[3] Cerpen : Papa Jon vs Papa Rizz
Cerpen
: Papa Jon vs Papa Rizz
Menjelang waktu tengah
hari Jalan Putra merupakan jalan yang paling sibuk dengan orang ramai. Ini
kerana di Jalan Putra itu terdapat banyak lokasi kedai-kedai makan. Disebabkan
lokasinya yang agak berdekatan dengan bangunan-bangunan kerajaan, kedai-kedai
di situ sentiasa didatangi ramai orang terutama pada waktu makan tengah hari.
Kewujudan banyak kedai
di situ membolehkan penggunanya membuat
pilihan. Di samping menjana pendapatan, pemilik-pemilik kedai juga dapat
bersaing secara sihat. Ini dapat dilihat pada usaha yang mereka lakukan dalam memenuhi selera para
pelanggan.
Antara kedai makan yang paling terkenal di situ ialah
Kedai Papa Jon dan Papa Rizz. Kedua-dua kedai itu sentiasa bersaing untuk
menarik perhatian para pelanggan. Jika dilihat secara luarannya kedua-duanya
memang bersaing secara sihat. Tetapi pada hakikatnya kedua-dua kedai makan itu merupakan seteru sejak dari zaman penubuhan kedai sehinggalah kini.
Kedai Papa Jon dimiliki oleh Encik Indera Joned dan
keluarganya. Penghijarahan Encik Indera Joned sejak sepuluh tahun yang lalu ke bandar Putra
adalah disebabkan oleh penamatan perkhidmatannya di dalam pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja. Dia yang dahulu menyandang gelaran tukang masak sewaktu di kem ternyata tidak mahu
mensia-siakan bakatnya di dalam bidang masakan.
Manakala Kedai Papa Rizz adalah kepunyaan Encik Rizzuan Razzi yang merupakan bekas Chef di sebuah hotel. Berbekalkan
pengalaman yang luas dalam bidang
masakan dia nekad berhenti dari hotel dan memulakan perniagaan sendiri.
Walaupun Kedai Papa Jon dan Papa Rizz bersebelahan,
namun kedua-dua pemiliknya seringkali
berbalah. Perbalahan itu berpunca
daripada peristiwa di mana kedua-duannya sedang mencari-cari lokasi kedai makan.
***
Tahun
2001
Kelihatan seorang lelaki berdiri di hadapan sebuah kedai kosong. Di luar pintu kedai itu terpampang
poster ‘FOR SALE’. Lelaki itu meneliti jam di tangannya. Dengan briefcase yang
dikepit di ketiaknya berserta kemeja lengan panjang juga tali leher diikat
kemas menyerlahkan yang dia daripada
kalangan professional.
Lelaki itu kemudian melihat jam tangannya kembali. Seketika kemudian namanya dilaung
oleh seseorang dari arah belakang.
“Maaf ye Encik
Noh. Saya terlambat sikit. Tadi saya nyaris
tertinggal teksi.”
“Oh, never mind.
Saya baru saja sampai. Ini Encik Joned ye?” Tanya lelaki yang dipanggil Encik
Noh itu.
“Ye, ye…Saya Indera Joned. Boleh saja kalau Encik Noh nak panggil
Joned. Tapi bapa saya dah tiada untuk
sahut panggilan tu.”
Wajah Encik Noh kelihatan merah. Bagaikan udang yang di bakar di atas pemanggang. Tidak
tahu perubahan wajah itu adalah disebabkan oleh cuaca panas ataupun
kata-kata yang baru sahaja dilemparkan
oleh Encik Indera Joned itu.
“Ini ke kedainya
Encik Noh?”
“Oh, iya. Inilah kedainya. Mari saya bawak Encik Indera
melawat ke dalam kedai.”
Setelah puas meneliti setiap penjuru kedai itu Encik
Indera Joned bersuara,
“Encik Noh, harganya tak boleh di runding lagi ke?”
“Maaf Encik Indera. Ini adalah harga yang telah
ditetapkan oleh pihak kami. Bangunan ini masih baru dan ianya ada potensi untuk
menjadi maju. Encik Indera lihat sendiri kan, jalan di sini merupakan jalan utama dan ia berdekatan dengan bangunan-bangunan
kerajaan,” Terang Encik Noh dengan panjang lebar. Sambil itu tangannya menyeluk
sesuatu di dalam kocek seluarnya.
