[9] Cerpen : Pemburu Pria Kesepian


Bam! Bunyi pintu bilik dihempas, kuat. Terasa bergegar seisi rumah. Sham pusing lipat. Memandang ke arah pintu bilik Fahmi. Kemudian dia berpaling pula, menghadap  wajah Syafiq yang berada di hadapannya.

Kusyuk. Syafiq terlalu kusyuk menyuap mee Maggie berperisa kari itu. Langsung tidak tergugat dengan tingkah Fahmi tadi.

Giler[1]  budak ni. Hadap Maggie sampai tak sedar apa yang berlaku. Kutuk Sham di dalam hati.

Mula-mula Sham bagi isyarat bunyi. Macam bunyi ‘pstt’ gaya nak ajak bergosip. Namun, Syafiq langsung tak hiraukan isyarat tersebut. Malah makin galak dia menyuap Maggie kari itu. Siap ada bunyi ‘slurp’, dah macam iklan dalam tv.

Sham mula bengang. Disepak kaki Syafiq yang berada di bawah meja itu. Mulanya perlahan. Tapi bila Syafiq dah sampai tahap hirup kuah Maggie kari tu, Sham gunakan sekuat tenaga. Macam Safee Sali rembat bola. Kuat. Terus ke pintu gol.

Purrrr! Bunyi semburan. Kuah kari dan sedikit sisa mee tepat mengena ke muka Sham.

Kurang ajaqqq[2]! hati Sham bengkek.

Bongek[3] punya Shafiq! marah dia dalam hati.

“Kahkahkah….” Kuat tawa Shafiq. Memecah sunyi rumah bujang mereka.

“Tu la kau. Orang sibuk makan, dia sibuk nak bergosip. Hahahaha… hambik kau.” Syafiq masih galak ketawakan Sham.

Sham lihat Syafiq mula bangun, meninggalkan dia di meja makan berkerusi empat itu sendirian. Lenggok Syafiq yang dibuat ala-ala Temah Si Janda berhias yang tinggal di hadapan rumah mereka itu buat Sham nak termuntah.

Sham ambil tuala lap yang  berada di atas meja makan itu. Lalu, tuala itu singgah ke wajah tampannya.

“Selekeh doh[4]!” jerit Syafiq dari dapur.

Ceit! Nampak saja. Rungut Sham sendiri.

Sham pandang mangkuk yang masih berisi mee Maggie itu. Masih ada separuh meenya. Namun selera Sham sudah mati. Dengan perangai Fahmi yang macam perempuan dilanda sindrom PMS[5] tu ditambah dengan perangai tak senonoh Syafiq tadi, dia memang sudah hilang selera.

Akhirnya, Sham turut sama bangun dari kerusi. Membawa mangkuk yang masih berisi itu menuju ke dapur.

Syafiq sudah pun berlalu dari dapur. Sham lihat rakan serumahnya itu menuju ke pintu rumah mereka.

Pemijak tong sampah berwarna merah-hitam itu dipjak dengan kaki kanannya. Mulut tong sampah itu ternganga, luas. Lebihan mee Maggie tadi selamat masuk ke dalam tong sampah itu. Sayangnya. Rintih Sham.

Mangkuk yang kotor itu dia cuci. Sham mula bersiul sambil mencuci mangkuk kotor dan beberapa lagi tinggalan pinggan mangkuk kotor. Siulannya itu berselang-seli dengan nyanyian.

“Kami adalah pria pria kesepian, Jauh dari rumah dan ditinggalkan cinta, Coba dengar keluhan kami... pria kesepian,”

tak cukup dengan sekadar bernyanyi, Sham menggoyang-goyangkan tubuhnya. Mengalahkan gelek si penyanyi yang terkenal dengan lagu Che Mek Molek, Datuk M.D.K.

“Menikmati pedihnya cinta, Pria kesepian, Menikmati dinginnya hati, Pria kesepian….”

“Woiii!” Jeritan dari bilik Fahmi menghentikan nyanyian Sham. Tangan yang ligat membasuh itu turut berhenti. Terdengar pintu bilik Fahmi dikuak.

