[10] Cerpen : Semasam Yogurt Semanis Ais krim


Pinggir tasik Taman Putra itu masih lagi lengang dari lautan manusia. Waktu tengah hari begini, mana ada yang mahu bersantai. Apatah lagi bersenam. Panas terik kot. Walaupun banyak pokok-pokok menghijau, tetapi bahang dari cahaya matahari tetap dirasai. Anginnya pun tidak sesejuk di waktu pagi atau petang.
         Cuma Luth saja yang masih duduk bersandar di sebuah kerusi kayu. Duduk sambil termenung. Termenung sebab baharu lepas bertekak dengan buah hatinya.
            Luth membuang pandang ke tengah tasik. Dia mengeluh sendiri.
            Alangkah bagusnya, jika hubungan cinta dia dan Mia juga setenang itu. Ini tidak, perhubungan yang dibina selama beberapa tahun itu seperti pantai. Kerap dipukul ombak. Selalu ada pasang surutnya.
            Dia mengeluh lagi. Entah untuk kali yang ke berapa. Cawan yang berisi yogurt di tangan, ditenung lama.
            Mia. Mia. Nama itu berlagu di hatinya.
****
Sekitar tahun 2006…
Matanya melilau mencari seseorang. Seseorang yang sepatutnya sudah terpacak  di sini sedari jam lapan tadi. PUMA di pergelangan kanannya ditilik sekali lagi. Entah untuk kali yang ke berapa.
Balai ketibaan yang tadi penuh dengan lautan manusia, sekarang sudah berkurangan. Bagasi yang berada di hadapannya itu, dia jadikan tempat untuk meletakkan kaki. Lagak macam tauke  yang selalu kutip untung.

Sedar akan kelakuan dia yang mengundang mata orang yang lalu-lalang untuk memandang ke arah dia.
Ah, peduli apa. Dekat berapa belas jam duduk dalam penerbangan. Kaki dia mulai rasa lenguh.
Tapi mungkin juga orang akan menyangka dia pelancong, kalau dilihat dari riak wajah dan warna kulitnya, mungkin disangka pelancong dari Negara Asia Timur. Rata-rata rakan sekuliahnya sebelum ini tidak percaya dia orang Malaysia. Mati-mati mereka ingat dia berasal dari negara yang berbendera Taegeukgi itu. Negara yang terkenal dengan pakaian tradisinya, Hanbok itu.

Mewarisi darah papanya yang berketurunan campuran Asia, Ditambah pula, moyangnya sebelum ini merupakan warganegara Korea yang berhijrah ke Malaysia. Berkahwin dengan moyang  lelakinya, yang merupakan seorang Cina Muslim.
Dia capai Rayban yang melekat di atas kepalanya. Rayban itu dilekapkan ke mata. 
Kemudian dia sarungkan topi daripada jenis kain ke kepalanya. Ada secawan yogurt di tangannya. Yogurt yang dia beli dari kedai serbaneka tidak jauh dari ruang menunggu.
Buat masa sekarang, hanya itu saja yang mampu tekaknya telan. Sebabnya, dia jenis yang tidak boleh makan terlalu banyak sebelum atau selepas perjalanan jauh. Nanti mulalah perut dia meragam.
Tiba-tiba, ALCATEL berwarna Silver-Merahnya berbunyi. Lama dia merenung ke skrin telefon itu sebelum menjawabnya.
 “Hello! Kat mana?” suaranya sedikit keras.
“Tak sampai lagi?” dia mendengus geram.
“Kau ni kan… jangan sampai aku maki kau guna loghat Jepun. Agak-agaklah. Dah berjam kot aku tunggu, ” kaki yang terletak elok di atas bagasi, diturunkan secara terburu-buru. Tangan kirinya mencapai pemegang pada bagasi. Dalam keadaan kelam-kabut itu tubuhnya telah dilanggar seseorang.
“Hei!” dia sedikit marah. Sisa kemarahan pada sepupunya tadi dilempiaskan pula di situ.
Gadis itu menunduk, melihat ke lantai. Rupannya yogurt yang berada di tangan dia tadi, telah terjatuh ke bawah. Tepat mengenai kain dan kasut gadis tersebut.
“Ahhhh!” Terdengar jeritan halus gadis tersebut. Pantas, gadis tersebut mengangkat wajah. Memandang tajam ke arah dia.
Zup! Tiba-tiba dia rasa macam hati kena panah. Seperti diserang secara hendap.
“Eiiiii. Apa ni?” Suara halus itu kedengaran lagi.
Terkesima sebentar. Wajah comel di hadapannya memang berjaya buatkan matanya melekat pada wajah itu. Mujur mata dia dilindungi dengan Rayban. Kalau tidak, mesti kantoi.
“Habis melekit.” Dari suara halus itu, dia tahu gadis itu tidak berpuas hati dengannya .
Luth jadi ralit memandang wajah comel itu, sampai dia terlupa hendak memohon maaf. Baharu saja dia hendak membuka mulut, telefon bimbitnya berbunyi. Ada mesej masuk. Mesej daripada sepupunya itu.
Aku dah nak sampai ni. Lagi 5 minit. Tunggu aku kat luar!
Dia leka berbalas mesej dengan sepupunya buat seketika. Sampai tidak sedar yang dia sudah pun ditinggalkan oleh gadis tadi. Gadis yang kasut dan kainnya terpalit dengan yogurt milik dia. Gadis comel tadi sudah menghilang. Yang ada hanyalah bekas yogurt yang sudah kosong.
Matanya diliarkan ke segenap ruang lapangan terbang itu, namun wajah itu sudah tiada.
“Rugi. Tak sempat nak tanya nama,” bagasi hitam besaiz sederhana itu diseret menuju ke pintu keluar lapangan terbang.

