[16] Cerpen : Tunggu Sekejap



“D.” Daripada tunduk memandang air jernih di dalam gelas kaca lutsinar, aku panggungkan kepala. Menatap sepasang mata bersinar cantik di hadapan aku.
Kening aku jungkitkan sedikit sebagai isyarat bertanya kenapa?.
      “Tuliskan cerita aku, boleh?”
      Jeda sebentar. Lebih tepat terkedu sebenarnya dengan permintaan insan yang sedang duduk bersandar rapat di kerusi berwarna putih berhadapan dengan aku sekarang ini.
      “Boleh tak?”
      Aku tahan nafas. Kemudian dilepaskan dengan perlahan-lahan. Bagaikan dengan berbuat demikian aku mampu melengahkan waktu. Berfikir mahu menerima tawaran itu ataupun tidak.
      “Cerita apa Ruvi?”
      Yang dipanggil Ruvi itu tersenyum meleret sehingga ke telinga, sampai timbul tulang pipinya.
      “Cerita ni berlaku waktu aku dimasukkan ke hospital tempoh hari.” Ruvi masih dengan senyum yang tidak menunjukkan yang ia akan kebah.
      Lalu aku selukkan tangan ke dalam beg yang di bawa. Beg sandang daripada jenis kain jeans.
Warnanya sudah semakin pudar. Dimamah tahun.
Pada hujung talinya jelas kelihatan benang berjahit. Talinya pernah terkoyak, lalu aku jahit semula.
      Pen dan buku nota berkulit coklat keperangan, aku keluarkan daripada beg. Di selak buku nota tersebut, mencari lembaran putih berjalur biru yang masih kosong. Pen picit Kilometrico itu aku tekan.
      Mata bulat pen bersentuh dengan lembar kertas putih.
      Aku pandang tepat ke mata Ruvi, kemudian senyum segaris. Tanda aku sudah bersedia untuk melakar ceritanya.
      Dan Ruvi mengerti, lalu dia mulai bercerita.


