[11] Cerpen : 29 Februari


29 Februari (Kronologi Sebuah Percintaan… )
 

29 Februari 1984…

Hati itu boleh jadi seperti kadbod putih.

Tampak keras. Tapi sekali tertusuk, kesannya takkan pernah hilang. – Adilea.


            Dia memandang lelaki di hadapannya itu dengan pandangan yang tajam. Kemudian, dia alihkan pula matanya ke arah wanita yang berdiri di sisi lelaki tersebut. Tangan wanita itu tampak erat memaut lengan lelaki tersebut. Ketika itu dia merasakan, jikalau matanya itu umpama sebilah pisau, sudah pasti seluruh jasad lelaki dan wanita yang berdiri di hadapannya itu dicencang selumat-lumatnya.

            Air matanya merembes keluar. Tanpa henti sejak dari tadi. Suaranya pun sudah semakin serak. Pipinya pula terasa semakin panas, sekalipun yang mengalir di pipinya ialah airmata.

            “Syed Arif!” Dia menyeru nama lelaki itu. Ada getar pada nada suaranya.

            Lelaki itu pula cuma menundukkan wajahnya. Tepat merenung ke lantai yang berjubin cantik itu. Tetapi dia tahu, lelaki itu bukan memandang kerana merasakan cantiknya lantai tersebut tetapi mengelak daripada bertentang mata dengannya.

            “Jadi, inilah sebabnya mengapa Arif putuskan pertunangan kita? Sampai sanggup batalkan majlis yang cuma tinggal lagi beberapa minggu saja tu?” Lirih suaranya. Meruntun jiwa. Sedaya upaya dia cuba untuk tidak menangis. Namun dia kalah. Air mata bagaikan pili air yang sudah rosak. Tidak mampu untuk ditutup. Kecuali hanya dengan menutup meternya. Meter itu adalah hatinya. Hati yang kini luka berdarah akibat perbuatan lelaki yang bernama Syed Arif itu.

            “Lea.” Syed Arif menyebut namanya. Suara itu kedengaran lembut saja. Suara yang dulunya mampu menggetarkan jiwanya, tetapi kini  suara yang lembut itu sudah tidak lagi mampu menenangkan gelodak di hatinya. Hatinya menjadi nanar, bila Syed Arif sendiri datang ke rumahnya pada minggu lepas lalu memutuskan tali pertunangan mereka.

            Mulanya dia berasa gembira menerima kunjungan bakal suaminya itu. Sudah hampir beberapa minggu mereka tidak bertemu. Itu semua kerana, Syed Arif yang telah keluar bertugas di luar Negara. Jadi, bayangkanlah bagaimana perasaannya ketika itu, bila Syed Arif yang datang bukan kerana ingin melepaskan rindu. Sebaliknya, lelaki itu membawa khabar duka buat dirinya. Juga buat seluruh keluarganya.

            “Sebab perempuan ni ke Arif sanggup tinggalkan Lea?” Suaranya semakin kuat. Rasanya sudah mencapai ke tahap menjerit.

            “Lea.” Syed Arif masih lagi menyeru namanya. Sesekali, lelaki itu menoleh ke kiri dan kanan mereka. Orang ramai yang lalu-lalang memerhati ke arah mereka. Mungkin Syed Arif malu apabila drama sebabak mereka itu menjadi perhatian orang ramai.

            “Sanggup Arif buat Lea macam ni? Hebat sangat ke perempuan ni? Kejap… rasanya dia ni tak layak pun dipanggil perempuan. Sebab seorang perempuan takkan sanggup merampas hak perempuan yang lain.” Dia merenung tepat ke mata wanita yang masih setia berdiri di sebelah Syed Arif. Matanya dialihkan pula ke arah lengan Syed Arif. Pautan tangan perempuan itu semakin erat di lengan Syed Arif. Dadanya makin berombak melihat adegan itu.

            Dia merapatkan dirinya ke arah perempuan yang berada di sebelah Syed Arif itu, “Kau tak layak dipanggil perempuan… tapi betina!” jerkahnya. Sekuat hati.

            Pang! Satu tamparan melekat di wajah dia. Adilea terpempam. Lima jari Syed Arif singgah di pipinya. Pijar. Rasa itu mengigit pipinya. Malah sampai ke tangkai hati. Luluh rasanya.