“Beginilah Encik Indera. Jika encik berminat dengan kedai
ini, itulah harganya. Tetapi kalau encik tidak mahu saya boleh tunjukkan lokasi
yang lain. Bangunan di hadapan sana juga okey. Harganya lebih murah berbanding
harga kedai ini. Cumanya kedai di sana agak berlainan bentuknya.” Encik Noh
kelihatan sedang mendail telefon bimbitnya yang baru sahaja dikeluarkan dari kocek seluarnya.
Encik Indera Joned mula memandang ke hadapan kedai itu. Dia memandang lama ke deretan
bangunan kedai itu.
‘Aduh! Macam mana ni. Kedai ni dah okey. Cuma harganya sudah melebihi bajet yang ditetapkan.
Kalau kedai yang depan tu memanglah nampak
okey, tapi fengshuinya kurang bagus.’ Dia mula berperang dengan emosi.
“Macam mana Encik
Indera?” Encik Noh bertanya sebaik sahaja dia menghentikan perbualannya di
telefon.
“Beginilah Encik Noh. Saya balik berbincang dulu dengan
keluarga. Apa-apa nanti saya akan hubungi Encik Noh.”
“Okey. Tapi saya harap
keputusan dapat dibuat dengan
cepat. Sebab kedai ini banyak orang yang mahu.” Mereka bersalaman seketika.
Encik Indera Joned mula melangkah keluar
dari kawasan kedai itu.
Sebuah
teksi berhenti tepat di hadapannya. Encik Indera Joned kelihatan agak terkejut. Penumpang di dalam
teksi itu turun dengan wajah yang
berang. Dia melihat penumpang itu sedang
bertekak dengan pemandu teksi. Belum sempat penumpang itu menutup pintu,
pemandu teksi itu terus memecut kenderaannya.
“Hoi, kurang ajar punya driver teksi. Ingat aku ni
senang nak kena tipu ke?” Marah si penumpang teksi itu.
Encik Indera Joned memandang tepat ke arah penumpang teksi tadi. Setelah penat
memarahi pemandu teksi tersebut, penumpang itu menoleh ke arah bangunan kedai
di belakangnya. Pandangan pertama yang menyapa matanya adalah sesusuk tubuh
lelaki. Mereka berpandangan seketika. Masing-masing tergamam. Kemudian serentak
mereka menjerit,
“Kau!!!” Jerit kedua-duanya.
“Hei! Kau yang berebut teksi dengan aku tadi kan?” Soal
penumpang teksi tadi dengan nada yang agak keras.
Encik Indera Joned memandang bengis lelaki di hadapannya
itu. Dengan wajahnya yang agak garang dan misai yang melentik, dia menjegilkan
matanya tepat ke arah lelaki di hadapannya.
“Aku yang tahan teksi tu dulu!” Si penumpang teksi tadi
bersuara keras.
“Banyaklah kau. Aku yang nampak teksi tu dulu!” Encik
Indera Joned tidak mahu kalah.
Kemudian
dia menyambung lagi.“Kalau setakat
menjerit dari jauh, aku pun boleh!”
“Habis tu kenapa kau tak jerit. Penat aku berlari kejar
teksi, alih-alih kau yang naik!!!”
“Oppp..opp.. Bawak bertenang. Encik Indera, saya rasa ini
salah faham saja.” Encik Noh cuba menenangkan kedua-dua lelaki itu.
“Encik Indera, dan encik?” Encik Noh bertanya kepada
lelaki yang baru turun dari teksi tadi.
“Rizzuan!” Jawab lelaki itu dengan nada yang keras.
“Okey. Encik Rizzuan dan Encik Indera sila bawak
bertenang. Jangan gaduh-gaduh. Tak eloklah. Malulah orang nampak.” Dia mula memandang keadaan
sekeliling. Beberapa orang yang lalu-lalang di kaki lima kedai itu mula
menjeling ke arah mereaka.
Dari jauh kelihatan sebuah teksi menuju ke arah mereka.
