Bab 4: Ku Kira 1,2,3... Bintang Di Langit

Tahun 2000 – Tun Teja vs Anak Sarjan.


“ Farha! ” Pantas dia menoleh. Wajah  Amri  budak yang  satu persatuan dengannya itu tercungap-cungap menahan nafas.
Weh! Penat aku cari hang tau. Satu sekolah aku pusing. Alih-alih hang dok kat sini.”
“Cari saya? Kenapa?”
“Cikgu Hakim cari. Ada lembing hilang!”
“Hah! Macam mana boleh hilang? Bukan semuanya dah simpan dalam stor ke?” Reben yang di pegang di tangan dicampakkan kembali ke dalam kotak. Dia berada di situ kerana sedang menghias gerai jualan bersama rakan sekelasnya.
“Sue.” Dia memanggil salah seorang daripada rakan kelas dia.
Seorang gadis berkulit cerah menoleh ke arah dia.
“Saya nak pergi jumpa Cikgu Hakim. Nanti Sue gantikan saya buatkan reben ni ya?” Gadis itu senyum sambil menganggukkan kepala.
Lima minit kemudian dia dan Amri sudah berada di hadapan Cikgu Hakim.
 “Cikgu! Amri cakap lembing kita hilang, betul ke?”
“Betul. Kelmarin saya ada keluarkan kesemua lembing tu. Saya letak di meja. Tapi pagi ni saya datang, tengok dua dah hilang.” Cikgu Hakim merungut.
“Macam ni lah cikgu. Saya cuba minta mereka buatkan semula.” Mereka yang dimaksudkan oleh dia ialah ahli Kelab Pendidikan Seni.
“Rasanya masih sempat lagi. Persembahan akan mula sesi petang nanti. Lepas majlis penyampaian anugerah pelajar tu,” dia meyakinkan Cikgu Hakim.
Sejak dia terpilih untuk  mengendalikan persembahan teater Pahlawan Melayu Kita, hari-hari yang dilaluinya begitu memeningkan kepala. Teater yang menggabungkan hampir ke semua kelab dan persatuan di sekolah itu menuntut kesabaran yang tinggi.
Dia yang merupakan Pengerusi untuk Persatuan Bahasa Melayu terpaksa turut serta di dalam persembahan itu. Kalau diikutkan dia sepatutnya sudah tidak terlibat lagi di dalam aktiviti seperti ini, kerana rata-rata pelajar tingkatan lima telah diberi pelepasan untuk tidak turut serta dalam mana-mana aktiviti ko-kurikulum.
Tak cukup bertindak sebagai ketua teater, dia juga terpaksa menjadi pelakon akibat kekurangan pelajar perempuan yang terlibat. Memegang watak Tun Teja. Dia sendiri tak yakin untuk membawa watak tersebut.
Gila! Ni semua kerja gila. Tetapi bila memikirkan keyakinan Cikgu Hakim padanya buat dia mengalah.
Teringat akan perbualan dia dengan Ahmad Farhan di telefon lewat minggu lepas. Masih terngiang-ngiang Ahmad Farhan galak ketawakan dia. Mujur di telefon. Jika tidak sudah lama sahabat itu disikunya.
“Teater?” Suara nyaring Ahmad Farhan waktu itu buat dia menjauhkan sedikit ganggang dari telinga. Boleh pekak jadinya.
“Jadi Tun Teja? Boleh ke?” Suara ketawa Ahmad Farhan menjadi semakin galak.
“Diamlah Paan! Menyesal pula Ji’a cerita,” giginya diketap kuat. Dia menahan geram. Rasa nak lilit saja wayar telefon yang berwarna oren itu ke tengkuk Ahmad Farhan.
 “Sorrylah Ji’a. Paan tak dapat nak tahan. Lawak sangat ni. Mengalahkan cerita Senario.” Ahmad Farhan bantai gelakkan dia lagi.
“Eeee… letak telefonlah kalau macam ni!” marahnya pada Ahmad Farhan. Wayar di tangan sudah berpintal-pintal dia pusing. Geram punya pasal.
“Tu dia. Tun Teja dah murka.” Ahmad Farhan masih belum mahu berhenti daripada menggiatnya.
“Ji’a letak betul ni!” ugutnya.
“Eh, janganlah. Tak puas gelak lagi ni.” Ketawa Ahmad Farhan masih kedengaran.
Tak tunggu lama terus dia letak.
Padan muka! Jangan harap dia nak jawab telefon lagi kalau Ahmad Farhan telefon. Dia nak mogok.
Namun mogoknya tak menjadi. Beberapa saat kemudian, telefon berdering lagi. Dia mengalah bila along dan angah memberikan amaran keras pada dia supaya menjawab panggilan. Ahmad Farhan memang tak serik. Telefon tanpa berhenti.
“Ji’a. Sorry,” rayu Ahmad Farhan.
