Bab 5
Tahun 2003- Ahmad Farhan.
Bunyi bising dari arah dapur
menarik perhatiannya. Ahmad Farhan yang ketika itu masih tidur pulas di atas
katil mulai merasa terganggu.
Dia bangun. Turun dari katil lalu menuju ke dapur. Dalam
keadaan mamai dan rambut yang kusut-masai, dia menjenguk ke dapur,
“Umi.”
“Oh, mak hang!” Beg plastik di tangan umi
nyaris terlepas.
“ Ya, Allah! Paan nih, terkejut umi!”
Dia sengih melebar. Dengan keadaan
yang serabai itu dia mendekati uminya yang ketika itu sedang sibuk menyusun
sayur-sayuran di dalam peti sejuk.
“Apa yang kusut sangat ni Paan?” Soalan
umi itu buat dia laju menggaru kepala yang tidak gatal. Makin kusut rambutnya
yang sedia kusut itu.
“Umi tu yang dok kelatak-keletung. Pagi-pagi buta ni umi buat apa. Bukan ke hari ni
tak meniaga ke?”
“Paan oit! Mana ada pagi buta dah. Dah
pukul 10 lebih! Paan tu, solat Subuh tak tadi?”
Dia
menyeringai. Menampakkan barisan giginya kepada umi.
“Ala umi ni. Lepas Subuh baru Paan sambung tidur. Letihlah umi. Nak
patah pingang Paan ni. Johor-Kedah bukannya dekat,” rungutnya sambil menarik
salah satu kerusi di meja makan yang mempunyai 8 kerusi itu.
“Itulah. Kan abi suruh Paan balik sini
naik bas. Tapi Paan ketegaq juga nak naik motor!” Bebelan umi itu
buat dia tersenyum.
“Aiseh!
Umi… bukannya Paan selalu konvoi macam tu. Seronok jugak naik motor
ramai-ramai. Highway tu penuh dengan
kami aja.” Dia ketawa sendiri mengingatkan perjalanan konvoi semalam.
Dia dan rakan serumahnya Firdaus,
serta beberapa orang lagi rakan sekuliah bertolak sejurus Subuh. Memandangkan
dia yang paling jauh negerinya, jadi dia menumpang di rumah Firdaus di Tanjung
Malim. Melepaskan rehat sebentar. Selepas itu baharu dia menyambung semula
perjalanan.
Tetapi disebabkan dia terlajak
tidur di rumah Firdaus, jadi dia lambat menyambung perjalanan ke kampung. Dekat
petang baru dia bergerak. Sudahnya dia sampai ke rumah pukul 1 pagi tadi. Itu
yang dia liat benar nak bangun. Hanya bangun untuk solat Subuh saja. Usai
solat, terus dia tumbang ke katil.
“Ni, Paan balik ke kampus bila?”
“Minggu depan. Exam dah habis. Sekarang tinggal nak
bentang final project aja,” beritahunya pada umi. Sambil itu
tangannya laju membuka tudung saji di atas meja. Sepinggan karipap terhidang di
hadapan matanya.
Sedap! Dia
menelan liur. Perutnya mula berkeroncong lagu asli. Lapar.
“ Kita ada nak buat kenduri ke
umi?” tanyanya sambil tangan mencapai sebiji karipap. Ngap! Sebiji karipap
sudah selamat masuk ke dalam mulutnya. Dia mencapai sebiji lagi.
“Memang nak buat kenduri. Tapi bukan kenduri kita.
Kenduri rumah orang lain,” terang umi kepadanya.
Dalam pada
kusyuk mendengar cerita umi, dia menarik teko yang berisi kopi panas. Lalu dia
ambil cawan yang sudah tersedia di atas meja. Baki karipap diketap kuat di
mulut kerana kedua tangannya sibuk menuang air ke dalam cawan.
“Paan! Makan tu pelan-pelan lah. Jangan gelojoh sangat!” marah umi bila melihat
kelakuan tidak sopannya itu.