Encik Noh bergegas menahan teksi itu. Teksi itu berhenti di hadapan mereka.
“Beginilah Encik Indera. Encik pulang dahulu berbincang
dengan keluarga. Nanti dah ada keputusan encik contact saya semula.” Dia berkata sambil memaut bahu Encik Indera
Joned. Lalu dia membukakan pintu untuk lelaki bermuka bengis itu.
Walaupun Encik Indera sudah di dalam perut teksi, namun
pandangannya tetap tajam menikam lelaki di sebelah Encik Noh. Lelaki yang
bernama Rizzuan itu memandang ke arah lain. Mungkin tidak berani menatap
pandangan yang tajam itu.
Seminggu selepas itu, Encik Noh mengatur satu perjumpaan
di pejabatnya untuk berbincang tentang isu kedai tersebut.
Kehadiran Encik Indera Joned dan Encik Rizzuan yang
serentak membangkitkan suasana yang kurang selesa.
“Maaf, kerana saya panggil encik berdua. Terima kasih
sebab sudi hadir ke sini.” Encik Noh memandang ke hadapannya. Kelihatan dua
lelaki yang duduk di situ sambil membelakangkan badan masing-masing.
“Sama-sama.” Kedua lelaki itu menjawab serentak. Encik Noh
hanya menggelengkan kepalanya. Walaupun sudah tua, keduanya masih berperangai
seperti remaja belasan tahun yang masing-masing pantang dicuit.
“Beginilah encik berdua. Terlebih dahulu saya minta maaf.
Kedai yang saya tunjukkan minggu lepas ada sedikit masalah dengan pihak pemaju.
Jadi, kedai itu tak dapat dijual buat suatu tempoh masa.”
“Habis tu macam mana?” Tanya Encik Rizzuan Razzi.
“Beginilah encik berdua. Saya syorkan encik berdua
mengambil lot kedai yang di seberang tu. Kedai itu pun bagus. Kedudukannya agak
strategik. Saya harap encik berdua dapat mempertimbangkannya.”
“Oh, ya. Lot kedai yang masih kosong tu bersebelahan
saja. Nampaknya Encik Indera dan Encik Rizzuan bakal menjadi jiranlah nanti.
Kedai apa yang bakal dibuka?”
“Kedai makan.” Jawab kedua lelaki itu serentak. Mereka
kemudian berpandangan.
“Huh! Orang nak bukak kedai makan. Dia pun sibuk jugak.
Entah pandai masak ke tidak? Encik
Indera Joned mula menyimbahkan ‘minyak’.
“Eleh, kurang-kurangnya aku ni Chef hotel terkemuka. Yang
dia tu boleh ke masak? Aku rasa nak tumbuk cili pun tak pandai. Tumbuk orang
pandai la kot.” Encik Rizzuan Razzi pula menyalakan ‘api’.
“Kau…” Encik Indera Joned mula mengacukan penumbuk ke
arah Encik Rizzuan.
“Stop!!!” Jerit
Encik Noh. Nafasnya turun naik menahan sabar. Pening kepala dia dengan kerenah
dua lelaki di hadapannya. Kedua-dua lelaki itu terdiam.
“Beginilah encik berdua pulang dulu. Nanti apa-apa
perkembangan sila contact saya
semula. Kalau encik berdua setuju mahu membeli kedai itu, saya akan uruskan
prosedurnya.” Dia sudah berasa rimas dengan gelagat dua lelaki itu.
Secara luarannya pertelingkahan tadi dapat Encik Noh
hentikan. Tetapi pada masa yang sama kedua-duanya mula menyimpan dendam di hati.
Encik Indera Joned melemparkan senyuman sinis sewaktu
matanya berlaga dengan Encik Rizzuan Razzi di luar pintu bilik Encik Noh.
‘Huh!! Siaplah kau sotong kurita. Ada hati nak jadi
tukang masak. Tak padan dengan lembik macam sotong ada hati nak pegang periuk
belanga.’ Encik Indera Joned mula berperang dengan hatinya.
‘Eleh. Kau ingat muka bengis kau tu mampu takutkan aku.
Harap misai melentik macam penyapu kontot ada hati nak lawan dengan Chef terkemuka.
