Bab 6 : Ku Kira 1,2,3... Bintang Di Langit

Bab 6
Tahun 2003 – Nur Farha.

             “Ji’a buat apa ni?” Pertanyaan Ahmad Farhan itu mengundang rasa kurang senang pada dia.
            “Buat apa?”  
            “Umi cakap Ji’a nak bertunang. Betul?”
            Dia memandang lelaki itu dengan pandangan  yang kurang selesa. Ada sebatang rokok di celahan jemari Ahmad Farhan.
Sejak bila lelaki ini merokok? Namun cepat-cepat dia mematikan fikirannya yang mula menerawang jauh tu.
             “Betul! Takkan lah Paan nak jumpa Ji’a semata-mata nak tanya pasal ni?” soalnya sinis.
Dia sebenarnya terkejut bila menerima panggilan daripada Ahmad Farhan tadi. Seingatnya selepas peristiwa di tali air dulu, mereka sudah tidak bertegur sapa. Tiba-tiba, hari ini Ahmad Farhan menghubunginya. Siap ajak berjumpa pula tu.
            “Ji’a dah fikir masak-masak?”
            “Fikir apa ni?” soalnya kurang senang. Dia semakin tak selesa dengan asap rokok. Juga tidak selesa dengan Ahmad Farhan.
            “Nak kahwin dengan budak Indon tu?”
            Dia terpanar dengan kata-kata yang keluar daripada bibir lelaki itu. Ada getar di hatinya. Namun semua itu cuba ditutupnya dengan mempamerkan wajah yang tenang. Dia berdehem sebelum menyambung kata.
            “Nama dia Hardi!” Dia marah bila Ahmad Farhan menggelarkan Abang Hardi begitu.
            “Ji’a betul-betul nak kahwin dengan dia?”
            “Iya! Ji’a memang nak kahwin dengan Abang Hardi. Betul-betul nak kahwin. Ni bukan cerita rekaan semata-mata!” Suaranya penuh yakin.
            “Ji’a tak rasa apa yang Ji’a buat ni salah?”
            Tak bekelip matanya bila mendengar soalan Ahmad Farhan itu. Hatinya rasa sentap.
“Salah? Apa yang salah! Bukannya Ji’a kena paksa kahwin pun. Ni pilihan Ji’a sendiri,” jawabnya tegas.
“Ji’a. Tolong jangan buat keputusan tanpa berfikir.” Ahmad Farhan seperti cuba memprovok dia. Dia pandang Ahmad Farhan dengan hati yang sebal.
 “Apa maksud Paan ni? Ji’a tak faham satu apa pun,” rungutnya. Sungguh. Dia tak faham satu apapun yang Ahmad Farhan cuba sampaikan.
“Ji’a terima Hardi sebab kesian kan?”
Matanya membulat. Terkejut dengan apa yang dikatakan Ahmad Farhan itu.
“Perhubungan berdasarkan simpati takkan boleh bahagia, Jia.”
“Apa yang Paan merepek ni?” dia marah. Marah sebab Ahmad Farhan bercakap yang bukan-bukan. Kesian! Simpati! Sungguh, dia keliru.
“Noin dah ceritakan semunya pada Paan.”
Dia tergamam.  Sampai hati Noin buat dia begini. Dalam hati dia menyumpah akan kelancangan mulut Noin.
“Tapi sekurang-kurangnya Abang Hardi yg mahukan hubungan ni. Buat masa ni itu pun dah cukup untuk Ji’a hidup dengan dia.”
            ‘Habis tu Ji’a?”
            “Ji’a boleh belajar untuk menerima. Perasaan tu boleh dipupuk kan?” soalnya sinis kepada Ahmad Farhan. Membuatkan lelaki itu terdiam. Namun diam itu hanya untuk sementara. Kata-kata Ahmad Farhan seterusnya memang boleh buat jiwanya terbakar.
            “Paan tak paham dengan Ji’a sekarang ni. Ji’a dah lain!”
            Rungutan Ahmad Farhan itu membuatkan dia mendengus geram.
 “Ji’a yang tak paham dengan Paan! Sebelum ni Paan jauhkan diri daripada Ji’a. Tak pernah cuba nak bercakap dengan Ji’a. Paan macam dah tak kisah pasal Ji’a lagi lepas kes kita yang dulu tu. Paan buat Ji’a rasa hilang seorang kawan. Dan sekarang Paan datang nak mempersoalkan perasaan Ji’a? Tindakan Ji’a? Apa semua ni Paan?” Kali ini dia betul-betul marah. Perasaan marahnya sudah tak dapat dibendung lagi.
Dia lihat Ahmad Farhan diam. Menunduk ke tanah. Matanya kemudian dilarikan dari memandang wajah Ahmad Farhan. Dia lebih selesa memandang ke tali air. Di situ kelihatan beberapa orang budak sedang mandi di dalam tali air. Rasanya, budak sekolah rendah. Berdasarkan fizikal mereka.