Dia gelak besar dengan mulut yang
penuh berisi karipap, “Sedap karipap umi ni. Nanti kalau makan lambat-lambat,
Paiz rembat,” guraunya, mengusik umi.
“Kenduri rumah siapa umi?” tanyanya
lagi. Sambil itu dia mencapai karipap lagi. Karipap yang ketiga.
“Kenduri rumah Pak Cik Chot kamu.
Besok ada rombongan nak datang merisik.”
“Eh, Kak Manis dah nak kahwin? Orang
mana umi?” Soalan demi soalan keluar. Dia jadi teruja nak tahu. Kak Manis itu
anak kedua Pak Cik Chot. Kakak kepada Ji’a. Bukanlah kakak kandung. Kerana Kak
Manis itu diangkat sewaktu masih bayi lagi.
Umi pernah
bercerita padanya, Kak Manis itu khabarnya anak kepada pasangan yang datang
dari Iran. Bapa Kak Manis terkorban dalam nahas jalanraya.Manakala ibunya yang
tengah mengandungkan Kak Manis ketika
itu cedera parah. Selepas melahirkan, ibu Kak Manis terus meninggal dunia.
Kebetulan
pula waktu itu Mak Cik Intan, ibu Ji’a baharu lepas melahirkan Badrul Amin
iaitu abang Ji’a. Disebabkan Mak Cik Intan jururawat di hospital situ, ibu Ji’a
itu dengan rela hati mahu menyusukan bayi malang itu. Akhirnya, Kak Manis dan
Badrul Amin berkongsi susu. Dengar ceritanya lagi, Pak Cik Chot berusaha sedaya
upaya untuk menjadikan Kak Manis sebahagian daripada keluarga mereka.
Mujur juga abi ada kenalan di
Jabatan Kebajikan Masyarakat. Berkat pertolongan rakan abi itu, Kak Manis berjaya
diangkat oleh keluarga Pak Cik Chot. Tetapi kata umi, semuanya sudah tersurat.
Dalam hidup ini tiada istilah kebetulan. Kehadiran Kak Manis di dalam keluarga
Pak Cik Chot dan Mak Cik Intan adalah takdir yang telah diatur oleh-Nya.
“Bukan Manis. Tapi Ji’a.” Suara umi
menampar di telinga.
Karipap yang ditelan tersekat di kerongkong. Dia
tersedak. Perit di tekak dan hidung mulai terasa.
“Astaghfirullah! Itulah umi cakap,
makan tu jangan gelojoh!” marah umi bila melihat dia sudah terbatuk-batuk,
menepuk dada.
Cepat-cepat dia menghirup kopi di dalam
cawan. Mujur sudah sejuk. Jika tidak pasti timbul masalah kedua. Lidah bakal melecur.
Hidungnya terasa pedih. Makanan
yang sepatutnya memasuki salur esofagus telah tersilap landasan memasuki ke salur
trakea.
“Apa umi?” dia bertanya. Meminta
kepastian.
“Umi kata makan tu jangan gelojoh
sangat!”
“Bukan yang tu. Yang sebelumnya. Pasal merisik.” Dadanya diusap-usap. Cuba meredakan rasa sakit.
“Bukan yang tu. Yang sebelumnya. Pasal merisik.” Dadanya diusap-usap. Cuba meredakan rasa sakit.
“Ji’a tak beritahu kat Paan ke?” umi
bertanya dengan wajah yang hairan.
“Bagitau apa umi?” Dia berdehem
membetulkan tekak.
“Bagitau dia nak bertunang. Besok
rombongan tu datang nak merisik. Lagi beberapa bulan baru family budak laki tu datang. Waktu tu baru
buat majlis pertunangan. Sebab family dia
duduk jauh. Yang datang ni sedara dia
aja.”
Ji’a nak
bertunang?
Mendengar khabar itu seleranya
terus mati. Baki karipap diletakkan kembali ke dalam pinggan.
