[8] Cerpen : Hadiah Yang Terakhir





Ketawa bersama
Menangis bersama
Ku bersumpah harap kita
Mati pun bersama

5 November 2012.

Sayup-sayup kedengaran bacaan Surah Yasin di cuping telinganya. Bacaan yang tengelam timbul itu menghantar rasa sendu di hatinya. Dia kenal suara itu. Suara wanita yang telah 10 tahun hidup bersamanya. Suara isteri dia, Nurain.

Mata yang terpejam rapat itu cuba dibuka, namun dia gagal. Suaranya pula tersekat di kerongkong, bagaikan ada sesuatu yang menghalang. Dia masih mencuba. Mahu memanggil nama Nurain. Tetapi usahanya itu menemui kegagalan.

Akhirnya dia hanyut bersama suara Nurain di dalam dunia yang penuh gelita.

****

2 minggu yang lalu….

Dia tenung wajah Nurain yang waktu itu sedang berteleku di tepi tingkap. Isterinya itu kelihatan ralit memerhati ke luar sana. Walhal, tiada apa pun yang menarik di luar sana untuk dipandang.  Yang ada cuma gerimis yang turun di kala hari petang.

Langkahnya diatur  menghampiri Nurain.

“Sayang,” suaranya berjaya menarik perhatian Nurain.

Isterinya itu berpaling, menentang pandangan dia. Senyuman tercoret di bibir Nurain. Manis. Jika ditanya, apakah benda paling manis sekali di dunia ini? Jawapan yang akan dia berikan adalah senyuman isterinya, Nurain.

Sekalipun Nurain selalu berkata yang dia cuma sekadar mengambil hati dengan bermulut manis, tetapi pada dia, itu adalah kenyataan. Kenyataan yang dia sedari sejak dari saat mengenali Nurain.

Kerana senyuman Nurain umpama bunga, yang sentiasa mekarkan hatinya. Umpama penawar untuk kesedihannya. Pendek kata, senyuman Nurain ibarat pelangi yang timbul setelah gerimis turun.

“Eh, abang buatkan Ain air ke?” Isterinya bertanya kepada dia yang tika itu sedang memegang dua biji cawan yang berhias corak bunga-bungaan. Cawan yang dia beli dari Vantage sebagai hadiah untuk Nurain sempena ulangtahun perkahwinan mereka yang kesepuluh.

Dia hulurkan cawan cantik berisi kopi itu kepada Nurain dengan penuh berhati-hati. Kopi itu masih panas. Jelas kelihatan asap berkepul dari mulut mug itu.

“Patutnya Ain yang buatkan abang air. Ini terbalik pula. Kenapa abang tak cakap yang abang nak minum?” isterinya itu seolah-olah ralat kerana membiarkan dia membuat minuman dengan sendiri.

“Tak pe lah. Sekali-sekala. Bila lagi abang nak tunjuk skill buat air ni. Silap-silap kita boleh buka Café, jual coffea,” dia tersengih pada isterinya. Nurain menggelengkan kepala. Nampak sangat Nurain sudah malas berbahas dengan dia.

“Sayang buat apa kat tepi tingkap ni? Tengah kira berapa titis air hujan ke?” dia berseloroh. Mahu memanjangkan lagi perbualan dia dengan isterinya.                                                                                                   

Tiba-tiba dia terasa pinggangnya diketip sesuatu.

“Aduh!” dia mengaduh.

Rupanya sepit ketam Nurain sempat singgah di pinggangnya.

“Padan muka.” Nurain buat aksi nakal dengan jelirkan lidah kepada dia.

Dia pula ketawa senang. Seronok mengusik isterinya itu. Memang sejak sepuluh tahun yang lalu itulah antara kerjanya, mengusik Nurain. Apapun dia gembira dengan kerja yang ini.

Cawan berisi kopi itu dia letakkan di atas rak yang bersebelahan tingkap besar yang menempatkan dia dan Nurain.

Kemudian dia duduk bersebelahan dengan isterinya. Sengaja dia melentokkan kepala di bahu Nurain. Mahu bermanja. Dia sengih gatal tanpa sedar.

