SatuDuaTiga

Foto: Google

Ji’a teringat lagi kenangan dahulu. Sewaktu Dr. Adib menjalani praktikal di tempat mak bertugas. Hanya kerana ingin bertemu mata dengan si doktor pelatih itu, Angah dengan sukarelanya menjadi pemandu, mengambil dan menghantar mak ke hospital. Tapi, sebaik sahaja doktor itu tamat tempot praktikal, Angah secara automatiknya melepaskan ‘jawatan’ itu kepada Along.
“Tapi… macam mana Angah boleh terjumpa dengan Doktor Adib tu semula?” Dia mahu tahu cerita selanjutnya daripada mak. Semakin teruja dia dibuatnya. Lokman di sebelah yang masih kebingungan, tak dipedulikan langsung.
“Kata Angah, sewaktu membuat umrah tahun lepas. Cuma baru-baru ni Angah terjumpa semula Doktor Adib di kem perubatan berdekatan kampung saudara kandung Angah tu.” Cerita mak panjang lebar.
Takjub! Perancangan Allah Yang Maha Kuasa, tiada siapa yang tahu. Angah pergi membawa luka di hati. Lalu, dengan kuasa Dia, luka di hati itu telah berjaya diubati. Terbuktilah Dr. Adib itu memang seorang ‘doktor’!
-Petikan 1,2,3… Bintang Di Langit. Halaman 329.


Suasana lapangan terbang Sultan Abdul Halim ketika itu buat Ji’a menahan rasa. Nafas yang ditarik serasa susahnya.
Matanya tertumpu ke arah Angah sekeluarga yang ketika itu agak berjarak sedikit dari tempat dia sedang berdiri sekarang ini.

Melihat wajah Fitri, Ji’a semakin rasa sebak. Fitri anak saudaranya itu sedang didukung abang iparnya, Doktor Adib. Fitri itu sebaya saja dengan Saidatul anaknya. Hanya berbeza bulan sahaja. Angah pula dilihatnya tenang saja. Sepasang mata Angah itu memperlihatkannya. Sehingga dia sukar menebak isi hati kakaknya itu.

Air mata yang mahu jatuh ke pipi cepat-cepat disekanya. Sedang dia melayan perasaan terasa bahunya dipaut lembut oleh seseorang. Ditoleh ke sisi, terlihat wajah-wajah kesayangannya. Wajah anak dan suaminya. Satu tangan Ahmad Farhan sedang mendukung Saidatul, dan satu tangan lagi terletak elok dibahunya. Dan tangan itu sedang menepuk lembut bahunya.

“Kalau Ji’a sedih, Angah lagi sedih.” Suaminya berbisik ke telinga. Memujuk.

Dia angguk, sedaya upaya mengawal perasaan. Sebak yang semakin terasa itu ditahan daripada dipamerkan melalui wajahnya.

Abang iparnya itu terlibat dengan misi pasukan perubatan ke Gaza. Dan hari ini mereka seisi keluarga datang menghantar Doktor Adib menaiki pesawat.  

Demi misi kemanusian. Demi perjuangan Islam. Seharusnya dia dan keluarga berbangga, kerana ada ahli keluarga mereka yang turut terlibat di dalam perjuangan itu. Cuma, dia berasa sedih bagi pihak Angah dan Fitri. Harus berjauhan dengan suami dan ayah. Sudahlah Syawal semakin menghampiri.
Lagi pula sekarang ini bermacam-macam berita yang kurang enak terpapar di media. Takutnya hanya Allah saja yang tahu.

“Doa dan tawakkal. Itu yang patut kita buat. Doakan semoga Abang Adib selamat kembali. Yang lain-lain, kita serahkan kepada Dia Yang Maha Berkuasa.”Serentak dengan kata-kata itu, Ji’a dapat rasakan tubuhnya ditarik  rapat sehingga wajahnya hamipr-hampir bertemu dengan badan Saidatul.
Ji’a tarik nafas dalam-dalam. Kata-kata si suami berjaya membuatkan dia tersedar daripada emosi yang kian larut.

Ya Allah. Dirinya beristighfar di dalam hati. Sungguh dia alpa. Dia tidak sepatutnya begini. Bukankah segalanya sudah ditentukan. Sudah tertulis. Qada' dan qadar.

“Abang Adib diberi peluang berjuang di jalan Allah dengan kepakaran yang dia ada. Kita pun ada peluang itu Ji’a.” Wajah si suami dipandangnya tepat.

“Derma apa yang kita mampu. Boikot apa yang kita boleh. Tu semua kita mampu buat.” Senyuman yang terbit di bibir si suami buat Ji’a juga turut sama ukir senyum. Kepala diangguk mengiyakan.

“Dah, jom kita pergi jumpa Abang Adib.” Ajak si suami. Dan mereka bertiga mula berjalan mendekati Angah sekeluarga.

Saat senyuman Doktor Adib singgah di matanya, Ji’a rasakan segala kerisauan tidak bertempatnya tadi terbang menghilang.

Betul kata suaminya. Ini perjuangan kita semua. Yang membezakan hanyalah cara melakukannya, tetapi matlamat kita adalah sama.



#DoauntukGaza
#DoauntukMalaysia

Semoga kita semua berada di bawah perindungan Allah S.W.T. Amin.

Yang mendoakan,
Pena Tumpoi

Comments

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya