#10: i plus i



Isma yang tengah keluarkan pinggan mangkuk daripada kotak terus terhenti perbuatannya sebaik saja nama si pengapit Abang Luth itu disebut oleh Mia.
“Dia datang juga ke malam nanti?” tanya Isma seperti kurang senang. Bukan sebab dia tak suka akan Ilyasa itu, tetapi sejak dia tahu duduk perkara sebenar ditambah pula dengan kejadian malam hari itu… entah, yang pasti dia rasa tak selesa mahu bertemu lelaki itu lagi.
“Mestilah datang. Yas tu kan kawan baik abang sepupu awak.”
“Ala…” keluh Isma. Ni yang buat dia rasa menyesal datang tolong Abang Luth dan Kak Mia pindah rumah baharu.
“Kenapa? Isma tak suka Yas?” soal Mia dengan riak serius.
“Bukan tak suka…” Belum habis Isma menyusun ayat Mia sudah mencelah.
“Jadi, Isma setujulah kitaorang nak…” Mia tak sambung ayat sebaliknya buat isyarat pakai jari. Jari telunjuk kanan dan kiri Mia satukan rapat-rapat. Siap tayang muka teruja bercampur suka.
Isma dah jegilkan matanya. Faham dengan apa yang Mia maksudkan itu. Cepat-cepat dia nafikan. Karang makin salah faham pula kalau dia diamkan saja.
Kak Mia ni bukan boleh cakap lencong-lencong sangat, nanti tersalah tangkap maksud lain pula jadinya.
“Bukan tu lah maksud kita…” Isma ketap bibir geram.
Mia diam beri peluang Isma berkata-kata.
“Kita tak...”Isma mati kata. Tidak tahu bagaimana mahu gambarkan perasaannya. Bukanlah tak suka, tapi bukan juga sebab suka. Yang pasti, dia memang cukup tak berkenan dengan cara begini. Matchmaker!Anti sungguh.
Melihat Isma yang teragak-agak, Mia dah angkat sebelah kening.
“Kak Mia ni…” Suara Isma yang tadi agak kuat dah makin mengendur. Makin perlahan sampai Mia terpaksa dekatkan diri kepada Isma.
Isma toleh muka ke sebelah kanan, pandang tepat ke wajah Mia.
“Boleh tak abang Luth dan Kak Mia hentikan pelan tak semenggah ni?” Luah Isma berterus-terang.
“Awak dah ada boyfriend?”
Isma tepuk tangan ke dahi agak kuat bunyinya. Lain yang dia harap, lain pula yang Mia faham.
Isma menggeleng laju.
“Okeylah tu. Isma tak ada boyfriend. Yas pun single, jadi tak ada masalah lah, kan?”
Isma mengeluh panjang. “Kita tak suka lah macam ni. Matchmaker bagai. Macam terdesak sangat. Macam kita ni tak pandai nak urus sendiri soal jodoh.” Lagipun, mana Kak Mia tahu yang Ilyasa itu masih solo? Sambungnya di dalam hati.
Dan yang paling penting, dia memang tak suka didesak untuk berkenalan dengan mana-mana lelaki. Dari zaman belajar sampailah sudah bekerja itulah yang paling dia elakkan. Kalau-kalau ada yang berani-berani buat begitu,  tunggulah dia lancarkan kempen protes ataupun boikot orang tersebut.