Kita tengoklah nanti.’ Encik Rizzuan Razzi berlalu sambil melemparkan jelingan
kepada Encik Indera Joned.
Seketika kemudian mereka berpaling ke arah masing-masing.
Melalui pandangan mata yang tajam itu mereka bagaikan mengisytiharkan
peperangan.
‘Mulai hari ini kita adalah MUSUH.’ Mereka berkata di
dalam hati masing-masing.
***
Itu adalah peristiwa sepuluh tahun yang lalu.
Pertelingkahan yang dahulunya terbawa-bawa sehingga kini. Pertelingkahan yang
memaksa seisi keluarga mereka terlibat sama.
Di bawah pohon yang agak rendang kelihatan sepasang
kekasih duduk bersantai di atas sebuah kerusi sambil menghadap ke arah tasik.
“Luth. Macam mana ni?” tanya si gadis kepada jejaka itu.
“Entahlah. Luth dah buntu tak tau nak fikir macam mana
lagi. Mia pulak macam mana?”
“Ala. Mia pun macam Luth jugak. Abah Mia tu lagi garang
tau daripada Pak Cik Rizzuan.”
“Mia. Jangan tertipu dengan papa. Papa Luth tu nampak je lemah
lembut. Tapi degilnya. MasyaAllah. Mummy pun tak dapat nak pujuk.”
“Habis tu hubungan kita macam mana?” Mia mulai hilang
sabar. Dia bangun meninggalkan kerusi yang didudukinya tadi.
“Luth tak nak kahwin dengan Mia ke?”
Luth turut bangun daripada duduknya.
“Mia.” Lembut suara itu meyapa telinga Mia.
“Janganlah macam ni. Luth memang nak kahwin dengan Mia. Sumpah!”
“Tapi Mia kena bagi Luth masa untuk jelaskan kepada papa
tentang hubungan kita.”
“Tapi sampai bila Luth?”
“Kita dah berkawan nak masuk lima tahun. Takkan Luth nak
tengok Mia dah tua kerepot baru nak masuk minang?
“Kalau itu saja pilihan yang kita ada, Luth ikut je.”
Luth bersuara perlahan.
“Apa!!!” Mia berdecit tanda geram. Dia kemudian
berlari meninggalkan Luth sendirian.
“Mia..Mia!!!” Luth melaung sekuat hati. Namun Mia tidak
langsung menoleh. Dia cuba mengejar larian Mia yang semakin laju itu.
***
Dia berdiri tegak sambil membuang
pandang ke arah papan nama kedai di sebelah kiri. Kelihatan nama PAPA RIZZ
terukir di situ. Kemudian dia memandang ke papan nama kedainya. Tersenyum
dia melihat nama PAPA JON. Jon itu adalah singkatan daripada nama arwah datuknya iaitu
bapa kepada abahnya Encik Indera.
Cadangan untuk meletakkan nama itu
datang daripada ibunya. Bagi ibu dia amat menyanjungi arwah bapa mertuanya
kerana lelaki itu seorang yang gemar memasak semasa hayatnya dahulu.
Sedang asyik dia mengelamun di
hadapan kedai, tiba-tiba kedengaran bunyi bising datang dari arah kedai sebelah
Encik Rizzuan. Dia kemudian meluru untuk melihat. Dilihatnya seorang lelaki
asing bersenjatakan parang sedang mengugut pemilik kedai itu iaitu Encik
Ramli.
Kehadiran lelaki bersenjata itu di
kala fajar baru mula menjengah membuatkan suasana pagi yang dingin menjadi
kecoh seketika. Dia yang mahu menerpa ke arah lelaki asing itu terhenti apabila
ternampak Encik Rizzuan bertindak dahulu.
Keadaan
menjadi kecoh apabila Encik Rizzuan cuba merampas parang daripada lelaki asing
itu. Dalam keadaan yang kacau bilau itu, lelaki asing itu mula mengalihkan
perhatiannya kepada Encik Rizzuan. Dia yang terpaku di situ tiba-tiba tersedar.
