Lebih Kurang Empat (Prolog)

 


TIBA_TIBA, dia teringat kembali pertanyaan seorang senior pada dia dan rakan-rakan sewaktu orientasi di Universiti dulu – kau orang perempuan ni pilihlah, nak ada driver ke kereta sendiri?

Bahasa mudahnya, kalau memilih tak nak berkahwin (konon; suami itu sebagai pemandu tak bergaji), mereka perlu ada kereta sendiri.

Tanpa disedari dia sebenarnya telah pun membuat pilihan. Bibir tersenyum lebar, mata tak lepas memandang Inche’ Wan di depan mata. Masih kacak. Sama seperti 7-8 tahun lepas ketika dia memilih Inche’ Wan ini. Sudahlah putih melepak, sedap mata memandang. Paling dia suka sepasang mata Inche’ Wan itu, sepet dan menawan.

Dia menghampiri Inche’ Wan dengan bagasi di tangan. Tiba-tiba, langkahnya dimatikan oleh suara jiran sebelah.

“Mira balik kampung hari ni ye? Acik ingatkan minggu depan.”

“Haah, Acik Siah. Kenduri adik memang minggu depan. Saja Mira balik awal. Tolong apa yang patut.” Lagipun, ini kenduri kahwin pertama dalam keluarga mereka.

“Yeke? Hati-hati bawa kereta tu. Ni, Mira balik seorang je ke?” Muncung mulut Acik Siah menghala tepat ke Honda CR-Z berwarna putih di luar pagar rumah Mira.

 “Sekejap lagi Mira singgah Puncak Alam ambil adik. Nanti, balik berdua dengan dia.”

“Oo, adik Mira yang belajar UiTM tu ye? Lama dia tak ke sini.”

“Sibuk dia tu, Acik Siah. Kalah kita yang kerja ni.” Tadi, dia sudah pesan siap-siap pada Amina supaya tunggu di bus stop luar. Jadi, tak perlulah dia nak melalui pos polis bantuan. Malas. Lambat.

Dari pintu pagar UiTM itu hendak ke Kolej Rafflesia, umpama melalui jalan ke Cameron Highland. Panjang, berliku dan berbukit.

“Biasalah tu, Mira. Dia orang sibuk mengejar assignment, aktiviti semua. Kita ni, sibuk bergelut dengan hidup pula.” Ujar Makcik Siah, tertawa kecil.

Dia tak balas. Hanya mengangguk setuju dengan kata-kata Acik Siah itu. Dia baru saja habis bergelut membayar hutang membeli Inche’ Wan. Kini, dia bergelut pula dengan hutang baru, rumah.

Bukanlah rumah baru pun. Rumah yang dia duduki sekarang adalah rumah sewanya dulu. Dia beli daripada Kak Fiza baru-baru ini. Entah-entah dakwat pen masa sign s&p hari itu pun belum kering lagi (ewah).

Lama jugalah dia menyewa. Dari awal kerja di Menara Pandora dia dah duduk di sini. Kak Fiza itu dia kenal melalui orang atas orang.

Bermula dengan pertolongan tunang Dik Ja (Aamiza), adiknya dia boleh menyewa di sini. Tunang Ja pula minta tolong dengan abang iparnya, kira bakal biras Ja carikan. Kenalan bakal biras Ja itu adik Kak Fiza. Macam itulah. Panjang sejarah bagaimana dia boleh menyewa rumah Kak Fiza dulu. 

“Nanti, datanglah kendurinya. Kalau, Acik Siah tak nak ikut peta di kad, WhatsApp je, Mira. Mira share location terus.”

“InsyAllah, Mira. Kalau pakcik kamu tu lapang, tak ada kerja sampailah acik ke Kedah tu. Seronok juga pergi kenduri sambil tu makan angin.”

Dia sambut kata-kata Acik Siah dengan tawa.

“Cepatlah bertolak, Mira. Asyik berborak ni, lambat pula kamu sampai sana.”

“Baik, Acik Siah. Jumpa di Alor Setar ye.”

“Yelah. Kirim salam keluarga kamu.”

“InsyaAllah.”

“Mira.”

Dia berhenti muat naik bagasi ke bonet belakang Inche’ Wan. Sekali lagi, dia menoleh pada Acik Siah.

“Jangan lupa makan sirih junjung adik kamu tu. Kita ikhtiar je, usaha.”

Dia pamerkan senyum nipis. Tak ada pun terasa dengan cadangan jirannya itu. Dia faham maksud Acik Siah. Jiran itu sudah dianggap seperti ibu sama tahap hormat dia pada mama.

Tahun 2020 ini, umurnya sudah 37. Belum berumah tangga. Orang tua mana yang tak bimbang kan?

“Mira gerak dulu. Minta tolong ye tengok-tengokkan rumah ni.” Pintanya setelah menyumbat masuk bagasi.

“Yelah. Hati-hati memandu, Mira.”

Dia angguk sebelum menutup, kunci pagar rumahnya.

Comments

  1. Saya baru menghabiskan bacaannovel 1,2,3 bintang di langit. Novel yang dah lama saya beli tp baru ada kesempatan untuk membacanya. Saya mencari-cari novel Jemari Seni yang masih ada dr seller di shopee. Tahniah buat penulis kerana menulis sebuah cerita yang sangat manis tentang Ji'a dan Paan. Saya sangat suka. InsyaAllah mudah mudahan pembaca seperti saya memperolehi sesuatu dari novel ini walaupun sepotong ayat (bak kata penulis). Teruskan menulis!! 😊

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terharunya baca respon ni. Alhamdulillah. Terima kasih sudi baca walau dah 2021. Terima kasih juga atas sokongan yang saudari beri. InsyaAllah, akan terus menulis. Terima kasih sekali lagi :)

      Delete

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)