Disebabkan fiil tak senonoh dia ini (dia sendiri yang beri gelaran), rakan-rakan langsung tak berani hendak campur tangan.
Ini apabila saudara sendiri pula yang buat hal dia jadi geram. Dalam geram dia sebenarnya kecewa. Kecewa kerana sepatutnya orang yang rapat dengan dia memahami akan dirinya, menyokong dan membantu tetapi sebaliknya yang berlaku. Sebab itu dia tak tahu bagaimana mahu tunjukkan reaksi. Terlebih cakap nanti ada pula yang berkecil hati.
 “Laaaa, Isma ni janganlah fikir macam tu.” Kalau tadi Mia seperti memaksa kali ini tune suaranya seolah memujuk Isma.
“Kak Mia dan abang awak bukan apa, kebetulan masa di kenduri hari tu kitaorang nampak Isma dan Yas, rasa macam korang sepadan sangat. Lepas tu masa kita main badminton tempoh hari… sebab itu kitaorang…” Mia berjeda. Agak lama juga sebelum menyambung semula percakapannya.
“Yalah, yalah. Lepas ni Kak Mia dan abang awak tak akan pandai-pandai dah!” Kata Mia sebelum berpusing menyambung kerja memunggah kotak yang terbengkalai tadi.
Melihat pada situasi sekarang Isma jadi serba salah. Dia tampar bibirnya perlahan. Nampak seperti dia tersalah cakap. Bukan itu maksud yang  dia cuba sampaikan. Dia hargai apa yang Kak Mia dan Abang Luth cuba lakukan, cumanya dia tak mahu rasa dipaksa-paksa.
Haish! Geram dia pada Kak Mia dan Abang Luth seperti sudah beralih kepada Ilyasa. Padahal lelaki itu tak tahu apa-apa pun. Mangsa keadaan. Tetapi, Isma tetap rasa geram. Kerana lelaki itulah punca masalah ini terjadi. Isma menuduh.
“Kak Mia.” Panggil Isma sambil mencuit pinggang isteri abang sepupunya itu. Namun, Mia tak berikan sebarang reaksi.
Sorryyyyy…” Isma tunjuk muka kasihan.
“Kak Miaaaaa!” Kali ini Isma panggil dengan nada merengek.
Mia toleh pandang wajah Isma tepat. Wajah Mia beriak serius.
Isma cubit pipi kedua belah pipi Mia. “Aloloo, comelnya buat muka macam ni. Patut Abang Luth sayang.” Sengaja Isma buat aksi begitu. Ditambah dengan ayat membeli jiwa supaya Mia tak merajuk dengan dia. Perbuatannya itu berhasil apabila Mia berikan secarik senyuman.
Isma tarik nafas lega.
“Kak Mia pun nak minta maaf dengan awak. Yalah, salah kitaorang juga cepat sangat pasang angan-angan.” Mia tepuk pipi Isma perlahan.
“Kita kan kalau boleh biarlah benda ni terjadi secara natural. Tak pun macam Kak Mia dan Abang Luth. Aala-ala drama Hindustan takpun Korea ke,” Isma kenyit mata nakal.
 “Mengata kitaorang la tu!” Ujar Mia geram dengan tangan menarik pipi Isma kuat. Menyeringai kesakitan Isma dibuat dek Mia.

