[i] Cerita Kita ; Merah Kuning Hijau


i – Sesuatu yang tertunda.

Yohana mengambil tempat duduk yang berada di tengah-tengah ruang bas itu. Seat yang bersebelahan dengan tingkap memang tempat kegemarannya. Dia suka pada kedudukan itu. Kedudukan yang memudahkan dia melihat ke luar sana. Tingkap Rapid KL itu bagaikan layar tv yang mempertontonkan segala cerita.
Dia memandang titisan hujan yang melekap di tingkap jernih itu. Pandangan yang sedingin cuaca ketika itu, seolah menembusi kaca. Dan dia semakin ralit dengan dunia yang dicipta. Dengan Walkman Sony berwarna biru-hitam di genggaman tangan kanannya, dia hanyut sendirian.

Di atas pehanya, terdapat sebuah Coach berbelang hitam-oren. Menutupi hampir separuh duduknya. Di atas Coach itu kelihatan sebuah buku. Buku yang tertera tajuk Urusan Cinta Belum Selesai itu, ditindih kuat dengan tangan kirinya. Dan dia semakin tenggelam.
Hujan gerimis masih setia membasahi jalan tar tanpa menunjukkan tanda-tanda ia akan reda. Dan Yohana semakin dibuai rintis-rintis hujan. Redup pada sepasang mata itu seredup cuaca di luar sana. Dingin pandangan itu sedingin penyaman udara di dalam Rapid KL, yang meluncur di jalan. Entah apa yang sedang berlegar di fikirannya. Tidak tahu. Mungkin juga fikirannya kosong… kosong… kosong. Dan dia semakin jauh… jauh.
Matanya masih terpaku di luar sana. Sekalipun bertali arus kenderaan yang lalu-lalang di sisinya, tidak langsung dia peduli. Dan bas itu berhenti. Kerana isyarat merah menyala di hadapan. Merah tanda berhenti. Saat itu juga kelihatan sebuah Naza Bike berhenti. Tepat di sebelahnya. Dan dia masih seperti tadi. Memerhati di dalam dingin.
Penunggang Naza Bike itu menoleh. Seolah sedar akan pandangan dingin yang menghala ke arahnya. Walau hakikatnya, pandangan itu entah terhala ke mana. Renungan itu yang sedingin air hujan yang membasahi jaket kulit hitamnya.  
Visor Arai hitam pekat itu dibuka. Lalu dia menentang sepasang mata dingin itu. Tanpa pemilik mata itu sedar yang dia sedang diperhatikan. Lampu isyarat bertukar kuning, dan si penunggang Naza Bike itu mengukir segaris senyum yang terlihat pada matanya. Dan lampu isyarat itu bertukar ke warna hijau. Di hadapan sana ada simpang. Lalu mereka terpisah. Penunggang Naza Bike itu ke kiri. Sedangkan Rapid KL jalannya lurus.
Dan Yohana terpegun di situ. Cuma matanya sahaja yang menghantar Naza Bike itu pergi. Tangan kirinya menggenggam kuat Urusan Cinta Belum Selesai. Dan hujan masih turun.

Comments

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)