Prolog: Ku Kira 1,2,3... Bintang Di Langit

Dia pernah bertanya pada seseorang, mengapa dihitung bintang di langit?
Namun tiada jawapan yang dia terima, kecuali seulas senyuman. ~ Ahmad Farhan.



Prolog

            Matanya memandang ke arah sekumpulan budak lelaki yang sedang bermain di tali air tidak jauh dari kawasan sawah padi. Ada di antara mereka yang sedang rakus menyauk ikan. Ada juga yang sedang memegang joran. Dan ada juga yang sedang bermandi-manda.
            Permandangan begitu buatkan dia tersenyum meleret. Teringat yang dulu-dulu dia juga seperti mereka. Berkubang di tali air. Selagi tak dirotan atau dikejar, selagi itulah dia duduk berendam di situ.
            Tiba-tiba, dia dikejutkan dengan bunyi dari telefon bimbitnya. Suara M. Nasir kedengaran nyaring dari dalam poket seluarnya. Dikeluarkan telefon bimbit itu dari poket. Melihat nama umi tertera di skrin, segera dijawab.
            “Paan kat mana ni?” Suara umi menyapa ke telinga.
            “Kat tali air lagi,” beritahunya. Sambil tangan tidak reti duduk diam daripada memetik daun-daun di pokok bersebelahnnya.
            “Nanti kalau jumpa orang jual jemput-jemput, belikan ya?” pesan umi.
            “Iyalah. Nanti Paan belikan.” Janjinya.
            Selepas memberikan salam, umi terus memutuskan talian telefon.
            Dia menarik nafas panjang. Menyedut udara kampung yang segar. Matanya juga terasa segar memandang sawah padi yang semakin menghijau. Kemudian, dengan perlahan-lahan dihembus nafasnya.
            Rindu pada kampung tidak pernah surut. 8 tahun dia tidak menjejakkan kaki ke sini. Tamat saja pengajian di Politeknik 7 tahun lalu, dia terus mendapat kerja di Shah Alam.
Sewaktu di tahun akhir pengajian, keluarganya pula berpindah ke kampung umi di Johor. Menemani arwah nenek yang tinggal bersendirian ketika itu. Jadi dia sudah tidak punyai alasan untuk kembali ke sini.
            Cuma… hari ini dia kembali ke sini. Itu pun atas tawaran berkhidmat sebagai kakitangan awam setelah bertahun-tahun dia bekerja di sektor swasta. Ya. Dia ke sini kerana bertukar tempat kerja.
            Sedang asyik mengenang masa lalu, dia terdengar tangisan budak. Melilau matanya mencari dari mana datang tangisan tersebut.
            Matanya terpandang seorang budak perempuan yang sedang menangis teresak sambil duduk bertinggung. Entah dari mana datangnya budak perempuan itu. Rasanya di dalam kelompok budak-budak yang sedang bermain di tali air itu kesemuanya lelaki. Sungguh, dia tak perasaan langsung. Segera dihampiri budak perempuan itu.
            “Kenapa ni adik?” tanyanya, prihatin.
Dia memandang ke arah lutut budak perempuan yang sedang menangis itu. Berdarah. Rupa-rupanya lutut budak perempuan itu terluka. Agaknya terjatuh sewaktu sedang bermain.
            Tidak menunggu lama, dia terus keluarkan sehelai sapu tangan dari kocek seluarnya, lalu diikat pada lutut budak perempuan tersebut.
            Tangisan yang kuat tadi sudah berhenti. Yang kedengaran cuma esakan halus.
            “Macam mana boleh terjatuh?” tanya dia lagi.
            “Saya tertolak dia!” Tiba-tiba muncul seorang budak lelaki bertubuh kecil dengan wajah yang serba-salah. Dia mengagak yang budak lelaki itu baru berusia di dalam lingkungan 7 hingga 8 tahun. Masih di awal persekolahan.
            Budak perempuan yang duduk bertinggung tadi, bingkas berdiri dengan bantuan budak lelaki tersebut. Dia pula hanya memerhati saja.
            “Aku minta maaf ya,” kata budak lelaki itu pada budak perempuan yang lututnya berdarah tadi.
Mungkin tidak sampai hati melihat keruh di wajah teman sepermainan, budak perempuan itu mengangguk sambil bibir berbunga senyuman. Tanda memaafkan.
            Melihat kelakuan kedua budak tersebut, dia tersenyum tawar.
            Budak-budak kalau berbuat salah, cepat saja meminta maaf. Berlainan dengan orang dewasa.
Agaknya, semakin meningkat umur, ego pun semakin melangit.
            Dia melepaskan keluhan berat.
            Kedua-dua budak tadi mula meninggalkan dia. Dengan kaki yang terhincut-hincut, budak perempuan tadi berjalan dengan bantuan rakannya itu. Dia senyum pahit.
Dilukai itu, perasaannya memang sakit. Tetapi, sakit lagi bila kita melukai seseorang dan kita sedar akan hal itu. Hendak pula orang yang kita lukai itu ialah orang yang kita sayang. Percayalah… perasaan  bersalah itu akan sentiasa menghantui kita. Mengekori kita.
Seperti dirinya… yang mengusung rasa bersalah selama bertahun-tahun. Atas sebab itu dia tidak cuba untuk pulang ke sini. Hanya kerana dia pernah melukai hati seseorang. Dan dia tidak pernah cuba untuk memohon maaf.
            Dia mulai melangkah pergi. Bersedia meninggalkan kawasan tali air. Tetapi langkahnya mati tatkala matanya berjaya menangkap kelibat seorang wanita yang sedang menuntun sebuah basikal. Pada pelantar belakang basikal tersebut, ada seorang seorang anak kecil di atasnya. Waktu itu dia dan wanita tersebut hanya dipisahkan dengan sebatang tali air di tengah-tengahnya. Biarpun keadaan mereka agak berjarak, namun dia  masih mampu untuk mengecam wanita itu.

            “Ji’a…,” serunya tanpa sedar. Air liur ditelan pahit.

Comments

  1. Salam tuan tanah...tak sabar ni tunggu episod seterusnya :)

    ReplyDelete
  2. pahitnya air liur dia. saya terasa

    ReplyDelete

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)

[10] Cerpen : Semasam Yogurt Semanis Ais krim