Dengan pantas dia menuju ke arah mereka. Namun tiba-tiba abahnya yang datang entah
dari mana, meluru terus ke arah mereka yang sedang bergelut. Dia melihat abahnya
cuba menghalang parang itu daripada mengenai Encik Rizzuan.
Semua kaget memandang situasi tersebut.
Abah bagaikan hero yang datang menyelamatkan suasana. Mujur abah bijak.
Diangkatnya papan pemotong kayu yang besar itu tepat mengenai parang. Tertusuk ia di papan pemotong itu.
Melihat situasi itu, dia dan
beberapa orang di situ pantas menangkap lelaki asing tadi. Cubaan merompak pada
pagi itu dapat digagalkan. Beberapa minit kemudian kedengaran siren kereta
polis sayup-sayup dari jauh. Dia bergegas ke arah abahnya. Dilihat tangan abah
terdapat kesan lebam. Mungkin terjadi akibat daripada pergelutan tadi. Dia lihat
Encik Rizzuan masih kaku di tempat tadi.
Melihatkan suasana sudah kembali
tenang, Luth memimpin abahnya untuk berdiri. Mereka kemudiannya ingin berlalu
daripada kedai Encik Ramli. Tiba-tiba ada suatu suara memanggil abahnya,
“Indera.” Kelihatan Encik Rizzuan
berjalan menuju ke arah mereka.
“Terima kasih sebab selamatkan aku.”
Dia nampak Encik Rizzuan menghulurkan tangan kepada abah. Namun abah tidak
segera menyambut. Masih lagi dingin.
“Aku faham, kalau kau masih marahkan
aku. Tapi apa pun aku tetap nak ucapkan terima kasih. Mulai hari ni aku
berhutang nyawa dengan kau Indera.” Lalu tangan yang dihulur tadi jatuh
perlahan-lahan. Namun belum sempat tangan itu terkulai sepenuhnya, tangan abah
pantas menyambut. Tangan mereka berjabat dengan erat.
“Sudahlah tu Rizzuan. Kita buang
yang keruh ambil yang jernih. Lagipun dah lama sangat kita bertelingkah.”
Luth tersenyum memandang kedua
lelaki di hadapannya. Namun matanya sempat menangkap ke arah kelibat gadis yang
duduk di balik pintu kedai. Mereka saling berbalas senyuman.
‘Yeay!!! Mohd. Luthfi, kita dah boleh kahwin.’ Hati Mia bersorak riang.
-Tamat-
1) Perkataan ‘Iye’ mungkin boleh diubah untuk cerpen akan datang.
ReplyDelete2) Sukalah baca. Sebabnya perkataan papa boleh membawa kepada mesej dua buah restoren yang berperang. Kreatiflah. Hehehe. Akhirnya anak mereka berdua tawen. Yeayyy!
3) Nanti saya link blog awak ni kat blog saya ya. Cewah/
Terima kasih Madam Mardihah.
DeleteUtk. yg. akan dtg. saya akan perbaiki.
Terima kasih juga utk. perkara tg. ke - 3 tu. ^^
*senyum 14 juta kali* mcm yg slalu Madam Mardihah sebut tu.hehehe
Papa Jon tu terbayangkan alah lupa nama dia, yg ada dlm rancangan masak Cef Kamarul tu, yg misai melentik tu.. hehe.. apa pun tahniah, citer menarik. :)
ReplyDeleterancangan kat tv ka?
Deletenak tgk jugak.kat mana? hehehe
Terima kasih Juliaesqa
hahaha..papa Jon.. teringat yana kt kwn ayah.. ayah pggl dia papa jon. ayh yana papa roti.. tp depa xgaduh la..:D
ReplyDeletenice story.. luth! msok meminang cepat!! :P
Really? Hahaha.Kebetulan betul.
ReplyDeleteMujur ayah Yana dan Papa Jon tu baik.
Papa Jon tu ada anak teruna macam Luth tak? hahaha(gurau ja jgn. marah ya;)
Thanks Yana sebab sudi baca cerita yang tak seberapa ni :)
hahaaha.. dia ada ja ank teruna.. tp xckup syarat nk kawin lg.. ank dara rmai la.. ihik
ReplyDeleteerk! hahaha, boleh cup utk. masa akan datang kot:p
Delete