            “Syed Arif! Aku benci kau! Aku benci kau!” Benci ini akan aku ikat  pada nama kau sampai mati! Api dendam mulai bernyala di dalam hatinya. Langkah diatur pergi meninggalkan Syed Arif dan pasangannya itu. Sekalipun namanya masih dilaungkan oleh Syed Arif, dia pekakkan saja telinganya. Sungguh. Saat ini dia jadi benci dengan wajah itu. Wajah yang dulu pernah mendamaikan hatinya.  

****

29 Februari 2012…

Dendam yang kupagari itu rupa-rupanya telah menjadi  dinding rinduku padamu. –Adilea.

            Dadanya turun-naik menahan nafas. Menahan rasa amarah yang sudah berkepul di hati sejak pulang dari Restoran Papa Rizz tadi. Restoran yang merupakan tempat pertemuaan dia dengan keluarga bakal menantunya. Ya. Keluarga kepada bakal isteri anaknya Faisal.

            “Ibu….” Namun kata-kata Faisal itu terhenti bilamana dia merenung tajam ke arah anak terunanya itu.

            “Ibu takkan terima Sharifah Munirah tu sebagai menantu. Titik!”

            “Tapi ibu….”

“Faisal! Sampai mati ibu takkan terima perempuan tu. Kalau betullah Faisal nakkan dia. Faisal bukan lagi anak ibu!” Sekali lagi dia memintas kata-kata Faisal.

            “Ibu!” Suara garau Faisal itu tidak dihiraukannya. Sedikit pun dia tidak memandang ke arah anak terunanya itu. Kemudian dia terus berlalu meninggalkan ruang tamu. Meninggalkan Faisal yang masih terduduk lesu di atas sofa.

            Dia kecewa. Sungguh tidak disangka, rupa-rupanya  bapa kepada Sharifah Munirah itu adalah Syed Arif. Dia juga masih mampu untuk mengecam wanita berada di sisi Syed Arif tadi. Ibu kepada bakal menantunya itu adalah wanita yang sama yang dia jumpa 28 tahun yang lalu. Sewaktu kecurangan Syed Arif dia bongkar. Benarlah kata-kata orang. Dunia ini tidaklah sebesar mana pun.  

****

            Matanya diliarkan ke sekeliling tasik. Tasik Taman Putra itu sudah semakin dipenuhi orang ramai. Rata-ratanya datang untuk beriadah. Untuk bersenam. Bukan seperti dirinya. Dia ke sini hanya kerana seseorang yang mahu berjumpa dengannya. Seseorang yang kini sudah berdiri tegak di hadapannya.

            Dia perasan beberapa mata yang mengerling ke arahnya sejak dari tadi. Tetapi dia berpura-pura tidak nampak. Dia tahu, pakaiannya ini tidak sesuai untuk ke sini. Dengan baju kurung Pahang yang dipenuhi labuci, juga tudung yang dihiasi kerongsang besar di tengahnya, gaya seperti mak datin datang bermesyuarat.

            “Auntie, Munirah tak faham kenapa tiba-tiba hubungan kami ditentang? Bukankah sebelum ini kita baik-baik saja.” Suara Munirah kedengaran lesu di telinganya.

            Dia senyum mengejek, “ Iya. Memang sebelum ni auntie boleh terima Munirah untuk jadi menantu. Tapi itu dulu. Sekarang ni tidak.”

            “Kenapa? Sebab papa Munirah? Sebab itu auntietolak Munirah. Sebab rasa benci auntie terhadap papa?”

            “Haaa… tahu pun. Jadi tak perlulah auntie nak bercerita panjang lagi. Jimat masa. Jadinya, auntie anggap papa Munirah dah ceritakan semuanya. Rasanya dah tak ada apa-apa lagi yang perlu kita cakapkan. Auntie minta diri dulu.” Dia sudah berkira-kira mahu melangkah pergi. Namun kata-kata Sharifah Munirah yang seterusnya itu mematikan langkahnya.

            “Papa tak salah auntie. Bukan niat papa nak putuskan ikatan yang dulu tu.”

            Dia berpaling, menoleh ke arah Sharifah Munirah semula. Kekasih Faisal. Juga anak kepada bekas tunangnya dulu, Syed Arif.

            “Tak salah! Tak-salah Munirah cakap. 3 minggu saja lagi majlis kami akan berlangsung. Dan dia tinggalkan auntie macam tu. Sebab perempuan lain. Perempuan-lain Munirah!” Amarahnya yang ditahan sebelum ini seolah-olah menggelodak hebat. Seperti lahar gunung berapi. Menunggu masa saja untuk meletus.

