[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya
![]() |
Cerpen : Pabila Trio Pulang Beraya. |
Ooooo… Tara pa
ra rap
Selamat pagi
semua
Dengarkanlah
nada
Suara dan irama
Yang menyakitkan
telinga.
Nyanyian
Amir Jahari berkumandang di komputer ribanya. Sambil itu mulutnya juga
terkumat-kamit ikut berdendang bersama penyanyi kelahiran Kucing, Sarawak itu.
Namun sesaat kemudian, suara Amir Jahari hilang dengan tiba-tiba. Dia menoleh
ke arah meja studi. Matanya menangkap satu susuk tubuh yang berdiri tegak bersebelahan
meja studinya yang menempatkan komputer riba itu.
“Laa…
Kak Ja ni, kenapa tutup?” Dia menyoal kakaknya dengan nada tidak berpuas hati.
“Tutuplah.
Bukannya suara dia yang Kak Ja dengar. Kau tu yang lebih-lebih.” Matanya
melirik ke arah kakaknya yang berjalan menghampiri almari pakaiannya.
“Eleh,
Kak Ja jeles le tu. Suara Jo lagi sedap daripada suara Kak Ja.” Dia masih mahu
mengusik kakaknya itu. Kelemahan Kak Jaja adalah, dia cepat sangat melenting jika
diusik. Tidak kiralah siapa pun. Sebab itu dia dan Abang Jiji suka mengusik
kakaknya itu walaupun kerap kali dimarahi ibu.
“Banyaklah
kau punya jeles. Suara macam apa ntah. Perasan! Kau tau, sedap lagi suara
Bubu tu daripada kau.” Dia memerhatikan kakaknya yang hilang di celah pintu
almari pakaian itu.
“Kak
Ja cari apa?” Pertanyaannya dibiarkan sepi tanpa berjawab. Namun selepas beberapa
saat berlalu,
“Cari
ni! Pandai kau ya. “ Di tangan kakaknya kelihatan sehelai kemeja Ladylike
berwarna putih.
Dia
tersengih memandang kemeja berwarna putih itu.
“Kak
Ja dah agak dah. Dalam rumah ni kalau barang Kak Ja tak ada, jawabnya mesti ada
kat bilik Jo.” Mata kakaknya sudah dibeliakkan kepadanya. Bulat.
“Alahai,
Jo pinjam sekejap ja. Hari tu ada function
kat sekolah. Kita orang kena jadi pelayan untuk majlis makan malam sempena Hari
Penutupan Latihan Kawad Kaki Peringkat Sekolah tu.” Panjang lebar dia
menerangkan kepada kakaknya. Satu sahaja yang dia pinta, supaya Kak Jaja tidak
akan memarahinya lagi.
“Kau
tu pinjam tak reti nak pulang-pulang balik. Buat macam harta sendiri. Dahlah
nak beli Kak Ja kena ikat perut.” Kakaknya masih lagi membebel. Dia pula sudah
tidak sanggup lagi mendengar bebelan Kak Jaja yang masih menunjukkan
tanda-tanda tidak mahu berhenti.
“Sorrylah Kak Ja. Jo lupalah.”
“Banyaklah
kau punya lupa. Sudahlah duit elaun Kak Ja kena potong banyak bulan. Dan
bla…bla…bla….” Suara kakaknya kini semakin lama semakin sayup kedengaran.
Akhirnya suara itu terus menghilang. Kelibat Kak Jaja sudah pun hilang dari
biliknya. Fuh, lega. Hatinya berasa sangat lapang.
Tiba-tiba
Nokia 2630 itu melagukan lagu Balik Kampung, nyanyian Allahyarham Sudirman.
Lagu yang sehingga kini tetap menjadi siualan anak-anak muda, termasuklah dia.
Walaupun dia bukanlah dari generasi penyanyi terkenal lagu Tanggal 31 Ogos itu, tetapi dia tetap meminati karya-karya
daripada penyanyi itu.
Dia
lihat nama Abang Jiji tertera di skrin telefonnya. Telefon yang merupakan pemberian
ehsan daripada abangnya sendiri.
“Assalammualaikum
abangku sayang.” Sengaja dia mengusik Abang Jiji. Sudah hampir seminggu lebih,
dia tidak bertemu dengan abangnya itu. Semua gara-gara kesibukkan tugas abang
Jiji yang baharu sahaja melangkah ke alam pekerjaan.
