TRIP: KUL-LGK-KUL (Bab 2)

 



Lapangan Terbang Langkawi.

 

Telefon ditangan dibelek sebaik terdengar bunyi, isyarat bahawa ada mesej yang masuk.

 

+Salam Kak Eja.

+Saya tunggu kat luar.

+Betul-betul depan pintu masuk.

+Tang tempat ambil-hantar penumpang.

 

Dia baca satu persatu mesej yang dia terima daripada adik sepupu Bid melalui aplikasi WhatsApp.

Tanpa menunggu lebih lama, dia terus berjalan menuju ke arah pintu utama lapangan terbang.

Mujur sangat balai ketibaan dengan pintu utama di sini tak jauh macam kat KLIA 2. Kalau tak menangis lagilah dirinya.

 

Imbas semula…

 

15 minit lagi penerbangan bakal berlepas, dirinya masih tersangkut menunggu giliran pemeriksaan di pintu Jabatan Kastam.

Tuhan saja yang tahu betapa debak-debuk hatinya ketika itu. Rasa bimbang kalau-kalau dia tak sempat tiba di pintu untuk menaiki kapal terbang.

Tak pernah dia jadi kelam kelibut seperti hari ini. Dia jenis yang bersedia awal. Tidak kiralah sama ada menaiki kapal terbang, keretapi, mahupun bas. Yang melibatkan dirinya untuk menunggu, memang dia akan berada di tempat yang sepatutnya sekurang-kurang setengah jam sebelum bertolak.

Tetapi, hari ini di dalam sejarah hidupnya sepanjang beberapa tahun jadi pengguna kapal terbang, dia hampir-hampir hendak terlepas penerbangan dia berlari dari pintu pemeriksaan Jabatan Kastam hingga ke pintu bernombor 20.

Nombor 20 kut! Rasa macam masuk rancangan Explore Race. Tidakpun variety show Running Man yang Bid suka sangat menonton itu.

Nasiblah dia sempat tiba. Itupun mamat Airasia yang jaga pintu itu sudah mula memanggil penumpang supaya beratur.

Tadi, sebelum masuk ke dalam perut AK 6318, sempat juga dia menoleh melihat jarak lariannya tadi.. Rasa macam tak percaya. Jauh jaraknya, seperti dia hampir membentuk separuh bulatan, mengelilingi lapangan terbang tersebut.

Mujur sangat dia menyarung sneakers, memakai seluar. Kalau sarung heals dan dress tak ke haru jadinya. Dan mujur lagi, dia cuma galas bagpack semata, tak heret luggage. Itupun dah rasa nak tertanggal kakinya.

Kali terakhir dia berlari pun sebab ikut program marathon kat Putrajaya beberapa bulan yang lepas. Tapi, kalau sudah bernama marathon itu faham-faham sajalah, acaranya berlari secara berjemaah. Dan dia bukannya berlari sangat, berjalan dan berborak yang lebih.

Terasa hendak semput jadinya.

Semua berpunca daripada mamat yang dia nampak di kedai kopi tadi.

Boleh pula mamat itu tercicir boarding pass. Kalau tak dikutip rasa bersalah pula nanti. Itupun dekat 10 saat dia main timbal hendak ambil lihat atau tidak.

Sudahnya, dia memilih untuk menjadi warga prihatin menolong mamat itu dengan mengutip boarding pass tersebut.

Tergesa-gesa dia keluar dari kopitam. Melilau mata mencari mamat berbaju kemeja kotak-kotak berwarna merah dan bertopi besbol berwarna hitam.

Mujur saja dia nampak kelibat mamat tersebut, masih tidak jauh dari kopitiam.

Mula-mula dia berjalan secara laju. Tetapi, apabila jaraknya dan mamat itu menjadi semakin besar, dia mula berlari-lari anak.

Walaupun berlari-lari anak,  azab jugalah. Kakinya jenis yang langkah pendek-pendek. Sedang mamat itu, kaki panjang macam player basketball. Faham sajalah langkah itu sebesar mana.

Tercungap-cungap dirinya akibat adegan kejar-mengejar di tengah-tengah lapangan terbang.

Itupun dia main tarik tali bagpack mamat itu dek kerana suaranya tidak terkeluar. Mengah punya pasal.

Tanpa bercakap sepatah, dia kibar-kibarkan boarding pass mamat itu.

Sempat juga dia memandang ke wajah mamat itu sekilas saja.

Satu, sebab dia sudah tidak mempunyai masa hendak membuat sesi penerangan bagaimana dia boleh terkutip boarding pass. Lagi satu, sebab dia ketinggiannya cuma separas dada lelaki itu saja. Tak kuasa rasanya hendak melangut memandang wajah itu lama-lama.

Sebaik saja boarding pass itu diserahkan kepada pemiliknya, tak tunggu lama dia terus berlari memanjat escalator menuju ke pintu pemeriksaan Jabatan Kastam.

Sebelum itu sempat jugalah telinganya menangkap ucapan terima kasih.

 

“Kak Eja!” Mendengar namanya dilaungkan adik sepupu Bid, terus terbang hilang segala senario yang berlaku di KLIA 2 tadi.

Dia bergegas mendapatkan adik sepupu Bid yang berdiri di sebelah Toyota Altis berwarna putih tanpa memandang ke sekitar.

Masuk saja ke dalam perut kereta yang dipandu oleh adik sepupu Bid itu, telefonnya berbunyi sekali lagi. Isyarat bahawa ada mesej yang masuk.

Skrin telefon pintarnya dikerling, ada tertera nama Bid di bar atas, bersebelahan ikon WhatsApp berwarna putih itu.

Dibuka mesej tersebut. Sebuah screenshot dari Twiter Air Asia sempena promosi free seat tahun 2016.

