[4] Cerpen : Pabila Jaja Berpuasa




            Aku mencapai Nokia C7-00 berwarna putih yang berada di atas meja studi. Lantas jemariku menekan papan kekuncinya. Empat angka digit terpapar di skrin telefon  menandakan tepat pukul tiga empat puluh lima. Kedua mataku ditenyeh beberapa kali. Sudah pagi. Patutlah terasa begitu mengantuk sekali. Tanpa sedar hari sudah berganti baharu.    
            Aku masih lagi setia di meja studi. Buku-buku nota yang berselerak di atas meja kupandang sepi. Masuk hari ini sudah tiga hari aku berjuang menghadapi peperiksaan. Kini masih berbaki  lagi empat hari untuk menamatkan semua penyiksaan ini.
            Sepanjang minggu peperiksaan ini aku berpuasa daripada tidur di waktu pagi buta. Tepat pukul satu pagi pasti  mataku luas terbuka. Buku-buku teks bagaikan menggamit aku untuk membaca mereka. Pernah sekali aku nekad untuk tidur sehingga ke esok pagi namun gagal. Buku-buku teks itu berjaya menerobos masuk ke dalam mimpiku. Memaksaku untuk bangun dan membelek mereka. Ngeri rasanya.
            Tekak terasa kering akibat menelaah selama beberapa jam. Aku bigkas bangun dari meja studi. Langkahku diatur  menuju ke pintu bilik. Seketika pergerakan aku terhenti apabila terdengar sesuatu bunyi. Air liur di kerongkong terasa kesat. Aku beranikan diri memandang ke arah bunyi itu.
            Kurang asam. Kus semangat aku. Rupanya Bubu si kucing berwarna kelabu itu punya angkara. Bubu dilihat sedang menguis gumpalan kertas yang telah aku sepahkan di lantai.
            ‘Aduh! Buat terkejut aku saja.’ Terasa jantung berdegup pantas.
            Aku meneruskan kembali niat yang terbantut sebentar tadi. Lampu di ruang tamu aku lihat masih terang-berderang. Seperti ada pesta di rumahku. Ruang tamu itu aku hampiri.
            ‘Budak ni tak reti-reti nak tidur ke?’ Hatiku berdetik. Kelihatan adik perempuanku Jojo sedang ralit menonton televisyen. Aku mula menghampiri Jojo.
            “Jo!” Bantal kusyen yang aku capai tadi dibaling ke arahnya. Bukan main terkejut Jojo.
          “Apa ni Kak Ja. Terkejut Jo tau!” Marah Jojo. Aku tayang muka selamba. Tidak takut dengan amarah Jojo itu. Tahu sangat Jojo tidak berani untuk bertindak lebih daripada itu.
            “Dah dekat pukul empat, tak tidur-tidur lagi?” Aku bertanya kepada Jojo.
        “Ala, Kak Ja ni. Bukannya besok sekolah pun. Lagipun besok kan puasa. Jo tengah tunggu nak bersahur ni.” Jojo sudah kembali memandang skrin Sharp itu.
        “Tengok cerita apa Jo?” Aku mengambil tempat di sebelah Jojo. Niat untuk mengambil minuman terbantut begitu sahaja.
            “GTO.” Ringkas jawapan yang keluar dari bibir Jojo.
            “Aik! Bukan dah tengok dekat seratus kali dah ke?”
            “Memanglah. Habis tu nak tengok cerita apa lagi? Dah Kak Ja sorokkan remote Astro. Terpaksalah Jo layan dvd.” Sarkastik bunyinya. Namun mata Jojo masih tertancap di skrin televisyen.
            Benar kata Jojo. Memang aku yang sembunyikan remote Astro itu. Puncanya aku berpuasa daripada menonton televisyen. Masuk hari ini sudah tiga minggu puasa ini berlangsung. Semua ini gara-gara minggu peperiksaan aku.
            “Teruklah Kak Ja ni. Dia yang berpuasa daripada tengok tv, orang lain semua kena join sekali.” Jojo merungut.
            Sedikit pun kata-kata Jojo tidak terkesan di hati. Aku mula mencapai majalah yang berada di bawah meja kopi.