      Ruvi sedut udara dengan duduk di atas bumbung hospital. Di tangannya ada sebuah gitar. Gitar kapok berwarna coklat. Seperti warna anak mata Ruvi. 
      Ruvi petik gitar mengalunkan lagu. Mulut pula terkumat-kamit menyanyikan lirik. Ah, lagu apa lagi yang sesuai dengan keadaan Ruvi sekarang kalau bukan lagu jiwang.
      Bait-bait lirik Tunggu Sekejap dendangan arwah Tan Sri P. Ramlee memenuhi ruang rooftop hospital ketika itu. Ruvi semakin hanyut dengan lagunya. Seolah Ruvi sedang menyanyikan lagu itu buat sang matahari yang menunggu saat-saat  untuk terbenam pergi.
      Lagak Ruvi itu persis seorang bapa yang sedang membuai anaknya. Ya. Membuai sang matahari yang sudah mahu lena beradu. Namun, buaian dengan suara lunak Ruvi itu terhenti tatkala satu suara lembut halus menyapa telinganya. Serentak dengan itu jemari Ruvi berhenti memetik tali gitar.
      Ditoleh kepalanya memandang ke sisi kiri. Tiada siapa pun di situ.
Ruvi pandang ke belakang. Juga tiada siapa-siapa.
Ruvi berhenti sejenak sebelum menoleh ke kanannya. Liur ditelan kesat. Terasa merinding tiba-tiba.
Senja  begini, faham-fahamlah.
Ruvi mulai buat telahan sendiri. Macam-macam bersarang di benaknya.
      Lantas jam di tangan kanannya dipandang sekilas. Jarum pendek belum melewati jam 7 lagi. Ruvi tarik nafas dalam-dalam sebelum menoleh ke kanan. Dan saat dia memandang ke sisi kanannya, pandangan Ruvi jatuh pada sesusuk tubuh genit berpakaian sepertinya. Baju milik hospital yang berwarna hijau. Bezanya cuma baju si gadis dialas dengan baju sejuk berwarna hitam dan hoodie yang menutup kepala.
      Wajah si gadis juga tidak kelihatan penuh kerana ditutup dek topeng muka. Hanya menampakkan sepasang mata. Mata yang kini memandang ralit ke arah sang matahari yang semakin lama semakin pudar warna jingganya.
      “Tahu tak yang cinta itu berwarna?”
      Ruvi terkedu. Belum pun terkejut hilang dek kehadiran gadis di sisinya itu, dia diterjah dengan soalan kotak fikiran.
      Dan gadis itu tanpa menunggu jawapan Ruvi (lebih tepat lagi, mungkin tidak ingin tahu langsung akan jawapan Ruvi) menjawab sendiri pertanyaan dirinya tadi.
      “Seperti warna langit senja. Merah membara.” Si gadis seperti berlawan pandang dengan sang matahari yang nyata sudah mahu berlalu.
      “Tahu tak sifat cinta itu bagaimana?” Seperti tadi soalan yang ditanya tidak dijawab Ruvi kerana si gadis sudah punya jawapannya sendiri.
      “Sama seperti langit senja. Sekejap cuma. Kemudian berganti langit yang gelap gelita.”
      Soalan berbentuk teka-teki pada hemat Ruvi. Teka-teki yang jawapannya boleh berubah mengikut kesukaan si yang bertanya.
Tiada skema jawapan yang ditetapkan. Membuatkan orang yang ditanya, terpinga-pinga. Terkulat-kulat memikirkan logik jawapan.
      Ruvi senyum untuk redakan rasa terkejutnya tadi. Juga sebagai pemanis wajah.
      “Jadi awak rasa cinta itu begitu?”
      Si gadis menoleh pandang wajah Ruvi tepat. Buat jantung Ruvi berlari cepat. Terpanah oleh sepasang mata yang bening. Cantik. Ruvi betulkan gitar di ribaannya sebagai cara menghilangkan rasa gugup yang tiba-tiba hadir.
      “Ya. Cinta itu juga seperti burung. Punyai sepasang sayap. Mampu terbang tinggi di langit biru. Namun, jika patah sayapnya, jatuh juga menyembah bumi. Sakitnya tak terperi.”
      Wow! Hampir ternganga Ruvi mendengar madah yang padanya bukan berhelah. Tetapi lebih kepada berasa pasrah. Fikir Ruvi sendiri.
      “Daripada apa yang awak cakapkan, seperti awak tak percaya dengan cinta?”
      Si gadis mencerun pandang. Pandangannya kelihatan sinis.
      “Cinta juga bagaikan matahari. Punya tempoh waktunya. Siang terang menerangi. Bila malam tiba ia menyepi.”
      “Tapi… awak terlup. Matahari yang pinjamkan cahayanya buat sang bulan. Menerangi malam hari.” Giliran Ruvi pula tersenyum. Tapi senyum Ruvi bukan sinis, malah penuh bergula manisnya.
      “Dan jika cinta diumpamakan seperti burung yang bersayap, setinggi mana pun terbang tetap akan pulang ke sarangnya.” Senyum masih melekat pada bibir pucat Ruvi. Begitu juga dengan si gadis bertopeng itu. Ruvi yakin yang saat ini si gadis tersenyum senang berdasarkan sepasang mata itu.
      Ruvi merasakan dia mpatut memperkenalkan diri. Takkan dah sembang bukan main rancak tetapi tidak mahu mengetahui nama, kan?
      “Nama aku…” Ruvi letakkan gitar di sisi kirinya. Sengaja bebaskan tangannya. Bukan mahu bersalam pun. Cuma tidak mahu di antara mereka ada pengantara.
      “Ruvi.”
      “Rubi?”
      “Ruviyamin.”
      “Oh, sorry. Aku In. Intan.”
      Ruvi senyum di dalam hati. Nama yang sepadan dengan tuannya. Sekalipun dia tak nampak wajah In, tapi dia setuju tang yang satu ini. Intan. Diamond. Dan mata In memang seperti diamond.
      Dan senja itu terus berlalu berganti malam. Sebelum meminta diri, Ruvi sempat lagi mengajak In bertemu pada keesokan harinya.
      “Aku ada saja di sini. Kau cuma perlu toleh dan pandang aku.” Mata cantik itu tersenyum lagi. Dan Ruvi membalasnya dengan senyuman juga.
      “Jumpa esok.” Ruvi melambai dengan tangan kanannya, kerana tangan kiri sedang memegang erat gitarnya.
      In balas lambaian Ruvi. Dan mereka berpisah untuk hari ini. 
     Ruvi yakin, esok harinya mereka pasti akan bertemu lagi. Sama seperti matahari.        


