[1] Certot : Kapal Layar Kertasku
Certot : Kapal Layar Kertasku
![]() | ||
Gambar, kredit kepada : Blog Kamera Buruk YayeeDepiction |
Suaraku saling
bertingkah dengan suara Pitit dan Jali. Ditambah pula dengan bunyi deraian
hujan lebat yang jatuh membasahi bumi.
Perhatian kami bertiga
bertumpu pada longkang besar di hadapan rumah Pitit. Longkang yang tidaklah sedalam
mana tapi cukup untuk air hujan membentuk menjadikan arusnya deras.
Aku lihat Pitit masih
terkial-kial menyiapkan kapal layarnya. Ego Pitit menghalang aku dan Jali dari
membantu. Mataku masih memanah ke wajah Pitit. Sedangkan Jali sudah berkira-kira
mahu meletakkan kapal layarnya. Kapal layar yang diperbuat dari helaian surat
khabar lama milik Cikgu Man, ayah Pitit.
Aku masih tidak
jemu-jemu memandang wajah Pitit. Anak Cikgu Man ini memang degil orangnya.
Tetapi pada aku degil Pitit bertempat. Dia mungkin tak mahu dipandang lemah aku
dan Jali.
Jali sudah semakin hilang
sabar. Rengusan kuatnya membuatkan daya pemerhatian Pitit sedikit terganggu.
Aku lihat Pitit seperti sudah mahu mengalah. Segera dia aku rapati.
Aku hulurkan tangan
kepada Pitit. Meminta kapal layar dia yang masih belum siap itu.
Pitit, aku lihat
teragak-agak. Akhirnya kapal layar itu bertukar tangan. Aku menyambung lipatan
kertas suratkhabar lama itu. Jelas kelihatan warna hitam-kelabu pada tapak
tangan aku. Segera aku calitkan di T-shirt berkolar bulatku yang berwarna
kuning jernih itu.
Setelah kapal layar itu
siap, aku berikan kepada Pitit. Aku lihat Pitit sudah tersenyum senang. Hasil
tangan yang dikira hebat untuk budak lelaki yang baharu berusia enam tahun.
Hujan sudah semakin reda. Cuma di longkang, air hujan
masih bertakung dan mengalir mengikut arus jalannya.
Sewaktu hujan turun
dengan menggila tadi, aku, Jali dan Pitit sempat mengalihkan segala halangan
yang berada di dalam longkang yang akan menjadi lokasi perlayaran kapal kami
nanti. Segala kayu-kayan, botol-botol, serta daun-daun besar telah kami kuis
dengan sebatang dahan kayu yang panjang. Dahan kayu dari pokok besar yang telah
patah. Mungkin kerana ditiup angin yang agak kencang tadi.
Jali sudah semakin
teruja. Aku juga sudah tidak sabar. Pitit tersenyum simpul melihat hasil kerja
tangan dia yang bercampur dengan aku itu.
Jali mula meletakkan
kapal layarnya terlebih dahulu. Aku di tengah. Manakala kapal layar Pitit di
sebelah.
Aku mula mengira dan
kapal layar itu kami lepaskan bersama-sama selepas kiraan yang ketiga. Arus
yang deras membantu mempercepatkan pelayaran kapal-kapal kami.
Aku bersorak bila melihat
kapal layarku mula mendahului. Jali mendengus geram. Dia tertinggal sedikit di
belakang aku. Sedangkan kapal layar Pitit sudah terbalik di pertengahan jalan
tadi.
Larian kami mulai
perlahan. Sebuah longkang yang sangat besar dan dalam menanti tidak juah dari
situ. Aku melepaskan keluhan. Sebentar lagi kapal layar kertas aku akan
terhumban jatuh ke dalam sana.
Mengenangkan itu, aku
sedikit kecewa. Iyalah. Kapal layarku itu diperbuat dari kertas yang sangat
nipis. Biarpun aku melapik sehingga ia menjadi sedikit keras, tetapi kertas
tetap kertas. Ia akan hancur bila dilencuni air.
30 tahun kemudian.
Aku merenung ke arah
sekumpulan kanak-kanak yang bersorak riuh. Rasanya mereka sedang berlawan kapal
layar di parit sana.
Melihat mereka semua membuatkan
aku menilai kembali diri ini. Dahulu, aku pun seperti mereka. Cukup gembira
bermain walau hanya dengan helaian kertas yang dijadikan sebuah kapal.
Namun mengapa kini,
setelah aku dewasa, semua rasa gembira itu makin menjauh. Keseronokan menikmati
hidup berganti dengan tekanan yang hebat.
Aku hilang isteri dan
anak hanya kerana mengejar benda yang tak berkesudahan. Aku juga hampir hilang
kerjaya, kerana pecah amanah.
Hidup aku jadi
kucar-kacir. Hidup yang berlandaskan kehendak semata-mata.
Aku lupa pada
tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Aku juga lupa tanggungjawabku sebagai
hamba-Nya.
Semuanya kerana sikapku
yang tidak pernah puas dalam memiliki. Ingin memenangi setiap perlumbaan. Tanpa
aku sedar di hujung sana aku akan terhumban jatuh. Tenggelam.
Aku umpama si kapal
layar kertas. Yang nampak hebat di atas air, namun di bawah air, akan musnah.
Bercerai menjadi cebisan-cebisan kecil.
Mataku mendongak ke langit. Kelabu. Seperti
warna hidup aku. Suram tak bercahaya.
-Tamat-
41012-1830
Comments
Post a Comment
ketuk-ketuk di sini