Salam
bersambut. “ Iya adikku Jojo. Tengah buat apa?”
“Tengah
pack barang. Kan malam ni ibu dan
babah nak gerak ke Perlis. Nanti masa
kita balik tak payah bawa banyak barang. Dahlah naik bas. Mahu senget bahu Jo
nanti.” Terdengar suara Abang Jiji ketawa senang.
“Packing, packing juga. Ni hah, Jaja tu
dah belikan tiket bas ke belum? Mahu kita tak balik beraya nanti kat kampung.”
Suara Abang Jiji kembali serius.
“Alamak,
Jo lupa nak tanya. Haish! Ni semua Kak Ja punya pasal. Dia datang bebel-bebel
dekat Jo, sampai Jo terlupa nak tanya dia.” Ada nada mengadu di situ.
“Kak
Ja bebel apa lagi ni?” Mulutnya dicebirkan. Seolah-olah menunjukkan tahap
ketidakpuasan hati terhadap kakaknya. Walaupun dia tahu Abang Jiji tidak
nampak, tetapi dia tahu abangnya itu pasti dapat mengagak reaksinya.
“Dah…dah…
Tak payahlah nak buat muka tu. Tak baik tau bulan-bulan puasa ni mengumpat. Dah
tu mengumpat kakak sendiri.” Kan betul. Abang Jiji paling memahami dirinya.
Rasanya kalau Kak Jaja dengan Abang Jiji jatuh ke dalam laut pada masa yang
sama, dia pasti tidak berfikir dua atau tiga kali untuk menyelamatkan abangnya
terlebih dahulu.
“Jo,
nanti jangan lupa masukkan baju raya abang sekali ya. Abang dah tak balik ke rumah
tau. Nanti besok kita jumpa kat terminal bas saja.” Kepalanya dianggukkan.
“Arahan
diterima. Roger and out.”
“Okeylah.
Abang ada kerja nak buat ni. Jo jangan lupa tanya Jaja pasal tiket tu.” Abang
Jiji berpesan sekali lagi, sekadar untuk mengingatkannya.
“Abang,
kenapa tiap kali Kak Ja buat plan tak
masuk akal, kita wajib kena ikut sama?”
Ketawa Abang Jiji meletus. Kuat sangat sehingga dia
terpaksa menjarakkan telefon bimbitnya dari telinga. Mahu pekak untuk sebulan,
kalau Abang Jiji sudah ketawa seperti itu.
“Entahlah
Jo, abang pun dah naik konpius
fikirkan hal tu. Agaknya Jaja ada baca-baca jampi kot.” Dia ketawa mendengar
andaian abangnya itu mengenai Kak Jaja.
“Kalau ikutkan abang, lagi senang
kita balik Perlis naik kereta dengan ibu dan babah. Bukannya tak muat, Avanza
tu cukup untuk tampung family kita, skuter
Jaja, nak angkut Bubu sekali dengan sangkar dia pun muat lagi.” Panjang lebar
penjelasan Abang Jiji.
“Kak
Ja tu pelik plus ngada-ngada. Kalau
tak kenangkan Jo ni adik dia, dah lama Kak Ja tu Jo cepuk. Hahaha.” Dia
melepaskan tawa tetapi seketika kemudian tawanya terhenti. Merasakan ada
kelibat yang baharu sahaja berlalu di hadapan biliknya, dia terus diam tidak
berkutik.
“Jo…Jo…”
Panggilan Abang Jiji jelas kedengaran di telinga kanannya.
“Syhhh…
Rasanya Kak Ja baru lalu lah abang.” Abang Jiji sudah ketawa terbahak-bahak.
Dia dapat bayangkan mata abangnya berair sebab terlalu banyak sangat ketawa.
“Habislah
Jo. Nanti Jaja ganyang Jo sampai lembik.” Rasa seram bila Abang Jiji mengugut
dia seperti itu. Memang dia takut dengan kakaknya yang seorang itu. Melawak
harus kena tempatnya. Kalau tidak adalah badan yang berbekas nanti. Berberkas
dengan cubitan si Ketam Jaja.
Akhirnya
perbualan dia dan Abang Jiji tamat begitu sahaja. Dia memandang ke arah pintu
bilik yang terbuka luas itu. Mengharapkan tiada serangan daripada kakaknya.
