TRIP: KUL-LGK-KUL (Bab 1)



September 2015, Lapangan Terbang KLIA 2.

 

 

“Betul, kau nak pergi juga?” Soalan Kidd, sahabat merangkap rakan kongsi itu ternyata mengundang sengihnya.

“Kidd! Aku dah sampai airport ni baru kau nak tanya?” Dia menyoal dengan disusuli ketawa.

Petang hari Ahad begini sepatutnya dia berada di rumah. Kalau rajinnya datang dia akan duduk bertapa di ofis Cetak Huruf buat kerja apa yang patut. Paling tidak pun dia akan keluar melepak bersama-sama Kidd.

Tapi, hari ini dia memilih untuk berada di sini. Seperti yang telah pun dirancang berbulan-bulan sebelum hari ini, dia akan terbang ke Pulau Langkawi, trip berbulan madu.

“Tak adalah. Aku cuma nak…” Suara Kidd di hujung talian sana kedengaran berbunyi resah. Dan, dia tahu apa punca keresahan sahabat baiknya itu.

“Tak ada bendalah Kidd. Anggap saja aku pergi berkerja. Survey tempat, untuk team building kita tahun depan.” Keresahan Kidd itu disiramnya dengan kata-kata pujukan.

“Bro! Cancel sajalah. Tiket murah je tu.” Kidd masih mencuba, memujuk supaya dia mengubah keputusan di saat-saat akhir.

Dia ketawa, tapi kali ini ketawanya itu berbunyi terpaksa.

“Kidd. Aku okey. Jangan risau. Aku takkan terjun dari sky bridge tu.” Leluconnya itu diharap dapat menutup perasaan yang sedang dialaminya ketika ini. Tidak mahu ‘bau’ rasa itu dapat dihidu oleh Kidd.

“Yelah, yelah.” Kidd ketawa.

“Sebelum kau terjun tu, mohon buat wasiat dulu! Civic kau tu bagi kat aku.” Kidd masih lagi ketawa.

Ugutan Kidd itu disambutnya dengan tawa. Mana boleh beri keretanya itu kepada Kidd. Biarpun kereta jenama Honda Civic [rujuk Noin] tahun-warna itu dibeli gunapakai duit yang sepatutnya dia bayar buat hantaran kepada Suzy. Dek kerana tak jadi kahwin maka dia laburkan duitnya ke situ.

“Kidd! Aku dah nak gerak ni. Nak check in awal sikit.” Bohongnya. Walhal dia masih duduk bersantai di dalam kedai kopi Kluang Railway Station lagi. Menghirup secawan kopi o panas sementara menunggu waktu berlepas.

Waktu pernerbangannya masih berbaki lagi dua jam. Tetapi, dia memilih untuk menamatkan perbualan dengan Kidd secepat yang boleh.

“Yalah. Nanti dah sampai telefon. Takpun, mesej aku!” Pesanan Kidd itu berbunyi seperti pesanan seorang bapa kepada anaknya.

“Baik pak.” Dia ketawa.

“Paat!” Kidd sempat sebut namanya sebelum dia berjaya mematikan talian. Tersentak jadinya.

“Take care. Ingat! Selepas Wanie, orang yang aku sayang adalah kau.” Kidd gelak kuat.

“Pandir!” Paat turut sama ketawa.

Dia ucapkan salam sebagai menamatkan panggilan yang berdurasi hampir 20 minit tadi dengan Kidd.

Kidd. Kerisauan sahabatnya itu langsung tidak membuatkan dirinya rimas. Malah dia tahu risau Chief Executive Officer (CEO) Cetak Huruf itu bertempat.

Trip enam hari, lima malam yang dirancang bersama-sama Suzy awal bulan Mac tahun ini sepatutnya menjadi trip bulan madu mereka. Tetapi, itulah… manusia hanya mampu merancang, yang menentukannya adalah Allah S.W.T.

Sepatutnya, hari raya puasa ketiga tempoh heri berlangsung sebuah majlis perkahwinannya dengan Suzy. Tapi, itulah jodoh mereka tak panjang.

Dia dan Suzy kenal sejak dari Tingkatan Lima. Berkawan baik. Daripada hubungan persahabatan bertukar kepada soal hati dan perasaan. Itupun selepas masing-masing tamat pengajian di universiti.

Baru tahun lepas merngikat tali pertunangan. Dan pada pertengahan Julai tahun ini, hubungan mereka telah berakhir. Suzy dan dia putus tunang.

Hari ini pula dia akan ke Pulau Lagenda itu seorang diri, tanpa ditemani ‘si isteri’. Dek kerana itulah Kidd risau tak menentu.