      Aku berhenti menulis. Mata diarah tepat ke mata Ruvi.
      Ruvi senyum nipis.
      “D, kau nak dengar lagi?”
      Aku tarik nafas. Angguk.
      “Ceritalah Ruvi. Aku sedia dengarnya.” Kini giliran aku pula tersenyum. Namun, dapat aku rasakan bahawa senyum aku tidak berperisa. Pahit dan kelat. Lebih pahit daripada kopi yang tidak bergula. Lebih kelat daripada teh yang uncangnya tidak diangkat daripada gelas.
      Ruvi pandang ke luar jendela. Memandang ke arah matahari yang mahu terbenam. Aku turut sama memandang.
      “D.”
      “Ya?”
      “Kalaulah aku mampu katakan kepada matahari…” Ruvi bercakap tanpa memandang aku.
      “Kata apa Ruvi?”
      “Tunggu sekejap. Jangan pergi dahulu.” Dan ketika itu, aku lihat Ruvi menggores senyum nipis pada bibirnya yang pucat lesu. Matanya pula dipejamkan rapat.
      Melihat keadaan itu aku tunduk rapat. Memandang buku nota di hadapan. Dan mukasurat yang kosong tidak bertulis itu mulai dibasahi air. Setitis demi setitis.
      Sewaktu aku mengesat air jernih yang mengalir di pipi, tedengar bunyi pintu dikuak perlahan.
Aku menoleh. Kelihatan seorang wanita berbaju kurung biru firus menjenguk di muka pintu. Baju kurungnya itu pula dialas dengan sebuah kot putih separas peha. Dia tersenyum pada aku sebelum membuka bicaranya.
“Sekarang dah tiba waktu untuk kami periksa Cik Intan.” Kata wanita itu.
Aku mengangguk. Memberi kebenaran untuk dia masuk. Dan aku sudah bersedia untuk meninggalkan bilik tersebut.
Pintu bilik itu aku tutup rapat-rapat. Tombol pintunya masih erat di dalam genggaman aku. Aku hela nafas panjang. Kemudian, aku sandarkan belakang badan rapat ke pintu. Sambil mata menjamu perkataan pada dinding yang berjarak beberapa sentimeter  di hadapan aku.
‘Selamat Datang Ke Hospital Bahagia Ulu Kinta’. Tulisan itu yang tertera di dinding yang bercat kuning cair tersbut.
Membaca tulisan pada dinding itu saja buat nafas aku menjadi sesak. Berat, bagai dihimpit sesuatu.
Tanpa berlengah lagi, aku terus membuka langkah. Namun, baru saja beberapa langkah diatur, terdengar sayup-sayup nama aku dipanggil seseorang.
“Tunggu sekejap!”
Aku berhenti melangkah. Menoleh ke belakang. Mencari siapakah gerangan yang memanggil.
Aku melihat seorang lelaki sedang termengah-mengah menahas nafasnya. Mungkin kerana tadi penat berlari, mahu mengejar aku.
“Ya…” Jawab aku dengan suara yang teragak-agak. Otak aku mula ligat berfikir. Ingin tahu  siapakah lelaki ini.
“Aku Ruvi. Ruviyamin.”
Saat itu aku bagaikan terdengar guruh berdentum di langit. Terkedu aku sebentar sebelum pandangan aku mulai gelap gelita.


Tamat

Comments

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)