****
Pagi tadi dia bangun awal daripada tidur. Konon hendak ikut papanya ke restoran. Bosan, sebab asyik terperuk di rumah. Sejak pulang dari Jepun, dia hanya buat aktiviti tidur- makan. Dua perkara itu sudah menjadi seperti rutinnya. Sangat membosankan.
Malangnya, papa awal-awal pagi lagi sudah bergerak ke restoran. Dia ditinggalkan. Kecewa sungguh. Dia memang mahu ke restoran. Tetapi dia tidak mempunyai sebarang kenderaan. Di rumahnya cuma ada dua buah kenderaan saja. Sebuah Toyota Unser milik papa dan sebuah Perodua MyVi milik mama.
Toyota Unser sudah dibawa oleh papa ke restoran. MyVi mama pula dimasukkan ke bengkel. Kemik sebab terlanggar tembok. Gara-gara mama yang tidak nampak tembok tepi rumah mereka. Sudahnya, dia jadi 'patah kaki'.
Disebabkan hari ini dia tidak mahu kakinya 'patah' lagi, dia dengan muka tebal sanggup pergi pinjam basikal dengan anak jirannya yang berusia 13 tahun itu. Mujur anak jirannya itu sekolah sesi petang. Jadinya, dia boleh saja berbasikal ke restoran. Lepas itu, ambil Toyota Unser papanya dan kemudian, pulangkan semula basikal milik anak jirannya itu.
Dia senyum puas bila memikirkan rancangannya itu. Harap-harap menjadilah.