“Abang.” Panggilan itu membuatkan dia angkat semula kepalanya.

Dia berpusing, menghadap Nurain. Matanya diredupkan. Seolah meminta Nurain menyambung bicara.

Sebaliknya, Nurain langsung tidak memandang ke arah dia. Isterinya itu masih lagi setia memandang rintis hujan yang mengalir di cermin lutsinar itu.

 “Kenapa?” tanya dia. Keningnya sedikit berkerut bila melihat Nurain sekadar menggelengkan kepala.

“Tak ada apa-apa lah,” bicara Nurain mati di situ.

“Sayang,” tangan kanannya mula melingkari bahu Nurain. Ditarik isterinya rapat ke sisi. Kini giliran Nurain pula melentokkan kepala di bahu dia.

“Masih terasa dengan apa yang Mak Long cakapkan tu ke?” dia bertanya, cuba menebak perasaan Nurain.

Sejak pulang dari Sungai Besar, dia perasaan mood Nurain kerap berubah-ubah.

“Kalau Ain cakap ya, macam mana?” Giliran isterinya pula menyoal dia.

Dia terdiam. Tetapi otaknya ligat berfikir. Mencari ayat yang sesuai untuk diperkatakan kepada isterinya itu.

“Mak Long tu bergurau aje lah sayang,” itu saja yang keluar dari mulutnya setelah dia berdiam selama 1 minit.

“Tapi betul juga apa yang Mak Long cakapkan tu. Apa ertinya menjadi seorang wanita kalau tak mampu nak menjadi seorang ibu,” suara rintihan Nurain itu menghantar rasa sayu ke hatinya.

Dia genggam tangan Nurain. Dibawa tangan isterinya itu ke dada. Bersatu dengan tangannya. Dipusingkan badan Nurain supaya menghadap dirinya.

Wajah Nurain ditatap dalam-dalam.

“Sayang,” lembut suaranya memanggil Nurain. Sambil tangannya membelai perlahan-lahan rambut Nurain yang berbentuk ikal berwarna hitam pekat itu.

“Dah banyak kali kan abang cakap, jangan pedulikan apa yang orang luar cakap.”

“Tapi sampai bila abang? Dah sepuluh tahun tapi kita masih macam ni. Berdua tanpa ada zuriat sendiri. Abang tak teringin ke nak ada anak macam orang lain?” Pertanyaan Nurain itu menjadikan dia tergamam seketika.

Bukannya dia terkejut dengan soalan itu. Sudah kerap kali dia ditanya begitu. Selalunya, soalan itu datang dari sanak-saudara dan juga rakan kenalan dia. Tetapi apabila soalan yang sama itu keluar dari mulut isterinya, dia jadi kelu.

“Abang.” Suara Nurain menyapa telinganya.

“Apa kata kita terima saja cadangan Mak Long tu,” usul Nurain itu membuatkan dia merengus keras.

“Ain!” suaranya sudah berubah intonasi. Panggilan manja untuk Nurain pun sudah hilang. Begitulah keadaannya bila dia marah atau tidak suka dengan kata-kata atau kelakuan Nurain.

“Dah berapa kali abang beritahu. Jangan ungkit soal tu lagi!” bentak dia.

Nurain dilihat tunduk merenung ke lantai. Dia mengeluh sendiri. Tidak suka keadaan yang romantis tadi bertukar menjadi dingin. Sedingin cuaca di luar sana.

Wajah mendung Nurain dipandang. Lama.

Dia bukannya marah pada Nurain. Sebaliknya dia bengang dengan Mak Long yang cuba menghasut pemikiran isterinya itu.

Sebab itu dia jarang-jarang mahu pulang ke kampung di Sungai Besar. Bukannya dia tidak suka bertemu sanak-saudara, tetapi dia tidak suka akan topik perbualan yang dibicarakan setiap kali mereka semua berkumpul.

Persoalan tentang anak itu, seringkali mengundang air mata Nurain. Sudah acapkali dia terlihat Nurain menangis sendiri apabila pulang saja dari sana. Tahu benar yang isterinya itu makan hati dengan kata-kata saudara sebelah ibunya itu. Terutama kakak kepada ibunya, Mak Long.