            ‘Memang patut pun kau orang join sekali. Kau tu dah lah tengok tv suka pasang volume kuat-kuat. Boleh ganggu kosentrasi aku dok menelaah.’ Hati aku membidas kata-kata Jojo itu.
~
            Selepas berpamitan dengan ibu, aku segera menghampiri Ego S aku yang berwarna pink itu. Tiba-tiba aku disapa oleh Aunty Maryam, jiran sebelah rumahku.
            “Jaja nak ke kolej ke?” Aunty Maryam bertanya kepadaku.
            “Iya aunty.” Wajahku dimaniskan sehabis mungkin saat menjawab pertanyaan Aunty Maryam.
            “Jaja pergi dengan apa?” Aunty Maryam masih lagi ingin meneruskan sesi soal jawabnya.
           “Naik motor.” Aku cuba menjawab dengan seikhlas hati. Walau hakikatnya masa aku sudah terbuang dengan soalan-soalan yang tidak berapa penting daripada jiran sebelah rumahku itu.
            “La. Buat apa naik motor. Marilah makcik hantarkan sekali. Lagipun Diana pun nak ke kolej juga.” Mak Cik Maryam
            ‘Oh tidak. Pergi dengan Diana si minah senget tu. Tak sanggup aku.’ Hatiku bermonolog sendiri.
            “Tak apalah. Jaja dah janji nak tumpangkan kawan dekat simpang sana. Pergi dulu ya aunty.” Segera Egos S itu kubawa keluar dari laman rumah.
            ‘Aunty Maryam ni takkanlah  tak perasan yang aku dan anaknya sudah lama tidak bertegur sapa.’ Hati aku tertanya-tanya.
             Semenjak dari tingkatan empat dahulu lagi aku dan Diana begitu. Al-kisahnya, dahulu si Diana itu terlalu sukakan salah seorang senior di sekolah kami. Kebetulan pula senior yang bernama Kudup itu merupakan Ketua Rumah Sukan aku. Jadinya hubungan aku dengan Kudup agak rapat memandangkan jawatan yang disandang oleh aku ketika itu adalah sebagai setiausaha.
         Disebabkan rasa tergugat, Diana yang perasan dirinya itu seperti ratu cantik dunia telah mengisytiharkan peperangan serta memboikot aku habis-habisan. Dia juga telah memalukan aku dengan membuat onar bahawa aku pernah menghantar nota cinta buat Kudup.
            Oleh kerana khabar angin palsu ciptaan si Diana itu tersebar dengan luas. Makanya sahabat baik aku ketika itu Lily merangkap buah hati Kudup telah memutuskan persahabatan kami.
            Sedihkan. Hanya kerana seorang lelaki Lily sanggup menamatkan persahabatan kami yang sudah bertahun itu. Semenjak itu aku telah berpuasa daripada bercakap dengan Diana. Kini peristiwa itu sudah pun mencecah tempoh tiga tahun.     
~
            Dari jauh aku lihat Juju rakan sekuliah aku sudah menanti dengan senyuman di parkir kenderaan bermotorsikal.
            “Jaja!” Suara Juju lantang memanggil.
            “Apa?”
            “Minggu ni kan periksa tamat. Jom pergi window shopping?” Ajak Juju.
            “Kau nak window shopping?” Aku bertanya kepada Juju. Sarkastik.
            “Iyalah.” Juju kelihatan tidak senang dengan soalan daripada aku.
           “Aku tak percaya sikit pun Ju. Kau mana pernah pergi mall tapi tak shopping. Ahh! Aku tak percaya dengan window kau tu.” Namun Juju masih beria-ia memujuk aku.
            “Ala Ja. Jomlah.”
            “Aku tak ada duitlah. Duit saku aku kena tahan. Dah masuk tiga bulan aku puasa daripada shopping tau!” Sedih bila babah jatuhkan hukuman itu kepada aku.
            “Tulah kau. Yang kau pergi beli cover skuter dan helmet baru tu siapa suruh?” Juju mula membebel macam mak nenek.
            “Kalau aku jadi babah kau pun aku mengamuk. Gila. Padahal cover skuter tu elok lagi.” Bebelan Juju makin menjadi-jadi. Masa untuk menjawab exam kian hampir. Sudahlah pagi tadi masanya dihabiskan dengan bersoal jawab dengan Aunty Maryam. Kini Juju pula yang mahu mengambil alih. Aku mula bergerak meninggalkan Juju. Sayup-sayup terdengar suara dia memanggil aku.