Dia mencebik. Sekalipun Ahmad Farhan tak nampak, dia tetap mahu tunjuk perasaan.
“Okeylah. Paan tahu, Paan salah. Nanti balik ke rumah, Paan belanja ais krim. Kali ni betul-betul! Bukan ais krim Malaysia Mak Cik Salma. Kita makan yang dalam mangkuk punya. Janji!”
Dia masih berdiam. Cuba menjual mahal. Padahal dalam hati sudah berjoget sakan.
“Nanti Paan datang ya masa teater tu,” ujar Ahmad Farhan bernada usikan.
Matanya membulat mendengarkan kata-kata Ahmad Farhan itu.
Paan-nak datang-teater. Oh, tidak! Tidak!
“Ahh! Tak payah. Lebih baik Paan jangan datang,” tegasnya. Tak sanggup rasanya kalau Ahmad Farhan ada sewaktu persembahan. Mahunya dia tak ingat skrip terus. Buatnya Ahmad Farhan dok bantai gelak kat situ, kan haru jadinya.
Tiba-tiba bahunya dicuit seseorang. Dia tersentak daripada lamunan.
“Eh! Sue. Tadi pergi mana? Saya tak nampak pun masa persembahan tadi.”
“Ada saja kat sini,” jawab Suria disertakan dengan seulas senyuman. Anak Sarjan Nazri ini memang manis orangnya. Baharu saja berpindah ke sini awal tahun. Mengambil Sijil Pelajaran Malaysia di sini. Sebelum ini Suria menetap di Pahang. Di berek Polis di Daerah Raub.
“Tun Tejaaaaaaaaaaa!”
Dia tersedak mendengar panggilan tersebut. Kenal sangat dengan suara gatal itu. Pantas dia menoleh. Ahmad Farhan sedang berdiri tidak jauh daripada mereka sambil melambai ke arahnya.
“Kenapa datang?” soalnya sinis. Membuatkan Ahmad Farhan mengulum senyum padanya.
Aik! Tun Teja masih murka lagi ke dengan patik?”
Lawak tak menjadi Ahmad Farhan itu membuatkan dia mencerlung tajam. “ Ni! Kalau datang nak gelakkan, lebih baik balik. Buat sakit jiwa saja.”
“Eh! Marah betul-betul ke ni?” Soalan spontan Ahmad Farhan itu berjaya mengundang tawa halus Suria yang sedang menjadi saksi perbalahan mereka berdua.
Dia pandang wajah Suria. Kemudian beralih kepada Ahmad Farhan. Akhirnya dia juga turut ketawa.
“Lega!” Ahmad Farhan sengaja menghembus nafas kuat-kuat.
“Terima kasih ya kawan Tun Teja.” Kata Ahmad Farhan kepada Suria. Dalam nada mengusik.
“Tolonglah Paan. Jangan buat lawak senget tu kat sini,” dia menggeleng saja dengan perangai Ahmad Farhan. Entah daripada siapalah sahabatnya ini menuntut ilmu mengusik.
Sejak Ahmad Farhan berpindah ke Sekolah Menengah Teknik dua tahun lepas, perangai anak manja Mak Cik Sarimah ini sudah ada perubahan. Sudah pandai mengusik. Mungkin juga persekitaran asrama berjaya merubah sahabatnya ini.
“Eh! Ni kawan Ji’a yang datang masa kenduri doa selamat hari tu kan?” tanya Ahmad Farhan sambil memandang tepat ke wajah Suria. Suria sekdar angguk sambil tersenyum.
“Sue! Ini Paan. Paan! Ni Sue,” beritahunya pada Ahmad Farhan dan Suria.
“Jangan main-main. Ni anak sarjan polis tau!” Sengaja ditekankan perkataan sarjan polis itu pada Ahmad Farhan.
Kata-katanya itu mengundang ketawa besar Ahmad Farhan.
“Jadinya, kalau anak sarjan tak boleh ngorat lah?” usik Ahmad Farhan dengan ketawa yang masih bersisa.
Pernah kena renjatan elektrik tak? Bukan pada kadar voltan tinggi tu. Ini macam terkena kejutan waktu tengah iron baju. Ala, yang wayar seterika pecah-pecah tu. Tapi kita tetap nak gunakannya juga. Dengan gigih membalut wayar yang pecah itu dengan sellotape. Hah! Macam itulah perasaannya sekarang.
Perkataan ngorat yang keluar dari mulut Ahmad Farhan itu buat hatinya menjeruk rasa di dalam diam.
Ingatannya singgah pada kejadian 2 minggu lepas. Sewaktu rumahnya mengadakan kenduri doa selamat sempena kejayaan Along dapat masuk ke Institut Tun Hussein Onn di Batu Pahat, Johor.
Dia ada mengajak beberapa rakan sekelasnya termasuk Suria. Waktu itu Ahmad Farhan juga ada di sana. Belum sempat dia nak kenalkan rakan-rakan sekelasnya dengan Ahmad Farhan, anak teruna Mak cik Sarimah itu sudah cabut balik ke rumah kerana malu.