 ‘Mana tahu jodoh mungkin duduk di seat sebelah.’

Pandai Air Asia buat pickupline, ikut trend anak-anak muda masa kini. Eja tersengih membacanya.

‘Jodohlah sangat Bid oit.’ Detik hati Eja.

Sepanjang dia travel naik kapal terbang ini belum pernah dia duduk di sebelah lelaki yang berpontensi menjadi jodoh.  

Tadi pun, di dalam penerbangan tempat duduknya di hujung bersebelahan dengan tingkap.

Sebaris dengannya adalah pasangan suami dan isteri yang kalau dilihat sekali pun orang sudah dapat meneka.

Mungkin datang untuk berbulan madu. Ini kerana jari-jemari masing-masing masih berinai merah.

Ala, dia bukanlah menidakkan. Mana tahu kalau tak jumpa di atas kapal terbang, tetapi terjumpa jodohnya di pulau ini.

‘Plot drama sangat ni Eja.’ Dia tergelak dengan telahan yang dibuat sendiri di dalam hati.

 

 

 

 

Nombor telefon ejen kereta sewa dipanggilnya sekali lagi. Tadi, panggilan yang telah dibuat bersambung dengan operator telefon. Dia mencuba sekali lagi.

Tiga kali bunyi deringan, barulah taliannya bersambung.

“Assalamualaikum, Encik Azam?”

“Ya, saya dah sampai.”

“Tunggu di mana?”

“Haah, saya masih kat dalam airport.”

“Okey. Terima kasih Encik Azam.”

Sebaik panggilan ditamatkan, langkahnya dihalakan ke pintu masuk.

Sepanjang perjalanannya mencari Encik Azam, dia disapa beberapa orang lelaki tempatan, menawarkan perkhidmatan kereta sewa juga prebet sapu.

Kepalanya digeleng, tapi senyum tetap dihulur, menolak baik setiap pelawaan yang diterima.

Di dalam beberapa orang yang menawarkan perkhidmatan kereta, ada juga insan yang menghulur kertas peta kepadanya.

Huluran itu disambutnya baik, disusuli senyuman tanda ucapan terima kasih. Disisip kertas peta itu di bahagian tepi poket bagpack.

Apabila sampai betul-betul di hadapan pintu masuk, kelihatan beberapa orang lelaki dengan walkie talkie di tangan masing-masing.

“Sewa kereta, bang?” soal lelaki berketinggian sederhana, berbaju tee lengan pendek berwarna putih dengan karikatur burung Helang. Di bawah burung Helang tersebut tertulisnya perkataan Langkawi Island.

Senyum dihulur kepada lelaki tersebut sebelum soalan dilontarkan.

“Saya cari Encik Azam?”

“Azam?” Kerutan di dahi lelaki itu jelas kelihatan. Sedang menggali memori agaknya.

“Azam Mohamad.”

“Oh! Sat na bang.” Lelaki itu keluarkan telefon bimbit dari kocek seluar. Kemudian, membuat panggilan.

Sebaik tamat perbualan di telefon, lelaki itu pandang wajahnya.

“Abang, mai tulis nama kat sini!”

Dia dipelawa ke sebuah kaunter selang beberapa langkah saja dari tempat mereka sedang berdiri.

Usai menulis maklumat diri dan membuat bayaran deposit, sebentuk kunci kereta berlogo Toyota diserahkan kepada dirinya.

“Kereta abang, yang depan ni.” Jari telunjuk lelaki itu mengarah ke sebuah Nissan Latio berwarna putih, betul-betul di luar pintu masuk. Tinggal di dalam 10 langkah saja untuk sampai ke kereta.

“Tapi, minyak abang kena isi nanti. Pam minyak tak jauh, dekat ja. 5 minit pun tak sampai.”

Dia cuba hendak faham instruction yang diberikan lelaki tersebut di dalam loghat tempatan. Akhirnya, dia memilih untuk mengangguk saja, tidak mahu bertanya banyak.

Di dalam fikirannya sudah berkira-kira hendak meminta bantuan mak we berslanga Inggeris pekat bernama Waze.

Dalam angguk-angguk itu, sempat juga dia ucapkan terima kasih dan berjabat tangan sebelum berlalu menuju ke kereta.

Pintu kereta yang sedia ternganga luas itu memudahkannya untuk meletakkan bagpack di seat penumpang.

Dia boloskan diri ke seat pemandu. Enjin dihidupkan. Matanya memanah tepat ke meter di hadapan. Dilihat bar minyak yang sudah menghampiri takat akhir.

Senyum hambar terpamer.

Memang nak tak nak kena isi juga minyak ni. Kalau tak, niaya dirinya nanti. Sudahlah di tempat asing, berseorangan pula tu.

Tiba-tiba, dia teringat akan kertas peta yang diterimanya sebentar tadi. Bagpack ditarik rapat ke tubuh. Dikeluarkan peta tersebut dari poket tepi yang disimpannya tadi.

Matanya difoukuskan, meneliti tulisan halus yang dicetak di atas peta itu. Beberapa imej kecil berupa stesen pam minyak mencuri tumpuannya.

Mengukur jarak tempatnya berada sekarang dengan pam minyak paling terdekat.

Ada satu stesen pam minyak yang sehala dengan perjalanannya ke hotel.

Diambil telefon bimbitnya. Sebaik skrin ditolak ke kanan, beberapa aplikasi muncul menggantikan screen lock tadi.

Aplikasi Waze disentuh. Dia mula memasukkan arah yang ingin ditujui.

Suara mak we berslanga Inggeris pekat mula kedengaran.

“Thank you, dear.” Guraunya disusuli ketawa kecil.

Kereta dibelok, menghala keluar dari aiport.


Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)