****
Basikal Lerun itu disandarkan ke pili bomba yang berwarna kuning tidak jauh dari restoran papanya. Rantai kunci yang terlilit di pemegang basikal itu dibuka. Dirantai pada tayar hadapan basikal dengan pili bomba itu.
Basikal orang kan, mestilah kena kunci. Nanti kalau hilang, siapa yang susah? Dia juga. Jadi biarlah dia ambil langkah berjaga-jaga. Langkah yang berisiko. Risikonya, sebab dia merantai pada pili bomba. PILI BOMBA okey. Bukannya tiang elektrik. Harus kena saman, kalau tiba-tiba bomba datang. Manalah tahu, kalau-kalau di sekitar ini berlaku kebakaran.
Baharu saja dia melangkah, kira-kira dalam 10 langkah, tiba-tiba ada suara halus menyapa telinganya. Walaupun suara itu halus, tetapi kata-katanya sangatlah tajam. Mengalahkan daun serai di belakang rumahnya.
“Budak sengal manalah yang rantai basikal kat pili bomba ni?” Suara halus itu merungut. Dia tidak menoleh. Tetapi kakinya sudah berhenti daripada melangkah.
“Kot iya pun takut basikal tu hilang, pergilah tambat kat tempat lain. Kat tiang lampu tu ke? Kat tiang public phone tu ke? Susah-susah sangat, campak saja masuk longkang. Selamat. Tak ada siapa nak curi.”
Ewah. Ni dah lebih. Basikal pinjam tu. Suka hati nak suruh campak masuk ke longkang. Dia jadi geram bila dengar kata-kata tersbut. Terus dia pusing lipat. Mencari wajah si suara halus itu.
Tiba-tiba dia tergamam. Rasa macam dejaavu. Dia macam pernah lihat wajah gadis di hdapannya ini. Serius. Memang macam pernah nampak. Tetapi dia tidak ingat dimana mereka pernah bertemu.
Kini dia dengan pemilik suara yang halus tadi saling bertentang mata. Makin kuat rasa hati dia bila si suara halus itu membulatkan matanya yang memang sedia bulat itu. Bulat tapi comel.
Okey. Tang comel itu buat dia teringat sesuatu. Lapangan terbang-yogurt-suara halus. Perkara-perkara tadi memang sepadan dengan peristiwa sewaktu dia baharu sampai ke Malaysia seminggu yang lalu.
“Mat Korea sengal ni lagi. Memang jenis tak de sivik la dia ni. Datang tempat orang, suka-suka hati dia je. Nak je aku sekolahkan dia ni, biar reti sivik sikit.” Suara halus tadi masih mengomel sendirian.
Cis. Dia kutuk aku depan-depan? Bajet aku tak faham apa yang dia cakap. Berani betul awek ni. Tahulah awak tu comel. Kita nak marah pun tak sampai hati. Desisnya. Pada masa yang sama dia tahan ketawa.
Ikutkan hati, mahu saja dia hamburkan ketawanya, tetapi biarlah dia berlakon sedikit. Berlakon sebagai pelancong. Dari Korea, okey. Kalau dari Jepun, macam logik sikit. Sebab dia kan baharu saja pulang dari sana. Manalah tahu, kot-kot sebab sudah lama sangat dia di negara matahari terbit itu, wajahnya terkena tempias orang-orang di sana. Ini mesti kuat tengok cerita Korea lah ni. Matanya tidak lepas daripada memandang wajah comel itu.
“Apa pandang-pandang. Koyak mata kang. Terus tak sepet kot.”
Okey. Kali ini memang dia sudah tidak mampu bertahan. Ketawanya terlepas juga.
Terus berubah wajah comel tadi. Jadi pucat lesi. Agak-agak, kalau cubit pun, mungkin tidak rasa apa-apa. Macam kena ubat bius. Tidak pun macam kena simbah dengan air sejuk. Sejuk tahap ketul ais.
Matanya dibeliakkan, “eh, berani ye awak. Mata saya ni  ada insurans tau,” dia bersuara akhirnya. Tapi dalam nada bergurau. Ketawanya juga masih lagi bersisa.
Selepas itu, tidak tunggu lama, gadis bersuara halus itu cepat-cepat berlalu. Cubaan untuk melarikan diri, mungkin. Malu kot. Hatinya sudah galak berkicau. Dia cuba mengejar. Namun  langkah gadis itu yang mengalahkan orang tengah lumba jalan kaki membuatkan dia sedikit tertinggal di belakang.  