Kisahnya… Ahmad Farhan tersadung di tangga sewaktu menatang dulang. Mujur juga makanan sudah dihidangkan. Yang tinggal cuma dulang kosong. Dek kerana tersalah tingkah, Ahmad Farhan jatuh dengan dulang terhempap di atasnya.
Sungguh! Kalau tengok memang kelakar habis. Gaya Ahmad Farhan yang terjatuh terbaring itu sudah seperti watak di dalam cerita kartun. Dengan kakinya ke atas terkapai-kapai. Gamat suasana di dapur ketika itu. Mak cik-mak cik yang berada di dapur semuanya gelakkan Ahmad Farhan termasuklah Mak cik Sarimah.
Tetapi hal yang buat hatinya menjadi jeruk mengalahkan masam jeruk mempelam itu ialah perbualan dia dengan adiknya, Amin.
“ Kak Cik.” Panggilan adiknya itu tidak diendahkan pada mulanya. Tangannya ligat mengutip pinggan-pinggan kotor lalu disusun ke atas dulang.
“Emm… tadi kan, Paan tanya kat adik.”                                                                                
Tangan yang ligat mengutip pingan terhenti seketika.
“Tanya apa?”
 “Pasal Kak Sue!”
Dia tersentak. Mujur tak terlepas pinggan.
“Dia tanya Kak Sue tu siapa dengan kita. Adik cakaplah Kak Sue tu kawan sekelas Kak Cik.”
Dia diam saja mendengar celoteh Amin itu.
“Lepas tu Paan tanya macam-macam lagi pasal Kak Sue.” Cerita Amin tanpa henti. “Adik rasalah, Paan tu macam ada hati aja dengan Kak Sue.” Amin menelah sendiri.
Tanpa menyedari, yang kakaknya itu sedang menjeruk rasa.
Amin menyambung kata lagi. “Biasalah. Kalau adik ni besaq macam Kak Cik pun dah lama adik ngorat Kak Sue tu. Dahlah cantik, lemah lembut, sopan-san…”
Kuk! Bunyi kepala Amin berlaga dengan sesuatu.
 “Adoi!” Amin mengaduh. Kepala digosok berkali-kali. Menahan sakit akibat diketuk dengan sudu.
“Apa ni Kak Cik. Main ketuk-ketuk kepala pula!”
“Diamlah. Boleh tak buat kerja tu laju sikit! Tak padan dengan kecik dah nak bergatai!” Dia marahkan Amin sebab asyik bercakap tanpa henti. Geram juga sebab Amin asyik giatkan Ahmad Farhan dengan Suria.
“Emmm… awak yang jatuh dengan dulang hari tu kan?” Suria bertanya pada Ahmad Farhan.
Soalan Suria itu membuatkan lamunannya terus mati. Dia kembali memberi perhatian kepada dua orang rakan yang bersamanya ketika ini.
“Ha’a Sue. Mat ni lah yang buat lawak sarkis waktu kenduri hari tu.’ Dia mencebik kepada Ahmad Farhan. Membuatkan Suria ketawa mengekek.
Ahmad Farhan tersengih malu. Belakang leher digaru berkali-kali. Mata pula dibeliakkan kepadanya.
Ala… Sue. Tak payah la cerita hal tu lagi,” Ahmad Farhan ketap gigi tanda geram dengan dia. Sebagai balasan dia buat mata juling pada Ahmad Farhan.
Suria ketawa melihat gelagat dia dan Ahmad Farhan.
“Program sekolah dah habis kan? Jom, kita pergi pasar malam,” ajak Ahmad Farhan.
“Saya belanja Sue makan kat gerai abi saya. Sebagai tanda perkenalan.”
“Abi awak berniaga ke?”
Dia nampak Ahmad Farhan mengangguk laju. Mengalahkan burung belatuk. Dalam hati rasa sebal melihat Ahmad Farhan mula selesa dengan Suria.
Haish! Sejak dia ter-suka dengan Ahmad Farhan, dia menjadi cepat sensitif.
Benci! Dia tak suka dengan keadaan begini. Dalam usia yang mentah dia sudah pandai menyimpan perasaan. Itu sudah satu kesalahan. Yang paling parah, orang yang dia suka itu adalah kawan baik juga merangkap jirannya. Kalaulah Ahmad Farhan tahu, entah bagaimanalah hubungan mereka nanti.

Jadi, dia amat berharap yang hatinya akan duduk secara tenang di dalam dan tak memberontak agar perasaannya itu tersimpan kemas-kemas. Biar tak ada siapa pun yang tahu. Kecuali buku catatannya. Di situ dia simpan semua rasa untuk Ahmad Farhan.

Comments

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)