****
“Betul
ke ni Ja?” Suara Abang Jiji berjaya masuk ke dalam telinganya, walaupun telinga
itu telah disumbat dengan earphone
MP3nya.
“Betullah
abang. Ja sendiri yang tanya kakak kat kaunter tadi. Dia cakap bas lambat lagi.
Rosak masa on the way nak ke sini.” Earphone di telinga, ditarik keluar. Perbualan
abang dan kakaknya itu berjaya menarik perhatiannya.
“Kiranya
lambat lagilah kita boleh gerak ni?” Wajah Abang Jiji ternyata tidak berpuas
hati dengan kata-kata yang baharu sahaja dilontarkan oleh Kak Ja.
“Gitulah
gamaknya.” Kak Jaja sudah merengus keras. Nyata kakaknya itu juga dalam emosi
yang kurang stabil. Dia pula menahan rasa. Rasa lapar bercampur letih kerana
sudah hampir dua jam bas yang ditunggu tidak juga muncul. Sejak pukul 4.30
petang mereka sudah terpacak di terminal bas.
“Jomlah
kita pergi cari tempat berbuka dulu. Dah nak dekat pukul 7 dah ni.” Cadangan
daripada Abang Jiji berjaya mencergaskan dia kembali.
“Jo
setuju!” Dengan pantas dia menyuarakan tanda sokongan untuk abangnya itu.
“Tapi,
nanti kalau bas sampai macam mana?” Kak Ja mulai bimbang dengan situasi mereka
ketika itu.
“Habis
tu, Ja tak nak makan? Tak nak berbuka?” Abang Jiji memandang tepat ke arah Kak
Jaja.
“Naklah.”
Wajah Kak Jaja suram apabila disoal serius oleh Abang Jiji.
Bag pack digalas ke bahu. Lalu kakinya
mula mengikut langkah abang dan kakaknya itu.
****
“Ni
semua Abang Jiji punya pasal!” Suara Kak Ja kedengaran kuat. Kata orang Jawa, suaranya
nyempreng.
“Sabarlah
Kak Ja.” Dia cuba menenangkan kakaknya yang sudah seperti anak kecil kehilangan
ibu. Merah wajah kakaknya itu akibat menangis tidak henti-henti. Abang Jiji
pula dilihat sedang menggaru-garu kepala. Mungkin rasa bersalah kepada dia dan
Kak Ja. Bersalah, kerana disebabkan Abang Jijilah mereka ditinggalkan bas.
“Kak
Ja, rileklah. Nak buat macam mana,
abang kan sakit perut. Mana boleh nak ditahan-tahan.” Dia masih lagi sedaya
upaya menenangkan kakaknya itu. Malu rasanya apabila semua mata memandang
‘drama’ mereka tiga beradik di malam raya ini. Lagi satu, dia juga tidak sampai
hati apabila Abang Jiji disalahkan. Kasihan abangnya itu.
“Dah
tahu perut abang tu tak tahan minum Milo, nak juga minum.” Suara Kak Ja sudah
serak-serak, tetapi masih lagi mahu membebel kepada Abang Jiji.
“I’m so sorry, okey. Abang pun tak jangka
nak jadi macam ni. Abang tengok Milo tabur tu sedap sangat. Itu yang tak dapat
nak tahan diri daripada minum.” Wajah Abang Jiji ditundukkan. Abangnya itu
tidak sanggup menahan panahan mata merah Kak Ja. Merah yang disebabkan banyak
sangat air matanya yang keluar.
“Jo,
abang minta maaf ya.” Sayu suara abang Jiji.
“It’s okey abang. Benda dah nak jadi.
Sekarang ni kita kena cari jalan macam mana nak balik ke kampung malam ni juga.
Besok dah nak raya.” Dia bersuara memujuk. Tidak sanggup memandang wajah sayu Abang
Jiji.
“Kita
balik rumah abang. Ambil kereta kat sana.” Cadangan Abang Jiji berjaya
menghentikan tangisan Kak Ja.
Tanpa
berlengah lagi mereka segera ke kawasan parkir teksi. Mujur ada teksi yang mahu
membawa mereka ketika itu. Destinasi seterusanya ialah rumah sewa Abang Jiji.
****
Tangisan
sedu-sedu Kak Jaja sudah bertukar kepada raungan. Umpama serigala jadian yang melolong
di atas bukit seperti dalam drama Teen Wolf kegemarannya. Sangat menyeramkan.