 ~
            “Jaja!” Suara ibu lantang memanggil.
            “Iya ibu.”
           “Tolong ibu ke kedai. Belikan Gula melaka. Hari ni babah buat permintaan nak berbuka dengan Buah melaka katanya.” Amboi. Babah sudah mula membuat tempahan ala-ala makan di restoran.
           Tahukah kau orang, dahulu aku hanya mengenali Gula melaka hanya dengan nama itu. Namun setelah Juju datang berbuka puasa pada tahun lepas baharulah aku tahu Gula melaka ini mempunyai banyak nama.
            Jika di negeri bahagian utara, gula melaka dipanggil dengan nama Gula gerek. Okey, tolong jangan ketawa lagi. Ya. Memang sebutan gerek itu agak melucukan. Setahu aku orang di sana juga memanggil basikal dengan nama itu. Jadinya di dalam fikiran aku jika ia di alihbahasakan membawa maksud gula basikal.
            Namun penjelasan Juju berjaya menghentikan gelak tawa aku yang semakin galak itu. Kata Juju, pada zaman dahulu, orang yang menjual Gula melaka itu selalu menaiki basikal. Dek kerana itu orang-orang di sana memanggilnya sebagai Gula gerek.
            Usai mendengar penjelasan Juju itu aku terus berkata,
     “Kau tipu aku kan?” Riak tidak percaya jelas di wajah aku. Namun Juju hanya sekadar menjongketkan bahunya. Aku tahu Juju hanya buat cerita dongeng. Juju memang begitu. Kuat merapu.
            Suara ibu menghilangkan imej Juju yang hadir di ingatanku ketika itu.
              “Jangan lupa belikan ais kiub sekali. Abang kamu nak balik hari ni.”         
            “Ala ibu. Kalau beli ais kiub Jaja nak kena balik awal.”
          “Yalah. Jangan nak melencong ke lain. Balik awal. Nanti boleh tolong ibu memasak.” Ibu memberikan arahan.
            “Kenapa ibu tak buat saja ais kiub tu.” Aku masih mahu mengelak dengan tugasan kedua yang diberi ibu.
            “Abang baru je bagitau dia nak balik berbuka kat rumah.” Terang ibu kepadaku. Namun melihatkan muncung pada mulutku yang semakin panjang ibu menyambung lagi kata-katanya,
            “Eh, budak ni. Bukankah Jaja yang buat larangan keras kat semua orang dalam rumah ni.  Jaja yang suruh jangan buat ais kiub, ais krim, air ais dan segala yang ada berunsurkan ais kan?” Alamak. Ibu sudah mula menghunuskan kata-kata yang tajam bak pedang samurai. Sekejap lagi pasti tepat menikamku.
            “Jaja sendiri kan yang cakap. Yang awak tu berpuasa daripada minum ais. Konon nak jaga badan. Tapi ibu tengok masih sama saja. Pula tu semua orang dalam rumah ni Jaja paksa ikut berpuasa sama.” Kan aku dah kata. Mesti kena balik punya.
            “Ibu ni. Tadi kata nak suruh Jaja ke kedai. Tapi duitnya tak bagi lagi.” Yes. Kata-kataku berjaya menghalang serangan ibu yang berikutnya.
~
            Usai berbuka puasa aku, abang Jiji dan Jojo melingkar seperti ular sawa yang kekenyangan di satu sudut. Buruk punya perangai kan? Harap kau orang janganlah ikut perangai-perangai yang kurang elok ini.
            “Jaja kata tengah pasang body. Abang tangok makan sampai tak ingat dunia.” Abang Jiji bersuara. Pedas kata-kata itu. Ibarat tergigit cili di dalam kuah masak lemak telur ikan ibu tadi.
         “Ibu masak sedap hari ni. Sebab tu orang pulun makan. Selalu tu ibu masak cincai-cincai saja. Mentang-mentanglah abang balik, semua masakan kegemaran abang ibu buatkan.” Pandanganku disorotkan ke wajah Abang Jiji.