Reaksi Kidd apabila dia beritahu bahawa trip bulan madu ini tetap diteruskan juga, sahabatnya itu menyuruh dia supaya ke hospital menjalani pemeriksaan kesihatan. Takut-takut, andai rasa kecewa yang dialaminya itu telah menggigit putus semua deria rasanya.

Celupar sangat mulut Kidd tu. Mujurlah sahabat.

Kertas berwarna putih bersaiz A4 yang diselit dicelah mukasurat novel, dibuat seperti sekeping penanda buku itu ditarik keluar.

Tiket yang dia cetak beberapa hari yang lepas itu diteliti, kemudiannya diletakkan di atas meja. Novel yang masih belum habis dibaca itu dia simpan ke dalam beg galasnya.

Dia melihat kembali waktu yang tertera pada tiket yang bercetak. Jam 17.20. Sempat lagi dia hendak berlegar-legar di sekitar sini.

Tadi, dia seperti ternampak satu kedai farmasi. Boleh dia singgah membeli ubat anti-mabuk. Esok, dia akan mengikuti trip ke Pulau Payar.

Dah lama dia tak naik bot mahupun feri, bimbang juga dirinya akan mabuk laut. Itupun Kidd yang ingatkannya sebentar tadi.

Baki kopi o di dalam cawan yang sudah pun suam itu dihirupnya sekaligus.

Backpack diangkat dan digalas ke bahu.

Dia bangun menuju ke kaunter membayar secawan kopi o yang diminum tadi. Harganya sama dengan dua cawan kopi jika minum di luar.

‘Selamat datang ke era kapitalis.’ Desisnya. Ada senyum sinis yang tersungging di bibirnya.

 

 

 

 

Sejak daripada tadi, matanya tak lepas dari memandang mamat yang memakai kemeja bercorak kotak-kotak kecil berwarna merah dan hitam, serta menyarung topi besbol berwarna hitam, duduk tak jauh daripadanya.

Mamat yang sedang memegang sebuah novel itu duduk di meja berdekatan dengan kaunter, dekat dengan laluan masuk ke kopitiam. Dia pula duduk di bahagian dalam, dan mejanya pula sedikit tersorok.

-Bid! Ada orang baca novel JS depan aku.

+Ambik gambar!

-Seganlah.

+Novel aku ka?

-Bukan! Ni novel yang cerita pasal Pembunuh Obituari tu. Yang ada Pingu dan Syud juga tu.

+Tinta!

Diangguk kepalanya biarpun mereka sekadar ‘bersembang’ di dalam aplikasi WhatsApp, mengiyakan apa yang Bid beritahu itu.

 

-Kau tahu, yang baca ni lelaki.

+OMG! Hang kena ambik gambar juga-jugaaaaaaa!

 

Dia ketawa. Di dalam kepalanya sudah terbayang reaksi Bid. Teruja dengan tangannya mungkin sedang menampar sesuatu. Entah apalah yang menjadi mangsa tangan Bid itu.

Kebiasaannya kalau dia yang berada di hadapan Bid, pasti lengannya menjadi sasaran.

Teman serumah yang dia kenali sejak 7 tahun yang lalu. Dari zaman Bid penulis di blog sehinggalah menjadi penulis di syarikat penerbitan Jemari Seni.

Arahan Bid itu cuba dia laksanakan. Tetapi, tindakannya itu terbantut.

Baru sahaja dia hendak fokus kedudukan, mengambil gambar, mamat berbaju kemeja kotak-kotak itu bangun.

Terperanjat dia. Terus buat-buat memandang ke bahagian belakang kopitiam, menembusi dinding kaca lutsinar.

Dengan menggunakan ekor anak mata, dia cuba mencuri lihat ke arah mana mamat tadi pergi. Matanya mengekor sehingga ke kaunter bayaran.

Sebaik terpandang jam di dinding di kaunter, matanya terbuka luas. Hampir-hampir pukul empat petang. Penerbangannya pukul 16.20.

Tergesa-gesa dia meninggalkan meja dan terus ke kaunter membuat bayaran. Meja yang diduduki mamat tadi dikerlingnya sekilas sambil menunggu wang baki daripada juruwang.

Waktu itu dia perasan ada sekeping kertas berwarna putih yang berlipat dua. Perasaan ingin tahunya tiba-tiba datang menyelit. Entah kenapa, perasaannya kuat mengatakan kertas putih itu bukan sebarang kertas. Tetapi…

Apabila mendapat baki wang, dia menghampiri meja dan kertas putih yang berlipat elok itu diambilnya.

Hah! Kan dah kata, fiasatnya betul.

Kertas putih tersebut adalah sekeping boarding pass.


Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)