Ilyasa sinsing lengan baju melayunya sedikit sehingga menghampiri ke siku. Songkok hitam di kepala ditanggalkan dan diletakkan ke atas meja. Dia berpakaian sedemikian kerana menghadiri majlis bacaan yasin dan doa selamat di rumah baharu Luth.
“Yas!” Bahunya ditepuk oleh Luth. Secawan kopi dihulurkan kepadanya. Ilyasa sambut lalu menghirup perlahan air kopi di dalam cawan. Masih terasa kesuamannya.
 “Mia tanya kenapa kau tak bawa famili sekali.”
“Ayah dan mak aku balik ke kampung. Ada urusan dengan opah. Uda tadi nak ikut tapi last minute tak jadi pula. Kay E mana nak datang kalau majlis macam ni. Kau macam tak kenal adik bongsu aku tu. Pelik sikit.”
“Izham tak balik?”
Ilyasa geleng.
“Dia kerja di tempat lama lagi ke?”
Kali ini Ilyasa angguk pula.
Dia dan Luth memang selalu berjumpa tetapi jarang-jarang mereka berkisah soal keluarga masing-masing. Selalunya kalau keluar mesti berbincang soal kerja. Soal bisnes. Hal kawan-kawan. Jarang nak bercerita soal peribadi saja-saja kecuali kalau ada masalah atau perlukan pendapat saja.
Sedang dia dan Luth rancak berborak, adik sepupu Luth datang menghampiri. Diletakkan Isma satu beg kertas ke atas meja.
“Untuk siapa?” soal Luth kepada Isma.
Isma tak menjawab sebaliknya mata melirik kepada Ilyasa.
“Kak Mia suruh beri.”
“Terima kasih.” Ilyasa tiba-tiba menyampuk. Siap berserta senyum lagi dia beri. Tetapi Isma tayang muka serius saja. Senyum pun tawar semacam.
“Duduklah minum sama.” Ilyasa pelawa juga Isma walaupun gadis itu tampak tidak betah berdiri di situ.
Isma balas dengan gelengan. “Tak apalah. Ada kerja lagi kat dalam.” Terus Isma berlalu pergi meninggalkan dia dan Luth.
Ilyasa menghantar Isma dengan pandangannya. Dalam pada waktu itu fikirannya bermain dengan sesuatu.
Sikap Isma agak berbeza hari ini berbanding sewaktu pertemuan yang sebelum ini. Semasa bermain badminton tempoh hari, Isma nampak agak mesra. Malam ini gadis itu seperti mahu mengelak daripada bertemu dengannya. Rasa hairan mengetuk fikiran.
“Ehem!” Deheman Luth itu mematikan perbuatannya. Terus Ilyasa berpaling ke hadapan semula. Ditayang riak bersahaja kepada Luth yang sedang duduk di hadapannya ketika itu. Tetapi dek melihat wajah Luth yang tersengih-sengih itu, Ilyasa terus jadi senyum. Hilang  riak wajah yang dikawalnya tadi.
“Weh, aku balik dululah. Dah lewat ni.” Terus Ilyasa minta diri sebelum Luth menyimpang jauh.
Luth berdecit sebelum meyambung kata, “awal lagi ni!”
“Esok aku nak kena ke Seremban awal pagi.” Dia bukannya memberi alasan, sebaliknya dia memang betul-betul ada hal.
“Nanti-nanti aku datanglah lagi.” Ilyasa bangun daripada duduk. Bersedia untuk pulang.
“Ni jangan lupa.” Luth hulur beg kertas yang Isma berikan tadi. Ilyasa sambut  dengan dahi yang berkerut.
“Apasal banyak sangat Mia bagi ni? Aku dahlah datang dengan motor.”
“Motor kau bukannya tak ada box. Sumbat saja dalam tu. Tapi kau jangan lupa pula keluarkan. Karang sampai Seremban kau usung. Dah basi bukan boleh makan lagi.” Bebel Luth panjang.
Ilyasa garu perlahan belakang kepalanya. Tak tahu nak kata apa lagi. Dah kalau macam itu yang Luth jawab. Terima sajalah.
Dia berjalan menuju ke motorsikal yang di parkir di luar rumah Luth ditemani oleh rakan baiknya itu. Baru saja dia rabat ke atas motorsikal, Mia isteri Luth datang menjengah.
“Terima kasih Yas sudi datang. Siap tolong kitaorang lagi. Patutnya datang makan saja.” Ucap Mia panjang lebar.
Ilyasa sambut kata-kata Mia itu dengan sengihan.
“Terima kasih juga sebab tapaukan makanan.”
“Isma yang tolong bekalkan.’ Jawab Mia tersenyum simpul. “Eh, nanti minggu depan kitaorang nak buat bbq. Datang tau!” Ajak Mia.
“InysaAllah. Kalau tak ada apa-apa hal sampailah ke sini.”                      
“Janganlah bagi ada hal. Kena juga datang!” Pesan Mia bersungguh-sungguh. Dia angguk saja iyakan sambil menghidupkan enjin motorsikal.

“Okeylah. Balik dulu. Jumpa lagi nanti.” Ucap Ilyasa sebelum mula meninggalkan pasangan suami isteri itu.

Comments

  1. Cik Penulis, kita dah tersuka cerita ni. Hihi. :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahahaha. Terima kasih Cik Hajar sebab tersuka ;)

      Delete

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)