Dia diam
saja. Umi pula masih rancak bercerita mengenai kedatangan rombongan bakal
tunangan Ji’a itu.
Sejak dia
tahu Ji’a suka akan dia, mereka sudah tidak berhubungan. Langsung tak bersapa.
Hendak pula selepas SPM dia dapat
sambung belajar di Politeknik di Johor. Ji’a pula diterima masuk ke Kolej Sains
Bersekutu di Sungai Buloh, Selangor. Mengambil jurusan Farmasi.
Dia
bukannya apa, sukar untuk dia melayan Ji’a seperti biasa setelah tahu rahsia
hati kawan baiknya itu.
Masih
jelas di ingatan peristiwa 3 tahun lepas, masa itu peperiksaan SPM bakal
berlangsung tak lama lagi. Peristiwa yang meranapkan hubungan baik mereka
selama 17 tahun.
“Ji’a
nak buku tu!” Dia terkejut bila didatangi Ji’a secara tiba-tiba. Waktu itu dia
baru pulang dari asrama. B.B, rakan sekelasnya menghantar dia pulang. Separuh
jalan saja. Kemudian dia berjalan pulang sendiri. Semasa sedang melewati
kawasan tali air, waktu itulah Ji’a datang. Dengan wajah yang merah menahan
marah.
“Bagi balik buku Ji’a!” Kali kedua Ji’a
menempelak dirinya. Dan dia… sekadar berdiam diri sahaja. Sepatah kata pun
tidak dia luahkan.
“Ji’a cakap bagi baliklah buku tu!!” bentak
Ji’a kepadanya. Membuatkan dia terkebi-kebil memandang anak dara Pak Cik Chot
itu.
Agaknya
Ji’a geram dengan dirinya yang diam membisu, gadis itu menjatuhkan basikal lalu
duduk bertinggung. Ji’a melekapkan wajah di lutut. Menahan tangisan.
“Tolonglah Paan.
Bagi balik buku Ji’a tu.”
“Macam mana boleh jadi macam ni Ji’a?”
tanyanya pada Ji’a, perlahan. Sebenarnya dia terkejut, juga kecewa. Terkejut
kerana dia mengetahui yang Ji’a sukakan dia sejak mereka mula bersekolah
menengah. Buku nota yang dia perolehi daripada Suria itu telah membongkarkan
rahsia Ji’a. Sungguh. Usai membaca, dia jadi kecewa. Kecewa kerana Ji’a tidak
sepatutnya punya perasaan pada dia. Bukankah mereka berkawan baik? Jadi
sepatutnya perasaan itu tak boleh wujud.
Esakan Ji’a itu
membuatkan hatinya menjadi sayu.
“Kenapa Ji’a nak
hancurkan persahabatan kita dengan benda-benda mengarut macam ni?” Dia
meluahkan perasaan kecewanya.
Mendengar dia
berkata begitu, Ji’a terus panggung wajah. Mukanya jelas memerah. Air mata
membasahi seluruh wajah gadis itu.
“Oh! Jadinya Ji’a ni jahatlah? Pada Paan Ji’a
ni cuba nak hancurkan persahabatan kita, macam tu?”
“Hanya sebab Ji’a suka kat Paan, Paan sanggup
tuduh Ji’a macam ni!”
“Ji’a. Paan tak menuduh
melulu. Buktinya ada Ji’a.” Dia keluarkan buku nota berwarna coklat perang itu.
Ditunjukkan kepada Ji’a.
“Tahu tak betapa
kecewanya Paan bila baca semua ni? 17 tahun Ji’a. Bukan tempoh masa yang
singkat. Paan kecewa!”
“Tahu tak betapa
malunya Paan dengan Sue bila dia juga tahu apa yang terkandung dalam buku ni.”
Dia rasa bengang.
“Heh! Paan kecewa
sebab apa yang tertulis dalam buku nota tu ataupun kecewa sebab Sue yang jumpa?
Takut nanti Sue tolak Paan sebab dia tahu Ji’a suka kat Paan?”