Belum sempat dia menyaingi langkah gadis itu, namanya  diseru seseorang.
“Luth!” dia berpaling. Papanya yang sedang berdiri di hadapan restoran sedang melambai-lambai ke arahnya.
Alahai. Melepas lagi. Baru nak tanya nama. Gumamnya. Sedikit kecewa bila niatnya terbantut.
Nampaknya ini kali kedua dia terlepas peluang. Agak-agak, ada ke tidak untuk kali ketiga? Hatinya bertanya sendiri. Dalam masa yang sama dia melangkah menuju ke restoran papanya.
****
“Luth.” Dia berhenti membaca akhbar Harian Metro itu apabila namanya dipanggil oleh mama.
“Jom teman mama pergi Giant.”
“Nak buat apa?” tanya dia. Tetapi dalam masa yang sama dia letakkan juga suratkhabar Harian Metro itu ke atas meja.
“Beli bahan buat kek.”
“Kenapa mama tak minta kat restoran je?”
“Hish! Mana boleh. Mama nak buat kejutan kat papa. Hari ni kan hari ulangtahun kelahiran papa. Kalau minta kat kedai, kantoi lah.” Dia senyum saja bila mendengar kata-kata mamanya itu.
“Beli kek siap je mama,” dia membalas. Cuba mengusik mamanya. Tahu sangat mamanya yang tidak suka akan benda-benda ready-made. Katanya tidak sedap. Nanti bahannya kurang sana, kurang sini. Mama lebih suka buat dengan tangan sendiri. 
“Tak sedap.” Dia senyum meleret bila mendengar rungutan mamanya. Kan dah kata. Desis hatinya. Segera dia mencapai kunci MyVi yang digantung di rumah kunci yang melekat di dinding  ruang tamu.
****
Kalau ikut kaum wanita membeli-belah memang kena banyak bersabar. Itu pesan papanya. Dia sudah naik bosan. Sudah hampir 1 jam dia dan mamanya berlegar di dalam Giant. Tetapi barang yang dicari masih ada yang belum dijumpai. Bukannya banyak pun bahan-bahan untuk membuat kek, sedikit saja. Tetapi mama bukanlah mama, jika datang membeli-belah sekadar beberapa minit saja.
Dia perhati ke arah mamanya. Memang lenggang habis. Cuma bawa beg tangan saja. Tugas menolak troli pula diberikan kepada dia.  Di semakin bosan. Lalu troli barang itu dia buat seperti papan luncur. Dia tolak laju-laju, kemudian pijak ke atas troli tersebut .
“Luth. Jangan main-mainlah.” Dia mencebik.
Mamanya sudah menegur akan kelakuan dia yang macam budak sekolah tadika itu. Kalau dia memang budak tadika dan bukannya anak teruna, agaknya sudah lama kena ketu dengan mama. Tangan mama itu boleh tahan juga. Mengalahkan sepit ketam.
“Lambat lagi ke mama?” dia bertanya. Sambil itu matanya menghala ke peti sejuk panjang yang berisi botol-botol minuman.
“Baru hari ni mama minta tolong, awak dah bunyi macam-macam. Like father, like son. Dah lah bertahun dia kat Jepun tu...,” mama dia mula merungut.
“Okey-okey. Mama janganlah marah. Luth gurau je,” dia sengih. Macam kerang busuk yang selalu dia jumpa di restoran papanya masa sebelum dia sambung belajar dulu. Tapi dia kerang busuk yang jenis comel lah.
Jelingan mamanya itu membuatkan dia pantas mengambil senarai barang-barang dari tangan mamanya.
“Biar Luth cari barang selebihnya ni,” sambil itu matanya melihat ke kertas yang tertulis senarai barang-barang itu.
“Okey. Kita nak ambil yang mana dulu?” dia bercakap sendirian. Matanya masih memerhati ke arah kertas di tangan.
“Butter cup, yogurt...,” terus dia halakan troli  ke arah peti sejuk yang mengandungi bahan-bahan tersebut. Sambil itu mata dia mencari-cari kelibat mamanya yang telah pun hilang. Entah ke mana. Lesap macam itu saja.