Abang Jiji sudah duduk bertinggung di hadapan pagar rumah sewanya. Dia
memandang wajah kakak dan abangnya silih berganti. ‘Aduh! Tragis betullah
peristiwa di malam raya ni.’ Hatinya menjerit di dalam diam.
“Sekarang
macam mana, abang?” Usai dia bertanya, Kak Ja menyambung lagi raungannya itu.
Sudahnya, dia pun terduduk sama di atas tembok batu yang sedang di duduki
kakaknya itu.
“Kawan
abang dah balik kampung. Nampaknya memang tak ada orang dah dalam rumah ni.”
“Tuan
rumah sewa ni?” Dia masih lagi mengharapkan agar ada jalan penyelesaiaan
terhadap masalah besar mereka ini.
“Kakak
tu dah balik kampung. Agaknya dah sampai Johor dah.” Mendengarkan perkataan
Johor itu, tangisan Kak Ja semakin lama semakin kuat. Dia menggelengkan
kepalanya. Pening dengan gelagat kakaknya yang seorang ini. Abang Jiji pula
dilihat meraup wajahnya untuk kali ke sepuluh. Dia pun sudah buntu. Tidak tahu
bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini. Tidak sangka Abang Jiji terlupa
mengambil kunci rumah sewanya.
Mengikut kata Abang Jiji, kunci
rumahnya mungkin tertinggal di dalam bilik tidurnya. Hendak dijadikan cerita,
kawan-kawan serumah Abang Jiji semuanya sudah pulang ke kampung halaman masing-masing.
Makin menghangatkan lagi situasi cerita ini, rakan-rakan serumah abangnya itu
semuanya orang jauh. Kelantan, Pahang, Kedah dan Penang. Mahu menelefon ibu dan
babah, mereka kini sudah pun berada di Perlis, di kampung halaman.
Nada
dering Pulanglah sayup-sayup kedengaran dari dalam beg tangan Kak Ja. Suara
Aisyah menyentakkan lamunannya yang telah sampai nun di Perlis. Melihat tuan
punya telefon langsung tidak menghiraukan panggilan itu, dia segera mencapai
Marc Jacobs berwarna putih yang berada di antara dia dan Kak Ja.
Dia
melihat ke skrin Nokia C7-00 itu.
Kelihatan nombor 012-3456789. Tiada nama si pemanggil. Lalu butang hijau
ditekan. Suara si pemanggil kedengaran.
****
“Terima
kasihlah Diaz. Menyusahkan kamu saja.” Kedengaran suara Babah.
Bersungguh-sungguh babah mengucapkan terima kasih kepada anak Auntie Maryam,
jiran mereka itu.
“Eh,
tak apalah uncle. Tak menyusahkan
pun.” Abang Diaz tersenyum senang kepada babah.
“Maaflah
ya Diaz. Budak-budak ni menyusahkan Diaz sahaja. Sudahlah jauh. KL-Perlis
bukannya dekat.” Matanya terarah ke arah ibu yang sedang membawa dulang minuman
berserta sepiring kuih.
“It’s okey auntie. Diaz pun bukannya ada hal. Lagipun dapat juga Diaz beraya
kat kampung.” Kini matanya melekat ke wajah Abang Diaz. Mujur ada Abang Diaz
yang kebetulan menelefon kakaknya. Hasrat Abang Diaz yang mahu mengucapkan salam Aidilfitri itu telah
menyelamatkan mereka adik-beradik daripada beraya di Kuala Lumpur.
“Kamu
tak ikut family beraya di London ke?”
Pertanyaan babah itu mengudang senyum di bibir ibu. Sambil itu tangan babah
mengusap lembut kepalanya. Rasa terbuai seketika setelah beberapa kejadian
tragis yang berlaku sepanjang hari ini. Kejadian yang membuatkan dirinya berasa
sangat letih.
“Diaz
dah lama kat oversea. Dah hampir
separuh benua Eropah tu Diaz pusing. Tak sanggup rasanya nak beraya di sana
lagi.” Ketawa Abang Diaz meletus bersatu dengan suara ketawa ibu dan babah.
“Habis
tu Diaz raya sorang-sorang saja kat K.L?” Pertanyaan daripada ibu mengundang
senyuman manis dari bibir Abang Diaz. ‘Aduh! Patutlah Kak Ja boleh cair dengan
abang si Diana ni.’ Hatinya berdetik.