“Lagi sekali kau memekak, aku sumbat dengan tong gas tu,” jerkah Fahmi.

Bam! Sekali lagi bunyi pintu dihempas. Kali ini lebih hebat bunyi dentumannya.

Sham gigit lidah. Alamak! Silap time la pula. Desisnya.

Namun, Sham memang tak makan saman. Amaran Fahmi langsung tak dihiraukan. Sebaliknya dia menyambung nyanyian sumbangnya.

“Nanananana nananana nananana….”

****

Asap rokok berkepul keluar dari hidung Syafiq. Begitu asyik Syafiq menyedut dan menghembus. Kotak rokok berjenama Dunhill itu tersemat elok di dalam genggaman Syafiq. Sengaja Syafiq keluar dari rumah. Melepak di laman rumah mereka.

Serabut. Itu yang Syafiq rasakan. Meluat pun ada. Perangai Fahmi yang mengalahkan perempuan datang bulan itu memang sengaja menempah bala. Memang sengaja mahu lihat rumah mereka bertukar menjadi medan perang. Sebab itu dia ambil langkah selamat. Keluar melepak di sini. Untung-untung boleh nampak Temah, si Janda berhias, jiran mereka itu.

Tadi pun dia ada terdengar Fahmi menjerkah si Sham. Mujur Sham yang kena. Kalau dia yang kena, memang Fahmi tu minta makan kaki lah jawabnya. Syafiq tahu dia tak se cool Sham. Sham itu memang penyabar orangnya.

Berkepul-kepul asap berwarna putih terbang ke udara. Mengalahkan orang sembur ubat untuk cegah denggi.

Okey what. Untung-untung Jabatan Kesihatan dah kurangkan kos untuk mengasap kawasan perumahan, sebab secara tak langsung aku dah tolong buat kerja dia orang. Gumam Syafiq.

“Oit!” Syafiq berpaling. Wajah Sham terjengul di celah pintu rumah mereka.

Syafiq kemudian berpaling semula ke hadapan. Menghadap ke arah jalan. Senang cakap ke arah rumah si Temah.

Tak sampai beberapa saat, Sham sudah berada di sebelahnya. Syafiq terasa kotak rokok  Dunhill itu diambil dari tangan dia.

“Apa hal mamat tu?” Syafiq menyoal Sham.

“Putus cinta lagi la tu.” Sham menelah.

“Bodoh!”

“Siapa?”

“Fahmi lah!”

“Sebab?”

“Jadi hamba cinta.” Syafiq ketawa dengan apa yang baru diperkatakan tadi.

Okey what. Kurang-kurang dia pernah bercinta. Kau, ade?” soal Sham, gaya macam yang selalu disebut dalam kebanyakan filem-filem Melayu yang entah apa-apa itu. Aksi nak melebih-lebih. Tapi jalan cerita, hancur.

Syafiq mendengus. Asap semakin berkepul-kepul dihembus oleh dia.

“Ah, kau. Kata aku. Kau pun sama,” balas Syafiq, sarkastik.

“Aku bukan tak nak ada awek. Tapi dah awek tak nak kat aku, nak buat macam mana?” Sham membelek wajahnya menerusi cermin tingkap kereta Wira, milik Fahmi.

Hensem juga aku. Ni kalau Izzue Islam tengok, boleh nangis kot. Tapi… apasal awek selalu reject aku? Sham menggumam sendiri.

“Kau ingat, takat muka hensem, awek nak pandang. Poket kena penuh, Bro. Kau tengok Fahmi. Duit banyak pun asyik kena tinggal, buat apa. Jadi lelaki ni kena bijak. Jangan sampai kena kikis licin dek perempuan.” Syafiq sudah gaya kaunselor memberi kaunseling.

Sham yang mendengar sampai ternganga mulutnya. Kalau ada kumbang yang terbang, memang muat-muat.masuk. Kalau lalat tu, bukan takat seekor saja, tapi sekawan pun boleh join masuk ke dalam mulut Sham.

“Habis tu, Pizah tinggalkan kau dulu sebab apa?” jujur Sham bertanya.

