#7: i plus i


“Eh, eh! Awalnya uda bangun. Siap buatkan sarapan lagi!” Ilyasa yang baru turun daripada bilik, menegur adik perempuannya yang sibuk menghidangkan sarapan di atas meja makan. Teruja melihat Izyan yang rajin sangat.
“Mimpi anak raja mana datang meminang?” Ilyasa masih belum habis, mahu menggiat.
“Anak raja ke anak sultan ke, kalau datang meminang pun bukan uda boleh kahwin selagi abang belum kahwin kan? Sia-sia saja anak raja tu hantar rombongan.” Perli Izyan.
Ilyasa tarik senyum. Nampaknya Izyan masih ingat akan apa yang pernah diperkatakan Opah. Dulu pernah mereka adik-beradik bersembang-sembang soal masa depan kononnya, dan waktu itu opah turut ada bersama-sama.
Izyan dan Kay E yang ketika itu sedang bergosip tentang Izham (yang merupakan adiknya, Juga abang kepada Izyan dan Kay E) yang khabarnya sudah mula bercinta. Semuanya gara-gara ternampak wallpaper di skrin telefon Izham yang merupakan gambar seorang gadis.
Adik-adiknya masing-masing sudah memasang angan-angan mahu mendapat kakak ipar. Kata Izyan, kalau menunggu dirinya, entah bilalah dapat merasa nak berkakak ipar.
Dan waktu itu opah terus menyampuk dengan riak yang serius.
“Kalau boleh biarlah abang yang kahwin dulu. Lepas tu baru Am. Kemudian Yan. Dah tu barulah Kay E. Ikut turutan. Tak payah nak langkah-langkah ni.”
Dia sengih saja sebagai membalas apa yang opah katakan itu. Langsung tak memberi sebarang komen. Takut sebenarnya. Cakap-cakap opah tu selalunya bukan berbentuk gurauan. Opah selalu maksudkan apa yang dikatakan. Emak kepada abah itu seorang yang tegas.
Ilyasa senyum sendiri mengingatkan hal itu. Mata masih mengekori lenggok Izyan. Sungguh dia teruja dengan kerajinan tahap luar biasa adik perempuannya itu. Sambil itu dia menarik kerusi di meja makan. Dituang air kopi yang masih panas dari teko ke dalam cawan dengan berhati-hati. Baru saja dia meniup-niup air kopi di dalam cawan, ada suara yang menegur dari arah belakang. Terus dia berhenti meniup. Beku sekejap.
“Lambat abang balik semalam?”
Eh, opah. Detik hati Ilyasa. Terkejut sangat dengan kemunculan opah yang tiba-tiba itu. Dan waktu itu dikerling Izyan yang telah berada di sisi.
Patutlah anak dara seorang ni rajin benar. Opah datang bertandang rupanya.
Ilyasa bangun terus raih tangan opah bersalam. Dicium tangan opahnya itu sebelum menjawab soalan opah yang tadi.
“Hujan lebat opah. Tu yang abang tunggu sampai reda baru balik.”
“Itulah. Sudah Pamannya nak belikan kereta, abang pula minta motor. Kan bahaya. Tengoklah, hujan-hujan tak boleh diredahnya juga.” Bebelan opah buat dia terkulat-kulat di meja makan. Pelipis kanan digaru-garu perlahan.
Tak semena-mena terasa bahunya dicuit perlahan. Lantas dia berpaling ke kanan. Izyan sudah tersenyum sumbing bersama dengan ibu jari tangan yang sengaja dinaikkan. Sukalah Izyan apabila dia diperlakukan seperti itu oleh Opah.