Cuma kali ini kata-kata Mak Long agak melampau. Wanita tua itu sungguh berani mengusulkan kepada isterinya supaya mengizinkan dia berkahwin satu lagi.

Jika ditanya pada sesetengah lelaki, pasti ini antara impian dalam hidup mereka. Tetapi tidak pada dirinya. Sekalipun tidak pernah terlintas di hatinya. Sekelumit pun tiada. Semua ruang-ruang di hatinya hanya untuk Nurain. Tiada lagi ruang kosong untuk wanita lain menghuni.

Geram dengan tingkah Mak Long itu, dia terus membawa Nurain segera pulang. Biarlah dia dikatakan tidak beradab dengan orang tua. Namun untuk membiarkan hati Nurain terus terluka, tidak sama sekali.

Dia tarik nafas, dalam-dalam. Keluhan berat dilepaskan.

“Sayang,” panggilnya perlahan.

Wajah Nurain diangkat dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuknya.

Nampak jelas Nurain sedang menangis. Dia menyeka air mata yang berlinang di pipi wanita kesayangan dia itu dengan jemarinya.

“Kita kan dah janji. Walau apa pun yang terjadi, kita akan tanggung bersama-sama,” matanya memanah ke dalam anak mata Nurain.

Tiba-tiba pipinya terasa sejuk. Tangan Nurain melekap di kedua belah pipi dia.

“Terima kasih, abang.” Nurain tersenyum memandangnya.

Dia kerutkan dahinya. Seolah bertanya untuk apa ucapan terima kasih itu.

“Sebab sudi sayang Ain sampai sekarang.” Dia ketawa mendengar omelan isterinya itu. Hatinya kembali senang bila melihat senyuman mula terukir di bibir Nurain.

“Sudah. Lain kali jangan sebut-sebut lagi pasal isu ni!” suaranya agak tegas. Lagak raja yang memerintah.

“Ain teringin sangat nak hadiahkan abang baby yang comel.” Dia ketawa mendengar kata-kata Ain itu.

Tiba-tiba, tubuhnya diraih erat oleh Nurain.

“InsyaAllah, sayang. Selagi kita tak putus usaha dan doa, DIA akan sentiasa bantu kita,” dia membalas pelukan isterinya itu.

Namun sesat kemudian pelukan itu dileraikan oleh Nurain.

“Ain nyaris lupa. Tadi Doktor Siti ada call. Minta kita ke klinik dia, lusa. Ada hal penting dia nak beritahu.” Ingatannya mula merewang mengingati Doktor Pakar Sakit Puan itu.

Hatinya mula berbunga. Sebulan yang lalu, mereka ke klinik untuk membuat ujian Infertiliti.


Alhamdulillah, mungkin ada khabar gembira dari Doktor Siti untuk mereka berdua.  Dia mulai seronok dengan telahan itu.

****

Hari ini…

Cuaca yang sejuk membuatkan dia masih lagi tidur pulas di atas katil bersaiz King itu. Seketika, tangannya meraba-raba di sisi. Mencari susuk tubuh isterinya. Namun, tiada.

Dia bangun dari pembaringan. Matanya terkelip-kelip memandang ke luar cermin lutsinar di suatu sudut di dalam kamar tidur itu. Gelap. Tidak nampak apa-apa. Tapi dia tahu hujan turun dengan lebat berdasarkan bunyi yang berderau-derau di luar sana.

Jam loceng di sisi katil dipandang. Jarum pendek menghala ke angka 6. Patutlah tadi dia seperti terdengar sayup-sayup suara azan.

Matanya ditenyeh berkali-kali. Menghilangkan rasa kantuknya.

“Sayang,” dia memanggil isterinya. Namun tiada sahutan daripada isterinya itu. Dia bangun, berjalan menuju ke kamar mandi yang berhampiran dengan tempat tidur. Dikuak pintu kamar mandi tersebut. Kosong.

Mana pergi Ain ni? dia bertanya sendiri.

Kemudian, dia kembali semula ke tempat pembaringan. Dihenyak keras tubuhnya ke katil itu. Dia termangu seketika. Tiba-tiba, matanya terpandang sekeping surat berwarna biru langit yang berada betul-betul di bawah lampu meja yang masih bernyala.

