[2] Cerpen : Tapi bagaimana

            Waktu di jam tangan tepat menunjukkan pukul 7 petang. Suri Yuhanis berjalan dengan pantas menuju ke parkir kereta. Keadaan sunyi di kawasan parkir kereta itu, jika pada hari kebiasaan mampu mengundang rasa gerun pada setiap kakitangan Bangunan Putra Bina. Ini kerana parkir kereta bertingkat itu kerap berlaku kejadian-kejadian yang tidak diingini.
            Namun pada Suri Yuhanis, hari ini dia memang tidak berasa apa-apa. Yang ada cuma rasa geram. Mulutnya terkumat-kamit bagaikan sedang menjampi serapah. Tiba di kereta, dia cepat-cepat memboloskan diri. Pintu kereta di tutup dengan kuat. Tiba-tiba bunyi hon yang nyaring dan panjang kedengaran. Rupa-rupanya itu angkara dia. Mujur kawasan parkir itu hanya mempunyai beberapa buah kereta sahaja. Jika tidak mahu ada yang lemah jantung.
            Di dalam kereta.
            “Benci!! Benci!! Benci!!” Suri Yuhanis menghentakkan tangannya di stereng kereta.
            Dia kemudiaanya berhenti daripada terus menghentak stereng itu. Kelihatan tapak tangannya berbekas kemerahan.
            “Apa pasal semua orang sibuk sangat hal aku. Suka hati akulah nak kahwin ke tak. Geram aku! Penyibuk! Dasar suka jaga tepi kain! Kalau aku tak kahwin sampai ke mati pun bukannya dia orang yang kena tanggung nafkah aku. Yang si Noh tu sibuk sangat apa pasal. Kak Yam tu pun sama. Satu ofis tu memang mulut cabul!!! Benci!!!” Kali ini dia menumbuk bahagian tepi pintu keretanya. Kuat.
            “Auch. Sakitnya.” Suri Yuhanis mengaduh. Kemudian dengan tangan yang sakit itu, dia mula menghidupkan enjin kereta. Tidak menunggu lama, dia terus memecut kereta Myvi putihnya.
            Di jalanraya, keadaan begitu sesak dengan kenderaan. Maklumlah kebanyakan orang masih lagi dalam perjalanan pulang daripada pejabat. Suri Yuhanis mulai berasa berang. Sudahlah tekanan di pejabat menekan otaknya. Ditambah pula dengan keadaan yang jammed. Dadanya berombak menahan rasa. Tudung berwarna biru laut itu sudah kelihatan senget. Menunjukkan si pemakainya berada dalam keadaan tidak terurus.
            Sejurus kemudian api amarah yang daripada tadi merajai hati, tiba-tiba terpadam terus apabila terdengar laungan azan Maghrib yang berkumandang di corong radio. Satu keluhan berat dilepaskan. Suri Yuhanis mula menguatkan bunyi azan itu. Lalu dia beristighfar berkali-kali. Terasa kesal membiarkan syaitan meniupkan api kemarahan dalam diri. Dia kemudian meraup wajahnya dengan tangan. Dipandang wajahnya melalui cermin pandang belakang, dia terkejut melihat keadaan dirinya yang begitu kusut. Tudung yang senget tadi diperbetulkan.
            Melihat barisan kenderaan yang panjang dan bergerak bagaikan siput, Suri Yuhanis menggelengkan kepala. ‘Kalau macam inilah, bila masanya aku akan sampai ke rumah.’ Desis hatinya. Kemudian dia memandang sekeliling, mencari-cari tempat untuk dia singgah bagi menunaikan solat Maghrib. Tidak mahu bertangguh sehingga ke akhir waktu. Untung selepas solat, kekusutan yang melanda akan reda.
            Pandangan Suri Yuhanis menangkap papan tanda AEON yang tersergam gah di sebelah kanannya. Jika dilihat pada jaraknya AEON itu hanyalah dalam jarak 3 kilometer daripada kenderaannya yang tersangkut. Dia menoleh ke arah jam di dashboard kereta. Sudah menunjukkan pukul 7.45 minit petang. Lebih elok jika dia berhenti di situ untuk menunaikan solat. Dalam pada itu boleh juga dia merehatkan diri seketika menyambung kembali perjalanan.
            Usai solat Maghrib, Suri Yuhanis duduk bersandar di sebuah bangku kayu yang panjang. Bangku kayu yang terletak di tengah-tengah laluan mall itu. Buat seketika dia merasa tenang berada di dalam keadaan begitu. Sedang asyik dia melihat orang-orang yang lalu lalang, Suri Yuhanis terpandang Kedai Buku Popular di tingkat satu.
            “Hmm..Kedai buku.” Dia mengomel sendirian.