            “Betul tu auntie. Salah papa sebab tinggalkan auntie. Tapi papa buat semua itu bersebab.”

            “Sebab apa Munirah? Alasan apa yang masih ada untuk auntie maafkan dia? Alasan apa Munirah?” Dia sudah terduduk di sebuah kerusi kayu yang berada berhampirannya. Kakinya sudah tidak kuat lagi. Mungkin kerana faktor usia. Di awal 50-an, dia kini sudah tidak betah untuk berdiri lama. Mungkin juga disebabkan nama Syed Arif yang diulang-sebut berkali-kali. Terasa lemah segala sendinya.

            “Syed Hakim. Munirah rasa, auntie masih boleh ingat akan nama tu. 28 tahun mungkin masih belum dapat hilangkan semua kisah yang berkaitan dengan papa kan?” Dia diam saja bila Sharifah Munirah menyebut sebaris nama itu. Ya. Syed Hakim. Dia kenal lelaki itu. Terlalu kenal. Syed Hakim itu merupakan kembar kepada Syed Arif. Kembar seiras. Jika dia dengan Syed Arif berjodoh, sudah pasti Syed Hakim itu menjadi iparnya.

            “Apa kaitan Hakim dengan pembatalan majlis perkahwinan kami yang dulu tu?” Dia jadi sebak. Sebak bila mengenangkan majlis yang telah pun berlangsung pada 28 tahun yang lalu. Mengenangkan pelamin yang sepatutnya dia dan Syed Arif duduki, tetapi telah bertukar pengantin lelakinya. Iaitu bapa kepada Faisal. Bekas suaminya.

            “Ada kaitannya auntie. Terlalu berkait. Sebabnya… Syed Hakim itu abah Munirah. Bapa kandung Munirah.” Dia terkejut bila mendengar pengakuan Sharifah Munirah itu. Hatinya sudah bertukar ritma. Jika tadi berdegup laju, kerana menahan amarah. Kini jantungnya masih berdegup laju, cuma rasa amarah itu berganti rasa kacau.

            “Auntie ingat lagi tak, waktu itu abah Munirah sedang menuntut di luar negara?” Dia terdiam. Ingatannya kembali ke masa lalu. Ke 28 tahun yang lalu. Ya. Waktu itu Syed Hakim sedang berada di luar negara. Dan dikhabarkan akan pulang seminggu sebelum majlis perkahwinan dia dengan Syed Arif. Namun dia masih bingung. Apa kaitannya Syed Hakim dengan terputusnya ikatan dia dengan Syed Arif?

            “Abah mengalami kemalangan sewaktu ke kuliah. Kemalangan yang teruk.” Sekali lagi dia terkejut. Suara Sharifah Munirah berselang-seli dengan esakan. Sungguh. Dia tahu Sharifah Munirah tidak mungkin berbohong. Tangisan gadis itu sebagai buktinya. Dia diam saja. Menadah telinganya untuk cerita yang bakal dikhabarkan oleh gadis itu.

            “Tetapi keluarga abah tak tahu. Sebabnya, abah minta papa rahsiakan.” Dia jadi semakin bingung dengan cerita anak kepada Syed Hakim ini. Kenapa perlu dirahsiakan hal sebegitu besar? Hatinya meneka sendiri.

            “Kerana abah bernikah secara senyap dengan mama. Waktu itu, Munirah baru berusia setahun. Jadinya, abah tak mahu keluarga tahu sebelum dia sendiri yang ceritakan. Oleh sebab itu Papa Arif merahsiakannya. Papa juga datang secara senyap-senyap untuk berjumpa dengan abah.” Jantungnya seolah rasa mahu tercabut. Tangannya dilekapkan kuat ke dada. Kebenaran apa yang telah Syed Arif sembunyikan? Dia jadi takut untuk mengetahuinya.

 Iya. Dia memang tahu tentang pemergian Syed Arif ke luar negara sebelum itu. Memang dia diberitahu sendiri oleh Syed Arif. Tetapi waktu itu dia menyangka  yang lelaki itu pergi atas dasar urusan  kerja. Sungguh. Dia tidak tahu hal yang sebenarnya.