“Sudah-sudahlah
tu Khairi, Liah. Biaqlah budak-budak
ni berehat dulu. Diaz tu pun dah penat, memandu kereta jauh-jauh.” Nenek
bersuara kepada babah dan ibu.
“Diaz.
Mai nenek tunjukkan bilik. Nanti bolehlah Diaz lelap sat. Subuh nanti nenek kejutkan.”
Nenek menggamit ke arah Abang Diaz.
Dia
melirik ke arah jam di tangan kanannya. Jarum pendek menunjukkan ke angka lima
pagi. Matanya pun sudah semakin layu. Rasa kantuk yang maha hebat mula
menguasai dirinya.
“Mana
yang lainnya, abang?” Ibu mula mengambil tempat di sofa yang menempatkan dia dan
babah. Kini dia diapit oleh ibu dan babah.
“Jaja,
sampai-sampai tadi terus naik ke bilik. Merah matanya.”
“Mana
tak merahnya abang. Jiji cakap Jaja tak berhenti menangis dari K.L sampai Mata
Ayer ni.” Telinganya menangkap tawa babah dan ibu. Matanya semakin lama semakin
tertutup.
“Jiji
pula dah terbungkang kat atas katil. Penat sangat la tu. Dia diarrhea masa berbuka tadi.” Babah mempenjelaskan
panjang lebar kepada ibu tentang situasi anak bujang mereka itu.
“Mujur
ada Diaz kan abang. Liah tak dapat nak bayangkan budak-budak ni beraya tanpa
kita. Nak-nak si Jaja tu. Mahu nanti dia berpuasa daripada berjumpa kita nanti.
Lari tinggalkan rumah.” Babah sudah mengekek ketawa. Mungkin gelihati
mengenangkan perangai anak dara sulungnya yang agak pelik itu.
“Alhamdulillah.
Selamat sampai juga cucu-cucu mak ni. Rasa nak luruh jantung mak ni dengar
suara Jaja manangis.” Nenek sudah kembali bersama babah dan ibu di ruang tamu.
“Jaja
tu memang, mak. Cepat sangat kalut. Pula tu, gemar sangat buat yang
bukan-bukan. Mujurlah perangai Jiji dan Jojo ni kontra daripada dia. Jiji tu kalau
dengan adik-adik dia lemah-lembut. Jojo ni pula, mudah beralah dengan kakak dia
tu.” Terasa tangan ibu membelai lembut kepalanya. Tangan babah menepuk-nepuk
badannya. Seolah-olah sedang berdodoi untuknya. Bahagia.
“Tak
apalah. Yang penting semuanya selamat.” Nenek menarik nafas lega.
“Jo,
bangun sayang. Tidur di bilik.” Suara ibu lembut menyapa telinganya.
“Biarlah
dia tidur kat sini. Dia pun dah letih seharian melayan karenah abang dan kakak
dia tu.” Telapak tangan babah kini menggosok lembut kepalanya.
“Kesian
anak ibu ya. Ni semua gara-gara idea si Jaja. Konon nak merasa balik beraya di
kampung dengan naik bas. Sudahnya jadi macam ni pula.” Sayup-sayup suara ketawa
ibu pada pendengarannya.
“Jiji
tu pun sama, Liah. Boleh pula tak bawa kunci rumah. Bikin haru betul anak
bujang sorang tu.”
“Iyalah
abang. Jiji dan Jaja tu cepat panik. Tak macam Jojo. Dialah paling tenang
sekali kalau ada masalah.” Dan itu adalah kata-kata ibu yang terakhir berjaya masuk
ke telinganya. Selepas itu, suara babah dan ibu serta nenek sudah kian
menghilang. Yang muncul hanyalah mimpi-mimpi indah yang datang bertamu di dalam
lenanya.
‘Alahai,
kecohnya raya, gara-gara Kak Jaja dan Abang Jiji. Inilah penangan bila trio
adik-beradik hendak pulang beraya.’ Dia
tersenyum tanpa sedar.
-Tamat-
P/s : Salam Aidilfitri buat semua. Sempena nak balik kampung ni, rancanglah perjalanan sebaik yang mungkin. Dan semoga selamat sampai ke destinasi. InsyaAllah :)
Comments
Post a Comment
ketuk-ketuk di sini