            Kemudian dia bangun daripada duduk dan mula mengatur langkah ke tangga eskalator. ‘Dah lama jugak aku tak masuk kedai buku. Alang-alang dah sampai lebih baik aku cari satu buku motivasi. Daripada orang memotivasikan aku, lebih baik buku yang motivasikan aku. Tak sakit hati. Kurang-kurang kalau hati sakit, buku tu aku simpan ja.’ Hatinya mula berperang dengan emosi.
****
            Tiba di Kedai Buku Popular Suri Yuhanis terus menuju ke arah rak-rak buku. Daripada satu rak buku ke rak buku yang lain. Dia mula menghampiri rak buku yang berlabel Malay Novel. Dicapainya sebuah novel yang agak tebal.
            ‘Amboi. Cantiknya cover. Tengok tajuk pun dah boom.’ Hatinya berkata-kata.
            Dia mula membelek blurb di belakang novel tersebut. Sebaik sahaja membaca blurb novel itu, dia terus meletakkan semula novel tersebut. Agak kuat seolah-olah menghempas.
            ‘Hei! Dah tak ada cerita lain kah? Balik-balik cerita kahwin-kahwin!Apa dah tak de cerita lain ke boleh diangkat? Ceritalah pasal politik ke? Cerita macam CSI tu ke? Cerita fantasi fiksyen ke? Ni asyik cerita kahwin saja. Apa ingat semua orang kat dunia nih semuanya dapat kahwin dengan mudah ke? Sekadar jumpa sekali dah boleh diajak kahwin. Nonsense!’ Dia mula bermonolog.
            Di sisinya terdapat beberapa orang remaja perempuan. Jika dilihat pada usia mereka rasanya masih bersekolah menengah. Suri Yuhanis melihat reaksi remaja-remaja itu yang begiru teruja menghuraikan sinopsis novel yang dipegangnya tadi.
            Dia menjeling sahaja kepada remaja-remaja itu.
            ‘Amboi. Kecik-kecik lagi dah pandai baca cerita kahwin. Adik! Cerita-cerita ni semua bohong belaka. Bagi harapan palsu sahaja. Janganlah menganyam impian daripada benda yang mustahil wahai adik-adikku. Lebih baik kau orang fokus pada pelajaran.’ Ingin sahaja dia luahkan sebegitu kepada remaja-remaja itu. Tetapi semuanya itu hanyalah di dalam fikirannya sahaja. Tidak terluah. Rasanya jika diluahkan, mahu sahaja budak-budak itu membalas sebegini,
            “Eleh! Kakak nih dengkilah tu. Dia tak kahwin-kahwin lagi, ada hati nak nasihat kita!” Okey, itu hanyalah kata-kata yang bermain dalam fikiran dia ketika itu. Tiba-tiba,
            “Err... Kakak nak beli novel ni ke?” Tanya salah seorang remaja itu kepada Suri Yuhanis.
            Dia terkedu. Sebaik tersedar dia terus membalas,
            “Eh...Tak lah. Tak. Kakak tengok-tengok saje.”Dia tersenyum. Senyum terpaksa.
            ‘Okey. Padan muka aku. Boleh pula mengelamun tengah-tengah laluan ni.’ Desis hatinya.
            Kemudian Suri Yuhanis mula mengorak langkah ke bahagian yang tertulis Religion. Dia mula melihat satu per satu buku di rak itu. Tatkala itu dia terpandang sebuah buku yang agak tebal di rak paling atas. Tajuk pada buku itu menarik perhatiannya.
            ‘Okey. Confirm buku ni bukan cerita pasal kahwin-kahwin.Hahaha.’ Dia masih terus bermonolog. Sambil itu mulutnya turut mengikut rentak lagu yang berkumandang di corong radio kedai itu. Lagu dendangan Kumpulan Spider.
            Dia memandang lama buku tersebut. Buku itu berada di rak paling atas. Suri Yuhanis mula menjengketkan kakinya. Tangannya cuba untuk mencapai buku itu, namun masih tidak tercapai. Hanya jari telunjuknya sahaja sempat mengenai buku itu.
            ‘Aduh! Menyesal pula tak pakai high heels hari ni.’ Dia kemudian merenung kakinya yang cuma memakai sandal itu.
            Namun Suri Yuhanis masih terus mencuba mencapai buku dengan tubuhnya yang kecil itu. Dia kemudian memaut tangan kirinya di rak buku itu. Kemudian sekali lagi dia menjengketkan kakinya. Buku itu berjaya dikuis sedikit dengan jemarinya. Sekali lagi dia mencuba. Kali ini dia cuba melonjakkan badannya. Tepat mengenai sasaran. Buku itu berjaya dijatuhkannya.
            Tiba-tiba kedengaran bunyi seperti orang mengaduh.