            “Ji’a yakin boleh bahagia dengan dia?” Soalan Ahmad Farhan itu membuatkan dia kembali memandang lelaki itu.
“Insya Allah. Sebab hati ini Dia yang pegang. Ji’a takkan putus asa berdoa semoga Dia bukakan pintu hati Ji’a untuk terima cinta suami Ji’a!” Hatinya mula goyah. Suaranya ditekan tegas. Dia tayang muka yakin. Hanya dengan berbuat begitu mampu menutup rasa goyahnya.
“Paan masih tak boleh nak faham lagi.”
Wajahnya ditatap tajam oleh Ahmad Farhan.
 “Ataupun Ji’a buat semua ni sebab Paan? Ji’a nak elakkan diri daripada Paan?”
Mendengar kata-kata Ahmad Farhan itu buatkan dia tergelak sinis.
“Paan belum cukup hebat untuk jadi penyebab Ji’a terpaksa buat tindakan bodoh macam tu. Soal kahwin bukan perkara main-main.” Matanya dilarikan dari terus memandang wajah Ahmad Farhan. Sengaja dia melemparkan pandangan ke arah petak sawah yang menghijau. Kelopak matanya mula terasa panas.
“Lagipun cukuplah sekali saja Ji’a buat benda bodoh.” Ada getar pada suaranya.  Peristiwa  3 tahun sebelum ini datang kembali. Ya. Mereka masih di tempat yang sama. Begitu juga situasinya. Masih dalam suasana tegang.
Melihat Ahmad Farhan yang berdiam diri itu, dia segera berlalu. Namun baru beberapa langkah diatur, telinganya menangkap kata-kata Ahmad Farhan. Pedih rasanya. Sampai ke jantung.
“Simpati takkan bawa bahagia Ji’a! Kalau tidak Paan dah lama terima Ji’a.”
 “Maksud Paan?”
“Kalau dengan perasaan simpati boleh terbitkan rasa cinta, tiga tahun lepas Paan dah terima Ji’a.”
Pernah lihat bagaimana kucing terkejut mendengar guruh di langit? Begitulah keadaan dirinya ketika ini.
Dia mahu membalas apa yang Ahmad Farhan katakan itu, tetapi lidahnya menjadi kelu. Kenyataan yang baru keluar daripada mulut Ahmad Farhan itu betul-betul buat dia rasa luluh.
“Tapi Paan tak nak bohong diri sendiri. Paan tak nak  terima Ji’a hanya sebab simpati. Paan tahu semua tu tak akan adil buat Ji’a!”
Dia terkedu. Tidak disangka  yang Ahmad Farhan akan berkata sebegitu.
Wajahnya terasa kebas. Angin yang bertiup sepatutnya menghadirkan rasa damai. Namun dengan kata-kata yang baru Ahmad Farhan muntahkan itu, menyebabkan angin yang bertiup lembut bagaikan kuat menampar pipinya.
“Maknanya selama ni Paan cuma simpati dengan Ji’a! Persahabatan kita selama ni pun atas dasar simpati? Maknanya kenangan yang kita ada selama ni pun hanya berdasarkan rasa simpati? Macam tu?” Dia bertanya penuh sinis.
Jelas wajah Ahmad Farhan terkejut. Mungkin tak menyangka yang dia akan menyoal begitu.
            “Dulu Ji’a boleh terima semua tindakan Paan. Sebab Ji’a tahu tu salah Ji’a jugak. Tapi kali ni Paan buat Ji’a rasa lebih teruk dari dulu.” Keluhan berat dilepaskan. Dia cuba mengawal emosi. Seboleh mungkin dia tak mahu Ahmad Farhan nampak yang dia lemah.
“Terima kasih atas simpati tu tapi Ji’a tak perlukannya!” Badannya terasa menggigil. Dia berpaling semula ke hadapan.
“Harap lepas ni kita takkan  jumpa atau terjumpa lagi! Dan  pertemuan ni akan jadi yang terakhir untuk kita,” katanya sebelum berlalu pergi. Airmata yang mula memenuhi kelopak matanya diseka. Dia tidak mahu ia tumpah untuk kali kedua hanya kerana lelaki yang bernama Ahmad Farhan itu.
            Sabar Ji’a. Ji’a kan kuat. Ji’a mampu tahan semua ni. Jangan bazirkan airmata untuk seseatu yang sia-sia. Dia memujuk diri.
Namun semakin laju kakinya melangkah semakin itulah airmatanya deras mengalir.
  Dia kalah sekali lagi. Kalah dalam membendung perasaan kecewanya. Dua kali dia dilakukan sebegini oleh orang yang sama.
Jika hatinya itu sebuah kenderaan, tentulah sudah remuk teruk. Mungkin hatinya sudah tidak boleh digunapakai lagi.

Comments

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)