Dahulu mak dan Izyan juga kurang berkenan apabila dia berkehendakkan motorsikal z750 itu sebagai pengangkutannya apabila Paman hendak membelikan kenderaan untuk pekerja syarikat (untuk dirinyalah tu). Kata mereka, menunggang ni banyak risiko. Tapi dia pula punya alasan yang lebih logic kerana dengan menggunakan motorsikal dia lebih mudah untuk bergerak. Kenalah dengan kerjanya yang selalu berurusan di luar.
Opah masih terus membebel. Daripada hal pengangkutan, sehinggalah ke sola masa hadapan. Melihat gaya opah yang memang tak akan berhenti bercakap itu, dia sudah berkira-kira mahu bangun.
“Opah. Abang gerak dulu ya. Nanti nak ke KL pula. Kena tengok projek rumah yang kat situ.” Hari ini dia perlu ke sana untuk melihat projek perumahan yang sedang di dalam proses pengubahsuaian. Ah, bukannya projek besar pun. Adalah beberapa buah rumah yang terlibat. Itu pun rumah rakan-rakan Paman. Yalah. Dia bekerja pun dengan syarikat kontraktor yang buat kontrak kecil-kecilan. Dia sendiri pun baru dapat lesen kontraktor untuk kelas D. Dapatlah duit lebih sikit.
Sebelum berlalu sempat dia bersalam dengan opah dan mak yang masih sibuk di dapur. Izyan pula mengekor saja di belakangnya. Adalah tu yang Izyan nak sampaikan padanya secara senyap-senyap.
“Ada apa ni?” soalnya apabila sampai di pintu rumah. Sepatu berwarna hitam yang terletak elok di lantai luar rumah itu disarung ke kaki.
Sorry.”
Sorry kenapa pula ni?”
“Pasal hal pinang-meminang tadi. Uda tak ada niat nak cakap macam tu tadi.” Izyan tundukkan wajah pandang ke lantai.
Ilyasa tergelak melihat mimik muka bersalah Izyan. Diluku perlahan kepala adiknya itu. Namun, riak wajah Izyan masih seperti tadi. Adiknya itu betul-betul rasa bersalah agaknya.
Sejak-sejak hubungan dia dan Alea tak menjadi, semua ahli keluarganya berhati-hati kalau berbicara soal jodoh. Semuanya berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Cuma opah saja yang sesekali berbunyi. Kadang-kadang seperti mendesak pun iya juga. Setakat hari ini, dia masih lagi mampu untuk mengelak. Dan opah pula, seperti faham dengan isi cucu lelaki yang sulung ini.
“Abang.” Panggilan Izyan itu buat dia tersedar daripada khayal yang seketika.
“Uda. Abang tak ambil hati pun. Tahu yang adik abang ni bergurau.” Katanya sambil tersenyum senang. Sekali lagi kepala Izyan jadi sasaran buku limanya. Dan masih seperti tadi juga, kepala adiknya itu diluku perlahan saja.
“Abang!” Panggil Izyan lagi sekaligus membuatkan dia tidak jadi merabat ke atas motorsikalnya.
“Apa lagi? Abang dah lambat ni.” Tegasnya apabila dilihat Izyan seperti mahu melengah-lengahkan masa.
Izyan sengih tunjukkan gigi.
“Nanti jangan lupa telefon angah, suruh balik.” Pesan Izyan padanya.
“Angah tu kembar uda kan? Telefonlah sendiri tanyakan.” Ilyasa lepaskan tawa apabila melihat Izyan mencebik kurang senang dengan saranannya tadi.
“Okeylah. Abang gerak dulu. Assalamualaikum.” Pamitnya sebelum meninggalkan rumah.