            “Adoi!” Satu suara garau kedengaran mengaduh. Sambil itu dia menggosok-gosokkan kepalanya. Sakit. Mungkin kepalanya terkena pada bucu buku tersebut.
            Suri Yuhanis mula menggelabah. Digigitnya kuku tanda dia rasa bersalah. Sungguh. Dia memang tidak perasan ada seseorang yang sedang bertinggung berdekatan dengan rak itu.
            “Mak aii. Patutlah sakit. Tebalnya.” Suara garau itu kedengaran lagi.
            Suri Yuhanis dalam keadaan cuak apabila si suara garau itu mula berdiri. Buku yang jatuh itu dikutipnya. ‘Ya Allah. Ampunkanlah dosa aku. Lepas ni aku takkan ngamuk-ngamuk lagi.’ Dia mula berdoa di dalam hati. ‘Kalaulah mamat ni lempang aku, jadi kes niaya ni. Tengok  badan pun dah ala-ala Fahrin Ahmad.’ Dia mula menelan air liur.
            Kemudian lelaki itu berpaling ke arah Suri Yuhanis yang tegak berdiri seperti patung di butik pakaian. Lelaki itu mula menilik dia daripada atas ke bawah. Berulang kali.
            ‘Eh! Apa hal mamat ni? Nak kena cucuk biji mata ke?’ Suri Yuhanis mula menjegilkan matanya. Tanda dia tidak berpuas hati dengan reaksi daripada lelaki tadi. Tidak jadi untuk dia menuturkan kata maaf. Namun dalam masa yang sama dia ternampak senyuman pada wajah lelaki tadi. Senyuman yang sinis.
            “Puan!” Lelaki tadi mula bersuara.
            “Lain kali kalau nak mengait pun pakailah galah.” Dan lelaki tadi menyambung lagi,
            “Kita ni kadang-kadang kena juga ukur tahap kebolehan diri sendiri.” Lelaki tadi melepaskan tawa yang perlahan.
            Suri Yuhanis terkedu. ‘Eh, mamat ni mengata aku ke?’. Dia yang masih dalam keadaan berkhayal hanya berdiam diri. Tidak membalas walaupun sepatah kata.
            Kemudian lelaki tadi beransur pergi. Pergi membawa buku tadi bersama.
            Suri Yuhanis mula tersedar. “Eh, apa pasal dia bawak buku tu. Aduh! Dah lah susah payah aku ambik. Dia senang-senang saja cilok.” Dia mengomel sendirian. Matanya turut mengekori langkah lelaki tadi yang sudah sampai ke kaunter pembayaran.
            “Kurang asam punya mamat. Dahlah pakai t-shirt smiley. Bajet cool!” Dia mendengus. 
Kemudian Suri Yuhanis mulai berusaha sekali lagi. Berusaha untuk mendapatkan buku itu. Tiba-tiba, bahunya dicuit dari belakang. Dia menoleh ke belakang. Seorang wanita sedang tersenyum memandangnya.
            “Iya kak, ada ape?” Tanya dia kepada wanita itu.
            “Buku yang adik nak tu ada di meja promosi depan kaunter. Rasanya lagi senang kot adik ambil saja kat situ.” Dia memandang ke arah tempat yang ditunjukkan wanita itu.
            Memang terdapat banyak buku tersebut di situ. Suri Yuhanis mulai malu sendiri. Malu dengan kakak yang menegurnya tadi. Malu juga kepada lelaki tadi.
            ‘Huhuhu. Malang sungguh nasib aku ni. Malunya!!!’ Dia terasa ingin berlari keluar sahaja dari kedai itu.
            Walaupun dalam keadaaan malu, Suri Yuhanis tetap melangkah ke arah meja yang menempatkan buku itu. Dia mula mencapai sebuah buku di situ. Dalam masa yang sama dia menundukkan kepala. Berpura-pura sedang membaca blurb buku tersebut. Hakikat yang sebenarnya dia malu kerana meja itu berdepan dengan kaunter pembayaran. Kaunter yang menempatkan lelaki tadi.
            Kemudian apabila dia mulai sedar bahawa lelaki tadi melangkah pergi, cepat sahaja dia membawa buku itu ke kaunter. Dikeluarkan beg duitnya. Not seratus dikeluarkan. Namun dia tercari-cari kad ahlinya. Di buku itu terdapat pelekat yang menyatakan diskaun 30% untuk ahli. Resah dalam mencari dia memandang tepat ke arah cashier di hadapannya.
            “Adik. Kalau tak guna kad masih boleh dapat less?” Tanya dia kepada juruwang itu.
            Juruwang berbangsa cina itu menggelengkan kepalanya.
            “Ala, saya terlupa bawa kad la amoi. Betul! Tak tipu.” Dia cuba memujuk.