“Ji’a!” Suaranya
meninggi. Dapat dirasakan nafasnya turun-naik menahan rasa.
“Jangan babitkan
Suria. Dia tak salah, okey. Kalau ya pun dia salah… salah dia cuma beri Paan
benda bodoh ni!” Okey. Dia memang betul-betul sudah tidak dapat menahan rasa
marah. Semuanya dia lepaskan pada Ji’a. dan dia nampak wajah Ji’a berubah.
Jelas riak terkejut di situ.
Dengan tidak
semena-mena, buku nota di tangannya direntap kasar oleh Ji’a.
“Okey! Ini benda bodohkan?” Ji’a terus
melemparkan buku nota tersebut ke dalam tali air. Perlahan-lahan buku nota
berwarna coklat keperangan itu basah dan akhirnya tidak kelihatan lagi di atas
permukaan air.
“Mulai hari ini
benda bodoh tu dan orang yang tulis benda bodoh tu takkan muncul depan Paan
lagi! Puas hati!”
Sebaik saja Ji’a
berkata begitu, gadis itu terus mencapai basikal. Dikayuh laju tanpa menoleh ke
arahnya lagi. Tinggallah dia di situ, bersendirian.
Dia melepaskan
keluhan berat. Sungguh. Perasaannya berserabut. Dia tiada niat pun melepaskan
kemarahan pada Ji’a. Sekalipun dia kecewa, tetapi dia sudah memasang nekad
tidak akan memarahi Ji’a. Cuma bila nama Suria dikaitkan, dia jadi hilang
pertimbangan. Ini masalah mereka berdua. Kenapa Suria perlu terbabit sama?
“Imah.
Cukup tak barang-barang tu?” Pertanyaan abi yang tiba-tiba itu menyentapkan
lamunan panjangnya. Dia melepaskan satu keluhan. Mata dipejam rapat. Suara abi
dan umi saling bertingkah.
“Kalau tak cukup abang nak cari kat
pekan nanti.”
“Cukup rasanya. Nantilah kalau tak cukup Imah beritahu.”
“Cukup rasanya. Nantilah kalau tak cukup Imah beritahu.”
Perbualan
abi dan umi terhenti bila mendengar dia kalut menolak kerusi. Tak tunggu lama,
dia terus meninggalkan abi dan umi di dapur. Dia meluru ke bilik. Telefon
jenama Alcatel itu dicapai, rakus. Nama Noin dicari. Jumpa. Jemarinya lincah
menaip pesanan ringkas.
Noin.
Kat mana? Aku ada benda nak cakap ni. – Paan.
Dia gelisah dalam menunggu balasan daripada
Noin. Sejurus 1 mini terdengar bunyi mesej masuk.
Nak
pi cari breakfast. Awatnya? – Noin.
Tak
payah beli! – Paan.
Eh.
Suka hati akulah :p – Noin.
Agrhh!
Noin ni, kita betul-betul, dia ingat main-main pulak. Marahnya di dalam hati.
Nombor Noin di cari sekali lagi.
Ditekan butang hijau, lalu talian bersambung.
“Aku serius nih! Tak payah beli. Aku
belanja!”
“Hah! Biaq betui.” Jelas suara Noin
teruja mendengar tawaran tersebut.
“Betullah. Aku belanja. Jom, nanti aku
ambik hang. Kita jumpa!”
“Ooo…
okey. Walaupun aku tengah blur, tapi disebabkan hang kata nak belanja, aku on saja.” Ketawa Noin kedengaran. Kuat
bergema.
Selepas memutuskan talian telefon, dia
bergegas ke ruang tamu. Kunci kereta abi yang tersangkut di kotak kunci itu
dicapai.
“Abi! Paan pinjam kereta. Nak jumpa
kawan kejap,” laungnya dari ruang tamu.
“Iyalah. Tapi jangan lama-lama sangat. Mana tau nanti barang tak cukup, abi nak ke pekan,” balas abi dari dapur.