Tang! Tiba-tiba trolinya berlanggar dengan sebuah lagi troli. Tersentak dia. Sudahlah terkejut, sakit pun dapat. Mana tidaknya, perutnya terkena pada pemegang troli tersebut. Sakit kot. Rasa macam senak pun ada.
Dalam sakit-sakit itu, sempat juga dia mencuri pandang ke arah si pembawa troli yang lagi satu itu.
Eh... eh... dan eh. Entah apalah yang dia mencarut pun tidak tahu. Mungkin sebab dia tengah sakit, jadi otak dia pun sedikit ting-tong.
Ni awek comel hari tu. Dia menyeru tetapi cuma di dalam hati. Mulut dia pun boleh tahan bijak. Bertindak ikut situasi.
Awek comel tengah buat muka masam kot. Kalaulah ayat tadi meluncur keluar dari mulutnya, silap-silap dia kena baling dengan bekas berisi ais krim yang berada di dalam troli orang di hadapannya itu. Boleh tahan juga bekas ais-krim itu. Kalau di baling ke kepala, seminggu pun belum tentu bengkak akan hilang.
Belum sempat dia bersuara, mamanya sudah datang menghampiri.
“Eh, kenapa ni?” tanya mama.
“Luth terlanggar cik ni,” dia menjawab pertanyaan mama sambil menggaru-garu pelipis kanannya. Okey, dia bukan hendak tunjuk  bagus depan perempuan tapi memang salah dia pun sebab tidak memandang. Puncanya mamalah. Gara-gara mencari mama, dia terlibat dengan kemalangan kecil ini.
“Ni Mia kan?” mamanya  menegur gadis tersebut.
Dia pula sekejap-sekejap pandang mama. Sekejap-sekejap pandang Mia.
Yeay! Akhirnya, dia dapat tahu juga nama awek comel yang suka masamkan muka ni. Masam macam yogurt. Tapi masam yogurt itu dia suka. Masam pada wajah awek comel  ni lagilah dia suka. Hatinya bersorak. Mungkin tengah berjoget. Kalau hati itu pandai berjogetlah.
Dia memasang telinga. Mendengar perbualan mamanya dengan Mia. Cuba menangkap maklumat-maklumat yang penting. Mana tahu akan datang, maklumat itu jadi penting untuk dia.
Hai lah Mia. Anak Pak cik Indera Joned rupanya. Patutlah garang semacam. Like father, like daughter. Dia ulang semula ayat yang disebutkan mamanya waktu bebelkan dia tadi. Tapi ulang di dalam hati sajalah. Hehehe.
****
Mukanya merah. Bukan sebab menahan marah apabila kasut sukan Adidas kesayangannya terpalit seketul ais krim berwarna pink. Sebaliknya, dia rasa panas. Panas sebab dia baharu saja lepas berjoging.  Hampir 2 pusingan jugalah dia pusing tasik  Taman Putra ini.
Disebabkan dia ternampak pak cik yang menjual ais-krim menggunakan Honda Cup-70 tadi, dia terus berhenti berjoging.
“Sorry. Tak sengaja.” Kata-kata itu ditujukan kepada dia. Luth angkat kepala. Tuala yang menutup kepalanya itu ditarik sedikit ke belakang. Menampakkan wajahnya. Juga matanya yang sepet itu.
“Awak!” Serentak Luth dan gadis yang menjatuhkan palitan ais krim ke atas kasut Adidasnya bersuara.
Dia nampak gadis itu mengetap bibir. Mungkin sedar akan kecuaian dirinya sendiri.
“Mia kan?” laju saja dia menyebut nama gadis itu. Macam sudah terpahat kukuh di dalam ingatan dia.
Haruslah dia ingat. Masuk perisitwa ini, sudah empat kali mereka bertemu. Lapangan terbang- depan restoran-pasar raya Giant- kini, di taman rekreasi. Kuat juga jodoh dia dan Mia. Hatinya sudah berlagu. Lagu cinta, mungkin. Dia ketawa senang. Tetapi cuma di dalam hati.
“Awak, sorry sangat-sangat.” Mia bersungguh-sungguh meminta maaf pada dia. Tetapi dia buat-buat tarik muka. Kemudian, dia sengaja memuncungkan mulutnya sedikit. Konon macam tidak berpuas hati. Konon sajalah. Sengaja hendak menduga  Mia. Cewah.
“Okey. Saya maafkan. Tapi dengan syarat, awak kena belanja saya makan ais-krim,” kemudian, mata dia yang sepet itu sengaja dikerdipkan kepada Mia.