            Juruwang itu menunjukkan muka kurang berpuas hati. Namun seketika dia berkata,
            “Okeylah. You boleh pinjam ini kad. Ada encik tadi tertinggal itu kad!” Terang juruwang itu.
            Suri Yuhanis membulatkan matanya. ‘Ada orang tertinggal kad? Siapa? Lelaki tadikah?’ Hatinya mula berteka-teki.
            Kemudian dia bertanya kepada juruwang itu,
            “Encik yang pakai t-shirt smiley tadi ke?”. ‘Amboi mata. Sempat lagi mengusha.’ Dia menegur di dalam hati.
            Juruwang itu mengangguk. Seolah mengiakan kenyataan yang dikeluarkan oleh Suri Yuhanis itu. Dia mula mencuri pandang pada kad itu. Mencari nama empunya kad itu. Saat juruwang itu meletakkan kad itu di atas meja, dia menarik perlahan-lahan. Dibalikkan kad itu. Tertera nama si pemilik kad itu. Dia menahan rasa debar. Tiba-tiba juruwang itu berdeham.
            Suri Yuhanis terkejut. Lalu kad itu diletakkan semula. Dia kemudian mencapai bungkusan buku itu. Selesai mengucapkan terima kasih, dia mulai melangkah pergi.
            Patutlah lelaki tadi mengambil buku itu setelah mengutipnya. Paling dia tidak percaya apabila lelaki itu tidak pula memarahinya. Sebaliknya hanya kata-kata sindiran yang dia terima. Itupun bagaikan kiasan dalam nada seperti mengusik. Dia kemudian terlihat lelaki tadi memasuki semula kedai itu. Kali ini mereka berjalan dari arah bertentangan. Namun jarak mereka dipisahkan dengan sebuah meja besar yang ditimbuni buku.
            Lelaki tadi perasan akan kehadirannya. Lalu lelaki itu tersenyum sambil mengangkat bungkusan di tangannya. Bungkusan yang mungkin berisi buku tadi.
****
             Tiba di dalam kereta, kedengaran bunyi nada deringan telefon bimbitnya. Dia mula menggagau telefon bimbit di dalam beg tangannya. Tertera nama Abahku Syg. Dia menekan butang hijau itu, lalu suara si pemanggil mula kedengaran.
Abah               : Assalammualaikum. Kamu dekat mana ni?
Suri Yuhanis    :  Wa’alaikumusalam. Hanis dekat AEON ni.
Abah               : Dah pukul berapa ni tak balik-balik lagi. Awak tu jgn. lewat-lewat sgt.
Suri Yuhanis    : Iyalah. Hanis dah dlm. kereta ni. Nak balik dah.
Abah               : Kamu jgn. lupa ambik cuti minggu depan. Marah Pak Long kamu nanti!
Suri Yuhanis    : Hanis dah apply abah! Kali ini Pak Long nak kenalkan dgn. anak siapa pula?
Abah               : Dengan anak Pak Cik Abdullah jiran selang dua pintu rumah dia. (Abah ketawa)
                         Kamu jgn. buat-buat lupa pula nanti!
            Selepas memberi salam, dia mendengus keras. ‘Kenapa semua orang sibuk nak masuk campur dalam urusan jodohnya. Noh, Kak Yam dan rakan-rakan pejabatnya. Pak Long tu pun sama saja. Benci!!!’ Bentak hatinya.
            Kemudian tiba-tiba dia teringat akan kejadian di dalam kedai buku tadi. Susulan itu dia mula mengeluarkan buku yang dibeli tadi daripada bungkusan. Lama dia memandang tajuk buku yang tertera itu.
Muhammad Bin Abdullah ~ Perjalanan Hidup Seorang Rasul.
            Dia menghela nafas panjang. Kemudian dia tersenyum sendiri apabila mengingatkan nama yang tertera di kad ahli tadi. Muhammad Bin Abdullah! Itulah juga nama milik lelaki tadi. Lelaki yang tertimpa oleh buku itu. Dia kemudian mengukir senyum. Ironinya.
Tamat. *smile* 
P/s : Cerita dalam Tapi bagaimana ni tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang sudah tiada. Jika ianya sama itu hanyalah kebetulan sahaja. Harap tiada pihak yang tersinggung. Jika ada Maafkanlah saya.huhuhu *senyum semua*

Comments

  1. hahaa. . .coincidence ey xD

    dovisit us :)

    http://scriptbudakjalanan.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. cha'e : hehehe.yup.
    ok.budak jalanan kan?

    ReplyDelete

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

[8] Cerpen : Hadiah Yang Terakhir

[6] Cerpen : Sumpahan Rindu, Mahsuri.

[10] Cerpen : Semasam Yogurt Semanis Ais krim