“Uhuk!” Syafiq terbatuk-batuk. Tertelan asap rokok. Sham pula menepuk-neluk belakang badan Syafiq. Gaya dah macam mak tengah tenangkan anak yang tersedak air.

“Puang tuku takai!” Entah jampi serampah apa yang keluar dari mulut Sham.

“Pizah sebut lah ni,” teka Sham.

Syafiq merenung tajam. Kalaulah mata Syafiq itu Pedang Samurai, mesti  habis calar-balar muka Sham dilibas dek pedang.

“Lagi sekali kau sebut nama betina tu, aku tak agak-agak nak kick muka kau!” keras amaran dari Syafiq. Dia tak suka bila nama bekas tunangnya itu diungkit-ungkit. Nama itu umpama bara yang mencucuh hatinya, terbakar.

“Ala, Bro. Melawak pun tak boleh,” Sham cuba bela diri. Tetapi dalam hati berjoget sakan.

Padan muka. Tadi bukan main lagi kau berceramah bagai. Bila kena batang hidung sendiri, baru ada  akai[6] . Sorak Sham di dalam hati.

“Pin! Pin!” Bunyi hon motor cabuk milik pengedar risalah di taman perumahan itu berjaya menamatkan perbalahan mereka berdua. Selalunya mamat Cina itu menghantar risalah berbentuk iklan. Macam template untuk kawasan perumahan baru, promosi pasar raya. Kadang-kadang tu ada juga terselit, risalah pinjaman Ah Long. Risalah tilik nasib pun kadang-kadang terselit juga.

Sham mula menapak ke arah peti surat berwarna merah, yang tergantung elok di pagar rumah mereka.

Syafiq menghampiri Sham yang masih termangu di hadapan pagar rumah. Kebiasaannya, risalah-risalah itu mereka campak terus ke dalam tong sampah hitam yang berada di luar rumah. Langsung tak pernah belek.

Syafiq mula berminat untuk melihat apa yang dibelek Sham. Sekeping kertas dihulur kepada Syafiq.

Seketika mereka berpandangan. Ada suatu riak di wajah masing-masing. Riak yang berkeinginan.

****

Duri-duri dari dahan yang terkena pada lengan Shafiq itu, tidak lagi dia hiraukan. Sakit memanglah sakit. Namun nyawa itu lagi penting. Lariannya dipecut. Sham pula kelihatan termengah-mengah di belakang Syafiq.

“Cepat Sham!” arah Syafiq.

Tercungap-cungap Sham menahan nafas. Sudah hampir 30 minit mereka berlari tanpa henti. Kalau ada pertandingan marathon sempana Hari Kanser Sedunia, pasti dia mampu mendapat sekurang-kurangnya 10 tempat teratas.

Tiba-tiba kaki Sham tersandung kayu bersaiz sederhana, yang terentang di hadapan mereka.

Buk! Sham jatuh tertiarap.

Bunyi rengekan Sham, menghentikan larian Syafiq yang laju itu.

Syafiq berpaling. Terkejut melihat rakannya itu telangkup di tanah. Segera dia menuju ke arah Syam. Diangkat tubuh Sham. Tangan kiri Sham disangkut ke bahu kirinya.

“Kita kena cepat Sham. Kalau tak pembunuh tu mesti dapat kejar kita.” Syafiq sudah tidak pedulikan Sham yang mengerang kesakitan. Diheret juga tubuh Sham itu walau agak berat.

Bebanan yang bertambah di bahu Syafiq membuatkan lariannya agak perlahan berbanding tadi, sewaktu dia berlari sendirian.

“Ak… aku dah tak mampu, Bro. Sakit gila ni,” kata-kata Sham itu diiringi dengan bunyi erangan.

BANG! Bunyi peluru dilepaskan ke udara, menyentapkan hati Syafiq dan Sham. Mereka tergamam seketika. Masing-masing telan liur. Rasa perit di kerongkong.

Dalam hati, terbit rasa kesal kerana datang ke sini. Semuanya gara-gara risalah iklan yang mereka terima, lewat beberapa hari yang lalu.