“Akibat kemalangan itu, buah pinggang abah rosak teruk. Kemudian, Papa Arif berikan salah satu buah pinggang untuk adik kesayangannya. Tanpa fikirkan kesan terhadap diri sendiri. Mungkin pada fikiran papa ketika itu, cuma mahu menyelamatkan nyawa kembarnya. Mungkin juga sebab bersimpati dengan nasib mama. Mungkin juga papa, tak nak Munirah jadi yatim sebelum waktunya.” Dia memejam matanya rapat. Hatinya terasa ngilu. Mengapa Syed Arif merahsiakan perkara sebesar itu daripada dia? Bukankah dia bakal isteri Syed Arif ketika itu? Bukankah mereka juga bakal berkongsi hidup? Jadi mengapa perlu ada rahsia yang menjadi banteng antara mereka? Tanpa sedar, air matanya gugur juga. Munirah pula… semakin deras air matanya mengalir. Bagaikan empangan yang pecah. Yang sudah tidak mampu menanggung saratnya duka.

Dia mengesat air mata yang tumpah di pipi. Tiba-tiba, sehelai sapu tangan dihulurkan. Dia berpaling. Memandang ke wajah Sharifah Munirah. Gadis itu masih setia menghulurkan sehelai sapu tangan berwarna putih. Lalu dia ambil sapu tangan itu. Ada sulaman di bahagian tengah sapu tangan tersebut.

Matanya terbuntang luas, setelah meneliti gabungan huruf-huruf yang disulam di sapu tangan itu. Ya. Itu sapu tangan yang pernah dia berikan kepada Syed Arif suatu ketika dulu. Sulaman dua huruf A itu menandakan nama Adilea-Arif.

“Papa banyak berkorban untuk kami sekeluarga, aunite. Tapi sayangnya, abah Munirah pergi juga. Buah pinggang Papa Arif, sia-sia saja.”

“Untuk keluarga abah, Papa Arif sanggup korbankan perasaannya. Waktu itu papa cuma fikirkan bagaimana mahu membawa Munirah dan mama pulang setelah abah tiada.  Sampai dia sanggup ketepikan kepentingan dia sendiri.” Gadis itu sudah teresak-esak menangis.

Tiba-tiba, ada suara yang datang menegurnya. Memanggil nama dia dari arah belakang.

“Maafkan kami Kak Lea.” Dia berpaling. Kelihatan seorang wanita berbaju kurung daripada kain sutera, bercermin mata juga bertudung litup sedang berdiri di hadapan dia dan Sharifah Munirah.

“Saya mama Munirah. Isteri kepada arwah Syed Hakim.” Dia memandang wajah ibu kepada Sharifah Munirah. Sewaktu bertemu di restoran hari itu, belum sempat mereka berkenal-kenalan, dia sudah pun beredar dari situ. Tidak betah mahu berlama di situ.  

“Jadinya… waktu itu….” Ah. Dia sudah kehilangan semua kata-kata. Bagaikan suaranya tersekat di celah rengkong.

“Benar Kak Lea. Sayalah perempuan yang bersama Abang Arif, yang Kak Lea jumpa 28 tahun yang lalu.”

“Tapi… kenapa… ke-na-pa baru sekarang, kau orang beritahu semua ni?”

“Auntie jangan salah faham. Munirah buat semua ni bukan sebab nak auntie terima Munirah sebagai menantu. Tapi Munirah buat semua ini untuk Papa Arif. Papa berhak kecapi bahagia. Bahagia yang sepatutnya menjadi milik papa 28 tahun yang lalu.”

Kalaulah dia berdiri ketika ini, tentulah dia sudah jatuh terjelepok ke tanah. Sungguh. Rahsia yang baharu saja dia ketahui saat ini, amat sukar untuk dia terima. Kebenaran yang disembunyikan selama 28 tahun ini, terlalu payah untuk dia hadam.

Dia bingkas berdiri, “Auntie nak balik… cukuplah sampai di sini saja perbincangan kita. Auntie dah terlalu tua untuk terima semua kejutan ini, Munirah.”

Langkahnya diatur menuju ke tempat parkir. Belum pun sempat dia membuka pintu, dia sudah pun rebah di tepi Proton Personanya.

Arif. Sampai hati buat Lea begini. Sampai hati Arif rahsiakan semua ini. Siapa diri Lea pada Arif? Tidakkah Lea membawa makna dalam hidup Arif? Dia bertanya sendiri. Namun soalan itu, dia sendiri juga tidak mampu untuk menjawabnya. Hanya Syed Arif yang punyai semua jawapan untuk setiap persoalan yang telah tercetus.