Isma tak tahu nak gelak atau apa. Sejak daripada tadi whatApps nya dipenuhi dengan foto-foto yang dihantar oleh isteri abang sepupunya, Kak Mia. Dan sejak beberapa minit yang lalu itulah, album whatApps nya penuh dengan gambar si pengapit pengantin abang sepepunya.
Lelaki yang konon-kononnya di dalam projek ‘Mari kenenkan kawan Abang Luth dengan Isma’anjuran abang sepupunya bersama isteri tercinta. Tetapi di dalam ‘projek’ ini ternyata Kak Mia yang melebih-lebih.
Kak Mia. Sudah-sudahlah tu. Berat hp Isma nanti!
Tak suka! Mesej itu dihantar serta merta kepada isteri abang sepupunya.
Tetapi di dalam dia kononnya tak suka sebab memori telefon bimbitnya akan menjadi berat, sempat juga dia membelek setiap gambar yang diberikan. Malah, dia siap zoom lagi wajah si pengapit berbaju melayu biru langit itu. Sudahnya, wajah lelaki itu seperti sudah ditanam di dalam kotak ingatannya.
Rasa-rasanyalah, kalau dia terserempak dengan si pengapit Abang Luth itu di kemudian hari pasti dia dapat mengecam lelaki itu dengan sekali pandang saja.
Isma pekup mulut menahan ketawanya daripada terlepas. Berangan sangat.
Kemudian dia memandang ke sekeliling. Takut-takut ada mata yang memandang pelakuan tak semenggahnya itu. Setelah pasti dirinya tidak diperhatikan, Isma simpan semula telefon bimbitnya ke dalam beg. Namun, seketika telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Terus di swipe simbol hijau pada skrin telefon bimbitnya.
“Hello.” Dia berbisik. Takut-takut mengganggu rakan-rakan sekerja yang lain.
“Hari Sabtu malam nanti kita pergi main badminton ya.”
Isma geleng kepala dengan permintaan Kak Mia itu.
Apahal tiba-tiba saja ajak dia bersukan pula ni? Malam-malam pula tu.
“Awak kena bersukan Isma. Kak Mia tengok Isma makin berisi. Pipi pun dah tembam macam kuih pau.”
Isma dah beliakkan biji matanya. Tak sangka Kak Mia kritiknya tanpa bertapis.
Mentang-mentanglah kita ni kamceng dengan dia. Cakap main lepas saja. Sama taraf dengan juri American Idol dah gaya Kak Mia. Bidas isma di dalam hati.
“Tau! Nanti kita orang pergi ambil awak dekat rumah. Nak ajak housemate awak pun boleh Isma. Lagi ramai lagi seronok.” Cadangan Kak Mia itu Isma dengar saja tanpa bantahan. Nak cakap apa lagi kalau rancangan sudah pun diatur dengan rapi. Lagipun…
Automatik tangan kiri Isma menyentuh pipinya sendiri. Ditepuk perlahan dan berkali-kali. Memang dia agak berisi. Terakhir dia menimbang berat badannya pada minggu selepas kenduri Abang Luth. Beratnya sudah naik 3 kilogram. Menjadi 55 kg.
Dulu sewaktu zaman dia belajar beratnya baru mencecah 50 kilogram. Itupun dah terasa berat. Lepas tu naik 2 kilogram selepas setahun dia mula bekerja. Sekarang pula dah separuh daripada 60 kilogram.
Harus dia rasa risau. Patutlah dia terasa malas-malas saja sekarang ini. Berat dah naik. Heh! Alasan semata-mata. Itu yang Suri selalu katakan tiap kali dia mengeluh.
Ini semua gara-gara Suri lah. Suka sungguh buat aktiviti jalan-jalan cari makan. Risaunya semakin bertambah-tambah apabila memikirkan hal berat badannya itu. Dan tanpa berfikir banyak lagi, dia terus bersetuju dengan cadangan Mia.
“Okey. Set! Nanti jangan lupa jemput kita.” Pesannya kepada Mia sebelum mengakhiri perbualan mereka.
Dan malam ini dia akan pujuk Suri supaya bersama-sama dengannya di dalam misi menurunkan berat badan. Telefon bimbit dia simpan semula di dalam beg. Sebelum itu dia letakkan mode silent pada telefon bimbitnya. Tidak mahu konsentrasi kerjanya terganggu lagi. Cukup-cukuplah tadi dia curi tulang.

Isma kembali fokus pada kertas-kertas di atas mejanya. Sudah tidak teringat lagi akan rancangan bermain badminton tadi. Malah hal tentang si pengapit Abang Luth pun dia sudah lupakan. 

Comments

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)