Sebab plan bangang hendak menyelesaikan masalah cinta, mereka berdua terperangkap dengan satu kes pembunuhan.

Syafiq dengan misi mahu menggunakan khidmat Doktor Cinta untuk membalas dendam terhadap tunangnya. Manakala Sham, cuba mendapatkan tips untuk memiliki teman wanita.

Tak sangka pula kedatangan mereka ke rumah lelaki yang mengaku Doktor Cinta itu mengundang malapetaka buat mereka berdua.

Melihat sekujur tubuh terbaring dengan kesan darah yang berlumuran di lantai rumah, mereka jadi panik. Masing-masing percaya itu adalah pemilik blog Pria Kesepian berdasarkan gambar yang pernah dilihat di blog itu sebelum ini.

Di hadapan lelaki yang terbujur kaku itu, kelihatan sesusuk tubuh berpakaian kot panjang berwarna hitam. Kepalanya  pula tertutup dengan topi ala-ala Sherlock Homes. Hampir menutupi separuh wajahnya. Di tangannya terdapat selaras senapang patah.

Belum sempat menyusup keluar, kehadiran mereka telah pun disedari. Tak cukup tanah mereka berlari. Rasa sesal tak putus-putus datang. Syafiq pula, tak habis-habis menyumpah seranah diri sendiri.
Tiba-tiba bahu kanan Syafiq dicengkam kuat oleh Sham.

“Bro! Lebih baik kau tinggalkan aku je,” cadangan Sham itu dibalas dengan mata jegil Syafiq.

“Gila kau!” rengus Syafiq.

“Kalau macam ni, silap-silap kita berdua terkubur kat sini. Dengar cakap aku. Tinggalkan aku. Selamatkan diri kau,” kata-kata Sham itu buat Syafiq terkesima.

Tiba-tiba, Sham menggenggam tangan Syafiq, kuat.

“Jangan risau. Aku tak salahkan kau, Bro.” Resah hati Syafiq bila mendengar permintaan daripada Sham itu. Kalau ikut pada fikirannya, mahu saja dia ikut cadangan Sham. Tapi, jauh di dasar hati, dia tak tergamak mahu tinggalkan rakannya itu sendirian, menghadapi bahaya.

“Sham,” panggil Syafiq, tegas.

“Dengar sini. Sama ada hidup atau mati, biar kita hadapi sama-sama. Aku tak nak menyesal seumur hidup, Sham,” suara Syafiq penuh yakin. Ya. Dia sudah nekad.

“Cup.” Satu ciuman singgah di pipi kanan Syafiq.

Syafiq kaget. Matanya terkebil-kebil memandang Sham.

Sham sengih macam kerang busuk. Dalam pada itu dia turut mengerang kesakitan. Sakit pada kakinya yang terkehel itu.

“Tak sangka kau yang baran ni ada hati yang mulia.” Syafiq mendengus geram mendengar kata-kata Sham itu.

Bengong punya Sham. Agak-agak la kalau nak buat drama sinetron pun. Tengah hutan kot. Lagipun sekarang ini nyawa mereka dalam bahaya. Desis Syafiq.

Mereka menyambung larian. Syafiq cuba memepercepatkan langkah mereka.

Tiba-tiba ada suara menyergah mereka dari arah belakang. Namun, mereka berdua meneruskan larian tanpa menghiraukan suara itu.

BANG! Sekali lagi bunyi peluru dilepaskan ke udara.

Syafiq masih berdegil tidak mahu berhenti.

BANG! Kali ini mereka berdua menjadi arah sasaran pembunuh itu.

Zup! Entah tubuh siapa yang terkena. Antara Syafiq dan Sham. Mereka tidak tahu. Yang pasti keduanya rebah bersama. Tubuh keduanya menyembah ke tanah.

Pandangan Syafiq mulai gelap. Begitu juga dengan Sham.

****

“Bro!” Suara Fahmi singgah di cuping telinga Sham. Matanya cuba dibuka. Wajah Fahmi tersergam di hadapannya.

“Aku kat mana ni?” tanya Sham.

“Kat hospital.” Itu yang keluar dari mulut Fahmi.