****

29 Februari 2016…

            Dia masih berteleku di sebelah pusara Syed Arif. Ya. Lelaki itu kini sudah tiada. Masuk tahun ini merupakan tahun keempat Syed Arif meninggalkan dunia ini.

            Empat tahun yang lalu, selepas dia bertemu dengan Sharifah Munirah di tasik, beberapa jam kemudian dia menerima panggilan telefon daripada gadis itu. Mengatakan Syed Arif sedang nazak di hospital. Harapan terakhir lelaki itu adalah untuk bertemu dengannya. Tetapi, dia menolak keras. Hatinya masih bersirat dendam. Hatinya masih bersalut kecewa dengan sikap lelaki itu. Walaupun dia tahu apa yang lelaki itu lakukan, ada sebabnya. Tapi dia masih marah. Marah dengan sikap Syed Arif yang perahsia itu. Sehingga menyebabkan hidupnya jadi kacau-bilau. Akhirnya, Syed Arif pergi juga tanpa sempat bertemu dengannya.

            Cuma baru-baru ini dia menerima sepucuk surat. Surat yang ditulis oleh lelaki itu sebelum nafasnya yang terakhir. Dia baharu saja menerimanya. Itupun mama kepada Sharifah Munirah yang menitipkan kepadanya.

Buat Adilea yang dirindui selalu,

            Maaf jikalau warkah ini mengganggu perasaan Lea. Bukan niat di hati mahu membuat Lea sedih apatah lagi menjemput kembali rasa duka dalam hidup Lea.

            Benarlah kata-kata yang selalu didengari. Antara perasaan cinta dan benci itu hanya dipisahkan dengan satu garisan halus. Dan benarlah yang hati ini bukan kita yang memegangnya.

            Lea,

            Kedatangan warkah ini bukanlah tanda penyesalan atas segala keputusan yang pernah dibuat dahulu. Memikul amanat terakhir Hakim itu, Arif galas dengan hati yang terbuka. Cuma,  ada rasa ralat kerana dalam membuat pengorbanan itu, Lea turut terheret sama. Maaf kerana pernah melukan hati Lea.

            Lea,

            Mungkin cinta Arif seperti kiambang. Cuma menghias di permukaan. Tetapi akarnya langsung tak mencecah ke dasar. Setelah beberapa peristiwa yang berlaku, rasanya Arif tidak lagi layak untuk menjadi pendamping di sisi Lea.  Cinta Arif untuk Lea tidak kuat agaknya. Maafkan Arif kerana pernah membiarkan Lea menangis suatu ketika dulu. Doa Arif, semoga kebahagian sentiasa menjadi milik Lea.

Lea,

            Agaknya, memang kita ini tidak berjodoh. Sedang takdir untuk kita tidak pernah tertulis di atas sana. Tapi takdir untuk Munirah dan Faisal mungkin ada. Semoga Lea terbuka hati untuk merestui hubungan mereka. Semoga Lea sudi memaafkan segala kekhilafan Arif.         

Yang sentiasa merindumu;

Syed Arif 

29 Februari 2012.


            Jemarinya singgah di nisan berwarna putih yang terpacak di pusara itu. Tertera tarikh 29 Februari 2012 di situ. Tarikh yang menandakan berakhirnya hidup seorang insan yang bernama Syed Arif.

            Dia masih ingat akan pertemuan pertama dia dengan Syed Arif. 32 tahun yang lalu. Pada 29 Februari 1980. Saat cinta mereka bertaut. Bersaksikan Tanah Lagenda Mahsuri. Kemudian 4 tahun selepas itu, ikatan mereka terlerai jua. Dia dipaksa untuk menerima lelaki lain setelah Syed Arif nekad memutuskan tali pertunangan. Kemudian setelah berpuluh tahun, dia dan Syed Arif bertemu akhirnya. Dalam suasana yang kekok.

Dia sebenarnya rindu akan lelaki itu. Mana mungkin dia lupakan cinta pertamanya.  Tetapi… mungkin benar kata Syed Arif, takdir untuk dia dan lelaki itu tidak pernah tertulis di atas sana.

            Arif. Bersemadilah dengan aman. Telah Lea padamkan segala rasa dendam itu. Juga segala rasa benci. Yang tinggal kini, cumalah rasa rindu.

-Tamat-

Comments

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)