Tak tunggu lama dia terus meluru masuk ke perut Kancil berwarna Biru Turquoise itu. Enjin dihidupkan. Gear dijatuhkan. Minyak dipijak. Dia mula memecut.
“Iyalah. Tapi jangan lama-lama sangat. Mana tau nanti barang tak cukup, abi nak ke pekan,” balas abi dari dapur.
Tak tunggu lama dia terus meluru masuk ke perut Kancil berwarna Biru Turquoise itu. Enjin dihidupkan. Gear dijatuhkan. Minyak dipijak. Dia mula memecut.
“Betullah tu,” Noin bersuara setelah puas
dia bercerita mengenai berita yang dia dengar daripada umi tadi.
“Tak ada siapa pun beritahu kat aku?” Matanya
jatuh pada Noin yang sedang asyik menghirup teh tarik.
“Dah hang pun tak ambil tahu pasal
dia lagi, macam mana nak tahu!” Sinis suara Noin menerpa gegendang telinganya.
Terdiam dia seketika dibuat Noin. Matanya
dilarikan pula ke arah Jaini, adik
bongsu Noin. Jaini yang sedang ralit mencicah roti canai ke dalam kuah kari.
“Maksud aku benda ni macam
tiba-tiba….” Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Noin sudah memintas.
“Apa pulak tiba-tibanya… betullah. Dia dah
kenal Hardi tu lama apa. Kat kolej yang dia belajar tu.” Noin terangkan duduk
perkara sebenar padanya.
“Hardi? Maksud hang budak yang pernah datang
dulu tu?” tanyanya pada Noin meminta kepastian.
Dia pernah ternampak lelaki itu
sewaktu dia pulang bercuti semester hari tu. Kebetulan Ji’a pun pulang juga. Ada
beberapa orang rakan dibawa bersama. Kata umi, Ji’a sudah menamatkan kursus di
kolej. Dan rakan-rakan yang pulang bersama Ji’a itu ialah rakan sekolejnya.
“Yang… budak-Indon-tu?” pertanyaannya
berbunyi sinis.
“Bukan
Indon lah. Hardi tu warga Malaysia okey. Mak bapa dia saja orang sana!” Noin
mendengus geram. Ternyata Noin kurang senang dengan apa yang dia katakana tadi.
“Tapi kan…
benda ni macam jadi tiba-tiba aja. Tup-tup, Ji’a nak bertunang.”
“Dari tadi hang asyik ulang
ayat yang sama,” Noin mengeluh.
“Paan! Awat aku rasa, hang macam tak
boleh nak terima yg Ji’a akan jadi milik org lain?” Noin menghunus soalan maut
kepada dia. Membuatkan dia terkedu.
“Huh!
Sudahlah Paan. Hang jangan jadi tamak okey. Dulu orang tu suka kat hang tapi hang
buat tak kisah ja. Ni… bila ada orang nak kat dia, hang pulak nak meroyan!”
Mendengar kata-kata Noin itu, hatinya
jadi sakit.
“Noin! Aku bukan tamak. Bukan aku tak
suka bila Ji’a dah jumpa pasangan hidup dia.”
“So?
Biar lah. Itu pilihan dia.”
Dia mengeluh. Noin langsung tak
memberi dia peluang untuk bercakap.
“Ji’a tu muda lagi. Hardi tu macam
tak sesuai dengan dia. Nampak lebih tua daripada Ji’a,” beritahunya pada Noin.
Benar. Hardi itu lebih tua banyak
tahun daripada Ji’a. Dan, keluarga Hardi bukannya orang Malaysia. Hendak pula
bila Noin beritahu yang Hardi akan pulang ke Indonesia selepas menghabiskan
pengajian Masternya di sini.
Kasihan Ji’a nanti. Terpaksa
berjauhan dengan keluarga.
“Hang ni buat lawak ke apa?” Noin
ketawa kuat. Sehingga Jaini di sebelah pun tersedak mendengarnya.