“A… apa yang jadi ni?” Sham menyoal Fahmi, sambil itu dia memegang kepalanya yang terasa berat sekali.

“Ada orang jumpa kau dengan Syafiq terbaring tepi jalan kat hutan lipur,” terang Fahmi.

Nama Syafiq membuatkan Sham bingkas bangun dari pembaringannya.

“Syafiq macam mana?” tanya Sham, agak kalut. Nampak Sham risaukan keadaan Syafiq.

“Dia okey. Cuma luka kat kepala je. Doktor kata terhantuk batu.” Terkebil-kebil Sham memandang Fahmi.

Itu saja. Tak ada luka kena tembak. Mahu saja dia bertanya macam tu kat Fahmi. Namun semua itu hanya bermain dalam hatinya saja.

Apa sebenarnya yang terjadi? Sham bertanya sendiri. Kakinya yang berbalut itu dipandang, lama.

Kalau bukan dia atau Syafiq yang terkena tembakan, siapa pula mangsa peluru itu? Wajah Sham berkerut-kerut memikirkan situasi itu.

“Syafiq mana?” soal Sham kepada Fahmi.

****

Syafiq masih lagi memandang ke laman di luar hospital menerusi tingkap lutsinar itu. Kepalanya yang berbalut itu diusap perlahan.

“Bro.” Syafiq berpaling. Kelihatan Sham berjalan dengan terhincut-hincut menuju ke arahnya.

Mata Sham memanah tepat ke mata Syafiq. Seolah meminta penjelasan tentang apa yang telah berlaku kepada mereka sebelum ini.

Syafiq jungkit bahu, tanda tidak tahu.

Akhirnya Sham mengikut saja tingkah Syafiq. Memandang ke luar sana. Ada sesuatu yang mengganggu di benak mereka.

Pelik. Bagaimana mereka boleh terselamat? Kalau ikut kata Fahmi, mereka dijumpai di tepi jalan di pinggir hutan lipur. Tetapi kalau ikut situasi asal, mereka masih berada jauh di dalam hutan. Bersama pembunuh Doktor Cinta itu.

Apa sebenarnya yang berlaku? Rasa bingung dengan apa yang terjadi, Syafiq dan Sham melepaskan keluhan, serentak.

****

Fahmi membuka pintu pagar rumah sewa. Mahu masukkan keretanya ke dalam. Tadi sejurus dia menerima panggilan dari pihak hospital yang menyatakan kedua rakan serumahnya dimasukkan ke sana, tak tunggu lama, Fahmi terus pecut menuju ke hospital.

Sedang Fahmi membuka pagar, dia ternampak sekeping risalah yang terselit di celah pagar rumah itu.


Diambil risalah itu. Bebola mata Fahmi bergerak laju. Membaca bait-bait tulisan di dada risalah itu. Wajah Fahmi nampak ceria. Samsung Galaxy Note segera dikeluarkan dari kocek seluarnya. Dia mula menaip sesuatu di skrin.

Di sebuah rumah usang...

Dia tersenyum lebar bila melihat mesej yang baharu saja masuk ke dalam kotak mesej e-mailnya. Usai membaca isi mesej tersebut, dia ketawa. Mulanya perlahan. Namun, lama kelamaan semakin kuat. Ketawa yang jika didengari tikus, pasti menikus di dalam lubangnya. Yang jika didengari sang burung, pasti habis berterbangan.

Sepucuk pistol yang terletak di atas meja bersebelahan komputer ribanya itu dipandang. Dia menyeringai. 
Mangsa baru sudah tiba. Desisnya di dalam hati. Sambil itu, matanya dialihkan semula ke komputer riba tadi. Membaca kembali bait-bait ayat yang terkandung di dalam e-mail tersebut dan dia  kembali ketawa. Ketawa yang membawa maksud tersirat.
-Tamat-

*Maksud.

[1] Gila [2] Kurang ajar [3] Sila tanya orang Johor J [4] Pun ayat orang Johor :D

[5] Sindrom penyakit orang perempuan selalunya [6] Akal

Comments

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)

[10] Cerpen : Semasam Yogurt Semanis Ais krim