Mia pula buat muka terkejut. Muka cuak pun iya juga. Mungkin tidak menduga permintaannya itu.
“Itu je? Belanja makan ais-krim? Lepas tu awak maafkan saya. Serius?” Mia melontarkan bermacam-macam soalan kepada dia.
Dia cuma angguk dan senyum. Bukan senyum biasa ya. Senyum yang sangat-sangat lebar. Senyum manis kot. Manis macam ais krim.
Akhirnya, Mia juga turut sama senyum. Rasanya perasaan cuak Mia mungkin sudah hilang bila lihat dia yang tersenyum meleret.
“Tapi saya nak dua tau,” dia ketawa bila Mia kembali tarik muka masam. Macam yang selalu Mia buat tiap kali terjumpa dia. Melihat situasi itu, dia jadi geli hati. Sudahnya, dia ketawa. Ketawa yang kuat. Dia berhenti ketawa pun sebab menyeringai sakit. Sakit sebab kakinya dipijak oleh Mia.
“Padan muka,” Mia jelir lidah.
Dia cuma menggeleng. Memanglah anak dara Pak cik Indera Joned ini garang sangat orangnya. Tetapi dia suka. Hahaha.
****
Kini…
Sudah penat mendail, dia menghantar pula kiriman pesanan ringkas kepada Mia. Mahu memujuk hati Mia.
Tadi dia baharu saja mengirimkan sekotak kek untuk Mia melalui adik perempuan Mia, Cinta. Siap sisipkan nota kecil berwarna Pink lagi. Hendak pula, kek itu dia buat sendiri. Kononnya, mahu memujuk hati Mia si buah hati. Dia sanggup berguru dengan mama.
3 kali cubaan baharu dia berjaya. Yang pertama kurang bahan. Yang kedua terlebih bahan. Yang ketiga, susunya terhangus. Akibatnya, dia asyik kena piat telinga dengan mama. Macam hendak tertanggal telinga rasanya. Kata mama, dia pembazir. Sebabnya, ketiga-tiga kek yang tidak jadi itu telah selamat masuk ke dalam tong sampah.
Tittit! Tittit! Bunyi yang menandakan ada mesej masuk ke telefon bimbitnya. Serta -merta dia membaca mesej yang masuk itu.
Sedap. Kek apa ni? Sender: Mia buah hati saye.
Dia sengih. Tanpa berlenggah, mesej itu dia balas.
Yogurt? Tapi kenapa sedap? Tak rasa masam pun. - Sender: Mia buah hati saye.
Oh! Luth cakap Mia masam macam Yogurt ek? - Sender: Mia buah hati saye.
Dia ketawa mengekek bila membaca mesej daripada Mia itu. Dulu Mia pernah tanya pada dia, kenapa dia sukakan Mia. Dia jawab, sebab Mia suka buat muka masam. Masam macam Yogurt. Lepas itu dia tanya Mia semula. Kenapa Mia sukakan dia pula.
Kata Mia, sebab muka dia manis. Manis macam ais krim. Dia senyum lebar bila mengingatkan semua itu. 
Mujur minta maaf. Ok, Mia maafkan. Tapi Luth kena janji, bincang hal kita dengan Pak Cik Rizz tau. Nanti Mia bincang dengan abah. - Sender: Mia buah hati saye.
Luth tarik nafas lega. Hal rajuk Mia sudah selesai. Kini hal dengan papanya pula. Bagaimana dia mahu beritahu papanya, yang dia dan anak seteru Restoran Papa Rizz itu bercinta? Harus, papa mengamuk. Mungkin boleh menggunkan khidmat  mamanya sebagai orang tengah.
Lepas ini dia dan Mia kena bekerja keras menjalankan satu misi. Misi yang agak sukar. Misi menyatukan kerabat Restoran Papa Jon dan Papa Rizz. Kemudian, secara automatiknya kedua orang tua dia dan Mia akan merestui hubungan mereka. Jadinya, dia dan Mia bolehlah kahwin. Horey!

-Tamat-

Dedikasi untuk Min seonsaengnim. Lebiuu. Muahh. (statement nak minta penampar namanya ni). ahahaha.

Coversation antara Luth & Mia. Klik di sini, kalau nak tahu la. hahaha

Nak lagi? Sila la baca  cerpen yang ni, kalau nak kenal siapa bapa Luth dan Mia ni. heuheuheu.




Comments

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

[5] Cerpen : Pabila Si Trio Pulang Beraya

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)