiba aku rasa tak sihat. Aku nak balik awal.” Sebaik melihat anggukan Yohana, dia terus mencapai beg tangannya.
            “Tapi kau boleh drive ke ni?” Rasa prihatin Yohana, dibalas dengan gelengan.
            “Aku tinggalkan kereta kat sini. Sepupu aku akan datang ambil.” Balas dia dengan suara yang lemah.
Ingatannya kembali kepada kejadian di café sebentar tadi. Menggigil tubuh badannya apabila terpandang wajah Syed Safwan yang ketika itu turut merenung tajam ke arahnya.
Panahan mata lelaki itu bagaikan memutus seluruh urat sendinya. Tanpa sedar dia menangis. Kalut dengan situasi itu, dengan sepantas kilat dia meninggalkan café. Pandangan orang ramai sudah tidak dipedulikan lagi.
****
            Dia berjalan menuju ke lobi dengan langkah yang lemah-longlai. Pandangannya kabur. Air mata yang mengalir tanpa henti itu menyukarkan dia untuk melihat dengan jelas.
         “Yang.” Satu suara menyapa dia. Melihat susuk tubuh yang kian menghampirinya, membuatkan seluruh anggotanya lumpuh. Sudahnya dia kaku di situ.
            “Maaf, encik salah orang.” Dia cuba menafikan.
       “Tak mungkin abang silap cam. Abang masih ingat siapa isteri abang.” Kata-kata Syed Safwan mengundang amarah di jiwa.
            “Isteri? Siapa?” Dia mendengus. Kuat.
      “Dah lama abang cari Yang. Hakim asyik menunggu Yang kembali.” Mendengar nama Hakim membuatkan dia termenung seketika. Wajah Syed Safwan dipandangnya. Lama.
        “Iya, Hakim anak kita.” Dia khayal mendengar kata-kata yang lahir dari mulut Syed Safwan itu. Lagaknya seperti orang yang diberi suntikan bius. Namun semua itu hanya untuk seketika.
          “Saya tak ada anak dengan awak!” Bentak dia, kuat. Wajah Syed Safwan membiru. Mungkin terkejut dengan tingkah kasarnya itu.
            Dia berkira-kira mahu berlalu dari situ. Tetapi tangannya pantas diraih Syed Safwan. Sentuhan itu membuatkan langkahnya terhenti.
            “Yang, ampunkan abang. Abang tahu silap abang tak dapat ditebus dengan apa-apa pun yang ada di dunia ni.” Rayu Syed Safwan.
          “Habis tu. Kenapa awak datang cari saya? Kenapa awak berani minta saya ampunkan awak?” Soalan demi soalan terluah. Dia merenung wajah itu. Namun cepat-cepat pandangannya dilarikan. Hatinya belum cukup kuat untuk bertentang mata dengan lelaki itu.
            “Yang. Maafkan abang. Semua tu salah abang.  Abang terlalu cepat percayakan kata-kata orang lain. Abang percaya pada fitnah Kak Mahira. Abang ikut telunjuk papa. Abang ikut cakap mummy.” Rintihan Syed Safwan bagaikan matahari terik. Jika dia tidak kuat, ia mampu mencairkan hatinya yang sebeku bongkah ais di kutub utara.
“Abang merayu pada Yang, kembalilah pada kami.” Syed Safwan masih tidak berputus asa. Melihat dia yang masih berdiam, lelaki itu meneruskan rayuannya.
“Hakim perlukan mama dia. Anak kita perlukan Yang. Abang pun perlukan Yang.” Matanya yang berkaca itu, dihalakan kepada Syed Safwan.
        “Macam mana saya nak kembali? Awak dah lupa apa yang dah berlaku 7 tahun lepas?” Tersekat-sekat suaranya. Menahan getar.
            Wajah Syed Safwan dipandang, tajam.
            “Awak lupa yang awak dah bunuh Yang Mahsuri 7 tahun lepas. Walaupun tiada darah  yang tumpah dari jasad saya, tetapi hati saya mati disebabkan awak!”Syed Safwan tunduk mengukur lantai.
Melihat reaksi Syed Safwan yang begitu, dia dengan pantas berlalu meninggalkan lelaki itu.
            “Yang!” Dia terkejut dengan tindakan Syed Safwan yang tiba-tiba sahaja memintasnya.
            “Takkanlah sekelumit rindu pun tiada untuk abang. Kalaupun bukan pada abang, tapi pada Hakim, anak kita. Yang tak rindu pada Hakim?”           
            Dia ketawa sinis. Sekadar untuk menutup rasa pilu di hati.
            “Waktu awak setuju dengan idea papa untuk buat ujian ke atas Hakim, awak dah bunuh jiwa saya. Sekarang saya dah tak mampu untuk berasa apa-apa…,”
            “Awak tahu, penghinaan papa dan keluarga awak tu tak lut pada saya. Tapi…,” Dia menarik nafas sesaat. Cuba meraih kekuatan untuk terus berdepan dengan Syed Safwan.
            “Luluh hati saya bila awak sendiri yang nafikan Hakim tu anak awak. Sedangkan, awak tahu saya tak pernah dan tak akan curang dengan awak. Rasa tak percaya awak tu umpama tombak sakti yang berjaya ‘membunuh’ saya!” Air mata seperti sudah serasi di pipinya. Mengalir tanpa henti.
           “Yang…” Kata-kata Syed Safwan mati di situ. Sudah habis daya untuk memujuk wanita di hadapnnya itu.
            “Waktu awak failkan penceraian kita, saat tu Yang Mahsuri dah lenyap dari muka bumi ni. Macam mana lenyapnya Mahsuri di bumi Langkawi, begitu juga dengan saya. Sekurang-kurangnya kubur Mahsuri itu bertanda, sedangkan kubur saya….”
            Dia berlari keluar ke tempat parkir kereta. Sebuah Gen-2 Biru Turqouis sudah sedia menantinya. Kelihatan Deraman merenung wajah dia dan Syed Safwan silih berganti.
****
            “Kalau abang langgar janji, Yang sumpah abang 7 keturunan.”     
            “Yang nak sumpah abang jadi apa? Jadi padang jarak, padang terkukur?”
“Yang sumpah, abang takkan dapat kasih sayang Yang. Untuk seumur hidup abang, sampai 7 keturunan. Lepas tu Abang akan hidup dalam sengsara, sebab rindukan Yang.”
            Dia memandang sayu, Gen-2 yang membawa Yang Mahsuri pergi. Hatinya remuk.
-Tamat-

Cerpen ini dibuat untuk cabaran Geng Urban bagi bulan September. Tema  adalah adaptasi kisah dongeng atau lagenda.


Comments

  1. Makan dalam sungguh. Okey, padan muka Syed Safwan.

    ReplyDelete
  2. Idea menarik, saya duk bayangkan ada kena mgenakan ngn kisah Mahsuri langkawi tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. TQ Julia Esqa sudi singgah. Mmg tak ada kaitan pun. Just ambil asas cerita tu ja. :)

      Delete
  3. Oh...saya suka. Menarik dan sayu saja. Sobss. tahniah.

    ReplyDelete
  4. bleh x smbng cite ni..sedih gak kt safwan..

    ReplyDelete
  5. Alahhh x kn ni je...
    Smbg la lg ..
    Mcm mne dgn ank drg x kn mahsuri x syg ank dia

    ReplyDelete

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)

[10] Cerpen : Semasam Yogurt Semanis Ais krim