Dia capai surat itu. Bait-bait ayat di dada surat itu dibacanya, satu-persatu.

Abang,

Buat kali terakhir Ain ingin memohon ampun dan maaf andai selama kita bersama, Ain banyak guriskan hati abang.

Maaf, kerana Ain merahsiakan penyakit yang selama ini ditanggung. Bukan niat mahu menipu, tetapi Ain tak sanggup hendak musnahkan harapan abang. Mengetahui hakikat Ain penghidap kanser servik, membuatkan Ain berasa kecewa. Kecewa kerana tak mampu untuk melahirkan zuriat abang. Tapi, semua ini sudah tersurat untuk kita. Ain redha.

Abang,

Percayalah. Jauh di dasar hati, Ain hanya inginkan abang bahagia. Mungkin atas sebab itu Ain nekad merahsiakan penyakit ini. Pada Ain, jika ada satu hari untuk Ain bahagiakan abang, sesaat pun tak akan Ain lepaskan.

Maaf sekali lagi kerana Ain tak dapat memberikan kebahagian yang sepatutnya menjadi milik abang. Mungkin bukan Ain yang terpilih untuk bahagiakan abang. Perancangan Allah itu lebih sempurna. DIA tahu apa yang terbaik untuk kita.

Abang,

Sekali lagi Ain memohon ampun dan maaf. Halalkan segala makan minum Ain selama menjadi isteri abang. Halalkan juga kasih sayang yang telah abang berikan kepada Ain. Doa Ain, moga abang bertemu seseorang yang mampu membawa bahagia sehingga ke akhir hayat abang. Salam rindu,

Isterimu, Nurain.

Dia menghela nafasnya, berat. Amat berat sekali. Seperti beratnya dia cuba menghadam isi kandungan surat berwarna biru langit itu.

Mengapa dia boleh terlupa? Terlupa yang Nurain sudah tiada lagi di sisi, di dalam hidupnya.

Sejak dia sedar dari koma beberapa hari yang lalu, surat berwarna biru itulah yang mendatanginya. Surat yang dia baca setiap malam sebelum dia tidur. Surat yang dia perolehi dari dalam laci kabinet bersebelahan katilnya.

Dia menyeka air mata yang mengalir tiba-tiba di pipinya.

“Sampai hati Ain tinggalkan abang…,” tangan kanannya melekap pada bahagian hati.

Matanya dipejamkan. Ingatannya berputar mengingati peristiwa yang berlaku beberapa minggu yang lalu. Dia dan Nurain terlibat dalam kemalangan sewaktu mahu ke klinik Doktor Siti.

Disebabkan kemalangan itu dia koma selama selama 2 minggu. Kata ibu, hatinya mengalami komplikasi yang teruk. Doktor menyarankan agar dilakukan pemindahan hati untuk memulihkan dia.

Matanya yang terpejam tadi dibuka perlahan.

Akan adakah bahagia untuk dia tanpa Nurain di sisi? dia merintih sendiri.

Bagaimana dia mahu mencari pengganti seperti yang diminta Nurain? Masih adakah ruang kosong untuk wanita lain huni? Jika hati yang dia miliki ini pun milik Nurain.

Bahunya kelihatan terenjut-terenjut. Dia sedang menahan esakan. Subuh itu, dia menangis lagi. Entah buat kali yang ke berapa.

-Tamat-
Selagi kita hidup, kita akan sentiasa merasai kehilangan.

Takziah buat sahabat baikku yang baru saja kehilangan ayahanda tercintanya. Moga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.


Comments

  1. Kan dah kata cerita sedih. Huhuh...

    ReplyDelete
  2. Walaupun kita mungkin mampu menghadapi kehilangan itu tetapi kita pasti tetap merasai kesedihan dari sebuah kehilangan.

    ReplyDelete
  3. waaa sedih kenapa nurain pergi meninggalkan suaminya sendirian..tiada wanita lain yang boleh menjadi penganti nurain...

    ReplyDelete

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)

[10] Cerpen : Semasam Yogurt Semanis Ais krim