            Abang Jiji merupakan anak sulung keluarga kami. Satu-satunya abang aku. Mata aku beralih ke arah Jojo yang sedang asyik melayan karenah Bubu. Jojo itu pula satu-satunya adik aku.
            “Tadikan masa baru sampai, abang nampak Diana. Makin lawa dia sekarang.” Suara Abang Jiji nyata begitu teruja apabila bercerita tantang anak dara Aunty Maryam itu.
            Aku membalas dengan membuat aksi hendak termuntah.
            “Eee. Tolonglah jangan buat kenyataan macam tu. Mahu terkeluar semua yang orang makan tadi.”
            “Ja.” Panggil Abang Jiji.
            “Nanti Jaja tolonglah kenen-kenenkan abang dengan Diana. Mana tahu nanti sangkut.”
            Tiba-tiba Jojo menyelit di dalam perbualan kami.
            “Abang jangan tak tahu. Kak Ja ni berpuasa daripada bercakap dengan jiran sebelah tu.”
            “Hai. Tak habis-habis. Sudah-sudahlah tu Ja.” Tegur Abang Jiji.
           “Huh! Apa sudah-sudah?” Aku mula membentak. Lalu aku tarik Bubu dengan kasar. Nyata si kucing kelabu itu kurang gemar denganku. Aku menjegilkan mata kepada Bubu. Berharap yang dia akan berasa gentar.
            “Tolonglah wahai Abangku. Janganlah sesekali simpan hasrat nak jadikan Diana tu kakak ipar kita.” Bangkangan dari pihak aku disuarakan.
            “A’aa. Jo pun tak sanggup nak beripar duaikan Diana tu. Eeee..getik.”  Aku tergelak memandang aksi Jojo yang menjulingkan matanya.
            “Kalau abang teruskan juga niat tu, mesti Kak Ja puasa tak nak pulang ke rumah bila abang balik ke sini nanti. Kak Ja kan suka berpuasa yang pelik-pelik.” Serentak itu Jojo dan Abang Jiji ketawa. Kuat.
         Aku hanya mampu menghantar jelingan yang tajam. Geram. Abang Jiji dan jojo gemar sangat menyakat aku.
            ‘Suka hati akulah nak puasa apa pun.’ Hatiku menjerit.
            “Eh. Tapi dulukan Ja minat gila dengan abang Diana tu. Sampai menangis dekat ibu minta kahwinkan dengan mamat tu lagi.” Oh tidak. Abang Jiji sudah mula merapu. Aku menutup telinga tanda tidak mahu mendengarnya.
~
            Lega. Akhirnya peperiksaan sudah pun tamat. Pada mulanya aku ingin ikut sama aktiviti window shopping si Juju itu. Tapi mengenangkan perbualan dengan ibu di telefon sebentar tadi membuatkan aku membatalkan hasrat itu .
            “Jaja. Lepas exam terus balik. Tolong ibu kemas rumah. Opah dan atuk nak datang sini. Pak Long sekeluarga ikut sama.”
            Okey. Itu pesanan ibu yang aku terima sebaik sahaja melangkah keluar dari dewan peperiksaan.
       Tiba di halaman rumah, aku segera memarkir skuter kesayanganku di bahagaian tepi. Supaya memudahkan kenderaan yang bakal masuk nanti senang untuk parking.
            Tiba-tiba aku disapa satu suara.
           “Hai.” Aku berpaling. mencari gerangan pemilik suara itu. Buntang mataku. Wah! ‘Mamat Arab mana terlepas ni.’ Hati aku bagaikan melantun ke segenap ruang apabila terpandang wajah yang ala-ala Mesut Kurtis penyanyi dari tanah Turki itu. Penyanyi kegemaran ibuku.
         “Ini Jaja kan?” Aduh. Suaranya bagai memaku pergerakanku. Tegak berdiri. Mataku  masih lagi melekat pada wajah Mesut Kurtis celup. Kami kini saling berhadapan. Yang memisahkan hanyalah sebuah tembok. Tembok yang setinggi empat kaki. Yang menjadi pembahagi di antara rumah aku dan Diana.
            ‘Tunggu sekejap! Rumah Diana?’ Otak aku kini ligat berputar.
            “Jaja dah tak ingat abang lagi ke?” Aku mula dilanda resah. Jangan-jangan ini adalah,