“Habis kalau bukan dengan Hardi,
dengan siapa? Takkan dengan hang kot?”
Sekali lagi dia dilemparkan
kata-kata sarkastik.
“Seriuslah Noin. Aku kenal Ji’a. Kita
kawan dari kecik lagi. Sekolah sama-sama.
Main sama-sama. Aku cuma nak yang terbaik untuk dia.” Dia suarakan kerisauan di
hati.
“Terbaik apanya? Habis tu apa yang
hang buat kat dia dulu tu, baiklah sangat!” Jelas suara Noin seperti bengang
dengan dia.
“Sudahlah Paan. Daripada hang fikir
bukan-bukan lebih baik hang doakan saja kebahagaian Ji’a tu.”
Keluhan Noin itu membuatkan dia
terdiam.
“Doakan supaya hati dia dapat
menerima Hardi sebagai suami.”
Dia tercengang mendengar ayat Noin.
Wajah Noin dipandang tajam.
“Maksudnya?”
“Errr…”
Noin mulai gelisah dengan keceluparannya berkata-kata.
“Noinnn!” Dalam suaranya menyebut nama
kawan baiknya itu. Dia pandang Noin dengan wajah yang tak berpuas hati. Dia
mahukan penjelasan.
Mungkin tak tahan dengan desakannya,
Noin menceritakan semua hal Ji’a kepadanya. Daripada hal Ji’a mula rapat dengan
Hardi atas hubungan adik dan abang angkat. Tentang siapa Hardi sebelum ini.
Sehingga ke saat Ji’a memutuskan untuk menerima Hardi sebagai teman pendamping.
Dia
menggeleng sendiri. Wajah Noin dipandang penuh kesal.
“Kenapa
tak halang dia?”
Noin sudah
tidak senang duduk, “Paan. Itu keputusan dia. Masa depan dia. Siapa kita nak
menghalang?”
“Noinnnn!
Hardi tu duda! Duda, okey!” Dia betul-betul tak dapat menerima status Hardi
itu. Seorang duda tak layak untuk Ji’a yang masih lagi muda. Lagipun dia agak
kurang senang dengan Hardi itu. Perasaan itu ada pada saat mereka dikenalkan
oleh Badrul Amin, abang Ji’a sebelum ini. Dia mengeluh sendiri.
“Terima
atas sebab simpati? Noin, itu namanya menipu diri sendiri!” suaranya jelas
bernada kecewa.
“Habis
tu hang nak buat apa?”
“Aku nak jumpa dia!” Nekad dipasang di
dalam hati. Dia perlu selesaikan hal ni dengan Ji’a, sebelum gadis itu melangkah
lebih jauh.
“Hang gila! Besok rombongan tu nak datang!”
“Aku tak mau dia buat benda bodoh lagi!”
Dia benar-benar kecewa dengan tindakan Ji’a ini. Alcatel Merah-Perak itu terus
dikeluarkan dari kocek seluarnya.
“Bagi aku
nombor telefon dia!”
Noin pantas
menggeleng. Jelas wajah Noin rasa bersalah.
Dia
mendengus geram. Tanpa izin tuan punya, rakus dia mencapai Butterfly milik Noin
yang terletak di atas meja.
“Paan.
Janganlah! Nanti dia marah aku.”
Rayuan
Noin langsung dia tak hiraukan. Terus didail nombor Ji’a. Talian bersambung.
Satu saat. Dua saat.
“Hello.” Suara Ji’a kedengaran di corong
telefon.
“Paan nak
jumpa Ji’a! Kat tali air. Ada hal nak cakap. Paan akan tunggu sampai Ji’a
datang!” Selesai berkata-kata dia terus putuskan talian. Tidak mahu memberi
ruang untuk Ji’a membuat alas an.
“Eeeeee! Masaklah aku nanti,” bentak
Noin. Tidak berpuas hati dengan tindakannya itu.
Maaf Noin.
Ini soal masa depan. Dia tak sanggup membiarkan Ji’a tersalah mengambil
langkah.