          “Ini Diaz. Abang Diana. Takkan Jaja dah lupa?” Ah! Aku dah agak dah. Hatiku semakin tidak keruan. Sudah tujuh tahun kami tidak bertemu. Sejak Diaz menyambung pelajarannya ke Jordan. Waktu itu aku masih di darjah enam.
            “Err.. Ingat.” Gagap. Waktu ini terasa mulutku yang selalunya petah berkata-kata terkunci  rapat. Senyuman menghiasi wajah Diaz. Aku pula semakin tidak keruan. Mahu cepat-cepat berlalu dari situ. Tiba-tiba suara ibu mencelah dari dalam rumah.
            “Aaa… Jaja masuk dulu ya.” Penuh dengan sopan santun aku meminta keizinan daripada Diaz. Ini kalau Juju tengok mahunya dia gelak terguling sepanjang jalan di taman perumahan ini.
            “Ooo…Okey. Nanti malam karang kita jumpa ya.” Langkahku yang baru sahaja dibuka tiba-tiba terhenti. Wajah Diaz aku tatap dengan penuh tanda tanya.
            “Ibu Jaja ajak abang sekeluarga berbuka sekali nanti. Lepas tu bolehlah kita borak-borak. Dah lama abang tak jumpa Jaja. Rindu.” Kenyataan yang keluar dari mulut Diaz berjaya membuatkan lutut aku menggigil. Seperti salah satu skru yang ada telah tercabut.
            Panggilan ibu kedengaran lagi. Kali ini aku terus mengorak langkah tanpa berpaling ke arah Diaz lagi. Namun  telingaku masih sempat menangkap ucapan terakhir Diaz.
            “Bye-bye Jaja.”
           Aku meluru masuk ke rumah tanpa sempat membuang kasut. Ibu memandang aku dengan penuh rasa hairan.
            “Kenapa ibu ajak jiran sebelah datang berbuka nanti?”
            “Ala. Kan hari ni rumah kita ramai orang. Alang-alang tu ibu ajaklah dia orang sekali. Lagipun Diaz baru ja pulang dari Jordan. Boleh sambut kepulangan dia sekali.” Ibu tersenyum senang tanpa mengetahui aku kini berperang dengan emosi. Riak kurang berpuas hati aku pamerkan kepada ibu.
            “Eh. Bukan dulu Jaja suka sangat-sangat dekat Diaz tu ke? Sampai minta ibu kahwinkan Jaja dengan Diaz.” Oh, tidak! Mengapa ibu dan Abang Jiji masih ingat lagi perkara itu. Tahukah mereka permintaan yang tidak masuk akal itu dibuat oleh budak yang baru berusia tujuh tahun. Yang belum tahu mana satu baik dan buruknya.
            Bagaimana hendakku hadapi situasi malam nanti? Dengan adanya Opah dan atuk serta Pak Long sekeluarga pun sudah menyesakkan perasaan aku. Kini ditambah pula dengan kehadiran Diana, Diaz dan keluarga mereka. ‘Huwaaaa! Ibu, hari ni Jaja nak berpuasa daripada jumpa orang!’ Aku sudah terkulai layu di pintu masuk sambil menghantar ibu ke dapur dengan pandangan mataku.
-Tamat-
P/s : Cerpen ni kubuat dalam emosi yang kurang stabil. Maaflah. Cerita ni memang tak logik sangat. Ku kuat merapu dalam cerita ni. hehehe

Comments

  1. seronok baca.. hehhee

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Hijab Kalbu sbb. sudi singgah ke sini:)

      Delete
  2. Wah, banyak kategori puasa si Jaja ni. hahaha..

    ReplyDelete
  3. haha... lawak la jaja ni... aduhai, kelam kabut betul dia ni. :D terhibur baca...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih sudi singgah ke sini Anis.
      Jaja tu pening. hehehe

      Delete
  4. wah.. macam2 kategori puasanya.. tak terfikir pulak saya.. heheh.. papepun cerita ni best.. suka baca.. ^_^

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Tia Fatiah, sbb sudi singgah ke sini. Terima kasih juga sbb menyukai cerita si pening Jaja ni :D

      Delete

Post a Comment

ketuk-ketuk di sini

Popular posts from this blog

Bab 9 : Ku Kira 1,2,3...Bintang Di Langit

1,2,3... Ramadhan Tiba (Tuah & Teja)

[10] Cerpen : Semasam Yogurt Semanis Ais krim